Sunday 12 January 2020

Kisah Si Tora Dari Kuala Kangsar, Perak

Credit to FB Pecinta Dunia Ketenteraan dan Pertahanan
Salah seorang dari 12 orang pengasas Rejimen Gerak Khas (RGK) kini dikenali dengan nama Gerup Gerak Khas (GGK) adalah seorang veteran tentang yang dikatakan amat serius dalam kerjayanya.
Beliau adalah bernama Staf Sarjan Mohamad Zakaria Abas dan lebih dikenali dengan nama panggilan Si Tora atau Singa Berantai dikalangan sahabat sepasukannya sewaktu sama-sama berkhidmat dahulu.
Gelaran yang diberikan oleh kenalannya itu mula melekat pada dirinya kerana sikap bengis dalam menjaga disiplin anggota bawahan.
Staf Sarjan Mohamad Zakaria Abas amat dihormati oleh anak buahnya walaupun cukup terkenal dengan garang dan kebengisan beliau. Beliau juga cekap dalam menembak dengan tepat serta tangkas mengendalikan senjata ringan sehingga diberi julukan Tangan Besi.
Si Tora diangkat sebangai individu yang istimewa oleh kebanyakan bekas tentera terutamanya buat mereka yang pernah mendapat asuhan daripadnya.
Kehebatannya dalam menggunakan senjata bukan hanya di medan pertempuran, tetapi Staf Sarjan Mohamad Zakaria Abas juga turut pernah menjuarai pelbagai pertandingan menembak termasuklah antara pasukan tentera negara-negara di Timur Jauh.
Oleh itu, Staf Sarjan Mohamad Zakaria Abas telah dipilih sebagai salah seorang penembak tepat pasukan komando dan terus mempunyai kelayakan untuk mengajar dalam bidang tersebut.
Staf Sarjan Mohamad Zakaria Abas adalah berasal dari kampung Sayong Tebing yang terletak di Kuala Kangsar. Beliau adalah anak penoreh getah dan mula melibatkan diri dengan tentera pada 25 Mei 1949.
Beliau terus ditempatkan di Batalion ke empat dalam Rajimen Askar Melayu Diraja (4RAMD) selepas menamatkan latihan ketenteraan selepas direkrut. Terlalu banyak kisah suka dan duka serta kepayahan dan cabaran yang dihadapinya sewaktu melaksanakan operasi di dalam negara mahu pun di luar negara ketika berada di Batalion ke empat dalam Rajimen Askar Melayu Diraja (4RAMD).
Beliau pernah ditangkap dalam kepungan tentera negara jiran sewaktu konfrontasi di Pelaman Mapu, Serian pada tahun 1964 sewaktu beliau bertempur sebanyak tiga kali ketika operasi memburu pengganas komunis.
Satu daripadanya berlaku pada tahun 1950 an di Kampung Lengkong, Jambu Rias di Pahang apabila pasukan yang diketuainya berjaya membunuh seorang musuh lelaki yang merupakan anak buah Musa Ahmad.
Pada tahun 1959, pasukan Staf Sarjan Mohamad Zakaria Abas telah diarah untuk menjejak gerombolan musuh yang diketuai oleh Ibrahim Baba iaitu anak buah kepada Kapten Abu Samah yang berpaling tadah menyertai komunis dan penjejakan itu berakhir dengan pertempuran sengit yang bertembung di hutan Kuala Krau, Temerloh Pahang. Ibrahim Baba tidak dapat ditemui sewaktu penjejakan itu namun seorang pengganas wanita telah berjaya ditembak mati.
Si Tora juga pernah dihantar bertugas ke Congo untuk mengamankan negara yang dilanda konflik itu di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1960.
Si Tora bersama-sama dengan pasukannya ke sana dengan menaiki kapal LST milik Amerika Syarikat dan tiba Congo selepas belayar selama hampir sebulan iaitu lebih tepat adalah 29 hari tanpa berhenti di mana-mana lokasi lain.
Apabila tiba di Congo, hatinya sering sebak dipenuhi rasa hiba apabila melihat sebahagian besar rakyat disana hidup dalam kebuluran serta dalam kemiskinan.
Mereka bukan sahaja tidak ada sumber makanan tetapi untuk bercucuk tanam pun sukar kerana tanah gersang dan kering kontang kekurangan air. Staf Sarjan Mohamad Zakaria Abas berkhidmat di Congo selama lebih setahun dan pulang ke tanah air selepas tamat berkhidmat disana.
Pada tahun 1964, bermulalah pembabitan Si Tora dalam komando yang mana pada waktu itu, beliau menjadi ketua platun di 4 RAMD di Muar dengan pangkat Sarjan.
Apabila Si Tora sendiri tahu tentang pihak kerajaan mahu menubuhkan pasukan komando, Si Tora bersama 22 anggota lain dibawahnya terus membuat permohonan. Pada waktu itu, usianya telah mencecah 35 tahun, sudah berkeluarga dan mempunyai tiga orang anak.
Pada penghujung November 1964, Staf Sarjan Mohamad Zakaria Abas diminta untuk melapor diri di Kem Ulu Tiram, Johor untuk mengikuti Kursus Asas Komando selama dua bulan bersama-sama dengan 15 anggota tentera lain di bawah kendalian jurulatih 40 Komando Diraja British.
Latihan yang dijalankan pada peringkat awal begitu mencabar sekali serta tanpa belas kasihan. Antaranya latihan terjun maut, ikhtiar hidup, mendayung dan berenang menyeberang Selat Tebrau pada waktu malam.
Begitu juga dengan latihan memikul balak yang beratnya lebih 40 kilogram sejauh 1.6 kilometer sambil meredah kawasan lurah, bukit dan belukar serta perlu sampai dalam tempoh beberapa minit tanpa menjatuhkan kayu balak tersebut.
Jika kayu balak yang dipikul terjatuh walaupun betul-betul hampir dengan garisan penamat, mereka harus mula semula dari garisan permulaan walaupun berada dalam keletihan yang teramat.
Pernah berlaku satu peristiwa yang mana kayu balak dipikul oleh kumpulan Si Tora terjatuh kira-kira 50 meter dari garisan penamat betul-betul di depan ketua jurulatih, Mejar Bacon dan disuruhnya ulang semula memikul kayu balak tersebut dari mula.
Disebabkan geram dan marah dengan arahan Mejar Bacon, Si Tora tiba-tiba sahaja naik minyak dan terus memikul balak tersebut seorang diri ke tempat permulaan.
Mereka yang melihat keadaan itu kagum dengan semangat Si Tora lalu Mejar Bacon akhirnya menyuruh beliau berhenti daripada memikul balak meskipun ketika itu dirinya telah bergerak sejauh berpuluh meter.
Selepas berhempas pulas, akhirnya seramai 12 daripada 15 orang yang melapor diri berjaya menamatkan kursus tersebut termasuk Si Tora. Untuk melengkapkan kepakaran pula, kesemua mereka kemudiannya dihantar menjalani latihan payung terjun dan Kursus Jump Master di Batu Djajar, Bandung Indonesia.
Sewaktu dalam komando, satu operasi yang tidak dapat dilupakannya ialah ketika menjejak seorang komander Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) serta 13 pengikutnya di sempadan Sarawak-Kalimantan berhampiran Bau.
Komander tersebut diketahui sebagai pengganas yang licik apatah lagi beliau pernah mendapat latihan asas komando di Batu Djajar, Bandung. Selama dua hari mereka melakukan penjejakan dengan dibantu oleh satu platun Rejimen Renjer Diraja. Akhirnya, selepas bersusah payah, kem musuh berjaya ditemui di dalam hutan, tetapi malangnya mereka sempat lari.
Sumber: Orang Perak
Copy and paste: 12 January 2020 : 6.46 pm

No comments: