Tuesday, 13 March 2018

TENTANG MAHSURI : Dibunuh akibat fitnah. Persoalan hidup dan sumpah yang masih menjadi misteri dan belum diterokai sepenuhnya

Image may contain: 1 personImage may contain: 1 person, hat and close-up
Assalamualaikum hangpa semua....Kalau Abg Ngah tanya atau sebut Mahsuri, mesti orang melayu kita amat mengenali dengan nama yang dikatakan sosok diri lagenda tersebut. Ada yang cakap itu semua cerita khayalan ada yang anggap ia adalah kisah yang betul terutama bersangkutan dengan Sumpah Keramat Mahsuri. Langkawi dikatakan membangun, seterusnya diisytihar sebagai pulau bebas cukai pada 1987 selepas generasi ketujuh
"YA Tuhanku! Tidak aku redha dan tidak aku halalkan darahku tumpah ke bumi Langkawi. Tidak aku rela mati dengan teraniaya! Aku bersumpah pulau ini menjadi padang jarak padang terkukur, tidak akan makmur dan aman sehingga genap tujuh keturunan. Berpuakalah pulau ini! Ya, Allah, matikanlah aku yang tidak berdosa ini...." Demikianlah antara baris akhir ‘sumpah keramat’ yang dikatakan dilafazkan lagenda Mahsuri lebih 200 tahun lalu ketika dihukum bunuh akibat fitnah ‘bermain kayu tiga’ ketika ketiadaan suaminya, Wan Derus.
Mahsuri dikatakan meninggal dunia pada 1819 Masihi bersamaan 1235 Hijrah.
Bermula detik itu, menyusul beberapa kejadian buruk di Pulau Seri Negeri yang dikaitkan dengan ayat keramat yang kononnya dilafazkan Mahsuri yang juga puteri tunggal Pandak Mayah dan Mak Andak Alang. Bagaimanapun, persoalan itu masih menjadi misteri dan belum diterokai sepenuhnya.

Malah, secara kebetulan kelahiran gadis manis bernama Sirintra Yayee atau Nong May atau nama Melayunya, Wan Aishah binti Wan Nawawi pada 1985 yang dikatakan generasi ketujuh Mahsuri turut memperkuatkan andaian penduduk.
Ini kerana selepas itu beberapa perubahan besar berlaku, sekali gus memperlihatkan Langkawi semakin membangun dari segi fizikal dan ekonomi bertambah maju, seterusnya diisytihar sebagai pulau bebas cukai pada 1987.
Sebelum 1980-an, kehidupan di Langkawi semuanya menjadi sukar dan dilaporkan tidak makmur hinggakan orang mengatakan yang kerbau lebih banyak berbanding manusia di pulau itu.

Ketika banyak pihak mempertikaikan kesahihan sumpah keramat itu, bekas Perdana Menteri yang juga bekas Pegawai Daerah Langkawi, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengambil inisiatif mencari kubur jelitawan itu.
Kesungguhan Tunku Abdul Rahman yang dibantu seluruh pemimpin masyarakat dan penduduk setempat menjejaki semua kubur lama hingga ke seluruh pelosok pulau itu memakan masa yang berbulan-bulan lamanya. Akhirnya sekitar 1940-an, Tunku menemui kubur misteri itu di suatu tempat tersembunyi lalu dibinakan sebuah makam dan kini dikenali Makam Mahsuri yang letaknya di Kampung Mawat, Mukim Ulu Melaka, kira-kira 12 kilometer dari Kuah.

Mengimbas kematian Mahsuri menerusi catatan dalam beberapa buku sejarah lama, beliau pada mulanya diikat pada perdu pokok Asam Jawa dan ditikam dengan tombak (terdapat juga catatan yang menyatakan senjata itu adalah keris). Menurut lagenda, tombak yang digunakan tidak dapat menembusi tubuh Mahsuri. Lalu Mahsuri mendedahkan bahawa dia hanya dapat ditikam dengan tombak sakti yang terdapat di alang rumahnya.
Walaupun dipujuk dan dirayu ibu bapa Mahsuri, hukuman tetap dijalankan dan Mahsuri dibunuh tanpa diberi peluang membela diri. Akibat fitnah dan hukuman zalim itu, Mahsuri dikatakan mengalirkan darah berwarna putih selepas terpacul kata-katanya yang tidak menghalalkan darahnya jatuh ke bumi.
Sementara, lelaki yang difitnah berhubungan sulit dengan Mahsuri, dikenali sebagai Deramang, yang juga seorang penyair turut dibunuh kemudiannya walaupun cuba bertindak balas untuk mempertahankan diri.

Cerita lagenda juga menyebut jenazah Mahsuri dikebumikan oleh ibu bapanya bersebelahan dengan harta tebusan yang ingin digunakan bagi menebusnya.
Dalam catatan lain pula, kehidupan awal Mahsuri bermula di bawah pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram Shah III (1778-1797) dan Sultan Ziyauddin Mukarram Shah II Ibni al-Marhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin Muadzam Shah (1797-1803) iaitu ketika Pandak Mayah baru saja berhijrah ke Langkawi.
Diceritakan juga bahawa pasangan Pandak Mayah dan Mak Andak Alang datang dari Siam.

Pandak Mayah adalah seorang yang berada kerana memiliki sawah yang luas dan terbabit dengan perniagaan sarang burung layang-layang.
Kelahiran Mahsuri turut dibayangi lagenda apabila sesetengah masyarakat percaya bahawa selepas ibunya (yang tidak pernah mempunyai anak) memakan kerak nasi yang dijumpai di yang dijumpai di sawah, akhirnya mengandung dan melahirkan seorang anak perempuan yang kemudian diberi nama Mahsuri.
Kehidupan Mahsuri dalam tempoh itu dikhabarkan seperti anak gadis Melayu lain yang diasuh dengan tatasusila dan kesantunan, selain berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Bagaimanapun, kejelitaan yang dimiliki Mahsuri membawa kepada buah mulut dan membangkitkan rasa cemburu yang melampau membabitkan masyarakat setempat terutama di kalangan kaum wanita. Kemudian, Mahsuri dikahwinkan dengan seorang pemuda dan pahlawan tempatan iaitu Wan Derus, seorang anak kepada wakil Sultan di Langkawi, Wan Yahya (atau dengan gelaran Datuk Seri Pekerma Jaya) dan Wan Mahura.
Ketika pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II Ibni al-Marhum Sultan Ziyauddin Mukarram Shah (1803-1843), hubungan Kedah-Siam menjadi keruh.

Mahsuri dikatakan hamil ketika Wan Derus bersama ratusan penduduk lain keluar dari Langkawi selepas diperintahkan kerajaan Kedah ke Siam untuk berperang. Sepeninggalan Wan Derus, Mahsuri dikatakan tinggal bersama ibu bapanya. Pada waktu sama, Deramang, seorang penyair dan peniaga singgah di Langkawi dan menawar diri untuk tinggal lebih lama di pulau itu.
Kebolehan luar biasa Deramang menambat hati penduduk Langkawi lalu dengan ehsan ibu bapa Mahsuri, beliau dibenarkan tinggal di rumah keluarga itu untuk mengajarkan syair.

Kepandaian Deramang dalam bersyair menaikkan nama Mahsuri sebagai tuan rumah dan sekali lagi menimbulkan perasaan cemburu kepada Wan Mahura, ibu mertuanya sebagai isteri pembesar Langkawi ketika itu. Atas sebab itu, Mahsuri dan Deramang menjadi mangsa fitnah sebelum ditahan dan dijatuhkan hukuman bunuh oleh bapa mertuanya sendiri setelah termakan hasutan isterinya. Tanpa menunggu Wan Derus pulang, Mahsuri dan Deramang di bawa ke Padang Matsirat untuk dijatuhkan hukuman.
Cerita yang sebahagian besar diwarisi secara lisan dari satu generasi ke satu generasi itu ternyata benar dengan kewujudan beberapa nama tempat termasuk kampung dan mukim yang masih gah hingga ke hari ini.
Bagaimanapun, persoalan benarkah wanita cantik bernama Mahsuri pernah bersumpah keramat sebelum dihukum bunuh dan jasadnya disemadikan di Makam Mahsuri? Ia masih misteri sehingga kini.
.................................................................................................................

FAKTA:
~~Kejadian dikaitkan dengan sumpah keramat Mahsuri.
~~Langkawi diserang hebat oleh tentera Siam.
~~Jelapang padi kepunyaan penduduk dimusnahkan.
~~Padi milik penduduk dikumpulkan di Kampung Raja, Padang Mat Sirat dan dibakar hingga hangus.
~~Penduduk Langkawi yang terselamat dijadikan tawanan dan dibawa ke Siam.
~~Langkawi tidak membangun selama 7 keturunan.

MAKAM MAHSURI
~~Letaknya di Kampung Mawat, Mukim Ulu Melaka, Langkawi.
~~Jaraknya 12 km dari jeti Kuah.
~~Dijumpai di bawah pohon cenderai yang rendang.
~~Kawasan itu turut dikelilingi oleh pohon rumbia.
~~Terdapat perigi di kawasan berhampiran.
~~Dibina semula oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 1940an.


Copy and paste: FB Kebangkitan Bani JAWI (Nusantara)
13.3.2018 : 3.02 pm

No comments: