Friday 1 September 2017

KEMBARA HAJI 2017 - MABIT DI MINA

Artikel sebelum ini:
Kembara Haji 2017 - Bermalam di Muzdalifah

BERMALAM DI MINA
Perjalanan dari Muzdalifah menuju ke Mina

Selepas tengah malam 31 Ogos 2017, kami berangkat menuju ke Mina yang terletak kira-kira 6 km dari Muzdalifah. Mabit di Mina adalah satu daripada Wajib Haji yang perlu dilaksanakan oleh para Jemaah Haji. 
Semua jemaah Malaysia dibawa menaiki bas walaupun jarak ke perkhemahan di Mina hanya 6 kilometer (km) sahaja. Kebaikannya ialah ribuan jemaah boleh segera meninggalkan Muzdalifah sebelum subuh. Jika tidak, lebih besar ujiannya kerana panasnya pancaran matahari.
Pada masa yang sama ramai dalam kalangan jemaah haji negara lain berbondong-bondong berjalan kaki di laluan berasingan dari laluan bas ke Mina.

Setiba di Mina kami ditempatkan di khemah mengikut nombor yang tertera pada pada stiker lencana pengenalan jemaah haji. 
Keluasan khemah di Mina lebih kecil dibanding di Arafah, menempatkan 18 jemaah dalam satu ruang yang disediakan. Di sini kami tidur dengan kaki bertemu kaki dan kepala bertemu kepala dengan jemaah yang lain. Saya lebih malang kerana ruang yang terlalu sempit saya terpaksa tidor dengan kaki merengkok kerana ruang terlalu sempit. Namun saya redha dengan segala ketentuan ini... lagi pun cuma 3 malam sahaja kerana saya telah bersedia sebelum ini semasa kursus Haji untuk bersedia menghadapi segala macam ujian dan cabaran di Tanah Suci terutama di Arafah, Muzdalifah dan Mina. 

Apa yang dapat saya nyatakan ialah selepas saya pulang ke Tanahair selesai ibadah Haji , saya terasa amat merindui suasana di Arafah, Muzdalifah dan Mina... ini saya tak nafikan... walaupun terpaksa tidor bersesak-sesak dan menunggu giliran dan beratur panjang di tandas, namun semua ini menjadi kenangan manis selepas kita kembali ke tanahair... suasana begini kita tak akan dapat merasainya di tempat lain... hanya ketika menunaikan haji sahaja kita merasai semua ini....


Pintu masuk ke khemah Maktab 87
INFO MENGENAI MINA
Mina adalah salah satu daripada al-Masy'ar al-Haram terletak 7 km dari Masjidilharam dan termasuk dalam sempadan Tanah Haram. 
Mina ialah tempat para jemaah Haji berkumpul pada Hari Tarwiyah (8 Zulhijjah) sehingga matahari naik di atas Bukit Thabit pada Hari Arafah (9 Zulhijjah) dan kembali semula pada Hari Raya Korban serta bermalam (mabit) pada Hari-Hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) yang berikutnya. 
Hari ke-12 ialah hari 'Nafar Awal' yang bermaksud para jemaah dibenarkan berangkat meninggalkan Mina dan hari ke-13 dinamakan hari "Nafar Thani'.
Disini juga terdapat Masjid Khaif yang merupakan tapak perkhemahan Rasulullah s.a.w. serta al-Jamratul Sughra, al-Jamratul Wusta dan al-Jamratul Kubra, iaitu tempat melontar. 



Masjid Khaif di Mina, tapak kawasan perkhemahan Rasulullah s.a.w. ketika baginda menunaikan Haji. Terletak di kaki Bukit Sobih dibahagian selatan Mina, berhampiran dengan Jamrah al-Sughra (Jamrah Kecil). 

Kini, Mina dibahagikan kepada tiga kawasan utama iaitu Mina Jamarat yang terletak berhampiran dengan tempat melontar, Mina Mu'aisim yang jaraknya lebih kurang 3 km dari jamarat serta merupakan kawasan mabit bagi majoriti jemaah haji Malaysia, dan Mina al-Marhalah al-Thalithah yang jaraknya lebih kurang 5 km.


 Kedudukan khemah Jemaah Haji Maktab 87 di Mina







 Banner kecil yang tertulis perkataan RUMAH itu ialah untuk memudah para jemaah Haji mengingati dimana Khemah mereka. 





Di Mina kami berehat seketika, tidak perlu tergesa-gesa sebaik sahaja tiba untuk pergi melontar Jamrah Kubra,iaitu ibadat Wajib Haji pada pagi 10 Zulhijjah





Menu makan tengahari yang disediakan oleh pihak Muassassah


Penghuni bilik 1466 (Maktab 87) Abraj Al Janadiriyyah, Mekkah ketika berada di Perkhemahan Mina





Walau pun cuaca panas, isteri saya masih boleh berselimut lagi...



Isteri saya bersama rakan-rakan sebilik di Mekkah



Keadaan khemah di Mina yang lebih sempit berbanding khemah di Arafah....




Cabaran dan dugaan paling hebat di Mina ialah terpaksa beratur panjang untuk menggunakan tandas dan bilik air. Ketika gambar ini diambil jemaah Haji belum ramai lagi tiba di Mina, jadi tidak nampaklah ramainya. Di hari sebenarnya tiap-tiap satu tandas akan ramai orang beratur panjang. Inilah suasana yang tidak dapat saya lupakan selepas saya kembali ke tanahair... walaupun hebat tekanan dan cabaran, namun ia tetap menjadi kenangan manis bagi saya. 











Di antara gerai - gerai yang menjual minuman dan makanan di luar khemah di Mina

Bersiap sedia untuk memulakan perjalanan ke Jammarah untuk melontar Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah...


 Mej.Gen. (B) Datuk Roslan bin Abdul Rashid, salah seorang rakan sebilik saya di Mekkah.

Rakan Sebilik isteri saya, Datin Hjh Normadiah menjenguk jenguk dapur di Mina..

Terdapat peniaga-peniaga yang menjual pakaian dan cenderahati di luar khemah di Mina

Suasana yang agak sibuk di luar khemah di Mina













Hari ini pada 10 Zulhijjah 1438H jemaah Haji akan melaksanakan satu lagi wajib Haji iaitu melontar Jamrah Kubra. 

Para Jemaah Haji akan berjalan menuju ke Kompleks Jammarah mengikut maktab masing-masing. 


No comments: