Saturday, 23 September 2017

KEMBARA HAJI 2017 - MELAWAT SEKITAR MADINAH

Artikel sebelum ini:
Kembara Haji 2017 - Masjid Nabawi Madinah

Pada 23 September 2017, para Jemaah Haji Zon 2 dibawa melawat ke sekitar Madinah Al Munawwarah. Antara tempat yang dilawati adalah:

MASJID QUBA, MADINAH

Jarak antara Masjid Quba dan Masjid An Nabawi



Masjid Quba adalah masjid pertama yang dibina dalam sejarah Islam yang diasaskan atas dasar takwa dan iman yang padu. Ia dibina setelah Nabi s.a.w berhijrah dari Mekkah ke Madinah. Pada hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 September 622 Masihi Rasulullah s.a.w bersama Saidina Abu Bakar as Siddiq tiba di perkampungan Bani Amru ibn Auf, 3 kilometer dari kota Madinah dan membina masjid yang pertama di Madinah ini. Nama Quba diambil daripada nama sebuah telaga yang berada di tempat itu. Masjid ini disebut dalam al-Quran dengan nama Masjid At-Taqwa. 

Rasulullah s.a.w pernah bersabda mengenai masjid ini:
"Barangsiapa telah berwudhu dirumahnya kemudian ia berkunjung ke Masjid Quba, lalu ia mengerjakan solat maka ia akan mendapat pahalanya seperti pahala mengerjakan umrah."

Bagaimanapun masjid yang ada sekarang ini bukanlah masjid asal yang dibina oleh Rasulullah s.a.w. Masjid yang baru ini adalah hasil sentuhan arkitek Mesir, Abdel Wahed El Wakil yang siap dibina pada tahun 1986. 



















KUNJUNGAN KALI KEDUA KE MASJID QUBA PADA 28 SEPTEMBER 2017

Ini ialah kunjungan kedua saya dan isteri ke Masjid Quba pada 28 September 2017




Dari Masjid Quba, kami meneruskan perjalanan menuju ke Medan Uhud yang terletak di Bukit Uhud yang terletak lebih kurang 16 km. 


JABAL UHUD
Salah satu tempat yang paling lama sekali aku begitu teringin untuk kunjungi ialah Medan Uhud yang terletak di Bukit Uhud lebih kurang 12 km dari Masjid Nabawi. 
Disinilah berlakukan pertempuran Uhud pada tahun ke 3 Hijrah (bersamaan 625 masihi) diantara Tentera Islam Madinah seramai 700 orang dibawah pimpinan Rasulullah s.a.w dan Tentera Quraisy Mekkah seramai 3,000 orang  yang dipimpin oleh Abu Sufyan, Khalid ibn Walid dan Ikrimah bin Abu Jahal
Mengikut sejarah tentera Islam tewas akibat keingkaran Tentera Pemanah Islam supaya tidak meninggalkan Bukit Rumat (Bukit Pemanah) samada menang atau kalah atas perintah Rasulullah s.a.w. 
Tetapi setelah melihat tentera Musyrikin melarikan diri dan meninggalkan peralatan perang mereka, tentera Pemanah ini telah keluar dari tempat persembunyian dan lari menurun bukit untuk mengambil harta rampasan perang yang ditinggalkan. Ketika inilah tentera Berkuda Quraisy dibawah pimpinan Khalid ibn Walid (yang ketika itu belum Islam) menggempurkan mereka. Akibatnya 70 tentera Islam telah syahid termasuk bapa saudara Nabi s.a.w iaitu Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib
Dari sebuah hadith yang diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a. Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya Uhud adalah satu gunung yang mencintai kami dan kami juga mencintainya."
(HR Bukhari dan Muslim)
Bukit Uhud juga adalah salah satu bukit di syurga. 





Para Jemaah mendengar taklimat dari Ustaz mengenai Sejarah Pertempuran Bukit Uhud




Bukit yang dikenali dengan nama Jabal Rumat atau Jabal Ainain atau Bukit Pemanah kerana disitulah Rasulullah s.a.w menempatkan 50 tentera Pemanah di bawah pimpinan Abdullah bin Jabir r.a. ditugaskan untuk memanah tentera Musyrikin.  Kemenangan yang pada mulanya berpihak kepada tentera Islam, namun akibat engkar kepada perintah Rasulullah s.a.w. supaya tidak meninggalkan tempat pertahanan mereka dan turun untuk merebut harta rampasan perang, telah menyebabkan tentera berkuda Quraisy dibawah pimpinan Khalid ibn Walid (yang ketika itu belum Islam) telah menyerang mereka dari belakang dan ramai para sahabat yang gugur syahid sementara Rasulullah s.a.w. telah tercedera. Pengajaran yang boleh diambil ialah jika inginkan kesejahteraan di dunia dan di akhirat patuhilah perintah Allah s.w.t dan Sunnah Rasulullah s.a.w. 



Kawasan makam para Syuhada Perang Uhud ...tidak ada batu nisan, hanya tanah rata..













Para peniaga di sekitar Bukit Uhud

 Bukit Pemanah (Jabal Rumat) di Bukit Uhud









Berada di sekitar Bukit Uhud ini terasa seolah-olah terlihat Baginda Rasulullah s.a.w. sedang menyusun strategi peperangan, kita dapat merasakan bagaimana gigihnya para sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. berjuang mempertahankan Islam dengan keadaan kawasan yang berbukit bukau dan panas terik.Terbayang bagaimana hebatnya seorang wanita bernama Nusaibah bt Kaab menjadikan dirinya sebagai perisai bagi melindungi baginda Rasulullah s.a.w.  begitulah hebatnya wanita di zaman awal Islam... 

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kehebatan wanita bernama Nusaibah bt Kaab ini, boleh layari laman blot ustaz Shauqi yang menceritakan lebih mendalam mengenainya. 


LADANG KURMA MADINAH
Kemudian kami dibawa mengunjungi Ladang Kurma Bani Hasyim di Madinah. Buah kurma banyak fadilatnya terutama Kurma Nabi atau Kurma Najwa. Dikatakan kurma Nabi kerana Rasulullah s.a.w sendiri telah menyebut ketika memegang buah kurma ini, "Inilah kurmaku.". 

Saya dan isteri tidak bercadang untuk membeli kurma kerana kami sudah pun menghantar kurma yang beli di Mekkah dengan Pos Laju.  Di sini saya hanya beli sedikit juadah untuk di makan di hotel bersama rakan sebilik.  


Memandangkan kesuntukan, jadi kami tidak mempunyai banyak kesempatan untuk mengunjungi lain - lain tempat bersejarah di Madinah. Kami hanya sempat lalu sahaja. Antara lain-lain tempat bersejarah di Madinah ialah Masjid Qiblatain (Masjid 2 Kiblat), Masjid 7, Masjid Al-Ghamamah dan banyak lagi. 






Begitulah berakhirnya lawatan kami di sekitar Madinah pada hari ini... Selepas ini kami bebas untuk melakukan apa-apa aktiviti yang berfaedah di Madinah sebelum berangkat balik ke tanah air pada 30 September 2017.  

Saya dan isteri sepanjang menunggu tempoh kembali ke tanahair, melakukan lawatan sendiri di sekitar Masjid Nabawi disamping beramal ibadah di Masjid Nabawi. 

Bersebelahan dengan Masjid Nabawi saya dan isteri sempat melawat "Muhammad : Messenger of Allah Exhibition". Berbagai modul sejarah Madinah turut dipamerkan. 



 Al Quran bertulis tangan





Beginilah rupa bentuk Masjid Nabawi di zaman Rasulullah s.a.w. 






SOKAIFAT BANI SAEDAH
Sokaifat Bani Saedah adalah tempat berhimpun milik Bani Saedah. Ia terletak tidak jauh dari Pasar Nabi kerana pasar itu adalah tempat kediaman Bani Saedah pada zaman tersebut. Tempat ini terkenal kerana ketika Nabi SAW wafat dan belum dimakamkan, para sahabat telah berkumpul di sini untuk membicarakan peralihan kepemimpinan agar tidak terjadi kekosongan. 

Di sini juga dijadikan tempat bermesyuarat para sahabat selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. untuk melantik Khalifah yang pertama iaitu Saidina Abu Bakar As Sidiq. 

Di taman ini juga dahulunya adalah sebuah kampung yang Rasulullah s.a.w. sangat gemar menghabiskan masa Baginda di sini. 

Tapak Sokaifat ini sekarang dikatakan terletak di sebuah taman diantara bangunan di belakang Masjid Nabawi iaitu daripada Bab al-Malik Fahad terus ke sebelah kanan menuju ke Masjid Sabqa. Jaraknya hanya 206 meter dari Masjid Nabawi. 










PASAR NABI
Tidak jauh dari Sokaifat Bani Saedah ini terdapat sebuah pasar yang telah wujud sejak zaman Rasulullah s.a.w. dan kekal hingga kini. Ia dikenali sebagai Pasar Nabi. 



Rujukan:

RAWAAE AL-ANWAR RESTAURANT
Salah satu restoran yang terdapat di Madinah yang menjadi pilihan aku dan isteri adalah Rawaae Al-Anwar Restaurant sebuah restoran makanan Pakistan. Disini kami dapat mengubah selera dari asyik makan ration pack sahaja yang dibekalkan oleh Muasassah.  Banyak pilihan makanan terdapat di Restoran dan rasanya memang enak. 






Roti diberi percuma jika kita ambil nasi dengan lauk...saya mulanya tak tahu kerana saya order nasi dengan lauk dan tak order roti... pekerja restoran beritahu roti itu percuma...

Nasi dicampur telur rebus bersama ikan goreng dan kuah kari..cukup membuka selera.... 


Syukur Alhamdullilah tercapai juga niat saya semasa di tanahair lagi sebelum berangkat ke Tanah Suci untuk dapat mengkhatam Al Quran. Mulanya saya berniat Khatam Al Quran di Mekkah, namun tidak kesempaian, akhirnya saya berjaya Khatam Al Quran di Madinah. Saya mula membaca Al Quran dari mula Surat Al Fatehah pada 23 Ogos 2017, iaitu hari saya dan isteri terbang ke Mekkah. Saya berjaya khatam Al Quran di Madinah pada 25 September 2017 jam 4.15 petang waktu Madinah. 

Begitulah aktiviti-aktiviti lain selain amal ibadah di Madinah yang saya dan isteri lakukan sementara menunggu waktu kembali ke tanahair. 

No comments: