Tuesday 27 September 2022

Keturunan Alam Melayu dan Bahasa


Bahasa Melayu merupakan sejumlah bahasa yang mendominasi rumpum Austronesia (Asmah Omar, 2015: 3). Bahasa-bahasa tersebut menguasai sebahagian lautan dan tanah besar. Ia terentang dari kawasan pergunungan Taiwan, turun ke Selatan hingga ke New Zealand. Manakala dari Madagaskar hingga ke Pulau Easter di Lautan Pasifik (2015: 13). 
Justeru, Bahasa Melayu dikenali sebagai keanggotaan di dalam rumpun Austronesia. Ia mempunyai perkaitan dengan bahasa-bahasa di Lautan Pasifik seperti bahasa Hawaii, Samoa, Fiji dan Moari, begitu juga dengan bahasa Malagasi di Madagaskar dan bahasa-bahasa lain yang terdapat di pergunungan Taiwan. Bahasa-bahasa ini dianggarkan 1500 dan 2000 tahun. Ini disebabkan sebahagian besar bahasa-bahasa ini belum dikaji, menyebabkan agak sukar untuk menentukan yang mana bahasa dan dialek (Asmah Omar, 2015: 2). 
Kenyataan ini diperkukuhkan lagi oleh Graham Thurgood (1999) bahawa bahasa Cham (the Chamic languages) yang terdiri dari bahasa Melayu Champa wujud semenjak 2000 tahun yang silam yang mempunyai kaitan rapat dengan bahasa Acheh. Di mana banyak artifak-artifak yang masih berselerak tidak dikaji. Antara bentuk disyallabik Melayu, Acheh dan Champa; malam (Melayu), malam (Acheh) dan milam (Champa), merah (Melayu), mirah (Acheh) dan miryah (Champa), perak (Melayu), pirak (Acheh) dan pirak (Champa).

Selain itu terdapat teori yang lain berpendapat bahawa bahasa-bahasa Austronesia ini telah merebak penyebarannya ke rumpun-rumpun yang lain seperti Indo-Eropah, Sino-Tibet atau rumpum Austroasia yang terdiri dari bahasa Munda, Mon-Khmer, Nicobar, Assam-Khasi dan bahasa-bahasa Orang Asli di Semenanjung Malaysia (2015: 2). 

Apakah yang dimaksudkan dengan rumpun? 
Asmah Omar dalam Ensaiklopedia Bahasa Melayu telah mentakrifkan `rumpun` merupakan kumpulan bahasa yang bersumberkan bahasa-bahasa Austronesia. Sumber ini adalah bahasa awal, yang dinamakan bahasa proto yang telah wujud semenjak kira-kira 5000 tahun yang lalu. Anggaran ahli sejarah linguistik bahawa tempoh sesuatu rumpun mampu menyebarkan bunyi, susunan kosa kata dan perubahan dasar kata mengambil masa kira-kira 2500 hingga 5000 tahun. Oleh itu, ahli sejarah linguistik cuba mengaitkan rumpun Austronesia dan rumpun Austroasia di mana kedua-dua rumpun ini dikatakan berasal dari nenek moyang yang sama atau dikenali sebagai filum Austrik (2015: 3).

Terdapat beberapa teori mengapa ahli linguistik sejarah cuba mengenengahkan asal-usul migrasi orang-orang Austronesia dari tanah asal moyang mereka. Antaranya teori yang berpendapat pergerakkan migrasi ini berlaku dari utara ke selatan, iaitu dari daratan China ke pergunungan Taiwan. Namun ada pula yang berpendapat migrasi ini telah menyusuri pantai China Selatan dengan melalui Vietnam, Kemboja, pantai Teluk Siam dan melalui Semenajung Tanah Melayu dan seterusnya migrasi ini telah bertebaran ke pulau-pulau selatan. Dari situ, maka bermulalah pelbagai migrasi ke timur dan barat seperti ke Madagaskar (2015: 10).

Teori-teori yang dikemukakan di atas, jelas menunjukkan bahawa ahli lingusitik sejarah masih lagi tidak dapat mencapai kata sepakat tentang asal usul bangsa Austronesia dan bahasa mereka. Ini terjadi kerana teori yang dikemukakan masih kabur kerana tidak berpaksikan kepada dasar asal usul keturunan manusia itu sendiri. Justeru, penulis telah merakamkan beberapa isu yang dianggap primer di peringkat awal penulisan makalah ini apabila menceritakan asal usul bahasa dan keturunan manusia. 
Begitu juga sekiranya pengaruh bahasa Sanskrit yang menjadi bahasa suci bagi agama Buddha dan Hindu di Alam Nusantara pada suatu ketika dahulu hanya berdasarkan kepada penemuan lima batu bersurat di Sumatera Selatan yang dijadikan sebagai ukuran asas, maka ia masih lagi jauh untuk mencapai satu keputusan yang jitu. Justeru asal usul bahasa Melayu atau rumpun Austronesia perlu dikaji, disemak, diteliti semula dan diberi perhatian khusus oleh pihak berwajib bertujuan mencapai konsensus dari sudut authentiknya. Manakala sejarah Keturah dan perkaitannya dengan Nabi Ibrahim a.s masih memerlukan banyak kajian-kajian ilmiah yang perlu dibongkar di mana kajian-kajian ini perlu berterusan tanpa lelah.

-Dimiliki oleh Prof. Dr. Solehah Yaacob

Copy and paste: 27/9/2022 : 30 Safar 1444H: 7.54 am