Sunday 12 February 2023

KISAH TRAGEDI MH653 DI TG.KUPANG, JOHOR

Posted by Rozza Zainal > FB PERISTIWA N' SEJARAH

4 DISEMBER 1977, pukul 7.21 malam. Pesawat MH653 berlepas dari LTABL (Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas) di Pulau Pinang menuju ke ke LTAS (Lapangan terbang Antarabangsa Subang) di Selangor. Malangnya, pesawat yang membawa 93 penumpang dan tujuh kru itu tidak sampai ke destinasi sepatutnya, sebaliknya berakhir dengan tragedi menyayat hati.
Tidak lama selepas pesawat berada di udara, menara kawalan LTABL mendapat berita mengejutkan. Juruterbang MH653 memberitahu berlaku situasi mencemaskan apabila sekumpulan pihak tidak dikenali bertindak ganas merampas pesawat tersebut.
Menara kawalan LTABL segera menyediakan landasan untuk pesawat berkenaan mendarat kembali. Setelah arahan diberikan, MH653 dilihat terbang semakin rendah. Tetapi, belum pun sempat mencecah landasan, tiba-tiba pesawat tersebut kembali terbang tinggi meninggalkan daratan. Ke mana kapal terbang itu hendak pergi?
Juruterbang MH653 kembali memaklumkan mereka akan meneruskan penerbangan ke Singapura. LTABL terus menghubungi Menara Kawalan Paya Lebar di Singapura dan memaklumkan situasi cemas yang dihadapi pesawat MH653. Pihak berkuasa Singapura segera memberikan keluluasan untuk mendarat.
Namun, kelibat MH653 tidak muncul. Sebaliknya, imej kapal terbang tersebut tiba-tiba hilang daripada radar menara kawalan. Segala usaha dilakukan untuk mengesan dan menghubungi pesawat berkenaan. Tetapi semua tidak berjaya.
Apakah itu petanda ada sesuatu kejadian buruk berlaku ke atas pesawat berkenaan?
4 Disember 1977, sekitar pukul 8.00 malam. Suasana ketenangan malam di daerah Tanjung Kupang di Gelang Patah, Johor, dikejutkan dengan satu bunyi berdesing yang amat kuat.
Terperanjat dengan bunyi itu, ada di antara penduduk kampung berlari keluar rumah. Mereka terkejut apabila melihat sebuah pesawat besar terbang begitu rendah. Ketinggian pesawat itu berada separas pokok kelapa.
Penduduk melihat pesawat itu mula hilang kawalan. Pesawat itu berpusing-pusing di udara, sebelum meletup dan jatuh terhempas di atas permukaan tanah. Impaknya, kawasan sekitar kampung merasa gegaran sehingga ada yang menyangka gempa bumi berlaku di mukim tersebut.
Ledakan yang kuat itu juga telah menyebabkan api marak dan menjulang tinggi berpuluh meter ke udara. Nyalaan api itu boleh dilihat sejauh puluhan kilometer.
Ya, yang terhempas itu adalah pesawat MH653. Ketika menara kawalan cemas mencari pesawat itu yang hilang dari radar, rupa-rupanya pesawat itu sudah jatuh terhempas ke daratan.
Tragedi menyayat hati itu mengorbankan kesemua 93 penumpang dan tujuh krew penerbangan. Tiada seorang pun yang selamat dalam nahas udara itu.
Antara nyawa yang terkorban ialah Menteri Pertanian, Datuk Seri Ali Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfuz Khalid, Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Abu bakar Othman Merican.
Selain itu, dua orang pegawai Bank Dunia, O.D Hoerr dan S.A Naime, seorang usahawan Jepun, Tomio Gotto, Duta Cuba ke Malaysia, Mario dan Garcia serta isterinya turut terkorban.
Tiada satu pun mayat ditemui dalam keadaan sempurna. Kawasan tragedi dipenuhi cebisan-cebisan daging dan isi perut mangsa yang hangus terbakar bertaburan di kawasan paya bakau sekitar perkampungan Tanjung Kupang. Amat sukar untuk mengecam identiti setiap mangsa.
Atas sebab itu, beberapa orang ketua pelbagai agama berbincang dan memutuskan untuk mengebumikan kesemua mangsa secara bersama. Lima hari selepas kejadian, pengebumian secara besar-besaran kemudian dilakukan di sebuah tapak perkuburan khas di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru.
Mengapa MH653 Dirampas?
Beberapa teori rampasan dikaitkan dengan tragedi ini. Ada yang mengaitkan anggota militan Vietnam sebagai dalang. Ini kerana sebelum kejadian berlaku, penguat kuasa Singapura telah menahan tiga orang militan Vietnam yang merampas pesawat DC3 Air Vietnam.
Ada juga teori lain yang mengaitkan pemberontak Cuba sebagai pelaku utama dalam kejadian rampasan itu. Kononnya pemberontak dari negara itu telah merancang perlakuan khianat terhadap duta Cuba ke Malaysia, Mario Garcia yang sedang menaiki pesawat tersebut.
Selain itu, ada pula yang mengatakan kejadian itu didalangi gerila Tentera Merah Jepun (JRA). Namun keterlibatan tentera berkenaan dalam rampasan pesawat MH653 dinafikan.
Siapa pun pelakunya, penerbangan pesawat MH653 telah menjadi huru-hara. Pesawat itu dijadualkan mendarat di LTAS, tetapi menukar laluan pada saat-saat akhir ke Singapura. Semasa dalam perjalanan ke Singapura, terdapat spekulasi mengatakan kedua-dua juruterbang MH653 ditembak mati hingga menyebabkan kapal terbang tersebut jatuh terhempas.
Oleh kerana tiada seorang pun saksi yang terselamat, segala teori tidak dapat dipastikan kesahihannya. Para penyiasat hanya bergantung kepada kotak hitam yang berjaya dijumpai beberapa minggu kemudian.
Hasil siasatan ke atas bahan bukti itu telah didedahkan dalam satu laporan rasmi sembilan bulan selepas kejadian. Dalam laporan itu menyatakan juruterbang dan seorang pegawai penerbangan telah ditembak oleh perampas. Ia berlaku beberapa minit sebelum pesawat malang itu menjunam jatuh di Tanjung Kupang.
Dalam rakaman itu, kedengaran suara juruterbang bernama G.K Ganjoor sempat merayu, “No, please, don’t” sebelum terdengar bunyi tiga das tembakan. Kejadian itu berlaku semasa pesawat berada pada ketinggian 4,000 kaki. Sejurus selepas juruterbang ditembak, seseorang cuba menerbangkan pesawat. Tapi, pesawat itu mula menjunam dan terhempas ke bumi pada kelajuan 450 knot.
Sebelum insiden itu, kotak hitam turut merakam suara seseorang yang tidak dikenali dengan berkata, “You bluff us”. Terdengar juga suara perbualan dalam bahasa asing dalam rakaman itu. Tapi siapa mereka dan apa kewarganegaraan mereka tidak dapat dikenal pasti.
Yang pasti, tragedi nahas MH653 di Tanjung Kupang diingati antara insiden menyayat hati yang tercatat dalam lipatan sejarah negara.
Kredit : Cerita Kedai Kopi
Copy and paste:
12 Februari 2023: 21 Rejab 1444H: 11.26 am

No comments: