Tuesday 6 February 2018

MELAYU BANGSA PEMALAS?

(Artikel panjang ini ditulis oleh Admin dan sudah dihantar ke Utusan Malaysia mohon disiarkan. Biasalah kita bila tiada nama. Biarlah Admin letakkan dalam fb ini sahaja dan dikongsikan bersama pembaca-pembaca)

Sebelum masehi. Apakah yang kita akan fikir tentang dua perkataan ini?
Sebelum itu, penulis ingin menulis ini dengan memegang satu perlambangan kukuh terhadap Melayu. Melayu Bangsa Pemalas.
Apakah perkaitan di atas? Pada awal Mac 2014 tahun ini, serasanya, banyak berita-berita kecil tentang penemuan beberapa tinggalan di Sungai Batu, Merbok, Kedah. Cebisan beritanya yang seingat penulis dicatat samada dalam 2 ruangan penuh dan ada yang mengambil ruangan suku dari mukasurat suratkhabar-suratkhabar perdana mahupun tabloid.
Seakan layangan angin lalu. Momentum penemuan ini sekadar angin lemah yang menyapa masyarakat Malaysia terutamanya bangsa Melayu.
Impak daripada laporan dan liputan yang tidak disertai dengan pemahaman sebenar tentang tinggalan yang penulis faham ianya bukan salah wartawan tetapi tinggalan-tinggalan yang tersembunyi ini menampilkan diri dalam bentuk tarian seorang perempuan yang mengacah.
Maka dalam bentuk apapun penyampaian kita samaada secara bertulis ataupun secara dokumentari tetapi jika kita tidak memahami tentang apakah yang ditemui maka bagi penulis, ianya tidak akan menyentuh jiwa pembaca atau penonton. Sekali lagi, bukan kelemahan sang penyampai tetapi acahan tinggalan yang meminta kita bersabar dan mungkin menguji sejauh mana kita ingin mengenalinya.
Untuk memahamkan diri sendiri, penulis mengambil masa selama 7 bulan untuk mengenali penemuan yang dijumpai. Tetapi itu pun hanyalah pengenalan. Namun syukur ke hadrat Allah SWT kerana pengenalan tersebut membuatkan penulis berasa perlu untuk berkongsi kekaguman dan semangat kewujudannya yang satu ketika ditimbus tanah tetapi kini mula keluar ke muka bumi yang menutupinya.
Sungai Batu yang terletak di Merbok Kedah berlokasi hampir dengan Lembah Bujang yang terkenal dengan tinggalan candi-candi yang berusia 5 hingga 7 masehi yang melambangkan adanya pengaruh Hindu-Buddha. Peninggalan candi-candi inilah yang dilakarkan di dalam sejarah Malaysia maka Kedah Tua dikatakan sebuah kerajaan kuno yang berjalan di dalam sebuah peradaban dan pegangan agama tersebut. Maka semenjak tercatatnya sejarah ini maka suasana di sekelilingnya turut suram.
Apa yang ditulis oleh penulis ini bukan satu karangan tentang kepentingan sejarah tetapi adalah satu penemuan yang berfakta dan menggemparkan di kalangan pengkajinya sendiri yang bermula lewat tahun 2008.
Tapak Sungai Batu dibuka oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM (PPAG) dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara. Pada mulanya untuk memenuhi permintaan Jabatan Perdana Menteri dalam mengemaskini maklumat Lembah Bujang untuk memasukkan kawasan ini sebagai satu lokasi pelancongan di dalam skop NCER.
Pengkaji USM mula mengkaji struktur bentuk muka bumi dan paras air laut Lembah Bujang bermula pada abad pertama sehingga ke kini. Melalui teknologi pemetaan pengunaan satelit maka didapati bermula pada abad pertama Sungai Batu adalah daratan yang paling hampir dengan lautan manakala Pengkalan Bujang dan Sungai Mas masih di bawah air. Sungai Batu selama berpuluh kurun membentuk sebuah teluk yang sangat strategik untu dijadikan persinggahan mahupun pusat perdagangan untuk para pedagang China, India dan India ke negara Timur Tengah dan Eropah.
Melalui kajian survey dan pemetaan, sebanyak 97 tapak telah ditanda dan bermula dari tahun 2009 sehinggalah ke tarikh ini, sebanyak 50 tapak telah dibuka.
Apakah penemuannya?
Sebuah tamadun purba yang sama taraf dengan tamadun Mesir, Tamadun Indus dan Tembok Besar China telah dijumpai. Faktanya bersandarkan kepada titik-titik atau tapak-tapak yang ditandai dan dibuka di dalam kawasan seluas 4 kilometer persegi di mana telah dijumpai berbelas jeti atau pelabuhan antarabangsa dengan disokong oleh puluhan bangunan pentadbiran yang salah satu fungsinya sebagai gudang, sebuah monumen ritual atau keagamaan milik sebuah kepercayaan atau agama purba yang belum pernah dijumpai di mana-mana tempat di dunia. Agama yang dipercayai salah satu agama yang tertua dan diamalkan oleh masyarakat tempatan.
Terdapat satu lagi penemuan yang memeranjatkan para pengkaji USM iaitu 7 tapak peleburan besi yang dibuka dan dianggarkan bertebaran lagi tapak peleburan di dalam kawasan yang ditandai dan belum ditanda.
Tahukah anda, tapak peleburan besi ini bagaimana? Salah satu tapak besi yang dijumpai telah digunakan sebelum masehi dan digunakan berterusan selama tiga ratus tahun berturut-turut. Terdapat jumpaan relau dan tuyere yang berfungsi sebagai ketuhar kuno. Dan besi-besi yang dihasilkan dalam bentuk jongkong dan dieksport ke luar negeri kerana sehingga kini tiada produk akhir untuk besi-besi yang telah dilebur.
Untuk meleburkan besi, suhu yang diperlukan adalah 1600’ celcius dan proses pembuatan peleburan besi adalah satu pembuatan yang tertinggi di dalam hirerki sektor pembuatan dunia pada hari ini. Bermakna sebelum masehi lagi, di Sungai Batu, Merbok Kedah, Malaysia telah menjadi lokasi perusahaan peleburan besi sebelum masehi dan berlanjutan sehingga 2200 tahun dengan pengenalpastian tarikh akhir adalah kurun ke 18 masehi.
Dan yang lebih mengagumkan adalah, di dalam kitab-kitab sejarah India dan Arab, besi hitam dari Kedah yang mendapat pelbagai gelaran antaranya Qalah, Kataha, Kadaram, Chieh Cha dan sebagainya adalah antara tiga besi yang terbaik dunia. Di dalam sebuah rekod sejarah Pakistan lama, Kataha (Kedah) adalah bermaksud Setor Besi Dunia.
Bermakna, Kedah yang mungkin sebuah kerajaan hebat adalah pengeluar dan menjadi gudang besi dunia pada masa yang dikenalpasti tamadun ini berlangsung.
Mengapakah penulis begitu berani mengatakan bahawa tamadun yang dijumpai ini adalah setaraf Tamadun Mesir, Indus dan Tembok Besar China? Baru-baru ini, Terengganu telah dikenalpasti sebagai negeri yang memiliki sumber bijih besi yang banyak. Bukan itu sahaja, Selatan Thailand juga turut ditemui penemuan tapak peleburan besi bertarikh 2000 tahun sebelum masehi. Di Sik, yang kedudukan daerah ini sejauh 40 kilometer persegi dari Sungai Batu turut dijumpai relau yang masih di dalam keadaan baik dan bertaburan di beberapa buah kampung. Dipercayai dijalankan oleh orang-orang persendirian yang berpangkat besar di dalam hirerki sosial tamadun tersebut.
Tamadun Kedah Tua dianggarkan berkeluasan 1000 kilometer persegi. Dengan hanya 4 kilometer persegi dijumpai 4 fungsi yang berpusat di Sungai Batu dan diberi gelaran Setor Besi Dunia bermakna sebuah Kerajaan yang kuat dan tinggi ekonomi dan sosialnya telah wujud dan berlangsung di negara ini.
Kedah di dalam Malaysia. Bukan hanya Kedah yang mempunyai industri gemilang ini, Kesan jeti, bangunan pentadbiran yang ditemui adalah tinggalan beratus ribu bata yang bersaiz standard dan diperbuat daripada tanah liat tempatan. Bergred A. ‘Tuyere-tuyere’ yang ditemui juga dalam kuantiti yang tersangat banyak juga mempunyai satu ukuran yang standard dan dihasilkan daripada tanah liat yang sama. Ini bermakna terdapat kilang-kilang pembuatan bata-bata dan tuyere-tuyere ini.
Di dalam kajian yang masih baru ini, belum ditemui perkuburan, istana atau persemayaman raja dan juga pelbagai lagi yang menyokong siapakah mereka ini?
Namun, penemuan demi penemuan mengesahkan bahawa masyarakat yang mendiaminya adalah masyarakat tempatan (Melayu) berdasarkan struktur binaan yang menepati ciri bangsa ini.
Dan yang lebih tersentuh adalah penemuan sebuah monumen ritual yang cirinya tiada sebarang ukiran atau replika yang terdapat di kuil-kuil agama purba yang lain. Dengan struktur bulatan mandasari binaan dan terdapat tapak empat segi di atasnya dipercayai digunakan sama pergerakan dengan tawaf di Kaabah.
Apakah tamadun ini dan apakah agama asal masyarakat tempatan ini?
Semua yang di atas boleh dilawati dan dilihat sendiri penemuan-penemuan yang telah diekskavasi keluar dan dibina bumbung-bumbung bagi melindungi artifak.
Malaysia perlu membuka mata dan menumpu perhatian terhadap penemuan emas ini.
Sejarah sedang berubah. Maksud ‘sebelum masehi’ sangat mahal. Dan pada masa ini bersyukurlah kerana kita berada semasa warisan ini menampakkan diri. Dengan kehebatan yang pernah dilakarkan adakah kita masih boleh bergelar Melayu Bangsa Pemalas?
Yang CCZ 
Sungai Batu 500 BC (Sebelum Masehi)

Copy and paste

No comments: