Monday 12 February 2018

DNA: Menjejaki Asal Usul Bangsa dan Merungkai Sejarah Silam Melaluinya / Prof. Madya Dr. Zafarina Zainuddin

Zainuddin, Zafarina (2016) DNA: Menjejaki Asal Usul Bangsa dan Merungkai Sejarah Silam Melaluinya / Prof. Madya Dr. Zafarina Zainuddin. In: Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa "Menyingkap Perjuangan Bangsa", 8 - 10 November 2016, Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam, Selangor. (Submitted)
Image result for Prof. Madya Dr Zafarina Zainuddin
DNA (Deoxyribonucleic acid) merupakan molekul yang mengkodkan semua maklumat genetik yang penting dalam menentukan sifat, bentuk dan fungsi sesuatu organisma. Selain daripada mengandungi maklumat genetik, DNA juga menyimpan seribu satu kisah tentang kejadian yang berlaku di masa silam. Kemajuan teknologi bagi analisis DNA telah membawa kepada pelbagai penemuan dan pemahaman yang lebih mendalam tentang pelbagai jenis penyakit berkaitan genetik, hubungkait antara manusia dan asal usul mereka. DNA mitokondria dan kromosom Y, merupakan dua jenis penanda DNA yang paling banyak digunakan untuk mengkaji asal usul manusia dan keturunan. DNA mitokondria diwariskan oleh ibu kepada setiap anak tanpa melalui proses rekombinasi manakala kromosom Y diturunkan oleh bapa kepada anak lelaki juga tanpa melalui proses rekombinasi. Ini merupakan salah satu ciri penting yang menjadikan DNA mitokondria dan kromosom Y sangat berguna dalam menjejaki asal usul sesuatu keturunan. Persoalan tentang siapakah Melayu dan dari manakah asal usulnya sering kali menjadi perdebatan. Melayu sebenarnya bukanlah satu bangsa yang hanya wujud di Malaysia tetapi orang Melayu telah wujud sekian lama di Kepulauan Melayu (Malay Archipelago). Kepercayaan bahawa orang Melayu berasal dari Yunnan atau selatan negara China dipercayai timbul daripada Teori ‘Out of Taiwan’ oleh Peter Bellwood yang menyatakan bahawa penutur bahasa Austronesia telah berhijrah keluar dari Taiwan dan bergerak ke arah Asia Tenggara sekitar 10,000 tahun dahulu. Mungkin kerana bahasa Melayu merupakan salah satu cabang bahasa Austronesia, maka orang Melayu juga dianggap sebagai berasal daripada kumpulan ini. Walaubagaimana pun, kajian saintifik yang menggunakan pelbagai penanda DNA telah menunjukkan pergerakan manusia di Asia dan Asia Tenggara lebih menjurus kepada arah selatan ke utara. Kajian menggunakan Single Nucleotide Polymorphisms (SNPs) (HUGO Pan-Asian SNP Consortium, 2009) menunjukkan bahawa Asia Tenggara adalah lokasi terawal kemasukan manusia dari Afrika ke Asia. Sebanyak 50 peratus haplotype yang ditemui (kumpulan SNPs pada satu kromosom yang diwariskan bersama-sama dipanggil haplotype) dalam populasi Asia Timur hanya terdapat dalam populasi di Asia Tenggara. Ini menunjukkan bahawa Asia Tenggara merupakan sumber utama takungan genetik bagi populasi di Asia Timur. Analisis filogenetik menggunakan penanda SNPs juga telah meletakkan Orang Asli Semang dan orang Melayu pada cabang yang lebih awal berbanding populasi di Asia Timur. Penemuan ini membuktikan bahawa Orang Asli Semang dan Melayu adalah populasi yang lebih ‘awal’ berbanding Asia Timur. Data yang diperolehi daripada penjujukan penuh DNA mitokondria telah membuktikan bahawa Orang Asli di Semenanjung Malaysia (Semang) adalah berasal daripada kumpulan manusia moden terawal yang bergerak keluar dari benua Afrika. Pergerakan ini berlaku lebih kurang 60,000-75,000 tahun dahulu melalui jalan darat di sepanjang pesisir pantai melalui India ke Asia Tenggara dan seterusnya ke Australasia (Macaulay et al., 2005). Pada zaman ini, laluan ke arah utara terhalang oleh cuaca yang ekstrem, bentuk muka bumi yang berbukit bukau dan kawasan gurun yang kering kontang. Laluan pantai yang landai serta cuaca yang kurang ekstrem mungkin membantu kumpulan manusia yang bergerak ke arah selatan berjaya sampai di Asia Tenggara. Kajian menggunakan DNA mitokondria telah dilakukan ke atas 10 sub-etnik Melayu iaitu Kelantan, Bugis, Banjar, Jawa, Acheh, Minang, Mendeleng, Rawa, Champa dan Pattani. Data yang diperolehi menunjukkan bahawa sejumlah orang Melayu daripada pelbagai sub-etnik ini mempunyai DNA mitokondria yang berusia hampir 60,000 tahun (Nur Haslindawaty Abd Rashid, tesis PhD, 2013) dan turut berkongsi usia yang hampir sama dengan Orang Asli Semang. Kajian menggunakan pelbagai jenis penanda DNA juga membuktikan bahawa kesemua sub-etnik Melayu ini mempunyai persamaan genetik yang sangat tinggi (Edinur et al, 2009; NurWaliyuddin et al., 2014). Penemuan ini telah mengukuhkan lagi kepercayaan tentang asal usul dan hubung kait antara populasi awal di Kepulauan Melayu. Kesemua sub-etnik Melayu ini ternyata berasal daripada susur galur yang sama dan berkongsi keturunan yang sama. ‘Perpisahan’ yang disebabkan oleh sempadan geografi dan politik telah menyebabkan mereka dilihat sebagai populasi yang berbeza sedangkan pada hakikatnya mempunyai hubungan genetik yang sangat akrab. Kesemua bukti genetik ini membuktikan bahawa orang Melayu adalah satu populasi yang ‘cukup tua’ dan merupakan antara penghuni terawal Kepulauan Melayu yang masih ujud sehingga ke hari ini.
Jenis Bahan:Conference or Workshop Item (Paper)
Sumber Maklumat:Laman sesawang Institut Pemikiran & Kepimpinan Melayu (IMPAK), UiTM
Kata Kunci:Asal usul, DNA
Taksonomi:ASAL-USUL MELAYU : SUMBER GENETIK > Genetik
ASAL-USUL MELAYU : SUMBER GENETIK > Penyelidikan
ASAL-USUL MELAYU : SUMBER GENETIK > Sejarah
Bidang:Asal-Usul Melayu : Sumber Genetik
Muatnaik oleh:Syaakirah Abdul Khalid
Tarikh Muatnaik:10 Nov 2016 03:53
Kemas Kini:10 Nov 2016 03:53
URI:http://melayu.library.uitm.edu.my/id/eprint/3323

No comments: