Tuesday, 6 March 2018

ALLAHYARHAM ROSLI BIN DHOBY DAN RAKAN RUKUN 13 DALAM KENANGAN (02.03.1950 - 02.03.2018)

Image may contain: 22 people, people standing and wedding
TANPA kita semua sedari, hari ini genaplah 68 tahun pemergian seorang negarawan dan pejuang revolusi kemerdekaan Sarawak iaitu Allahyarham Rosli bin Dhoby dan empat lagi rakan Rukun 13 iaitu Allahyarham Morshidi bin Sidek, Allahyarham Awang Ramli Amit bin Awang Matsaruddin dan Bujang bin Suntong yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati di Penjara Kuching, Sarawak.
Mengimbau sejarah pada 68 tahun dahulu, pada usia remaja iaitu ketika itu baru sahaja berumur 17 tahun, namun semangat juang bagi menentang British yang ingin kembali menguasai Sarawak selepas Perang Dunia Kedua cukup mengagumkan. Rosli Dhoby yang berjuang menuntut kemerdekaan Sarawak daripada Koloni Mahkota Sarawak British Borneo mati di tali gantung pada 2hb Mac 1950 bersama empat lagi rakan Rukun 13. Mereka didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British Borneo kedua Sarawak, Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau “badek” di Sibu pada 3 Disember, 1949.
Anak muda dari Kaum Melayu Sarawak yang dilahirkan pada 1932 di Sibu menganggotai Gerakan Pemuda Melayu Sarawak (GPMS). Daripada GPMS inilah terbentuknya Rukun 13 yang ditubuhkan bagi menentang tindakan Rajah Ketiga Sarawak iaitu Sir Charles Vyner Brooke yang berpantang arang mahu menyerahkan Sarawak kepada Pejabat Kolonial British di London selepas Perang Dunia Kedua pada tahun 1945. Ini kerana selepas peperangan itu, Sir Charles Vyner Brooke dikatakan sudah bosan memerintah dan ditambah lagi peperangan itu telah menyebabkan kerugian yang banyak akibat kemusnahan perang sehingga membawa kepada Sarawak hampir muflis.
Sir Charles Vyner Brooke yang sememangnya terkenal sebagai pemerintah Sarawak yang gemar bersosial telah dikatakan menyerahkan Sarawak kepada Kerajaan Mahkota British dengan sedikit imbuhan. Tindakan ini sebenarnya telah menyebabkan kemarahan dan bantahan daripada rakyat Sarawak pada waktu itu kerana Sir Charles Vyner Brooke telah memungkiri janji iaitu untuk menyerahkan Sarawak kepada pemerintahan rakyat Sarawak sendiri. Sejajar dengan itu maka terjadilah apa yang dipanggil Anti-Penyerahan Sarawak 1946.
Rukun 13 yang dianggotai oleh Rosli ditubuhkan di Jalan Queensway, Sibu, pada 21 Februari, 1949. Tujuannya ialah untuk menikam Sir Duncan yang amat tidak popular di kalangan masyarakat bumiputera Sarawak kerana bersikap angkuh terhadap mereka. Rukun 13 telah memilih Rosli untuk menikam Sir Duncan tatkala Gabenor yang baru dilantik itu membuat kunjungan kerja ke Sibu pada Disember 3, 1949. Pada jam 9.30 pagi di hari itu, Rosli telah menikam perut Sir Duncan dengan pisau tradisi masyarakat Melayu Sarawak yang dipanggil Badek.
Rosli dan Morshidi Sidik akhirnya ditangkap oleh anggota polis kerajaan pada waktu kejadian manakala rakan-rakannya yang lain turut diburu secara besar-besaran oleh pihak polis. Sir Duncan telah dihantar ke Hospital Sibu dan seterusnya ke Singapura untuk menerima rawatan rapi. Akibat kecederaan yang parah akhirnya Gabenor Sir Duncan meninggal dunia tujuh hari selepas kejadian.
Pada 15 Disember, 1949, Rosli dan Morshidi serta dua lagi rakan seperjuangan mereka, Awang Rambli Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong telah dihukum gantung sampai mati di Penjara Kuching, Jalan Tabuan, Kuching. Mereka semua dikebumikan tanpa batu nisan di dalam kawasan penjara tersebut. Keempat-empat pejuang nasionalis ini dikebumikan semula di Sibu pada 2 Mac, 1996, di Sibu, selepas upacara rasmi yang dihadiri oleh mantan Yang Dipertua Negeri Sarawak kelima, Allahyarham Tun Ahmad Zaidi Adruce bin Mohamad Noor yang juga suatu waktu dahulu antara sahabat mereka di Sibu, Sarawak.
Rosli Dhoby dan rakan-rakannya di dalam Rukun 13 telah mengwujudkan satu fenomena kearah perjuangan anti-penyerahan kepada Kerajaan Koloni Mahkota Sarawak Borneo pada waktu itu. Walaupun Allahyarham Rosli dan rakan-rakannya telah lama meninggalkan kita namun semangat juangnya tetap menjadi pembakar semangat kepada generasi Sarawak di dalam menidakkan kebatilan yang ada sekarang. 
Al-fatihah untuk Almarhum Rosli Dhoby dan rakan-rakannya di dalam Rukun 13. Semoga roh mereka ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Amin.
-HB-
Copy and paste : FB Borneo Oracle
6.3.2018 : 12.20 am

No comments: