Monday 29 May 2017

BEDAK NYONYA MENGGAMIT MEMORI


SAMFONG Hoi Tong Face Powder atau lebih dikenali sebagai 'bedak nyonya' merupakan kosmetik popular sejak beberapa dekad lalu.
Ia adalah bedak muka berbuku yang diletakkan dalam bentuk empat segi berwarna kuning yang mempunyai wajah wanita Cina.
Boleh dikatakan setiap rumah pada 1970-an, pasti mempunyai bedak nyonya ini di atas almari solek dan dalam beg tangan.
Ia sangat popular di kalangan warga emas, wanita berkerjaya dan pelajar sekolah kerana dapat membantu menaikkan seri wajah dan tidak polos.


Ia hanya disapu dengan menggunakan hujung jari dan ada juga yang menggunakan ‘span muka’ untuk mengelakkan sapuan bedak tersebut tidak sekata.Mempunyai ketebalan lebih satu sentimeter menyebabkan ia boleh digunakan selama beberapa bulan bergantung kepada cara penggunaannya.

Bedak nyonya ini diasaskan pada 1889 oleh Chan Chow Tong yang berasal dari Wilayah Canton, China dan mula dikilangkan secara meluas melalui kilangnya di Kowloon, Hong Kong.
Ia dikeluarkan oleh sebuah syarikat Hong Kong, Sam Fong Cosmetic Co Ltd dan digunakan kebanyakan wanita Cina pada peringkat permulaan berada di pasaran.
Di Malaysia, bedak nyonya ini mula memasuki pasaran Malaysia sejak perang dunia kedua menerusi syarikat Sam Fong (M) Sdn Bhd.
Pada zaman kegemilangannya sekitar 1980-an, syarikat ini mengeluarkan kira-kira 12,000 unit sebulan dan ianya juga dieksport ke luar negara seperti Sri Lanka, Timur Tengah dan Eropah.
Bedak tradisional yang menggunakan formulasi ramuan Cina ini bukan sahaja membantu mencerahkan kulit, bahkan boleh digunakan sebagai masker setelah dicampurkan  air suam.  
Sejak kebelakangan ini, Bedak Nyonya jarang digunakan generasi muda kerana mereka memilih bedak yang lebih berjenama.
Bagaimanapun, Bedak Nyonya tetap diingati dan pastinya ia mempunyai nostalgia yang tersendiri kepada pemakainya dan yang pernah melihatnya dan hidup pada zaman kegemilangannya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/bisnes/bedak-nyonya-menggamit-memori-1.568919

No comments: