Monday 7 May 2018

KD Sri Rejang dalam kenangan

Oleh: Lt Kol (B) Hj Ab Aziz Ahmad
Pada tanggal 27 April setiap tahun, apabila Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyambut Hari Ulang Tahun, saya sering teringat masa lalu, masa yang terlakar dalam tinta sejarah pengalaman diri, semasa berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia. Sebenarnya saya bukannya ‘Navy Wallah’, tetapi merupakan seorang ‘Gunner’ dalam Rejimen Meriam yang kini dikenali sebagai Rejimen Artileri Diraja (RAD).

Pada awal tahun 70-an, lebih tepat lagi tahun 1972, saya sebagai Leftenen Muda bersama dengan Alpha Troop, Charlie Battery, Rejimen Ketiga Meriam (kini 3 RAD), sedang dalam ‘East Malaysia Tour’ (bertugas di Malaysia Timur), bertugas di bawah Markas Rejang Area Security Command (MK RASCOM). Sepanjang 14 bulan kami berada di Malaysia Timur, pada keseluruhannya, hampir sembilan bulan kami berada dalam tugas operasi menentang pengganas komunis PARAKU, dalam kawasan Lembah Rejang. Kawasan Operasi RASCOM yang meliputi Bahagian Ketiga Sarawak sangat luas dan pada masa itu laluan perjalanan lebih tertumpu kepada jalan sungai. Sememangnya terdapat jalan darat tetapi kebanyakannya jalan belum berturap dengan tar, berdebu, kerap terputus oleh sungai dan terpaksa menyeberang menggunakan feri. Kedudukan Tapak Meriam dalam hutan seperti Rumah Lepong, Rumah Manila, hanya boleh dihubungi dengan pesawat TUDM sama ada Alouette ataupun Sikorsky yang lebih dikenali sebagai NURI.

KD SRI REJANG akan sentiasa berada dalam ingatan kerana di situlah Alpha Troop sering berkunjung. Bukan kerana lawatan, tetapi dari situlah kami akan memulakan perjalanan menuju kawasan operasi dengan menaiki Landing Craft Mechanical yang lebih dikenali sebagai LCM, serta Landing Craft Personnel yang dikenali sebagai LCP milik TLDM. Kedua-dua pengangkutan LCM dan LCP merupakan mode of transport yang utama bagi Alpha Troop untuk keluar masuk ke kawasan operasi.

Setiap LCM boleh membawa satu laras meriam 105 mm M102 dan sebuah landrover Gun Tower. LCM juga digunakan untuk membawa peti-peti peluru meriam sementara anak meriam akan menaiki LCP menyusuri Batang Rejang yang sangat luas serta panjang dari Sibu hingga Binatang (kini dikenali sebagai Bintangor), Sarikei, Durin, Kanowit dan Kapit. Ada kalanya, bila LCP tidak dapat digunakan, meriam, peluru, ‘pack-ration dan peralatan lain akan naik LCM sementara anggota akan naik ‘Express’ (bot penumpang laju), berasingan secara covert.
Lembah Rejang ketika itu adalah kawasan hitam yang berada dalam ancaman pengganas komunis PARAKU, di mana setiap kali dalam perjalanan kami sentiasa waspada walaupun kami dilindungi oleh badan besi LCM dan LCP.

Setiap LCM dan LCP dilengkapi dengan senjata mesin gun yang dikendalikan oleh anggota TLDM setiap masa dalam perjalanan. Pernah berlaku dua ketika, di mana kami telah ditembak oleh PARAKU dari tebing sungai, tapi tidak mengenai kami dan telah dibalas dengan segera oleh penembak TLDM menggunakan mesin gun. Malah kami juga mengambil peluang membalas tembakan dengan senjata kecil yang kami bawa, setelah kami naik semangat semula apabila mendengar bunyi tembakan mesin gun dari LCM dan LCP. Setelah dua kali kami diganggu, di mana tembakan balas oleh crew TLDM dari LCM dan LCP sangat cepat dan tepat, perjalanan kami seterusnya tidak lagi dibayangi oleh PARAKU.
Apa yang membuatkan saya tidak dapat melupakan TLDM dan KD Sri Rejang ialah kemesraan semua pegawai dan anggotanya pada kami, serta tahap profesionalisme dan semangat mereka semua apabila bantuan mereka kami perlukan, tidak kira waktu atau cuaca, walaupun pada hujung minggu. Bila mendapat arahan dari MK RASCOM, kami akan terus berlepas ke KD Sri Rejang dan di sana semuanya sudah sedia, semua yang terlibat sudah tahu keperluan kami. Kami akan terus memasukkan meriam, peti-peti peluru, peralatan serta pack ration ke dalam LCM dan LCP. Bila paras air sungai Batang Rejang mengizinkan, kami lantas berlepas ke kawasan operasi, semuanya dilakukan like clockwork with a beautiful chime. Cuma pada mulanya, semasa kami belum mahir dengan high tide dan low tide ada berlaku rancangan tergendala. Selalunya, semasa menyusuri Batang Rejang, jikalau tidak bertembung dengan kapal yang lebih besar, LCM yang kami naiki adalah raja, menungkah arus di tengah sungai. Walaupun tidak seberapa laju seperti bot express, LCM dan LCP tetap belayar di tengah sungai untuk mengelakkan serang hendap oleh PARAKU.

Bila tiba di destinasi, anak kapal TLDM akan menurunkan ramp dan kami akan segera naik ke darat dengan perasaan bersyukur kerana perjalanan kami selamat. After an exchange of pleasantries LCM dan LCP akan segera meninggalkan landing point dan kami pula akan segera berlepas ke kawasan tapak meriam yang telah ditetapkan.

Setelah kami tamat tugas operasi yang selalunya memakan masa dua minggu hingga sebulan, kami akan segera berlepas ke landing point dan tanpa gagal, LCM dan LCP sudah setia menanti untuk mengambil kami dan dibawa balik ke Bandar Sibu. Sekiranya operasi memakan masa yang panjang, kami juga akan keluar ke landing point untuk mengambil bekalan peluru meriam tambahan serta pack ration yang dihantar dengan LCM oleh MK RASCOM.
Setelah berehat selama seminggu dua, kami akan bertemu semula rakan seperjuangan kami di KD SRI REJANG, untuk menghantar kami ke kawasan operasi yang lain. Kerap juga semasa kami tiada tugas operasi, tim sepak takraw Alpha Troop, akan berkunjung ke KD SRI REJANG untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan tim TLDM ataupun dengan tim lain dari Bandar Sibu. Pendeknya KD SRI REJANG merupakan second home kami di Bandar Sibu.

Kini, KD SRI REJANG sudah tiada lagi, bertukar menjadi Kem Sri Rejang dan difahamkan, LCM dan LCP pun sudah ditamatkan perkhidmatanya, namun KD SRI REJANG akan tetap kekal dalam ingatan selagi hayat dikandung badan. TANGKAS DAN BERBISA. TLDM KE ARAH KECEMERLANGAN.

Selamat Maju Jaya.
Copy and paste : 7 May 2018 : 4.25 pm

No comments: