Wednesday 20 April 2022

Kenapa Surah Al-Fatihah Berada Di Awal Al-Quran


Ada beberapa dalil yang menyebut bahawa ayat pertama yang diturunkan ialah Al-Iqra’ yang menyebut mengenai anjuran membaca.

Namun, pernahkah anda terfikir, mengapa surah Al-Fatihah berada pada awal Al-Quran? Mengapa bukan surah Al-Iqra’ sendiri?

Pertama sekali kita perlu faham bahawa proses pengumpulan Al-Quran berlaku pada tiga zaman, iaitu zaman Rasulullah, zaman Abu Bakar dan pada zaman Uthman.

Resam Usmani yang kita gunakan hari ini adalah berdasarkan pengumpulan Al-Quran pada zaman saidina Uthman.

Perkara kedua yang perlu kita ambil perhatian ialah penyusunannya bersifat tauqifi.

Penyusunan tauqifi ialah arahannya jelas daripada syarak. Ertinya, ia adalah wahyu yang diterima oleh Baginda SAW secara terus.

Penyusunan Al-Fatihah

Berikutan dengan penyusunan surah ini, ulama berpendapat bahawa ia adalah berdasarkan penyusunan tauqifi, iaitu wahyu yang diterima oleh Rasulullah SAW.

Syeikh Al-Kirmanis menyebut – “Susun atur surah-surah ini adalah berdasarkan ketetapan Allah. Sebagaimana yang termaktub di Luh Mahfuz dalam tertib ini. Dalam menentukan perkara ini, Rasulullah SAW dikunjungi Jibril setiap tahun untuk menyemak bacaan Al-Quran yang terkumpul. Dan Jibril telah melakukannya dua kali pada tahun kewafatan Nabi.”

Justeru, ulama bersetuju bahawa penetapan surah di dalam Al-Quran adalah berdasarkan wahyu yang telah diturunkan kepada Rasulullah SAW.

Keistimewaan Surah Al-Fatihah

Bagaimanapun, apa yang menyebabkan istimewanya surah Al-Fatihah sehingga ia boleh berada pada susunan pertama dan sebagai pembuka kepada Al-Quran?

Melihat kepada hal ini, kita melihat bahawa isi kandungan AL-Fatihah sendiri mempunyai maksud yang sangat unik dan menyeluruh.

Susunan ayatnya sangat tertib dimulai dengan puji-pujian kepada Allah, kemudian pengakuan terhadap kekuasaanNya serta menunjukkan tentang sikap kita terhadap kehidupan ini.

Bahkan, ia juga merupakan salah satu bentuk doa yang sentiasa dibaca oleh umat Islam dalam setiap rakaat solat.

Keseluruhannya, surah ini meliputi semua perkara berkaitan aspek kehidupan kita di dunia ini. Disebabkan itu, ia berada di awal surah dan menjadi rukun kepada solat. Istimewanya surah ini juga sebagai panduan dan pelengkap kepada umat Islam.

Sumber: tzkrh.com

Copy and paste: 20 April 2022 > 18 Ramadan 1443H: 9.47 am

No comments: