Thursday 21 September 2017

KEMBARA HAJI 2017 - TAWAF WIDA DAN PERJALANAN MENUJU MADINAH

Artikel sebelum ini:
Kembara Haji 2017 - Tawaf Ifadhah dan Saie Haji

21 SEPTEMBER 2017 - TAWAF WIDA
Pada hari ini (21 September 2017) kami akan berangkat meninggalkan kota Mekkah untuk menuju ke destinasi seterusnya iaitu Madinah al Munawarrah. 
Sebelum itu para jemaah di kehendaki melakukan Tawaf Wida' (Tawaf Perpisahan) terlebih dahulu. Tawaf Wida' atau Tawaf Selamat Tinggal diwajibkan kepada sesiapa sahaja yang hendak meninggalkan Kota Mekkah dalam jarak 2 marhalah atau lebih. Sesiapa yang meninggalkannya tanpa uzur adalah berdosa dan dikenakan dam. Saat ini doa perlu diperbanyakkan supaya kita diperkenankan Allah bagi kembali lagi ke tanah suci ini.

Tak digambarkan betapa sayunya kami untuk meninggalkan Kota Mekah yang entah bila akan dapat kami jejakkan kaki lagi ke sini.... Air mata tidak dapat ditahankan dari  mengalir di saat meninggalkan Masjidil Haram dan Kaabah....

Ya Allah, murahkanlah rezeki kami supaya dapat kembali menziarahi Baitullah berulangkali dengan bertaubat, beribadat, mengucapkan syukur dan puji-pujian..... Aamiin Ya Rabb....

Saya dan isteri telah mengambil keputusan untuk menggunakan shooter ketika melakukan tawaf Wida'... suatu pengalaman yang belum pernah kami rasai sebelum ini. Bayaran bagi seorang untuk menggunakan shooter ini adalah SR 50.00, jadi untuk 2 orang saya kena bayar SR100.00.












Selesai mengerjakan tawaf Wida' kami kembali ke Hotel Abraj Al Janadiriyyah untuk persiapan berangkat ke Madinah. Terasa pilu di hati masing-masing kerana akan meninggalkan kota Mekkah setelah 29 hari berada di sini. Banyak kenangan pahit manis kami bersama rakan-rakan sebilik ketika di Mekkah, kerana di Madinah nanti kami mungkin akan berpisah bilik. 
Kenangan ketika bersama-sama di Arafah, Muzdalifah dan Mina akan tetap kami kenang sehingga ke akhir hayat kami. 

Sempat bergambar dengan Ahmad dari Syria. Beliau seorang pekerja hotel yang sangat rajin. Tiap-tiap hari beliau akan datang ke bilik untuk membersihkan sampah sarap dan sekali sekala menukarkan alas tilam dan bantal di bilik kami. Terima kasih Ahmad, jasa kamu tetap akan kami kenang. 








Bagasi para Jemaah dari Maktab 87 Abraj Al Janadiriyyah telah siap disusun untuk dibawa ke Madinah dengan lori. 


Setelah selesai mengerjakan Tawaf Wida' atau tawaf Selamat Tinggal, para jemaah menaikki bas untuk memulakan perjalanan dari Mekkah al Mukarramah ke Madinah al Munawarrah..
Jarak perjalanan dari Mekkah ke Madinah adalah lebih kurang 424 kilometer. Berbeza dengan perjalanan kita di Malaysia yang melalui Lebuhraya PLUS dimana terdapat banyak pemandangan yang indah dan menarik... namun di sini yang kelihatan hanyalah gunung berbatu dan padang pasir. 

Perjalanan dari Mekah ke Madinah mengambil masa 4 jam










Perjalanan yang mengambil masa 6-7 jam memang meletihkan. Kami berhenti rehat di sebuah Hentian Rehat yang saya tidak ingat di mana untuk bersolat Jamak Maghrib dan Isyak. 








Kami tiba di Madinah lewat tengah malam dan ditempatkan di Hotel Al Anwar Madinah Movenpick Hotel yang hanya 50 meter sahaja dari Masjid Nabawi. 

No comments: