Thursday 16 March 2023

SIRI MISTERI: Harimau jadian wujud

OLEH: NASRON SIRA RAHIM > BERITA HARIAN
9 MEI 2015

Residen British di Pahang sekitar abad ke-19, Hugh Clifford, pernah merekodkan satu kejadian misteri dan menyeramkan berlaku di Kampung Ranggul di tepi Sungai Tembeling, Pahang sekitar 1860-an.

Dalam catatannya, diceritakan pada suatu malam, di sebuah rumah yang dihuni tujuh lelaki dan dua wanita, satu peristiwa ngeri berlaku sehingga menyebabkan hampir semua ahli keluarga itu dibunuh.


Kejadian berlaku selepas ahli keluarga terbabit selesai menjamah hidangan malam dan ketika berehat sambil berbual kosong, secara tiba-tiba mereka terdengar suara ngauman yang memecahkan keheningan malam.

Semua penghuni hutan diresap ketakutan teramat, manakala ahli keluarga dalam rumah pula diasak debar tidak berkesudahan. Ngauman kedengaran semakin menghampiri dan lelaki dan wanita terbabit cemas menanti.

Dibunuh

Ketika ketakutan yang bersarang di jiwa masih belum sirna, tiba-tiba seekor harimau besar menerjah masuk ke dalam rumah dan dengan sekelip mata membunuh tujuh ahli keluarga berkenaan.

Seorang daripada ahli keluarga terbabit berjaya menyembunyikan diri dan dari tempat dia berlindung, pemuda terbabit menyaksikan sendiri keganasan harimau itu yang meragut nyawa ahli keluarganya dengan kejam dan ngeri.

Kemuncak keganasan harimau itu ialah haiwan berkenaan membunuh anak gadis sunti dalam keluarga berkenaan sambil diperhatikan pemuda terbabit yang juga bapa saudaranya.

Catatan Clifford seperti tertera dalam buku Tracking the Weretiger itu akhirnya menyatakan hanya pemuda terbabit terselamat dan dijumpai penduduk kampung apabila pagi menjelma.

Di hadapan mata penduduk kampung berkenaan, mereka menyaksikan suasana ngeri angkara harimau terbabit apabila cebisan daging jasad semua mangsa berselerakan sehingga sukar dikenal pasti.

Anehnya, walaupun semua mayat rosak teruk, penduduk mendapati jasad mangsa tidak dibaham dan hanya darah mereka yang kering seakan-akan diminum makhluk ganas itu.

Kejadian itu meyakinkan ramai pihak bahawa haiwan menyerang serta membunuh lapan mangsa sekeluarga itu adalah harimau jadian yang ketika itu kecoh diceritakan mengganas sekitar negeri berkenaan.

Selain catatan Clifford, ada beberapa lagi kisah harimau jadian di Tanah Melayu yang direkodkan orientalis Barat.

Antaranya dalam buku Peter Boomgaard iaitu `Frontiers of Fear: Tigers and People in the Malay World, 1600-1950', dinyatakan ekspedisi Inggeris di Tanah Melayu sekitar 1899 pernah bertemu dukun Orang Asli yang mengaku mampu menjadi `harimau jadian'.

Seru semangat hutan

Dukun yang tinggal di Ulu Aring menceritakan kepada ahli ekspedisi terbabit dia menjadi harimau jadian selama tujuh hingga sembilan hari dan sepanjang tempoh itu, akan menyerang lembu di kampung lain.

Untuk menjadi harimau jadian, dukun terbabit menceritakan yang dia akan membakar kemenyan, mengasap badannya serta menyeru `semangat' hutan memakbulkan permintaannya.

Dia kemudian merangkak, menggelengkan kepala dan bulu serta ekor akan tumbuh dari badannya sebelum dirinya berubah menjadi harimau sepenuhnya.

Kepercayaan terhadap kewujudan harimau jadian iaitu manusia mengamalkan ilmu hitam sehingga dapat bertukar rupa menjadi harimau sememangnya sudah lama berakar dalam kepercayaan masyarakat Melayu.

Pelbagai catatan silam dan cerita lisan mengenai harimau jadian seolah-olah menggambarkan ilmu manusia bertukar haiwan itu sememangnya pernah wujud dan diamalkan secara meluas pada zaman dulu.

Dalam laman informasi Wikipedia, dinyatakan harimau jadian atau turut dikenali harimau akuan dan harimau cindaku terkenal dalam budaya Melayu dan Orang Asli Semai sebagai ilmu hitam yang membolehkan orang yang mempelajarinya bertukar harimau apabila dikehendaki.

Kebolehan ilmu itu dikatakan diperoleh dengan bantuan jin saka dan dipelajari supaya penuntutnya memperoleh kekuatan luar biasa untuk mempertahankan diri dan memudaratkan musuh.

Bagaimanapun, ilmu berkenaan jelas amat menyalahi syariat Islam menyebabkan ia tidak lagi diamalkan dan semakin ditinggalkan masyarakat moden.

Dipercayai masyarakat Barat

Berbanding budaya Melayu, masyarakat Barat turut mempercayai kewujudan haiwan jadian terutama serigala jadian.

Pada 1573, lelaki Perancis, Gilles Garnier dibakar hidup-hidup selepas mengaku bersalah membunuh dan memakan daging lebih empat kanak-kanak berusia antara 10 hingga 12 tahun.

Garnier berbuat demikian kerana percaya dia ialah serigala jadian dan keupayaan bertukar daripada manusia kepada serigala diperolehnya selepas bertemu dengan syaitan ketika berburu mencari makanan dalam hutan pada waktu malam.

Bagi penyelidik Barat, mereka percaya haiwan jadian sememangnya wujud! Akan tetapi, fenomena haiwan jadian bukanlah terjadi apabila jasad manusia bertukar menjadi serigala atau harimau.

Sebaliknya, penyelidik Barat mengklasifikasikan kewujudan haiwan jadian sebagai satu daripada penyakit mental luar biasa yang dikenali sebagai `lycanthropy'.

Penyakit mental itu menyebabkan seorang pesakit berdelusi mereka mampu bertukar menjadi haiwan termasuk menunjukkan perlakuan merangkak, mengeluarkan bunyi binatang malah sanggup membunuh dan memakan daging manusia lain.

Copy and paste:
16/3/2023 > 23 Syaaban 1444H: 12.04 pm

No comments: