Thursday 8 September 2022

Fakta Dan Kisah Di Sebalik Tabir Filem Semerah Padi

SUMBER: PERISTIWA N' SEJARAH
12/08/2022 > By : Helmy Effendy

Filem SEMERAH PADI adalah sebuah mahakarya dari Allahyarham Tan Sri P.RAMLEE. Di dalam filem ini P.RAMLEE telah mengubah cara dan teknik pengarahannya dengan menerapkan nilai-nilai agama Islam dan adat resam budaya Melayu.
Boleh dikatakan hampir keseluruhan plot penceritaan di dalam filem ini P.RAMLEE memperlihatkan nilai-nilai tersebut. P.RAMLEE juga berjaya membuat kelainan dari sudut sinematografi, komposisi kamera dan penyuntingan untuk filem SEMERAH PADI. Mungkinkah filem ini merupakan filem Melayu pertama di dalam sejarah yang memperlihatkan babak suara Azan berkumandang?
FAKTA
Filem kedua arahan P.RAMLEE selepas PENAREK BECHA. Penggambaran bermula pada bulan Februari 1956 dan telah diedarkan pada bulan Julai 1956. Filem kedua NORDIN AHMAD memegang peranan sebagai hero selepas gagal dalam filem PERMATA DI PERLIMBAHAN.
Cerita asal ditulis oleh OMAR ROJIK dengan judul LONG BATIH. Kemudiannya ditukar pula menjadi PUKAU, dan akhir sekali ke SEMERAH PADI. P.RAMLEE telah mengolah hampir keseluruhan isi cerita itu.
Dalam cerita asal OMAR ROJIK, beliau bayangkan Kampung SEMERAH PADI bertempat di Acheh, Sumatera (tempat asal usul ayahanda P.RAMLEE). OMAR ROJIK juga menulis dalam cerita asalnya, ketiga-tiga watak utama iaitu Taruna, Aduka dan Dara telah mati di dalam filem ini.
Dara dibunuh oleh Taruna kerana mencurangi cintanya, manakala Taruna dan Aduka terbunuh di dalam pertarungan sesama sendiri. Tetapi P.RAMLEE telah menukar corak cerita itu kepada apa yang boleh kita tonton di dalam filem SEMERAH PADI pada hari ini. Sebelum penggambaran bermula, Run Run Shaw telah berbincang dengan P.RAMLEE supaya menghasilkan sebuah filem yang luarbiasa dari segi background, penceritaan, senimatografi dan komposisi kamera.
Di dalam SEMERAH PADI P.Ramlee mengambil beberapa asas babak berdasarkan ilham pengarahan dari filem-filem arahan AKIRA KORUSAWA seorang pengarah tersohor dari Jepun. Salah satunya filem ROSHOMON. SEMERAH PADI dibikin untuk bertanding di Pesta Filem Asia ke-3 yang telah diadakan di Hongkong pada tahun 1956. Ia telah dicalonkan bersama filem HANG TUAH yang telah memenangi Anugerah Muzik
Terbaik
. Manakala SEMERAH PADI tidak memenangi sebarang anugerah kerana pihak juri berpendapat bahawa filem itu terlalu sensitif dengan keagamaan.
Semasa penggambaran, seniwati SA’ADIAH baru sahaja lepas pantang dari melahirkan anak sulungnya. Art Direction atau Pengarahan Seni diterajui oleh J.S. ANTHONY tetapi kebanyakan props dan set dalam Kampung SEMERAH PADI direka oleh Penolong Pengarah S.SUDARMADJI Dialog dan kata hikmah juga adalah hasil ciptaan S.SUDARMADJI.
Tarian dalam filem ini dikoreograf oleh NORMADIAH. Babak pergaduhan, persilatan dikoreograf oleh MALIK SUTAN MUDA. Kesemua lagu dicipta oleh P.RAMLEE manakala gurindamnya ditulis oleh JAMIL SULONG.
Terdapat 5 buah lagu dalam filem ini iaitu Semerah Padi (P.RAMLEE & suara latar), Lenggang Kangkung Baru (SALOMA & suara latar), Makan Sireh Di Semerah Padi (P.RAMLEE), Sekapur Sireh Seulas Pinang (SALOMA) dan Putus Kasih Di Semerah Padi (MOMO LATIF). Terdapat sebuah babak lagu iaitu Putus Kasih Di Semerah Padi yang telah dibuat penggambaran dalam WARNA! Babak itu kemudiannya dipotong terus sebelum ditayangkan di TV. Semasa ditayangkan di panggung, ada juga peminat yang sempat menonton babak itu.
Babak warna itu dilakonkan oleh SA’ADIAH ketika menyanyikan lagu Putus Kasih Di Semerah Padi – babak sebelum beliau pengsan apabila melihat pergaduhan. Semasa ‘screentest’ untuk watak Dara, SA’ADIAH bukannya pilihan utama. 3 orang seniwati telah di screentest iaitu HASNAH RAHMAN, SERI DEWI dan MISLIA. LATIFAH OMAR menarik diri sebab baru saja mendirikan rumahtangga dengan RAHMAT ALI.
Begitu juga dengan MISLIA yang baru sahaja berkahwin. Akhirnya, Shaw Brothers terpaksa mencadangkan SA’ADIAH yang baru saja lepas pantang dari melahirkan anak sulongnya. Filem ini berjaya melonjakkan nama NORDIN AHMAD sehingga beliau diangkat sebagai pelakon berkarisma besar di zaman itu. NORDIN AHMAD telah mengejutkan P.RAMLEE dan Penolong Pengarah S.SUDARMADJI apabila datang ke lokasi tanpa membawa sebarang skrip.
Ini kerana beliau telah berjaya menjiwai setiap isi kandungan yang terkandung di dalam skrip tersebut disamping beliau juga telah berjaya menguasai setiap babak yang ada di dalam filem tersebut dengan tanpa merujuk pada skrip di lokasi.
Filem ini juga dikatakan oleh pengkritik filem sebagai sebuah filem Melayu yang benar-benar “Melayu” kerana filem Melayu yang terbit sebelumnya adalah filem Melayu yang terdedah dengan pengaruh filem hindi. Akhir kata, kami nak ajak anda untuk jangan lupa beli juga buku pra-tempah tulisan Aliff Mustafa dan Saidee Nor Azam yang tengah kehabisan tempoh masa pra-tempah.
Sumber artikel : thepatriots

Copy and paste"
8/9/2022 > 11 Safar 1444H: 7.39 am