Friday 8 February 2013

MALAIKAT BERDOA KEPADA SIAPA YANG BERDOA UNTUK ORANG LAIN.

Antara amalan mulia yang diajar oleh Rasulullah S.A.W. ialah berdoa untuk saudara seagama yang lain tanpa pengetahuannya. Amalam ini menyebabkan para malaikat berdoa agar kebaikan yang dipohon itu juga menjadi miliknya. 

Doa seperti ini juga adalah mustajab sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.
Daripada Abu Darda’ RA bahawa dia mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya : “ Tidaklah berdoa seorang muslim terhadap saudaranya secara ghaib (tanpa diketahui oleh saudaranya itu) melainkan akan berkatalah para malaikat, engkau juga beroleh yang seumpama dengannya.” (Riwayat Muslim).

Dalam satu riwayat lain juga daripada Abu Darda’ RA, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : “Doa seorang muslim kepada saudara muslimnya secara ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajab (diterima), di sisi kepalanya malaikat yang diutus Allah setiap kali dia mendoakan saudara muslimnya dengan doa yang baik, dan berkatalah malaikat itu, amin!, engkau juga beroleh manfaat yang sama.” (Riwayat Muslim).

Daripada Ibnu Umar RA, Rasullulah SAW bersabda yang bermaksud : “Doa yang paling segera dimakbulkan ialah doa secara ghaib (tanpa pengetahuan orang yang didoakan itu).” (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi). Oleh yang demikian kita hendaklah sentiasa berdoa untuk kebaikan saudara muslim kita. Jangan doa kita hanyalah semata-mata untuk diri kita sahaja. Begitu indah dan cantiknya ajaran Islam. Islam mendidik kita agar tidak tidak mementiNgkan diri sendiri.
Apatah lagi janji Rasulullah S.A.W. bahawa doa yang dipanjatkan untuk orang lain tanpa pengetahuannya akan dimakbulkan oleh Allah S.W.T. dan diaminkan oleh para malaikat,makhluk Allah S.W.T. yang terpelihara daripada dosa. 
Sekiranya anda seorang pelajar, disamping berdoa untuk kebaikan diri sendiri jangan lupa untuk berdoa kepada ibubapa anda, guru-guru anda dan rakan seperjuangan yang bersama-sama ingin mencipta kecemerlangan dalam akademik. Dengan amalan ini, jiwa anda akan suci dan murni daripada sifat hasad dengki dan iri hati terhadap rakan sebaya. 

Semoga Allah S.W.T. memberi taufik dan kekuatan iman kepada kita untuk mengamal amal soleh yang bermanafaat ini.


https://www.facebook.com/
Mamet Dzar Al-Kubra
8.2.2013

No comments: