Tuesday, 26 August 2025

SEPANJANG JALAN KENANGAN: KELANTAN DARUL NAIM

Kelantan terletak di timur laut Semenanjung Malaysia. Ibu negerinya adalah Kota Bharu dan Bandar DiRaja adalah Kubang Kerian. 

Semasa kecil dahulu, sebelum bersekolah, saya pernah tinggal di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan ... ketika itu arwah ayah saya berkhidmat dengan Batalion ke 7 Rejimen Askar Melayu DiRaja di kem Pengkalan Chepa.


1987 - PENGKALAN KUBUR
Pada tahun 1987, ketika berkhidmat dengan kapal ronda KD Panah dari Sekuadron ke 14 Kapal Ronda TLDM yang berpengkalan di Tg. Gelang, Kuantan, Pahang, kami sering berhenti rehat di Pengkalan Kubur di Kelantan setelah berhari-hari menjalankan rondaan ZEE di Laut Cina Selatan. Dari Jeti Pengkalan Kubur kami akan menaiki bot menuju ke Tatbai di Thailand. 


Pengkalan Kubor ialah bandar di Kelantan yang bersempadan dengan Tatbai, Narathiwat, Thailand. Malaysia dan Thailand dipisahkan oleh Sungai Golok yang lebarnya kira-kira 500 meter. 
Pengkalan Kubor ialah sebuah kawasan bebas cukai yang menjual barang-barang seperti pakaian, kasut, beg tangan, peralatan dapur dan lain-lain, seperti di Padang Besar, Perlis. 

KELANTAN 2012
13 OKTOBER 2012 - KETEREH, KOTA BHARU
Setelah sekian lama meninggalkan bumi Kelantan, akhirnya pada tahun 2012 saya dapat kembali ke Kelantan. Kali ini untuk menyelenggarakan Program Pemeriksaan Kesihatan "Go Red for Women" di Dewan Rukun Tetangga, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan. 
Seramai 123 penduduk kampung berdekatan telah menjalani Ujian Saringan Kesihatan sepanjang kempen. 


Sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, kami melalui beberapa daerah di Kelantan seperti Gua Musang, Kuala Krai, Kok Lanas dan lain-lain. 




Sepanjang berada di Kota Bharu, kami menetap di Dynasty Inn yang terletak di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu, Kelantan. 


Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, Kelantan, mengambil sempena nama Siti Khadijah, isteri pertama Junjungan Besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Majoriti peniaga di pasar ini adalah wanita. 


Kota Bharu, ibu negeri Kelantan mula dibuka pada zaman Sultan Muhammad II pada tahun 1844. Bandar ini terletak tidak jauh dari muara Sungai Kelantan.


Alhamdulillah dapat kesempatan bertemu dengan rakan lama sama intake 139/80 dan juga sama sekapal di KD Ganas tahun 1981 di Woodlands, Singapura. Roseli Zin menetap di Kg Pintu Geng, Kota Bharu, Kelantan. 

KELANTAN 2016
KOLEJ POLY-TECH MARA KOTA BHARU
Saya dan Awareness Team, Yayasan Jantung Malaysia telah mengadakan program Pemeriksaan Kesihatan di Kolej Poly-Tech MARA di Kota Bharu, Kelantan pada 26 April 2016. Seramai 167 pelajar kolej dan setaf telah hadir menjalani Ujian Saringan Kesihatan pada hari tersebut. 



PASAR SITI KHADIJAH


Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, kami singgah istirehat di Hentian Gua Musang, Kelantan. Gua Musang terletak di selatan negeri Kelantan.

KELANTAN 2018
MASJID SULTAN MANSOR,KOTA BHARU
21 JULAI 2018



Pada 20 Julai 2018, kami bertolak dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan.  Kami telah singgah istirehat di Hentian Rehat Gua Musang sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Bharu. 


Program Pemeriksaan Kesihatan dijalankan pada 21 Julai 2018 di Perkarangan Masjid Sultan Mansor yang terletak di Jalan Kg. Sireh, Kota Bharu, Kelantan. 
Seramai 105 orang penduduk berhampiran dengan Masjid telah hadir untuk menjalani Ujian Saringan Kesihatan dari jam 9 pagi hingga 2 petang. Kami turut dibantu oleh jururawat-jururawat dari Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan. 


Kami menginap di Diamond Hotel yang terletak di Jalan Tok Guru, Kota Bharu, Kelantan. Hotel ini terletak betul-betul di hadapan Kolej Poly-Tech MARA Kota Bharu. 

KOLEJ POLY-TECH MARA KOTA BHARU
22 JULAI 2018
Ini merupakan program kali kedua kami di Kolej Poly-Tech MARA Kota Bharu dimana kalai pertama diadakan pada tahun 2016. 
Program kali ini dilaksanakan pada 22 Julai 2018 dan telah dihadiri oleh 100 orang pelajar dan setaf kolej dari jam 9.00 pagi hingga jam 2.00 petang. 



Semasa berada di Kota Bharu, kami mengambil kesempatan untuk makan di sebuah Warung yang popular di Kota Bharu iaitu Restoran Nasi Ulama Cikgu terletak di Kg. Kraftangan, Jalan Hilir Kota, Kota Bharu, Kelantan. Berkonsepkan menu makanan kampung ala negeri Kelantan dengan harga yang berpatutan. Ianya tidak jauh dari Pasar Khadijah. 

KG POS BROOKE LAMA, GUA MUSANG
11 OGOS 2018


Saya dan Awareness Team Yayasan Jantung Malaysia bertolak dari Kuala Lumpur pada 10 Ogos 2018 untuk program Kesihatan di Kg. Pos Brooke Lama di Gua Musang, Kelantan. 
Namun kami tidak bermalam di Gua Musang, kami bermalam di sebuah Hotel di Gunung Rapat, Ipoh, Perak. 


Program Pemeriksaan Kesihatan kepada penduduk orang Asli di Kg. Pos Brooke Lama di Gua Musang, Kelantan. Boleh rujuk pada link di atas mengenai program tersebut. 

Pos Brooke adalah kawasan penempatan orang Asli di daerah Gua Musang, Kelantan. 
Pos Brooke diwujudkan oleh Kerajaan British ketika era Darurat kerana ketika itu orang Asli dianggap oleh Kerajaan British dalam Rancangan Briggs sebagai kunci utama kemenangan untuk melawan komunis. Oleh itu beberapa pos telah diwujudkan ketika itu antaranya ialah Pos Telanok di Ulu Jelai,  Pos Brooke di Gua Musang dan Pos Betau di Kuala Lipis. 
Pos Brooke (Fort Brooke di zaman British) pernah menjadi kem Latihan Pasukan Perintis VAT 69 (Komando Polis) di awal penubuhannya. 



Gua Musang adalah sebuah daerah yang terletak di selatan negeri Kelantan. Ia bersempadan dengan Negeri Pahang di selatan, Negeri Terengganu di Timur dan Negeri Perak di Barat. 
76% penduduk Gua Musang adalah Kaum Melayu dan 13% Kaum Orang Asli manakala selebihnya adalah kaum Cina dan India. 

Demikianlah berakhirnya perjalanan saya di Bumi Kelantan. Ini merupakan kali terakhir saya di Kelantan kerana saya telah berhenti kerja di YJM selepas balik dari Gua Musang, Kelantan. 

Susunan:
Hj Zulheimy Bin Maamor
Lembah Keramat, K.L
26 Ogos 2025: 5.26 p.m






























Monday, 25 August 2025

SEPANJANG JALAN KENANGAN - KEDAH DARUL AMAN

Kedah Darul Aman terletak di Utara Semenanjung Malaysia. Terkenal sebagai "Jelapang Padi Malaysia", bersempadan dengan Perlis dan Wilayah Songkhla dan Yala di Thailand. Juga bersempadan dengan Perak di selatan dan Pulau Pinang arah daya barat.

Pengalaman pertama saya di Kedah ialah pada tahun 1991, semasa berkhidmat dengan TLDM di atas kapal KD Lekir. Kapal saya terlibat dengan "LIMA Langkawi" yang pertama di Pulau Langkawi, Kedah pada tahun 1991. Jadi Pulau Langkawi adalah daerah Kedah yang pertama saya Jejakkan kaki. 


Pameran Langkawi International Maritime and Aerospace (LIMA) yang pertama diadakan pada tahun November 1991 di perairan Pulau Langkawi. Saya ketika itu berkhidmat di atas kapal KD Lekir (1989 - 1992) dan terlibat dengan LIMA Langkawi yang pertama.  

Kali kedua saya menjejak kaki ke Kedah ialah pada Oktober 2002 di Kompleks Immigresen Bukit Kayu Hitam dalam daerah Kubang Pasu. Ketika itu saya dan rombongan The Institution of Engineers Malaysia dalam perjalanan ke Hatyai dan Songkhla


KEDAH 2012
STAR PARADE, ALOR SETAR, KEDAH
Syukur Alhamdulillah, semasa bekerja dengan Yayasan Jantung Malaysia, saya berpeluang menjelajah ke seluruh negeri di Malaysia, dari Perlis hinggalah ke Sabah.
Saya berpeluang menjejak kaki ke Kedah setelah sekian lama, pada tahun 2012. Minggu Jantung Alor Setar 2012 diadakan di Komplek Membelibelah Star Parade dari 3-8 Julai 2012. 
Star Parade yang terletak di Jalan Teluk Wanjah, Alor Setar dirasmikan pembukaannya pada 16 Januari 1998 oleh Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad , Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Ia adalah merupakan salah satu komplek membeli belah yang terdapat di Alor Setar selain daripada Alor Setar Mall, City Plaza. Mydin Mall dan lain. 



Sepanjang program dijalankan kami telah menginap di Hotel Seri Malaysia Alor Setar yang terletak di Mukim Alor Malai, Kota Setar, Kedah. Hotel ini terletak berhampiran dengan Stadium Alor Setar dan Kolam Renang. 

Diwaktu kelapangan sebelum program bermula, kami mengambil kesempatan untuk bersiar-siar di sekitar Alor Setar kerana Program Kesihatan kami bermula dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Jadi nanti kami tiada kesempatan nak melihat-lihat keindahan bandar Alor Setar. 

Alor Setar ialah ibunegeri Kedah, bandar kedua terbesar di Kedah selepas Sungai Petani. Terletak 93 km utara Butterworth, Pulau Pinang dan 45 km dari selatan Sempadan Thailand. Diberi pengiktiraran Bandaraya pada 21 Disember 2009. 

6 Julai 2012 : berkesempatan menunaikan solat Jumaat di Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah

Pekan Rabu, lambang kegiatan utama ekonomi orang Melayu di Kedah dimana bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamed pernah berniaga di Pekan Rabu ini ketika zaman muda beliau. 

Stadium Darul Aman merupakan stadium utama Negeri Kedah. Dibina pada tahun 1967 terletak di sebelah Lebuhraya Darul Aman. Stadium ini boleh memuatkan  kira-kira 32,387 penonton dalam satu masa. 


Menara Alor Setar dibina untuk Telekom Malaysia merupakan menara kedua tertinggi di Malaysia selepas Menara Kuala Lumpur. 

DEWAN UMNO, KUALA NERANG
Program Komuniti Kedah 2012 anjuran Yayasan Jantung Malaysia berlansung di Dewan UMNO Kuala Nerang, Kedah pada 22 September 2012. Mendapat kerjasama dari Pejabat Kesihatan Padang Terap, Lincoln University College dan Persatuan Diabetes Malaysia. Seramai 102 penduduk berhampiran telah hadir menjalani ujian Saringan Kesihatan. 


Pendang merupakan salah satu daerah di Kedah, Malaysia. Daerah ini terletak di bahagian tengah negeri Kedah dan berkeluasan 629 kilometer persegi. Pusat pentadbiran daerah ini terletak di Bandar Pendang. Kami melalui pekan ini ketika dalam perjalanan ke Kuala Nerang. 



Kuala Nerang terletak dalam daerah Padang Terap, Kedah. Nerang adalah nama anak Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah, iaitu Perdana Menteri pertama Malaysia. Beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Daerah disini. Kuala Nerang dinamakan sempena nama Tunku Ahmad Nerang.


Sepanjang program kami menetap di Terap Inn Kuala Nerang. Terap Inn Kuala Nerang terletak 500 meter dari pekan Kuala Nerang, Kedah mempunyai 16 buah bilik dan satu bilik VIP. Terap Inn dimiliki oleh Majlis Daerah Padang Terap.

KEDAH 2013
FELDA LUBOK MERBAU, KEDAH
Program Komuniti Yayasan Jantung Malaysia tahun 2013 bermula dengan Program di Dewan FELDA Lubok Merbau, Kedah pada 5 Januari 2013. Seramai 104 orang penduduk telah hadir menjalani Ujian Saringan Kesihatan pada hari tersebut. 



FELDA Lubok Merbau adalah kawasan penanaman getah dan kelapa sawit yang terletak di Sik, Kuala Nerang, Kedah. Projek Rancangan FELDA Lubok Merbau bermula pada tahun 1968 dengan seramai 178 peneroka ditempatkan disini. 


PEKAN NAKA, KEDAH
Keesokan harinya kami meneruskan program Pemeriksaan Kesihatan kami di Pekan Naka, Kedah dimana seramai 115 penduduk Naka telah hadir pada hari tersebut. 



Naka adalah sebuah pekan kecil yang terletak di daerah Padang Terap, Kedah. Pekan Naka terletak di tumur bandar raya Alor Setar dan bandar Pokok Sena dan di selatan Kuala Nerang. 

Semasa program di Lubok Merbau dan Naka ini, kami menetap di Terap Inn di Kuala Nerang, ditempat yang sama kami menginap pada 2012 (boleh rujuk program 2012 di Kuala Nerang di atas). 


Dalam perjalanan ke Guar Chempedak kami melalui Gunung Jerai yang amat terkenal di Malaysia. 

SEK.MEN.KEB. AGAMA YAN, YAN, KEDAH
Kami meneruskan program kesihatan kami dari Pekan Naka menuju ke Yan, Kedah. Kami menginap di D'Aman Homestay yang terletak di Taman Desa Aman, Guar Chempedak, Kedah yang dimiliki oleh seorang guru di SMKA Yan. 



Guar Chempedak, sebuah pekan kecil dalam kawasan Parlimen Jerai. Ianya adalah sebuah komuniti luarbandar terletak dipertengahan antara Alor Setar dan Sungai Petani. 
Guar Chempedak mengingatkan saya kepada tragedi 1989 dimana 27 pelajar perempuan Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah terkorban dalam kebakaran madrasah tersebut. 
 

SMK Agama Yan dibuka pada 1 Januari 1997. Guru Besar yang pertama ialah Puan Hjh Hindong bt Hj Ali. 
Pada tahun 2007, seorang pelajar SMK Agama Yan iaitu Azali Azlan telah membuat kejutan apabila memperolehi keputusan 21A dalam peperiksaan SPM.

SMJK CHIO MIN, KULIM KEDAH
29 DISEMBER 2013
Program kami di Kedah tahun 2013 diteruskan lagi di SMJK Chio Min di Kulim, Kedah. Program ini adalah dengan kerjasama Lions Club of Kulim dan SMJK Chio Min. Program ini telah dirasmikan oleh En.Abdul Aziz bin Selaiman, Pegawai Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baharu. 
Seramai 135 orang telah menjalani Ujian Saringan Kesihatan yang dijalankan sepanjang hari tersebut. 



SMJK Chio Min telah ditubuhkan pada tahun 1957, kesinambungan Sekolah Rendah Chio Min yang ditubuhkan pada 10 Mei 1918. 


Sepanjang program dijalankan kami telah menginap di Kulim Inn yang terletak di Jalan Bukit Awi, Kulim, Kedah. Kulim Inn adalah merupakan sebuah penginapan yang tertua terdapat di bandar Kulim. Ianya dahulu dikenali sebagai Rumah Rehat Kulim cukup popular di kalangan golongan elit di Kulim suatu ketika dahulu. Ia kini adalah di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kulim. 


Kulim di Kedah adalah cantuman 15 Mukim iaitu Junjung, Kulim, Keladi, Sungai Seluang, Terap, Bagan Sena, Karangan, Sungai Ular, Padang China, Nagalilit, sedim, Sidam Kanan, Padang Meha, Mahang dan Lunas.

KEDAH 2014
PULAU SAYAK, KUALA MUDA, KEDAH
Kita sering mendengar nama Kg Pulau Sayak apabila bulan Ramadhan menjelang kerana disitu tertelak salah satu dari tempat untuk melihat anak Bulan setiap menjelang Ramadhan.
Saya berkesempatan untuk berkunjung ke Pulau Sayak ketika menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Program Kesedaran Penyakit Jantung di Central Square, Sungai Petani pada 18 Februari 2014. Tak pernah terfikir yang saya akan dapat menjejak kaki ke destinasi yang sering aku dengar namanya setiap menjelang bulan Ramadhan. 


Terima kasih ku ucapkan kepada sahabat lama ku En. Osman bin Desa yang menetap di Tikam Batu, Kedah. Beliaulah yang telah membawa saya ke Pulau Sayak untuk menikmati mee udang yang cukup terkenal di sini. 
En Osman pernah bertugas satu kapal denganku pada tahun 1981 iaitu kapal KD Ganas (TLDM) yang ketika itu berpengkalan di Woodlands, Singapura. Sebenarnya ini bukanlah kali pertama aku bertemu dengan Osman Desa setelah tamat perkhidmatan dengan TLDM pada tahu 1996. Kali pertama aku bertemu beliau ialah di Gelugor, Pulau Pinang pada 2012 dan kemudian di Kuala Nerang, Kedah pada tahun yang sama. 



Saya juga berkesempatan berkunjung ke Galeri Tsunami yang dibina sebagai memperingati Tragedi Tsunami yang melanda Kuala Muda, Kedah pada 26 Disember 2004 pada jam 7.30 pagi. 
Jumlah korban Tsunami di Malaysia mengikut laporan ialah 60 orang iaitu 52 di Pulau Pinang, 12 di Kedah, 3 di Perak dan 1 di Selangor. 

CENTRAL SQUARE SUNGAI PETANI
26-30 MARCH 2014
Program Minggu Jantung bagi tahun 2014 dimulakan dengan Program Minggu Jantung Sungai Petani 2014 yang berlansung dari 26 - 30 Mac 2014 bertempat di Central Square Sungai Petani. 
Seramai 424 orang telah menjalani ujian Saringan Kesihatan manakala 85 menjalani ujian Elektrokardiogram (ECG) sepanjang tempoh program ini dijalankan. 


Central Square Sungai Petani dibina pada 1997 adalah salah satu mercu tanda bandar Sungai Petani. Walaupun kini telah wujud pusat membeli belah yang terbaru seperti AmanJaya Mall dan Village Mall, Central Square tetap dikunjungi oleh pelanggan. 



Sungai Petani adalah sebuah bandar yang terbesar di Kedah. Ia terletak berdekatan dengan Butterworth di Pulau Pinang dan kira-kira 70 km dari bandar Alor Setar. 
Sungai Petani dikatakan mengambil nama sempena sebatang anak sungai yang mengalir dari Sungai Merbok. Bandar ini dijangkan akan dinaikkan taraf bandaraya menjelang tahun 2015.


D Vista Hotel yang terletak di Jalan Kg Baru, Sungai Petani adalah hotel dimana kami menginap sepanjang berada di Sungai Petani.

SEK.MEN.SIN MIN (PERSENDIRIAN), ALOR SETAR, KEDAH
24 JUN 2014
Dari Bandar Baru Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, kami meneruskan perjalanan ke Alor Setar, Kedah dengan perjalanan selama 1 jam 22 minit dan jarak sejauh 98.9 km. 
Program Kesihatan dijalankan di Sek.Men. Sin Min (Persendirian) yang terletak di Jalan Alor Mengkudu, Mukim Perga, Alor Setar, Kedah. 
Seramai 129 murid termasuk juga guru dan setaf telah menjalani ujian Saringan Kesihatan Penyakit Jantung. Program ini adalah kerjasama dengan The Lions Club Alor Setar dengan bantuan jururawat dari Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Simpang Kuala, Alor Setar, Kedah. 



KEDAH 2017
MSU COLLEGE SUNGAI PETANI
15 FEBRUARI 2017
Pemeriksaan Kesihatan di MSU College Sg Petani (dulu Kolej PTPL) telah dihadiri oleh seramai 157 murid dan setaf. 
MSU College Sg Petani terletak di Jalan Bakar Arang, Taman Sentosa,Sungai Petani, Kedah. 



Ini merupakan kali kedua aku menginap di Hotel D'Vista Sungai Petani ini. Kali pertama adalah pada tahun 2014 ketika kami mengadakan program Pemeriksaan Kesihatan di Central Point Sungai Petani yang terletak tidak jauh dari hotel ini. 

Rujuk : YJM Heartweek 2014 - Central Square Sg. Petani

Demikianlah berakhirnya perjalanan saya ke bumi Kedah kerana pada tahu 2018 saya tidak mengikut program-program yang dijalankan oleh YJM di Kedah. Saya berhenti dari YJM pada akhir 2018. 

Disusun oleh:
Hj Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, K.L
25 Ogos 2025: 11.51 p.m