Wednesday 7 September 2022

Apa Itu Melayu?

SUMBER: SOLIDARITAS

Tulisan berikut diambil dari untaian Twitter oleh Raden Kraton.

Apa itu Melayu? Dari mana datang orang Melayu? Benarkah orang Melayu ini pendatang? Dalam tulisan ini, saya cuba leraikan kekusutan mengenai isu Melayu, bahkan cuba membuka ruang kepada perbincangan yang lebih luas.

Teori Kedatangan Orang Melayu Ke Kepulauan Melayu

Secara asasnya, sejarawan serta ahli kaji bangsa merumuskan bahawa orang “Melayu” sekarang itu mempunyai 3 teori utama yang menerangkan kedatangan mereka.

Yang pertama adalah orang Melayu itu datang dari kawasan selatan China, yakni Yunnan. Teori ini berpendapat bahawa orang Melayu berhijrah dari kawasan ini dan terus bergerak ke selatan dan menduduki kepulauan Melayu.

Kemudian, adalah dari pulau Taiwan. Yakni Orang Asli Taiwan mula berhijrah melalui jalan laut, dan singgah ke pulau-pulau di Nusantara Timur.

Akhir sekali adalah teori kontroversi Benua Sunda yang dipelopori oleh Stephen Oppenheimer. Beliau berpendapat bahawa orang Melayu sudah pun menetap di Nusantara, sebelum dibanjiri air yang memaksa orang Melayu berhijrah keluar dan menetap di pulau-pulau berdekatan.

Kesemua teori ini mempunyai bukti yang kukuh, sekurang-kurangnya orang Melayu (termasuk Orang Asli) telah menduduki Nusantara pada sekitar 10,000-6,000 tahun yang dahulu.

Namun, adakah moyang orang Melayu ini sudahpun memanggil diri mereka orang “Melayu”?

Asal-usul Istilah Melayu

Ramai menyangka bahawa suku-suku kaum Melayu gemar memanggil diri mereka Melayu waktu pra-Hindu, namun hakikatnya mereka lebih gemar mengambil nama tempat atau nama tadbiran sebagai bentuk pengenalan kolektif.

Sebagai contoh, suku kaum di Pahang mengambil nama sungai. Begitu juga di Sarawak.

Anthony Milner berkata, meskipun suku kaum Melayu sudah wujud namun mereka tidak mempunyai “kesedaran” untuk memanggil diri mereka Melayu. Masyarakat Melayu dahulu tidak mempunyai keperluan untuk membezakan antara siapa Melayu dan siapa tidak kerana sudah terdapat perkongsian budaya dan bahasa yang sama.

Boleh dibandingkan dalam perbualan komuniti Melayu sekarang, kita tidak panggil diri kita orang “Melayu Seremban” kepada orang Pulau Pinang. Memadailah hanya Seremban.

Hanya apabila masyarakat Melayu menjadi semakin canggih serta mencipta tamadun dan sistem siasah rumit, pada ketika itu kesedaran “Melayu” mula timbul.

Kebangkitan empayar Srivijaya memainkan peranan yang penting menyemai kesedaran Melayu. Kemunculannya sebagai tamadun Melayu pertama di Nusantara yang menyatukan hampir keseluruhan kerajaan-kerajaan kecil di Nusantara telah mengukuhkan perkongsian budaya antara suku kaum Melayu. Perkongsian budaya ini lebih senang dikenali sebagai adat Melayu.

Adat Melayu menjadi kayu ukur kepada kemelayuan pada ketika ini. Dari cara pemakaian, kepercayaan hinggalah penggunaan bahasa rasmi antara tadbiran yakni bahasa Melayu Kuno. Suku-suku kaum mulai bersatu atas satu nama yang sama yakni Melayu dan tersebarlah ke sekalian pelusuk Nusantara.

Namun, sekiranya “adat Melayu” menjadi kayu ukur, apakah yang terkandung dalam “adat Melayu” itu? Adakah “adat Melayu” itu kekal dan malar?

Adat Melayu

Adat Melayu itu secara am, bermaksud kepada cara hidup dan etika-etika orang Melayu. Adat inilah yang menentukan kemelayuan dalam Melayu.

Adat Melayu mempunyai tiga fasa secara kasar. Fasa pra-Hindu, fasa Hindu dan fasa Islam.

Sebelum kemasukan agama Hindu, orang Melayu sudah mempunyai satu set kepercayaan, kod etika dan cara hidup tersendiri. Inilah tunas adat Melayu.

Kod etika ini berdasarkan konsep “Nama” (maruah) yang dibawa mati, ditentukan oleh hubungan dengan ketua masyarakat. Disebabkan hubungan antara Nama dan ketua masyarakat itu erat, maka orang Melayu memandang ketua masyarakat itu sebagai wakil antara dunia roh dan jasmani. Dan orang Melayu mesti menghormati Nama ketua agar Nama sendiri tidak tercalar.

Kemasukan agama Hindu mengukuhkan konsep ini. Yakni ketua-ketua ini menggunakan istilah Devaraja Hindu kedalam kefahaman sedia ada. Konsep-konsep seperti Bakti, Derhaka disuaikan kedalam orang Melayu dan jarang mengekalkan maksud asal.

Empayar Srivijaya berjaya menyebarkan kefahaman ini kepada Nusantara, sehinggakan tiap-tiap aspek hidup Melayu menggunakan nilai yang hampir sama. Kejatuhan Srivijaya telah mempelbagaikan budaya-budaya suku kaum Melayu, tetapi masih mempunyai intipati yang sama.

Apabila kerajaan Melaka menggantikan Srivijaya dalam kekuasaan siasah Melayu, secara tidak langsung Melaka mempunyai kawalan kepada adat Melayu ini. Pemelukan agama Islam oleh raja Melaka mempengaruhi masyarakat Melayu di sekeliling. Walaubagaimanapun, serupa dengan Hindu kemasukan agama Islam di Nusantara tidak mengubah adat Melayu secara drastik, sebaliknya hanya mengukuhkan kepercayaan kuno.

Ajaran Islam ketika ini memberi penekanan kepada kesetiaan kepada Sultan, serta kekuasaan Sultan sebagai wakil Allah (Waliullah). Fahaman yang sama jika kita lihat pada awalnya; dimana Ketua Masyarakat (Wakil Alam Batin) adalah sama seperti Devaraja (Wakil Dewa) ketika fasa Hindu dan seterusnya Sultan (Wakil Allah) dalam fasa Islam.

Malahan jika dilihat, tidak banyak adat Melayu yang berubah melainkan hanyalah kepada perwarisan Melaka sebagai ketua tamadun dan adat Melayu.

Apabila Melaka menjadi tonggak kemelayuan, budaya Melaka mula dianggap sebagai cara/adat Melayu. Kerajaan-kerajaan naungan Melaka mula mengikuti haluan yang sama.

Cuma di sini, budaya Melaka mengamalkan keanjalan istilah Melayu, satu cara untuk menggunakan suku kaum berbeza untuk berkhidmat dan diserap dalam komuniti Melayu. Adat Melaka menegaskan sekiranya seseorang itu menyerap budaya Melayu, maka layaklah menjadi orang Melayu. Bahkan, seorang yang bukan asli orang Melayu boleh menjawat jawatan tinggi seperti Tun Mutahir yang berketurunan Tamil. Namun, sekiranya adat Melayu menjadi kayu ukur orang Melayu, bagaimana pula dengan suku kaum lain di Pulau Jawa, Sumatera dan Brunei yang menolak istilah Melayu?

Peranan Penjajah Membentuk Identiti Melayu

Mengikut perbincangan di atas, kita sudah faham bahawa istilah Melayu itu tergunapakai kepada penduduk asal Nusantara malahan anjal kepada anak dagang yang memeluk adat Melayu, Islam ataupun tidak.

Walaubagaimanapun, istilah ini berubah ketika jatuhnya peranan pentadbiran Raja, Sultan dan bangsawan/priyayi kepada kuasa penjajah British dan Belanda. Nusantara yang sewaktu ketika dahulu bebas rakyatnya bergerak dari pulau ke pulau kini terhalang kerana penjajah melakar sempadan antara pulau.

Nusantara dibahagi kepada dua kawasan, jajahan British/Brooke di Semenanjung dan Brunei dan jajahan Belanda di Pulau Sumatera, Pulau Jawa serta Kalimantan. Antara Belanda dan British, Belanda lebih gemar mencuba (atau tidak sengaja) melarutkan identiti Melayu di jajahan mereka supaya pelakuran siasah atas satu nama bangsa kolektif tidak dapat dijalankan. Hal ini menjadikan masyarakat Melayu di Sumatera dan Jawa dipecah-pecah mengikut suku kaum yang kecil, tetapi Belanda lebih suka membiarkan suku Jawa mendapat tempat istimewa.

British tidak terlampau agresif dalam hal ini, serta masih membiarkan orang-orang Melayu mengekalkan identiti dengan syarat dikawal kegiatan siasahnya oleh Sultan. Disebabkan berlakunya halangan perhubungan dan jalinan siasah antara kerajaan-kerajaan ini, istilah Melayu mengalami penyempitan makna. Skop adat Melayu itu menjadi kecil dan terhad kepada budaya Johor-Melaka dan beragama Islam. Secara tidak langsung, meninggalkan Melayu yang murtad menjadi Kristian di Filipina dalam istilah Melayu.

Namun, sekiranya kayu ukur kemelayuan itu begitu anjal sehingga bangsa bukan Melayu dan bukan beragama Islam boleh menjadi Melayu, apakah intipati sebenar Melayu itu?

Melayu Atau Kemelayuan?

Persoalan ini menjadi tema kepada perbahasan mengenai Melayu, banyak cendekia termasuklah Ismail Hussein dan Syed Hussein Alatas cuba merungkaikan perkara ini. Seolah-olah, makna “Melayu” itu tidak dapat dipadankan kepada konsep “race”, “descent” atau “nation”. Memang kita tahu bahawa Melayu itu, adalah orang yang berasal dari Taiwan, Yunnan atau Benua Sunda; tetapi ada juga orang Melayu dari Arab mahupun China. Memang kita tahu bahawa Melayu itu mempunyai adat, tetapi adat Melayu itu pelbagai sekurang-kurangnya Temenggung mahupun Perpatih. Siapakah yang salah? Melayukah atau konsep “bangsa” Barat? Ismail Hussein dan Anthony Milner menuding jari kepada konsep “bangsa” Barat.

Mereka berkata bahawa tidak boleh disamakan erti “bangsa” dan “race”, kerana sudah jelas bahawa apabila bahan arkeologi Melayu menyebut “Melayu” ia mesti difahami dalam pelbagai konteks zaman. Pada zaman pratamadun Melayu, Melayu itu bermaksud orang yang duduk di Sungai Melayu.

Pada zaman kemunculan tamadun Srivijaya, Melayu itu berkembang maksudnya untuk merangkumkan adat suku kaum lain. Dan pada zaman keemasan Melaka, Melayu itu berkembang lagi untuk merangkumkan bangsa-bangsa lain yang menerima adat Melayu, sesuai dengan status kosmopolitan Melaka.

Sebenarnya, apabila kita menyebut Melayu, kita menggambarkan tamadun Melayu berbanding “race”. Satu kesilapan besar yang dibuat oleh cendekia Barat. Perkara ini diburukkan lagi oleh ahli siasah Malaysia, Indonesia, Brunei dan Filipina yang masih segan berganjak dari sempadan perpecahan Melayu yang dibuat oleh penjajah. Milner mengingatkan, bahawa istilah Melayu itu lebih dekat kepada istilah Eropah yang di dalam Eropah terdapat bermacam-macam suku kaum (Jerman, Perancis atau Inggeris) berlainan budaya dan agama tetapi masih Eropah.

Kesimpulan

Fahamlah sudah bahawa Melayu itu adalah bangsa asli di Nusantara, yang terdiri daripada pelbagai suku kaum dan agama. Tidaklah terhad kepada Melayu adat Melaka-Johor, malah boleh mencecah tiap-tiap suku kaum di sini termasuklah suku-suku Orang Asli, Orang Jawa dan Sunda, suku asli di Kalimantan dan Brunei, hinggalah Melayu Hispanic di Filipina. Orang Melayu masih memegang adat yang sama, yakni kesopanan, adab tatasusila dan menjaga Nama serta Maruah.

Kita sebagai Melayu “sedar” ini mempunyai tanggungjawab supaya menyebarkan kesedaran ini, melawan takrifan sempit Melayu perlembagaan supaya Melayu itu bebas dari cengkaman peta politikal.

Tentang Penulis

Raden Kraton berkicau di Twitter melalui akaun peribadinya @RadenKraton. Ciapan beliau kebanyakannya berkisar tentang hal-hal sejarah. 

Copy and paste: 7/9/2022 : 10 Safar 1444H: 9.17 am

No comments: