Saturday 14 September 2019

RASCOM HQ MIL – OPS JALA AMAN 1 SIBU, SARAWAK (1983/84)

Pernahkah dengar nama RASCOM?

RASCOM adalah singkatan dari “Rajang Area Security Command” yang ditubuhkan secara rasminya pada 25 Mac 1972 berlandaskan kepada beberapa insiden pembunuhan, kekacauan dan pemusnahan harta awam oleh komunis di Bahagian ke 3 Sarawak oleh ahli-ahli Biro Kedua Parti Komunis Kalimantan Utara (BKPKKU).

Kawasan Operasi RASCOM meliputi keseluruhan Bahagian Sibu, Sarikei dan Kapit. Organisasi RASCOM meliputi unit-unit Tentera dan Polis yang beroperasi di Bahagian Ke 3 Sarawak.



Secara umumnya Sarawak dibahagikan kepada 12 Bahagian yang terdiri daripada Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas.
Manakalan Bahagian ke 3 Sarawak merangkumi Sibu, Sarikei, Binatang (Sekarang Bintangor), Julau, Kanowit dan Kapit. Kawasan-kawasan ini disekitar 1960an sehingga 1990an merupakan sebuah kawasan yang menerima ancaman komunis yang menyebabkan kawasan tersebut tidak begitu aman. Kawasan Bahagian ke 3 ini didiami oleh berbagai etnik iaitu Melayu, Cina, Iban dan Melanau. Majoriti yang menduduki Bahagian ke 3 ini ialah etnik Cina yang terdiri dari kumpulan Kantonis, Foochow, Hainanese, Hakka , Henghua, Hokkien dan lain-lain.
Pada 28 Mac 1983, saya mendapat arahan bertukar tugas ke KD Sri Rejang yang berpengkalan di Sibu, Sarawak. KD Sri Rejang adalah satu-satunya pengkalan hadapan TLDM dalam gerakan menentang Komunis di Sarawak dan merupakan sebahagian daripada Struktur Organisasi RASCOM HQ MIL di Sibu, Sarawak.
Pegawai Memerintah KD Sri Rejang ketika itu ialah Komander Tajuddin Yahya, kemudian diganti pula oleh Komander Ahmad Kamal (saya hanya sempat 3 bulan sahaja dengan Kdr Ahmad Kamal kerana bertukar tugas ke KD Pendekar di MSE Pasir Gudang, Johor pada 1985).



Di KD Sri Rejang, saya sebagai anggota Semboyan (RO), ditugaskan bergilir-gilir iaitu di Pejabat Semboyan dan juga di Bot Lancang. Bot Lancang KD Sri Rejang ketika itu ada 3 jenis yang digunakan untuk meronda di Sepanjang Sungai Rejang iaitu Landing Craft Merchandise (LCM), Landing Craft Personal (LCP) dan Riverine Craft Personal (RCP).

Sepanjang bertugas di KD Sri Rejang, saya telah bertugas di ketiga-tiga jenis bot ini, kerana kami anggota semboyan tidak ditetapkan sebagai crew pada sesuatu bot… kami akan ikut mana-mana bot yang mendapat tugas Operasi Meronda dan Bantuan Logistik .






Ketika itu Ops Jala Aman 1 baru sahaja dilancarkan oleh RASCOM dalam memerangi pengganas Komunis di Bahagian ke 3 Sarawak. Pasukan Rakyat Kalimantan Utara atau dikenali dengan PARAKU telah di hantar oleh Parti Komunis Sarawak untuk melakukan pemberontakan senjata di Bahagian ke 3.
Tugas kami di Bot Lancang ketika itu ialah melakukan rondaan sungai di beberapa kawasan yang agak strategik dan juga memberikan bantuan logistik seperti menghantar bekalan makanan dan peluru dan juga menghantar terup-terup Tentera Darat dan Pasukan Polis Hutan ke kawasan operasi di sekitar kawasan di Bhg ke 3. Antara unit Tentera darat ketika itu kalau tak silap saya berdasarkan kepada ingatan saya ialah Batalion ke 24 Rejimen Askar Melayu DiRaja, Batalion ke 8 Rejimen Renjer, 11 RGK (Rejimen Gerak Khas) dan Rejimen Artilleri manakala pasukan Polis Hutan (Sekarang Pasukan Gerakan Am) ialah battalion ke 17 PPH. Juga terdapat satu lagi unit keselamatan yang dikenali sebagai Sarawak Border Scout (pengakap Sempadan)… saya tak pasti Border Scout ini unit tentera atau polis…

Semasa melakukan rondaan di sepanjang Sungai Rejang (Batang Rajang mengikut penduduk Tempatan), kami melalui beberapa kawasan-kawasan yang agak strategik yang mana yang saya masih ingat lagi antaranya ialah Sungai Assan, Sungai Naman, Sungai Setabau , Sungai Nyemah dan beberapa kawasan lagi di sekitar Song, Kanowit, Sarikei, Bintangor, Durin, Paradom, Kapit dan lain-lain. Saya masih ingat nama nama ini kerana setiap pagi dan malam saya kena hantar SITREP (Situation Report) ke KD Sri Rejang dan juga RASCOM dimana kedudukan bot kami ketika itu…


Bintangor sebelum ini dikenali dengan nama Binatang terkenal dengan hasil buah Bintangor. Nama Binatang telah ditukar kepada Bintangor oleh Ketua Menteri Sarawak ketika itu Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud sempena nama pokok Bintangor (Calophyllum Lanigerum) yang dipercayai boleh mengubat penyakit HIV. 


Sarikei sebuah bandar terletak di tepi Sungai Rejang merupakan persinggahan biasa bagi kami krew bot lancang. Yang cukup terkenal di Sarikei ialah Nenas Sarikei. 

Pemandangan Bandar Sibu diambil dari bot Lancang



Song sebuah bandar di bahagian Kapit bersempadan dengan Kalimantan Barat di Indonesia. Pekan ini juga merupakan pekan yang selalu menjadi persinggahan kami untuk beristirehah seketika.....
  
Kapit merupakan kawasan pendalaman selepas bahagian Sibu. Bahagian Kapit dibahagi kepada 4 daerah iaitu Kapit, Song, Belaga dan Bukit Mabong. 
Satu peristiwa berlaku di sini bila mana saya kehilangan kad Pengenalan Tentera (BAT C 10) ketika bersiar-siar di pekan Kapit. Saya dan kawan saya cuba mencari-cari di sekitar bandar kalau-kalau tercicir. Mujur ada seorang peniaga Cina di situ mengenali wajah saya dan mengatakan Kad Pengenalan saya ada di Balai Polis Kapit, beliaulah yang menemui kad pengenalan saya itu dan menyerahkannya ke Balai Polis...


Town on Rejang River - panoramio.jpg
Kanowit sebuah lagi pekan kecil yang sering menjadi tempat persinggahan kami terletak dalam daerah Sibu. Nama Kanowit disambil sempena nama satu suku Melanau yang tinggal di daerah ini. 

Belaga sebuah lagi pekan persinggahan kami terletak di Hulu Rajang, Bahagian Kapit. 

Saya masih ingat pernah mendapat berita dari base kami beberapa anggota pasukan keselamatan ditembak mati oleh Komunis di Hutan Simpan Assan Naman, di Sungai Setabau dan Sungai Nyemah yang menjadi kawasan rondaan kami ketika itu… ketika itu saya membayangkan jika RAMD dan Rejimen Renjer yang terdiri dari berpuluh-puluh anggota dalam satu platun atau kompeni diserang hendap oleh Komunis, bagaimana agaknya dengan kami di bot Lancang ini yang hanya ada 5-6 anggota sahaja….bagaimana pun kami bertawakkal dan berserah pada Allah s.w.t agar tidak berlaku sesuatu yang tidak di ingini… Syukur Alhamdullillah sepanjang menjalankan rondaan itu, tidak pernah lagi kami diserang hendap oleh komunis.

Saya juga masih ingat antara nama penggans komunis yang cukup digeruni ketika itu ialah Ubong anak Nuing yang pernah berkhidmat sebagai Iban Tracker dengan tentera British ketika Darurat… Ubong sangat digeruni kerana beliau ialah anak tempatan yang sangat mahir dan cekap dengan selok-belok sungai-sungai dan hutan hutan di kawasan ini…

Sesuatu yang perlu dinyatakan disini juga ialah bahawa KD Sri Rejang pernah juga diserang hendap oleh komunis sekitar tahun 1970’an dulu….mungkin warga lama (otai-otai) Navy yang pernah berkhidmat masa itu tahu akan kisah kisah ini…dan boleh berkongsi pengalaman mereka ketika itu. …
Apa yang pasti kewujudan RASCOM dan kewujudan unit-unit Keselamatan (Tentera dan Polis serta Border Scout) di bahagian ke 3 Sarawak telah Berjaya menghakis ancaman komunis di Sarawak dengan kembalinya beberapa orang bekas Komunis ke pangkuan masyarakat antaranya ialah penyerahan diri seramai 585 anggota PKKU diketuai oleh Bong Kee Chok dalam Operasi Aman pada 1973 dan penyerahan diri 40 anggota PKKU diketuai oleh Ubong ak Nuing pada tahun 1986.

Ancaman Komunis berakhir pada 17 Oktober 1990 apabila Kerajaan dan PKKU menandatangani Perjanjian di Kuching, Sarawak dan 52 anggota PKKU turut menyerah diri.

RASCOM telah dibubarkan pada 9 November 1994 dan Pengkalan TLDM KD Sri Rejang yang ditubuhkan pada tahun 1964 juga telah ditutup secara rasmi pada 3 November 1991 dan diserahkan kepada Rejimen 510 Askar Wataniah dan kini dikenali sebagai Kem Sri Rejang….










Kewujudan RASCOM harus diingati dan perlu dijadikan model dalam mengatasi sebarang masalah yang berkait rapat dengan sesuatu ideologi yang bertentangan dengan ideologi yang diamalkan oleh negara kita.


No comments: