Tuesday, 31 March 2026

DEKAT MANA KUBUR MANGSA 13 MEI 1969


Oleh: Azizul Farhan
THE PATRIOTS
Aku baru-baru ni tonton podcast Sembang Seram dan baru aku tau wujudnya kawasan kubur yang dikaitkan dengan tragedi 13 Mei 1969.
Ada cerita pasal kubur campur-campur, ada yang kata mayat ditanam sekali dalam satu lubang, ada juga yang cerita nampak “benda” dekat pokok.
Bunyi dia memang seram. Tapi, persoalannya, betul ke semua tu?
Kalau korang pernah lalu kawasan Sungai Buloh, dekat belakang Hospital Sungai Buloh dan kawasan Masjid Ibnu Sina, ada satu bukit kecil yang sunyi. Kalau tersesat masuk ke kawasan tu, korang mungkin akan jumpa satu tanah perkuburan yang nampak biasa tapi sebenarnya menyimpan sejarah yang sangat gelap.
Kawasan dia tak besar pun. Tak sampai dua gelanggang badminton. Tapi dalam kawasan kecil tu, ada lebih 100 batu nisan, tersusun rapat dalam beberapa barisan. Ada yang ada nama. Ada yang langsung tak dikenalpasti.
Ada batu nisan yang hanya tertulis:
“Cina tak dikenalpasti (Lelaki)”
Dan satu perkara yang sama pada hampir semua kubur tu, semuanya ditulis sebagai dikebumikan “atas ihsan Kerajaan Malaysia”.
Sunyi. Terpinggir. Dan selama lebih 40 tahun, hampir tak ada siapa tahu kewujudan tempat ni.
Jadi, siapa sebenarnya yang ditanam di sini?
Menurut saksi yang hidup pada zaman tu, inilah tempat sebahagian mangsa rusuhan kaum 13 Mei 1969 dikebumikan.
Kita selalu dengar angka rasmi sekitar 200 orang terkorban. Tapi ramai juga percaya angka sebenar mungkin lebih tinggi. Dalam keadaan huru-hara masa tu, bukan semua mangsa dapat dikenal pasti, bukan semua keluarga tahu ke mana jasad orang tersayang mereka dibawa.
Apa yang berlaku di Sungai Buloh ni pula lagi tragik.
Sebelum jadi kawasan hospital seperti hari ini, tempat tu sebenarnya dikenali sebagai Sungai Buloh Leprosy Settlement atau SBLS. Sejak tahun 1930, pesakit kusta dari seluruh negara dihantar ke situ untuk diasingkan dan dirawat. Mereka panggil tempat tu sebagai “Valley of Hope” atau Lembah Harapan.
Tempat yang sunyi, jauh dari orang ramai.
Dan sebab itulah, ia jadi lokasi “sesuai” untuk sesuatu yang orang ramai tak patut nampak.
Seorang bekas pesakit di situ, Lee Chor Seng pernah cerita, beberapa hari selepas rusuhan 13 Mei, lori-lori mula masuk ke kawasan tersebut. Mereka diarahkan supaya jangan tengok, jangan tanya.
Tapi bau tu bau tak boleh tipu.
Bau busuk yang kuat, walaupun dari jauh.
Lori demi lori datang.
Akhirnya, bila ada pesakit dipanggil untuk bantu, baru mereka tahu hakikat sebenar.
Yang dibawa dalam lori tu adalah mayat.
Mayat mangsa rusuhan.
Ada juga cerita dari doktor di Hospital Besar Kuala Lumpur pada masa tu, mayat-mayat tersebut disalut dengan tar hitam sebelum dihantar. Tujuannya? Untuk menutup identiti supaya tak jelas siapa Melayu, siapa Cina, siapa India.
Bayangkan keadaan tu.
Identiti pun hilang.
Nama pun hilang.
Dan akhirnya dikebumikan di satu tempat yang orang tak tahu.
Menurut rekod Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), sekurang-kurangnya 103 mayat dikebumikan di kawasan ini.
Dan yang lebih menyedihkan, ramai keluarga langsung tak tahu ahli keluarga mereka ada di situ. Ada yang hanya tahu bertahun-tahun kemudian, selepas tapak ni “ditemui semula” sekitar tahun 2017.
Bayangkan kehilangan seseorang tanpa tahu di mana kuburnya.
Itu realiti bagi sesetengah mangsa 13 Mei.
Bila berita tentang kawasan ni tersebar, barulah orang ramai mula datang. Keluarga mula cari, mula bersihkan kawasan, mula baiki batu nisan.
Ada yang datang setiap kali Qing Ming.
Ada yang datang hanya untuk berdiri dan diam sebab terlalu banyak kenangan yang tak mampu diungkap.
Ada satu kisah yang cukup berat. Seorang lelaki, Tay Lian Chin kehilangan sembilan ahli keluarganya dalam satu hari. Rumah mereka dibakar ketika semua berkumpul. Dia cuma sempat selamat dengan ibunya.
Setiap kali datang ke kubur tu, ibunya akan menangis.
Dan mungkin itu saja yang tinggal iaitu tangisan dan ingatan.
Pada satu ketika, kawasan ni hampir jadi tempat letak kereta. Ya, serius. Ada cadangan untuk pembangunan yang boleh menghapuskan terus tapak bersejarah ni.
Tapi ramai bangkit. Ahli keluarga, NGO, penyelidik semua desak supaya tempat ni dikekalkan.
Akhirnya, pada tahun 2024, kawasan ini secara rasmi diwartakan sebagai tanah perkuburan bukan Islam oleh pihak berkuasa dengan pengurusan diserahkan kepada Persatuan Sahabat Warisan Kuala Lumpur dan Selangor.
Sekurang-kurangnya tempat ini kini diiktiraf. Bukan lagi sekadar tanah sunyi yang dilupakan.
___
Jangan lah berlaku lagi peristiwa seperti 13 Mei ini.
POLITIK UNTUK PEMULA akan buka mata korang untuk menilai politik dengan lebih rasional.
Dapatkan sekarang:

C&P
31/3/2026: 9.06 p.m