Showing posts with label KOLEKSI TG HJ HADI AWANG. Show all posts
Showing posts with label KOLEKSI TG HJ HADI AWANG. Show all posts

Thursday, 20 March 2025

RASULULLAH SAW DITUDUH MENGAMALKAN NEPOTISME DAN KRONISME

Nepotisme atau pilih keluarga bermaksud melebihkan atau mengutamakan saudara-mara serta rakan-rakan yang ada hubungan, bukannya penilaian secara objektif keupayaan seseorang yang hendak dipilih. Manakala kronisme pula bermaksud amalan yang mengutamakan atau mementingkan teman rapat atau kawan-kawan rapat dalam pelantikan sesuatu jawatan, pemberian sesuatu projek dan sebagainya untuk keuntungan pihak mereka.

Mengikut ilmu mantiq (ilmu logik atau science of reason), pendahuluan ilmu falsafah dan ilmu istilah mestilah bersifat jami‘ (kolektif atau comprise atau compile) dan mani‘ (obstacle). Maka, apa-apa takrif yang digunakan hendaklah memenuhi ciri-ciri yang berkaitan dan menolak perkara yang tidak ada kaitan dengannya.
Hal ini mendedahkan kejahilan mereka yang merendah-rendahkan martabat Rasulullah SAW dalam ilmu bahasa dan istilah. Sekiranya disiasat, jelas sekali bahawa pemikiran mereka tidak berfalsafah, malah lebih cenderung memperlihat kejahilan dan keruntuhan moral mereka sendiri. Keadaan ini disebut sebagai jahil murakkab, iaitu apabila seseorang bercakap mengenai perkara yang tidak diketahuinya.
Pelantikan keluarga Rasulullah SAW dan para sahabat RA terkeluar daripada takrif nepotisme dan kronisme. Hal ini demikian kerana, mereka dilantik berdasarkan kelayakan dan pengorbanan mereka dalam perjuangan pada zaman awal Islam yang jauh daripada matlamat untuk mencari kemewahan dan kesempatan jawatan, ketika Islam dikepung oleh seluruh dunia.
Allah SWT telah memberikan jaminan akan kebalnya peribadi Rasulullah SAW daripada sebarang fitnah dan pembohongan, sebagaimana firman-Nya:
فَٱصۡدَعۡ بِمَا تُؤۡمَرُ وَأَعۡرِضۡ عَنِ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٩٤ إِنَّا كَفَيۡنَٰكَ ٱلۡمُسۡتَهۡزِءِينَ ٩٥ ٱلَّذِينَ يَجۡعَلُونَ مَعَ ٱللَّهِ إِلَٰهًا ءَاخَرَۚ فَسَوۡفَ يَعۡلَمُونَ ٩٦ وَلَقَدۡ نَعۡلَمُ أَنَّكَ يَضِيقُ صَدۡرُكَ بِمَا يَقُولُونَ ٩٧
“Maka, sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah daripada orang-orang yang Musyrik. (94) Sesungguhnya, Kami memelihara kamu daripada (kejahatan) orang-orang yang memperolok-olokkan (kamu). (95) (Iaitu) mereka yang mengadakan tuhan yang lain bersama-sama Allah, maka mereka akan mengetahui kelak (akibatnya). (96) Dan demi sesungguhnya, Kami mengetahui, bahawa kamu bersusah hati dengan sebab apa yang mereka ucapkan. (97)” [Surah al-Hijr: 94-97]
Rasulullah SAW merupakan teladan daripada Allah kepada seluruh manusia bagi menegakkan keadilan dan kebenaran tanpa peduli siapa yang terlibat. Firman Allah SWT:
۞يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ بِٱلۡقِسۡطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۡ أَوِ ٱلۡوَٰلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَۚ إِن يَكُنۡ غَنِيًّا أَوۡ فَقِيرٗا فَٱللَّهُ أَوۡلَىٰ بِهِمَاۖ فَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلۡهَوَىٰٓ أَن تَعۡدِلُواْۚ وَإِن تَلۡوُۥٓاْ أَوۡ تُعۡرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٗا ١٣٥
“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah, biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu! Jika dia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu akan kemaslahatannya. Maka, janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang daripada kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya, Allah adalah Maha Mengetahui segala yang kamu kerjakan.” [Surah al-Nisa’: 135]
Hakikatnya, pelantikan para sahabat RA dan keluarga Baginda SAW adalah disebabkan kelayakan ilmu dan akhlak, serta baiah setia mereka dalam menghadapi cabaran yang mengancam nyawa dan harta. Bukannya kerana harta, kesenangan atau kepentingan peribadi ketika negara Islam berada dalam keadaan miskin dan dikepung oleh seluruh pelosok dunia.
Ketika itu, semua pegawai dan petugas negara Islam bekerja secara sukarela tanpa menerima gaji, sebaliknya hanya menerima sedikit imbuhan sahaja.
Rasulullah SAW juga mengharamkan ahli keluarganya daripada menerima zakat dan sedekah, kerana sumber tersebut merupakan sebahagian daripada punca kewangan negara bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan pada masa itu. Pada masa yang sama, Baginda SAW menentang sekeras-kerasnya ahli keluarga yang menentang Islam, selaras dengan firman Allah SWT:
لَّا تَجِدُ قَوۡمٗا يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ يُوَآدُّونَ مَنۡ حَآدَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَوۡ كَانُوٓاْ ءَابَآءَهُمۡ أَوۡ أَبۡنَآءَهُمۡ أَوۡ إِخۡوَٰنَهُمۡ أَوۡ عَشِيرَتَهُمۡۚ أُوْلَـٰٓئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ ٱلۡإِيمَٰنَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٖ مِّنۡهُۖ وَيُدۡخِلُهُمۡ جَنَّـٰتٍ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَاۚ رَضِيَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُۚ أُوْلَـٰٓئِكَ حِزۡبُ ٱللَّهِۚ أَلَآ إِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ٢٢
“Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang itu bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang yang menanamkan iman dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya dan mereka dimasukkan oleh-Nya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan mereka kekal di dalamnya. Allah reda terhadap mereka dan mereka pun merasa puas terhadap-Nya (limpahan rahmat-Nya). Mereka itulah Hizbullah (golongan Allah). Ketahuilah, sesungguhnya itulah golongan yang mendapat kemenangan (dunia dan akhirat).” [Surah al-Mujadalah: 22]
Mereka hanya beriman kepada janji Allah mengenai pahala dan syurga yang ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata dan tidak dapat dirasai oleh pancaindera. Hanya mereka yang benar-benar ikhlas beriman sahaja boleh menerima jawatan yang ditugaskan kepada mereka.
Hal ini disebabkan jawatan yang dipikul itu sangat mencabar, sehingga menyebabkan mereka menghadapi tekanan hidup kerana terpaksa mengikat perut dan berpuasa. Malah, ia bukan tempat untuk mencari kesenangan dan kesempatan yang menjadi prinsip dan matlamat pengamal kronisme dan nepotisme.
Firman Allah SWT:
قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُكُمۡ وَإِخۡوَٰنُكُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٰلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَٰرَةٞ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٖ فِي سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٤
“Katakanlah, ‘Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatir akan kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.’ Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Tawbah: 24]
Siasatan dan pemerhatian yang teliti akan mendapati bahawa mereka yang memfitnah Rasulullah SAW sebenarnya terdiri daripada kalangan yang runtuh moralnya sendiri, bersifat jahil dan fasiq, serta mengejar kebendaan dan pangkat. Bahkan, dalam kalangan mereka terdapat individu yang kufur dan munafiq.
Jika dikaji secara ilmiah dan berfakta, jelas bahawa takrif kronisme dan nepotisme tidak bertepatan dengan peribadi Rasulullah SAW, yang telah dipilih oleh Allah dan dipuji akhlaknya. Hal ini demikian kerana, Rasulullah SAW sentiasa berada dalam bimbingan wahyu dan Baginda juga mendidik ahli keluarganya untuk banyak berkorban dalam menghadapi kesusahan hidup. Apabila ahli keluarganya meminta lebihan harta untuk menikmati kemewahan dunia, Allah SWT telah berfirman:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ قُل لِّأَزۡوَٰجِكَ إِن كُنتُنَّ تُرِدۡنَ ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيۡنَ أُمَتِّعۡكُنَّ وَأُسَرِّحۡكُنَّ سَرَاحٗا جَمِيلٗا ٢٨ وَإِن كُنتُنَّ تُرِدۡنَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلدَّارَ ٱلۡأٓخِرَةَ فَإِنَّ ٱللَّهَ أَعَدَّ لِلۡمُحۡسِنَٰتِ مِنكُنَّ أَجۡرًا عَظِيمٗا ٢٩
“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, ‘Jika kamu sekalian mengingini kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya aku berikan kepadamu mutaah dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik. (28) Dan jika kamu sekalian menghendaki (keredaan) Allah dan Rasul-Nya serta (kesenangan) di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi sesiapa yang berbuat baik antaramu pahala yang besar.’ (29)” [Surah al-Ahzab: 28-29]
Apabila cucu Rasullullah SAW mengunyah buah kurma daripada hasil zakat, dengan marah Baginda SAW mengeluarkan kurma daripada mulut cucunya, kerana diharamkan walau sedikit pun harta zakat kepada keluarganya. Malah, Baginda SAW sendiri juga hidup dalam keadaan miskin kerana menyumbangkan hartanya untuk membantu rakyat.
Mereka yang menuduh Rasulullah SAW dengan tuduhan sedemikian sebenarnya menentang Allah dan boleh dipertikaikan keimanannya. Hal ini demikian kerana, Allah mewajibkan manusia mengambil teladan daripada Rasulullah SAW:
لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا ٢١
“Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” [Surah al-Ahzab: 21]
Rasulullah SAW tidak boleh dibandingkan dengan manusia lain, bahkan generasi keluarga dan para sahabatnya yang beriman juga tidak boleh disamakan dengan generasi kemudian. Rasulullah SAW telah menegaskan bahawa secupak makanan yang disumbangkan oleh para sahabat pada zaman awal Islam lebih besar pahalanya di sisi Allah, berbanding sumbangan emas sebesar bukit oleh generasi kemudian.
Maka, sesiapa yang mempertikaikan sifat mulia yang wajib dimiliki oleh para rasul sebenarnya mencabar Allah dan menghina para rasul-Nya yang wajib bersifat benar (siddiq), amanah, tabligh (menyampaikan), dan bijaksana (fatanah). Malah, Baginda SAW terpelihara daripada sebarang sifat buruk dengan pengawalan wahyu daripada Allah SWT.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 17 Ramadan 1446 / 18 Mac 2025
[Bil: 20 / 2025]
Copy and paste:
20/3/2025 @ 19 Ramadan 1446H: 12.15 p.m


Monday, 16 December 2024

ZIONIS BERCITA-CITA BESAR MAHU MENGUASAI DUNIA

MINDA PRESIDEN PAS

Perjuangan menegakkan negara Israel Agung (Greater Israel) tetap menjadi cita-cita besar perjuangan Zionis yang menggila tanpa berundur. Walaupun telah banyak diadakan perundingan bertopengkan perdamaian untuk menipu dan mengelirukan masyarakat antarabangsa. Termasuklah umat Islam yang jahil murakkab (tidak sedar akan kejahilannya) sehingga dapat dijadikan bidak catur.
Kumpulan Zionis terus bersifat fanatik perkauman bangsa Bani Isra’il. Sehingga mereka menganggap Bani Isra’il satu-satunya manusia sebenar yang dimuliakan oleh Allah di atas muka bumi mengatasi bangsa yang lain, tanpa peduli kepada kenyataan Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu daripada kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu saling berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” [Surah al-Hujurat: 13]

Perjuangan Zionis menegakkan negara besar Bani Isra’il menjadi cita-cita tertingginya, bersumberkan sejarah kerajaan Nabi Sulaiman AS yang memerintah dunia. Sedangkan kerajaan Nabi Sulaiman AS ialah kurniaan Allah yang khusus kepada Baginda sahaja bagi memperkenankan doanya:

قَالَ رَبِّ ٱغۡفِرۡ لِي وَهَبۡ لِي مُلۡكٗا لَّا يَنۢبَغِي لِأَحَدٖ مِّنۢ بَعۡدِيٓۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡوَهَّابُ ٣٥

“(Sulaiman) berkata, ‘Wahai Tuhanku, ampunilah aku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh seorang jua pun sesudah aku, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pemberi.” [Surah Sad: 35]

Kumpulan Zionis menolak adanya kerasulan nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW dan negaranya kepada seluruh alam yang disebut oleh semua kitab dan para anbiya’ Bani Isra’il. Firman Allah SWT:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ ١٠٧

“Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” [Surah al-Anbiya’: 107]

Firman Allah SWT lagi:
ٱلَّذِينَ ءَاتَيۡنَٰهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ يَعۡرِفُونَهُۥ كَمَا يَعۡرِفُونَ أَبۡنَآءَهُمۡۖ وَإِنَّ فَرِيقٗا مِّنۡهُمۡ لَيَكۡتُمُونَ ٱلۡحَقَّ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ ١٤٦

“Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami berikan al-Kitab (Taurat dan Injil) mengenali Muhammad seperti mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya, sebahagian antara mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 146]

Allah SWT juga berfirman:

وَإِذۡ أَخَذَ ٱللَّهُ مِيثَٰقَ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ لَمَآ ءَاتَيۡتُكُم مِّن كِتَٰبٖ وَحِكۡمَةٖ ثُمَّ جَآءَكُمۡ رَسُولٞ مُّصَدِّقٞ لِّمَا مَعَكُمۡ لَتُؤۡمِنُنَّ بِهِۦ وَلَتَنصُرُنَّهُۥۚ قَالَ ءَأَقۡرَرۡتُمۡ وَأَخَذۡتُمۡ عَلَىٰ ذَٰلِكُمۡ إِصۡرِيۖ قَالُوٓاْ أَقۡرَرۡنَاۚ قَالَ فَٱشۡهَدُواْ وَأَنَا۠ مَعَكُم مِّنَ ٱلشَّـٰهِدِينَ ٨١ فَمَن تَوَلَّىٰ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٨٢

“Dan (ingatlah), ketika Allah mengambil perjanjian daripada para nabi, ‘Sungguh, apa-apa saja yang Aku berikan kepadamu berupa kitab dan hikmah, kemudian datang kepadamu seorang rasul yang membenarkan apa-apa yang ada padamu, nescaya kamu akan sungguh-sungguh beriman kepadanya dan menolongnya.’ Allah berfirman, ‘Adakah kamu mengakui dan menerima perjanjian-Ku terhadap yang demikian itu?’ Mereka menjawab, ‘Kami mengakui.’ Allah berfirman, ‘Kalau begitu, saksikanlah (wahai para nabi) dan Aku menjadi saksi (pula) bersama kamu.’ (81) Sesiapa yang berpaling sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq. (82)” [Surah Ali ‘Imran: 81-82]

Namun demikian, ada juga daripada kalangan Bani Isra’il yang memeluk Islam dan menjadi sahabat Rasulullah SAW sehingga berjuang bersamanya. Ada juga daripada kalangan ilmuwannya terkini yang memeluk Islam.
Sebenarnya, bangsa Yahudi tidak layak lagi menjadi bangsa pilihan. Hal ini demikian kerana, mereka telah dilaknat Allah kerana mengkhianati para anbiya’ dan para ulama’ yang soleh. Mereka tidak menepati janji Allah kepada Nabi Ibrahim AS:

۞وَإِذِ ٱبۡتَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِ‍ۧمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَٰتٖ فَأَتَمَّهُنَّۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامٗاۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِيۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهۡدِي ٱلظَّـٰلِمِينَ ١٢٤

“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimah (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia.’ Ibrahim berkata, ‘(Dan aku mohon juga) daripada keturunanku.’ Allah berfirman, ‘Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang yang zalim.’” [Surah al-Baqarah: 124]

Hanya kerajaan adil yang menegakkan hukum Allah sahaja yang layak menjadi pemimpin bagi seluruh manusia, tidak layak bagi bangsa yang zalim seperti bangsa Yahudi dan kumpulan Zionisnya.

Firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡفُرُونَ بِ‍َٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ بِغَيۡرِ حَقّٖ وَيَقۡتُلُونَ ٱلَّذِينَ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡقِسۡطِ مِنَ ٱلنَّاسِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ ٢١ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِ وَمَا لَهُم مِّن نَّـٰصِرِينَ ٢٢

“Sesungguhnya, orang-orang yang kufur kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tidak dibenarkan dan membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil, maka gembirakanlah mereka bahawa mereka akan menerima seksa yang pedih. (21) Mereka itu ialah orang-orang yang lenyap (pahala) amal-amalnya di dunia dan akhirat, dan mereka sekali-kali tidak memperoleh penolong. (22)” [Surah Ali ‘Imran: 21-22]

Namun begitu, Bani Isra’il memulakan negara agungnya yang diperjuangkan dengan cara paling zalim dan ganas. Sempadannya bukan sahaja Israel kini, sebaliknya ia berpusat di wilayah yang memiliki sempadan yang luas setelah merampas Palestin dengan kekerasan.
Malah, peperangan diluaskan lagi wilayahnya, dari Laut Tengah hingga ke Laut Merah, dari Sungai Nil di Mesir hingga Sungai Furat di Iraq. Merangkumi Arab Saudi (termasuk Madinah) hingga Mesir, Lubnan, Syria dan Iraq, bukan sahaja Palestin. Negara agungnya akan berpusat di Bait al-Maqdis. Inilah yang dilaungkan sehingga menjadi slogan perjuangan sucinya yang bakal dipimpin oleh al-Masih (Dajjal).

Kumpulan Zionis mengerahkan bangsa Yahudi daripada seluruh pelosok dunia berhimpun di Palestin bagi perjuangan yang besar itu. Penganut Kristian dari Amerika Syarikat dan Eropah digabung bersamanya menjadi ahli Zionis, di samping menarik negara lain berada di bawah pengaruhnya, termasuk negara Arab dan Islam.

Kumpulan Zionis berjaya menguasai ekonomi dunia sehingga berjaya menguasai Bank Dunia (World Bank) dan Tabung Kewangan Dunia (IMF), serta media dan politik antarabangsa. Malah, kumpulan Zionis juga berjaya menarik negara-negara kuasa besar dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyertai perjuangannya. Sehingga mereka boleh mengatur pemimpin negara dan menentukan siapakah ketua negara besar Amerika Syarikat dan Eropah.
Mereka juga berjaya mempengaruhi negara Arab dan Islam yang telah diletakkan kuasanya oleh penjajah dengan cara menempatkan pangkalan tentera dan menguasai sumber ekonomi bagi kepentingan negara Israel. Malah, dapat disaksikan dengan nyata negara yang mengadakan hubungan normalisasi politik dan ekonomi dengan negara haram Israel.

Mereka juga menggunakan kumpulan liberal dan pelampau daripada kalangan umat Islam yang tidak bertafaqquh (faham) cara pelaksanaannya. Tujuannya bagi merosakkan umat Islam dari dalam dengan berbagai-bagai cara dan pendekatan, sama ada melakukan huru-hara, keruntuhan moral dan kesesatan pemikiran.
Hal ini bagi mengulangi pendekatan perang mazhab dan perkauman bangsa yang pernah memberi peluang kepada penubuhan negara haram Israel yang menyebabkan perpecahan kesan daripada kejahilan generasi baharu. Kini, ia bertujuan menyelamatkan negara haram itu. Inilah juga tujuan peperangan yang berlaku di Syria dan Sudan terkini.
Allah mendedahkan kejahatan mereka merosakkan agama dan manusia serta mencetuskan perang saudara dan perang dunia. Firman Allah SWT:

وَقَالَتِ ٱلۡيَهُودُ يَدُ ٱللَّهِ مَغۡلُولَةٌۚ غُلَّتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَلُعِنُواْ بِمَا قَالُواْۘ بَلۡ يَدَاهُ مَبۡسُوطَتَانِ يُنفِقُ كَيۡفَ يَشَآءُۚ وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرٗا مِّنۡهُم مَّآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَ طُغۡيَٰنٗا وَكُفۡرٗاۚ وَأَلۡقَيۡنَا بَيۡنَهُمُ ٱلۡعَدَٰوَةَ وَٱلۡبَغۡضَآءَ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَٰمَةِۚ كُلَّمَآ أَوۡقَدُواْ نَارٗا لِّلۡحَرۡبِ أَطۡفَأَهَا ٱللَّهُۚ وَيَسۡعَوۡنَ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَسَادٗاۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ ٦٤ وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَكَفَّرۡنَا عَنۡهُمۡ سَيِّ‍َٔاتِهِمۡ وَلَأَدۡخَلۡنَٰهُمۡ جَنَّـٰتِ ٱلنَّعِيمِ ٦٥ وَلَوۡ أَنَّهُمۡ أَقَامُواْ ٱلتَّوۡرَىٰةَ وَٱلۡإِنجِيلَ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيۡهِم مِّن رَّبِّهِمۡ لَأَكَلُواْ مِن فَوۡقِهِمۡ وَمِن تَحۡتِ أَرۡجُلِهِمۚ مِّنۡهُمۡ أُمَّةٞ مُّقۡتَصِدَةٞۖ وَكَثِيرٞ مِّنۡهُمۡ سَآءَ مَا يَعۡمَلُونَ ٦٦

“Orang-orang Yahudi berkata, ‘Tangan Allah terbelenggu’, sebenarnya tangan merekalah yang dibelenggu dan merekalah yang dilaknat disebabkan apa yang telah mereka katakan itu. (Tidak demikian), tetapi kedua-dua tangan Allah terbuka; Dia menafkahkan sebagaimana Dia kehendaki. Dan al-Quran yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu sungguh-sungguh akan menambahkan kederhakaan dan kekufuran bagi kebanyakan antara mereka. Dan Kami telah timbulkan permusuhan dan kebencian antara mereka sampai Hari Kiamat. Setiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya dan mereka berbuat kerosakan di muka bumi dan Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan. (64) Dan sekiranya Ahli Kitab beriman dan bertaqwa, tentulah Kami tutup (hapus) kesalahan-kesalahan mereka dan tentulah Kami masukkan mereka ke dalam syurga-syurga yang penuh keni‘matan. (65) Dan sekiranya mereka bersungguh-sungguh menegakkan (menjalankan hukum Allah dalam) Taurat, Injil, dan (al-Quran) yang diturunkan kepada mereka daripada Tuhan mereka, nescaya mereka akan dapat mendapat makanan (rezeki yang mewah) dari atas mereka (langit) dan dari bawah kaki mereka (bumi). Antara mereka ada golongan yang pertengahan (adil), namun kebanyakan mereka berkelakuan buruk dan keji. (66)” [Surah al-Ma’idah: 64-66]

Mereka bijak menipu dan berpura-pura cinta akan perdamaian dengan berbagai-bagai cadangan yang menarik seperti Perjanjian Oslo, Perjanjian Madrid dan penyelesaian dua negara (two-state solution) yang dibahagikan kepada Palestin dan negara Yahudi. Namun, mereka memberikan tawaran bayaran yang mahal supaya rakyat Palestin keluar daripada tanah airnya dan menyerahkan Palestin kepada bangsa Yahudi.
Mereka mengadu domba umat Islam melalui perbezaan mazhab dan kaum atau perjuangan atas slogan demokrasi dan hak asasi manusia sehingga mencetuskan peperangan saudara yang dibantu persenjataannya. Pada masa yang sama, mereka bertujuan melakar peta baharu bagi memecahkan Arab dan Islam bagi meneruskan agenda penjajahan bersama Zionis.
Adapun mereka membekalkan senjata terpilih yang tidak menjadi ancaman kepada negara haram Israel. Mereka hanya membekalkan senjata kepada kumpulan-kumpulan yang mencetuskan perang saudara bagi meringankan bebanan terhadap Israel yang sedang diancam oleh gerakan Islam yang sebenar.
Pada masa yang sama, mereka membina kekuatan tentera dengan senjata yang dibekalkan bertali arus kepada Israel daripada kuasa besar Amerika Syarikat dan Eropah. Ini termasuklah senjata pemusnah paling ganas yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa.
Terkini, mereka mengerahkan bala tentera bagi menambah kekuatan pangkalan tentera yang telah berada di beberapa buah negara Arab dan Islam.
Segala tindakan ganas yang melampau yang dilakukan oleh Israel mendapat perlindungan kuasa veto (pembatal) daripada kuasa besar yang melindunginya atas nama keamanan dan keselamatan negara Israel sahaja. Bahkan, keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menetapkan hukuman ke atas kezaliman Israel tidak boleh dilaksanakan.
Begitu besarnya pengaruh Zionis terhadap dunia kini dalam segala lapangan politik, ekonomi dan media, bagi menjayakan cita-cita negara besar yang diimpikannya.
Allah mendedahkan kelemahan mereka dalam al-Quran yang dikuti dengan kemusnahan mereka sendiri. Firman Allah SWT:

لَا يُقَٰتِلُونَكُمۡ جَمِيعًا إِلَّا فِي قُرٗى مُّحَصَّنَةٍ أَوۡ مِن وَرَآءِ جُدُرِۢۚ بَأۡسُهُم بَيۡنَهُمۡ شَدِيدٞۚ تَحۡسَبُهُمۡ جَمِيعٗا وَقُلُوبُهُمۡ شَتَّىٰۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَعۡقِلُونَ ١٤

“Mereka (orang-orang Yahudi dan munafiq) dengan keadaan bersatu padu sekalipun tidak akan berani memerangi kamu, kecuali dalam kampung-kampung yang mempunyai benteng kukuh atau di sebalik tembok. Permusuhan antara sesama mereka sendiri adalah sangat hebat. Kamu menyangka mereka itu bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu, kerana sesungguhnya mereka ialah kaum yang tidak mengerti.” [Surah al-Hasyr: 14]

Allah mendedahkan kemusnahan mereka dalam sejarah dan akan berulang lagi pada akhir zaman. Firman Allah SWT:

وَقَضَيۡنَآ إِلَىٰ بَنِيٓ إِسۡرَآءِيلَ فِي ٱلۡكِتَٰبِ لَتُفۡسِدُنَّ فِي ٱلۡأَرۡضِ مَرَّتَيۡنِ وَلَتَعۡلُنَّ عُلُوّٗا كَبِيرٗا ٤ فَإِذَا جَآءَ وَعۡدُ أُولَىٰهُمَا بَعَثۡنَا عَلَيۡكُمۡ عِبَادٗا لَّنَآ أُوْلِي بَأۡسٖ شَدِيدٖ فَجَاسُواْ خِلَٰلَ ٱلدِّيَارِۚ وَكَانَ وَعۡدٗا مَّفۡعُولٗا ٥ ثُمَّ رَدَدۡنَا لَكُمُ ٱلۡكَرَّةَ عَلَيۡهِمۡ وَأَمۡدَدۡنَٰكُم بِأَمۡوَٰلٖ وَبَنِينَ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ أَكۡثَرَ نَفِيرًا ٦ إِنۡ أَحۡسَنتُمۡ أَحۡسَنتُمۡ لِأَنفُسِكُمۡۖ وَإِنۡ أَسَأۡتُمۡ فَلَهَاۚ فَإِذَا جَآءَ وَعۡدُ ٱلۡأٓخِرَةِ لِيَسُ‍ُٔواْ وُجُوهَكُمۡ وَلِيَدۡخُلُواْ ٱلۡمَسۡجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٖ وَلِيُتَبِّرُواْ مَا عَلَوۡاْ تَتۡبِيرًا ٧

“Dan telah Kami tetapkan terhadap Bani Isra’il dalam kitab itu, ‘Sesungguhnya, kamu akan membuat kerosakan di muka bumi ini dua kali dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar.’ (4) Maka, apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) pertama daripada kedua-dua (kejahatan) itu, Kami datangkan kepadamu hamba-hamba Kami yang mempunyai kekuatan yang besar, lalu mereka bermaharajalela di kampung-kampung, dan itulah ketetapan yang pasti terlaksana. (5) Kemudian, Kami berikan kepadamu giliran untuk mengalahkan mereka kembali dan Kami membantumu dengan harta kekayaan dan anak-anak dan Kami jadikan kamu kelompok yang lebih besar. (6) Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri, dan apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) yang kedua, (Kami datangkan orang-orang lain) untuk menyuramkan muka-muka kamu dan mereka masuk ke dalam masjid, sebagaimana musuh-musuhmu memasukinya pada kali pertama dan untuk membinasakan sehabis-habisnya apa saja yang mereka kuasai. (7)” 
[Surah al-Isra’: 4-7]

Bahkan, daripada kalangan penganut agama Yahudi juga ada mazhab yang mengharamkan penubuhan negara Israel kerana akan menjadi sebab ajal mereka ditamatkan daripada persada dunia. Apa yang mereka perjuangkan iaitu menubuhkan negara Israel Agung laksana menggali kubur sendiri.
Malangnya, terdapat daripada kalangan negara Arab dan Islam masih melakukan normalisasi dengan mengiktiraf negara haram itu. Hal ini menunjukkan kejahilannya terhadap sejarah dan agama sendiri.
Sangat memalukan adanya negara bukan Islam di Amerika Latin dan Afrika yang bertindak memutuskan hubungan dengan Israel. Termasuk kumpulan-kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) di negara-negara Amerika Syarikat dan Eropah yang mendedahkan penipuan Zionis.

Allah SWT telah memberi amaran berulang kali dalam al-Quran. Antaranya firman Allah SWT yang berikut:

۞ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلنَّصَٰرَىٰٓ أَوۡلِيَآءَۘ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمۡ فَإِنَّهُۥ مِنۡهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٥١

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu menjadi pemimpin-pemimpin kamu, kerana sebahagian daripada mereka menjadi teman rapat kepada sebahagiannya yang lain; dan sesiapa antara kamu yang menjadikan mereka sebagai teman rapat, maka sesungguhnya ia adalah daripada golongan mereka itu. Sesungguhnya, Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.” [Surah al-Ma’idah: 51]

Mereka yang mencari kemenangan melalui bukan Islam adalah bersifat munafiq dan pasti ditimpa kehinaan, kerana kemuliaan itu kepunyaan Allah. Firman Allah SWT:

بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا ١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا ١٣٩

“Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih. (138) (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka, sesungguhnya, semua kekuatan ialah kepunyaan Allah. (139)” [Surah al-Nisa: 138-139]

Tegasnya, mereka yang berwala’ kepada Zionis pasti menemui ajal bersamanya.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 7 Jumada al-Akhirah 1446 / 9 Disember 2024


Copy and paste:
16/12/2024: 1.45 p.m

SEJARAH SINGAPURA YANG DIBUTAKAN, BATU PUTEH YANG BERPUTIH MATA

Minda Presiden PAS

Sejarah Singapura dijajah British penuh dengan kisah penipuan, hasil kebodohan sendiri dan gelojoh harta dan takhta sehingga boleh ditipu oleh penjajah. Cerita benar yang dilupakan dalam lipatan sejarah tanah air sehingga generasi baru jahil cerita tanah airnya. Senario Singapura terputus daripada Semenanjung Tanah Melayu kerana kejahilan politik bangsa Melayu yang jahil agama, sehingga ditipu penjajah apabila menganggap politik itu kerja menipu dan kotor. Hakikatnya terbalik bahawa sebenarnya yang tidak berpolitiklah menjadi mangsa penipuan diperkudakan dan ditipu. Akhirnya, dicuri kuasa politik tanah airnya.

Menjadikan bangsa Melayu di Singapura tenggelam laksana tenggelamnya kaum Nabi Nuh oleh peristiwa taufan paling besar dalam sejarah manusia yang meranapkan generasi awal zuriat Nabi Adam dan Nabi Nuh menyambung zuriatnya.
Mereka ditipu oleh para pemimpin supaya menentang Rasul Allah Nabi Nuh AS, menuduh Nabi Nuh bodoh, berpolitik gila kuasa dan sesat padahal mereka menyaksikan benar dan bijaknya Rasul pilihan Allah, namun mereka tidak percaya kepadanya dan amaran Allah yang diberitahu oleh nabinya yang wajib bersifat benar.

Firman Allah SWT:
فَقَالَ ٱلۡمَلَؤُاْ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن قَوۡمِهِۦ مَا هَٰذَآ إِلَّا بَشَرٞ مِّثۡلُكُمۡ يُرِيدُ أَن يَتَفَضَّلَ عَلَيۡكُمۡ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَأَنزَلَ مَلَـٰٓئِكَةً مَّا سَمِعۡنَا بِهَٰذَا فِيٓ ءَابَآئِنَا ٱلۡأَوَّلِينَ ٢٤ إِنۡ هُوَ إِلَّا رَجُلُۢ بِهِۦ جِنَّةٞ فَتَرَبَّصُواْ بِهِۦ حَتَّىٰ حِينٖ ٢٥
“Maka, pemuka-pemuka (para pembesar) antara kaumnya menjawab, ‘Orang ini (Nuh) tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, yang bermaksud hendak menjadi seorang yang lebih tinggi dari kamu. Dan kalau Allah menghendaki, tentu Dia mengutus beberapa malaikat. Belum pernah kami mendengar (seruan yang seperti) ini pada masa nenek moyang kami yang dahulu. (24) Dia tidak lain hanyalah seorang laki-laki yang berpenyakit gila, maka tunggulah (sabarlah) terhadapnya sampai suatu waktu’ (25)” [Surah al-Mu’minun: 25-26]

Adapun Melayu mungkin menerima nasib tidak bersambung zuriatnya, laksana kaum Red Indian di benua Amerika dan orang asal di New Zealand dan Australia yang terpinggir di tanah air sendiri. Berlakunya firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَا لَكُمۡ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلۡتُمۡ إِلَى ٱلۡأَرۡضِۚ أَرَضِيتُم بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا مِنَ ٱلۡأٓخِرَةِۚ فَمَا مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فِي ٱلۡأٓخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ ٣٨ إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِيمٗا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيۡـًٔا ۗوَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ٣٩

“Wahai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu, ‘Berangkatlah (untuk berjuang) pada jalan Allah’ kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. (38) Jika kamu tidak berangkat untuk berjuang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksa yang pedih dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan kepada-Nya sedikit pun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (39)” [Surah al-Tawbah: 38-39]

Firman Allah SWT:

لَهُۥ مُعَقِّبَٰتٞ مِّنۢ بَيۡنِ يَدَيۡهِ وَمِنۡ خَلۡفِهِۦ يَحۡفَظُونَهُۥ مِنۡ أَمۡرِ ٱللَّهِۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ سُوٓءٗا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ ١١

“Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” [Surah al-Ra‘d: 11]

Begitulah Allah menentukan ajal kepada umat yang tidak berjuang mempertahankan maruah agama dan umatnya.
Namun, tidak ramai yang membaca sejarahnya sehingga dilupakan dan dibutakan serta tidak dijadikan iktibar bagi memikirkan masa depan umat.
Sebaliknya, Batu Puteh terumbu karang yang kecil ditempikkan setelah berputih mata menuding jari kepada yang tidak bersalah dan tiada kena mengena dengan yang difitnahkan kerana sebenarnya ia berlaku melalui kesalahan dan kebodohan orang lain.

Almarhum Prof. Nik Anwar memaklumkan kepada saya, ada surat kenyataan rasmi bertarikh 21 September 1953 kepada Setiausaha Kolonial di Singapura, menyerahkan terumbu Batu Puteh kepada Singapura oleh kalangan tertentu yang pendek akalnya. Sebelum Tun Mahathir jadi PM lagi.

Berbeza dengan penyerahan Singapura kepada British melalui perjanjian menyerah diri dan akhirnya terputus daripada Semenanjung Tanah Melayu melalui proses demokrasi yang halal mengikut undang-undang manusia selepas merdeka dalam Malaysia dan keluarnya penjajah British, akibat Melayu bersama UMNO Singapura tidak mahu berpolitik.

Kini pula, tindakan bodoh itu ditutup oleh para pembohong dan penipu dengan cara yang terbuka laksana menudung bangkai dengan tapak tangan yang kecil bagi menyalahkan Tun Mahathir yang tidak ada kaitan menyerahnya kepada penjajah.

Parlimen diperkudakan menjadi penipu secara lakonan dengan memaksa Tun Dr. Mahathir menjadi hero yang dituduh, sedangkan hero sebenar yang menipu berlindung di belakang pentas Parlimen.

Apa yang menarik ialah pelakon tambahannya daripada Melayu dalam PH (PKR , PAN dan DAP Melayu) dan UMDAP (UMNO Khadam DAP). Adapun DAP yang terkenal lantang bersuara tidak perlu bersuara kerana ada khadamnya. Nampak tidak setianya kepada negara dan lebih rela kepada negara asing. Tidak mengenang budi diberi kerakyatan walau sifatnya pendatang yang dibawa masuk oleh penjajah.

Saya masih ingat Almarhum Ayahanda Haji Awang menceritakan penjajah menipu ketua salah satu negara Arab mahu membeli tanah seluas belulang kambing. Pada awalnya saya menyangka hanya cerita penglipur lara. Tiba-tiba dalam lawatan saya ke Tunisia, Syeikh Rasyid al-Ghannushi menunjukkan kepada saya kawasan tanah yang diminta sebesar belulang kambing itu benar-benar berlaku, dengan cara belulangnya digunting menjadi tali yang halus diukur tanahnya yang luas menjadi tempat penjajah itu bertapak. Begitu mudah sekali ditipunya para pemimpin kita pada zaman rakyat bertuhankan pemimpin yang bodoh.

Akhirnya Panglima Sinan Basya (1506-1596) daripada Kerajaan ‘Uthmaniyyah yang menjadi kuasa besar dunia pada waktu itu berjaya menghalau penjajah dan membebaskan Tunisia daripada penjajahan Sepanyol.
Begitulah tanah air Islam dipertahankan ketika umatnya menjadi kuasa besar yang kuat. Malangnya, kini kita berada dalam keadaan yang sangat hina dan dihinakan kerana kebodohan sendiri.

Malangnya pula, Singapura diserah secara reda kepada penjajah dan hilang kuasa Melayunya melalui demokrasi Barat yang aman damai kerana Melayunya lupa pentingnya politik sehingga boleh dibeli dan dibuli.
Lihat dengan faham betapa bodohnya apabila Singapura yang ditipu sehingga dijajah dilupakan sejarahnya. Apabila Batu Puteh yang kerdil pula menjadi tajuk utama lakonan menipu. Hanya batu karang kecil diperbesarkan dengan tujuan menipu rakyat yang telah pun ditipu.

Allah menceritakan nasib para pemimpin yang menipu rakyat bersama rakyat yang ditipunya pada Hari Kiamat nanti. Firman Allah SWT:

يَوۡمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمۡ فِي ٱلنَّارِ يَقُولُونَ يَٰلَيۡتَنَآ أَطَعۡنَا ٱللَّهَ وَأَطَعۡنَا ٱلرَّسُولَا۠ ٦٦ وَقَالُواْ رَبَّنَآ إِنَّآ أَطَعۡنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَآءَنَا فَأَضَلُّونَا ٱلسَّبِيلَا۠ ٦٧ رَبَّنَآ ءَاتِهِمۡ ضِعۡفَيۡنِ مِنَ ٱلۡعَذَابِ وَٱلۡعَنۡهُمۡ لَعۡنٗا كَبِيرٗا ٦٨

“Pada hari ketika muka mereka dibolak-balikkan dalam neraka, mereka berkata, ‘Alangkah baiknya, andai kata kami taat kepada Allah dan taat (pula) kepada Rasul’. (66) Dan mereka berkata, ‘Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar)’. (67) ‘Wahai Tuhan kami, timpakanlah kepada mereka azab dua kali lipat dan kutuklah mereka dengan kutukan yang besar’. (68)” [Surah al-Ahzab: 66-68]
Menunjukkan hukuman Allah terhadap pemimpin yang sesat dan bodoh bersama pengikutnya yang tidak berfikir dengan akal yang sihat sehingga melakukan apa saja tanpa memandang wawasannya yang panjang.

Kesimpulannya, keadaan ini berlaku apabila bertuhankan kebendaan dan pangkat. Firman Allah menceritakan konsep Firaun membodohkan rakyat:

وَنَادَىٰ فِرۡعَوۡنُ فِي قَوۡمِهِۦ قَالَ يَٰقَوۡمِ أَلَيۡسَ لِي مُلۡكُ مِصۡرَ وَهَٰذِهِ ٱلۡأَنۡهَٰرُ تَجۡرِي مِن تَحۡتِيٓۚ أَفَلَا تُبۡصِرُونَ ٥١ أَمۡ أَنَا۠ خَيۡرٞ مِّنۡ هَٰذَا ٱلَّذِي هُوَ مَهِينٞ وَلَا يَكَادُ يُبِينُ ٥٢ فَلَوۡلَآ أُلۡقِيَ عَلَيۡهِ أَسۡوِرَةٞ مِّن ذَهَبٍ أَوۡ جَآءَ مَعَهُ ٱلۡمَلَـٰٓئِكَةُ مُقۡتَرِنِينَ ٥٣ فَٱسۡتَخَفَّ قَوۡمَهُۥ فَأَطَاعُوهُۚ إِنَّهُمۡ كَانُواْ قَوۡمٗا فَٰسِقِينَ ٥٤ فَلَمَّآ ءَاسَفُونَا ٱنتَقَمۡنَا مِنۡهُمۡ فَأَغۡرَقۡنَٰهُمۡ أَجۡمَعِينَ ٥٥ فَجَعَلۡنَٰهُمۡ سَلَفٗا وَمَثَلٗا لِّلۡأٓخِرِينَ ٥٦

“Dan Firaun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata, ‘Wahai kaumku, bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku; maka apakah kamu tidak melihatnya? (51) Bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina ini dan yang hampir tidak dapat menjelaskan (perkataannya)? (52) Mengapa tidak dipakaikan kepadanya gelang daripada emas atau malaikat datang bersama-sama dia untuk mengiringkannya?’ (53) Maka, Firaun mempengaruhi dan memperbodohkan kaumnya (dengan perkataan itu) lalu mereka patuh kepadanya. Kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasiq. (54) Maka, tatkala mereka membuat Kami murka, Kami menghukum mereka lalu kami tenggelamkan mereka semuanya (di laut). (55) Dan Kami jadikan mereka sebagai pelajaran dan contoh bagi orang-orang yang kemudian. (56)” [Surah al-Zukhruf: 51-56]

Apabila harta dan takhta menjadi matlamat hidup akhirnya menjadi abdi kepada nafsu yang boleh ditipu dan diheret oleh syaitan ke mana sahaja arahnya.

Kita sedang berdepan lagi dengan hubungan normalisasi dengan negara haram Israel melalui Black Rock yang mula dilupakan dan rakyat dijahilkan sekali lagi .

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 21 Jumada al-Akhirah 1446 / 16 Disember 2024
[Bil: 56 / 2024]

Copy and paste:
16/12/2024: 1.35 p.m

Saturday, 6 January 2024

GOLONGAN MUNAFIQ BERADA DI MANA-MANA DAN SEPANJANG ZAMAN

Minda Presiden PAS
13 November 2023

Surah al-Fatihah menjadi surah permulaan al-Quran yang terkandung dalamnya doa di hadapan Allah memohon petunjuk ke arah jalan yang betul pada setiap rakaat solat, kemudian disusuli dengan Surah al-Baqarah. Pada pendahuluan Surah al-Baqarah, Allah membahagikan manusia kepada tiga golongan; iaitu beriman, kafir dan munafiq.
Ayat-ayat yang ditujukan kepada golongan munafiq dijelaskan sifat-sifatnya dalam ayat yang banyak dan paling panjang. Seterusnya, diikuti pula huraian mengenai sifat-sifat atau ciri-ciri golongan munafiq dalam surah-surah yang lain, supaya orang-orang yang beriman menjaga diri mereka daripada terjerumus ke dalam ciri-ciri golongan tersebut.
Golongan munafiq itu berada di mana sahaja dan pada bila-bila masa. Allah SWT berfirman:
﴿وَمِمَّنۡ حَوۡلَكُم مِّنَ ٱلۡأَعۡرَابِ مُنَٰفِقُونَۖ وَمِنۡ أَهۡلِ ٱلۡمَدِينَةِ مَرَدُواْ عَلَى ٱلنِّفَاقِ لَا تَعۡلَمُهُمۡۖ نَحۡنُ نَعۡلَمُهُمۡۚ سَنُعَذِّبُهُم مَّرَّتَيۡنِ ثُمَّ يُرَدُّونَ إِلَىٰ عَذَابٍ عَظِيمٖ ١٠١﴾
“Antara orang-orang Arab Badwi yang di sekelilingmu itu ada orang-orang munafiq dan (demikian juga) sebahagian daripada penduduk Madinah; mereka keterlaluan dalam kemunafiqannya. Kamu (Muhammad) tidak mengetahui mereka, (tetapi) Kamilah (Allah) yang mengetahui mereka. Nanti mereka akan Kami seksa dua kali ganda, kemudian mereka akan dikembalikan kepada azab yang besar.” [Surah al-Tawbah: 101]
Generasi awal umat Islam ialah generasi terbaik dan terpilih. Hal ini dijelaskan oleh sabda Rasulullah SAW:
خَيْرُ ‌النَّاسِ ‌قَرْنِي، ‌ثُمَّ ‌الَّذِينَ ‌يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ يَجِيءُ أَقْوَامٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ، وَيَمِينُهُ شَهَادَتَهُ.
“Sebaik-baik manusia adalah mereka yang hidup pada abadku, kemudian pada abad berikutnya, kemudian pada abad berikutnya. Kemudiannya, muncul golongan saksi yang bohong dan sumpah dusta.”
[Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Syahadat, No. 2652, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab Fada’il al-Sahabah, No. 2533, daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud. Lafaz bagi al-Bukhari]
Al-Quran ialah kitab mukjizat ilmu yang berkekalan menjadi petunjuk kepada semua manusia, khusus mereka yang beriman dan bertaqwa, sepanjang zaman dan di mana-mana sahaja. Rasulullah SAW pula ialah pentafsir kepada al-Quran yang telah menerima wahyu kepadanya secara langsung. Adapun para sahabat RA pula merupakan generasi awal yang menerima secara langsung daripada Rasulullah SAW yang menjadi teladan dalam beramal.
Sekiranya pada zaman generasi terbaik dan di tempat yang mulia pun terdapat kalangan munafiq, sementelah di tempat yang lain di seluruh dunia dan sepanjang zaman pasti akan ada golongan munafiq.
Al-Quran bukanlah buku sejarah dan laporan media yang terikat dengan masa tertentu sahaja, walaupun ada kaitan dengan sejarah silam dan sebab-sebab yang khusus. Namun, ia tetap menjadi hidayah (petunjuk) yang kekal kepada manusia, hanya kalangan mereka yang beriman dan bertaqwa sahaja dapat memahaminya. Adapun golongan yang buta al-Quran tidak mampu memahami hakikat tersebut, bahkan ada yang menolaknya kerana jahil atau takabbur.
Semua label beriman, Islam, munafiq, kafir, zalim, fasiq dan lain-lain disebutkan dalam al-Quran dan hadis kerana keberadaannya dalam masyarakat manusia supaya masing-masing dapat menjaga diri.
Para sahabat generasi awal amatlah berwaspada dengan menjaga iman masing-masing, berwaspada takut dijangkiti dengan sifat-sifat munafiq.
‘Umar RA yang mengetahui bahawa Huzaifah RA merupakan orang yang diberikan maklumat oleh Rasulullah SAW mengenai senarai beberapa orang munafiq di Madinah, pernah bertanyakan Huzaifah adakah dirinya juga termasuk dalam senarai tersebut. Beliau sekali-kali tidak menanyakan hal orang lain. Apabila dilaksanakan sembahyang jenazah, ‘Umar RA akan melihat dahulu sama ada Huzaifah RA menyembahyangkan jenazahnya atau tidak.
Abu Zar RA apabila dimurkai Rasulullah SAW dan dilabelkan bahawa terdapat sifat jahiliah pada dirinya kerana telah menghina seorang sahabat yang lain, maka Abu Zar RA terus meminta maaf dan bertaubat. Beliau sekali-kali tidak marah dan tidak membawa tuduhan itu ke mahkamah.
Allah SWT sangat murka terhadap golongan munafiq, tetapi masih membuka pintu taubat kepada mereka.
Banyak ayat al-Quran dan hadis menyebut berkenaan sifat-sifat munafiq supaya setiap orang yang beriman berwaspada, pada masa yang sama memberi peluang kepada kalangan yang benar-benar munafiq agar bertaubat dan insaf.
Nifaq ialah sifat yang halus masuk ke dalam hati manusia yang merasakan dirinya sangat bijak, kerana boleh berada dengan semua pihak, sama ada kalangan Islam atau kalangan yang menentang Islam, demi kepentingan dirinya tanpa peduli terhadap agamanya.
Firman Allah SWT:
﴿وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ ءَامِنُواْ كَمَآ ءَامَنَ ٱلنَّاسُ قَالُوٓاْ أَنُؤۡمِنُ كَمَآ ءَامَنَ ٱلسُّفَهَآءُۗ أَلَآ إِنَّهُمۡ هُمُ ٱلسُّفَهَآءُ وَلَٰكِن لَّا يَعۡلَمُونَ ١٣ وَإِذَا لَقُواْ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ إِلَىٰ شَيَٰطِينِهِمۡ قَالُوٓاْ إِنَّا مَعَكُمۡ إِنَّمَا نَحۡنُ مُسۡتَهۡزِءُونَ ١٤ ٱللَّهُ يَسۡتَهۡزِئُ بِهِمۡ وَيَمُدُّهُمۡ فِي طُغۡيَٰنِهِمۡ يَعۡمَهُونَ ١٥ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلضَّلَٰلَةَ بِٱلۡهُدَىٰ فَمَا رَبِحَت تِّجَٰرَتُهُمۡ وَمَا كَانُواْ مُهۡتَدِينَ ١٦﴾
“Apabila dikatakan kepada mereka, ‘Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang lain telah beriman’. Mereka menjawab, ‘patutkah kami beriman sebagaimana orang-orang yang bodoh itu telah beriman?’ Ingatlah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh; tetapi mereka tidak tahu. (13) Dan apabila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan, ‘Kami telah beriman’. Dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka mengatakan, ‘Sesungguhnya, kami sependirian dengan kamu, kami hanyalah berolok-olok’. (14) Allah akan (membalas) olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terumbang-ambing dalam kesesatan mereka. (15) Mereka itulah orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk, maka tidaklah beruntung perniagaan mereka dan tidaklah mereka mendapat petunjuk. (16)”
[Surah al-Baqarah: 13-16]
Mereka menganggap dirinya bijaksana dan pandai mengambil kesempatan. Adapun orang yang tidak sepertinya pula dianggap bodoh.
Antara sifat mereka ialah menghina orang miskin yang berderma kerana Allah, sebagaimana yang dinyatakan melalui firman-Nya:
﴿ٱلَّذِينَ يَلۡمِزُونَ ٱلۡمُطَّوِّعِينَ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ فِي ٱلصَّدَقَٰتِ وَٱلَّذِينَ لَا يَجِدُونَ إِلَّا جُهۡدَهُمۡ فَيَسۡخَرُونَ مِنۡهُمۡ سَخِرَ ٱللَّهُ مِنۡهُمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ ٧٩﴾
“(Orang-orang munafiq itu) iaitu orang-orang yang mencela orang-orang Mukmin yang memberi sedekah dengan sukarela dan (mencela) orang-orang yang tidak memperoleh (untuk disedekahkan) selain sekadar kesanggupannya, maka orang-orang munafiq itu menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka itu, dan untuk mereka azab yang pedih.”
[Surah al-Tawbah: 79]
Selain itu, antara sifatnya juga mencari kemenangan dunia dengan berwala’ kepada kalangan bukan Islam yang bermusuh terhadap Islam. Firman Allah SWT:
﴿بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا ١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا ١٣٩ وَقَدۡ نَزَّلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أَنۡ إِذَا سَمِعۡتُمۡ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ يُكۡفَرُ بِهَا وَيُسۡتَهۡزَأُ بِهَا فَلَا تَقۡعُدُواْ مَعَهُمۡ حَتَّىٰ يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيۡرِهِۦٓ إِنَّكُمۡ إِذٗا مِّثۡلُهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ جَامِعُ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ وَٱلۡكَٰفِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا ١٤٠﴾
“Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih. (138) (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir (musuh Islam) menjadi wali (teman-teman penolong mencari kemenangan) dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka, sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah. (139) Dan sungguh Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam al-Quran; iaitu apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk berserta mereka sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya, Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafiq dan orang-orang kafir di dalam neraka Jahannam. (140)”
[Surah al-Nisa’: 138-140]
Firman Allah SWT:
﴿۞وَإِذَا رَأَيۡتَهُمۡ تُعۡجِبُكَ أَجۡسَامُهُمۡۖ وَإِن يَقُولُواْ تَسۡمَعۡ لِقَوۡلِهِمۡۖ كَأَنَّهُمۡ خُشُبٞ مُّسَنَّدَةٞۖ يَحۡسَبُونَ كُلَّ صَيۡحَةٍ عَلَيۡهِمۡۚ هُمُ ٱلۡعَدُوُّ فَٱحۡذَرۡهُمۡۚ قَٰتَلَهُمُ ٱللَّهُۖ أَنَّىٰ يُؤۡفَكُونَ ٤﴾
“Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. Dan apabila mereka berkata-kata, kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka mengira bahawa tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya), maka waspadalah terhadap mereka; semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (daripada kebenaran)?”
[Surah al-Munafiqun: 4]
Rasulullah SAW bersabda:
‌أَرْبَعٌ ‌مَنْ ‌كُنَّ ‌فِيهِ ‌كَانَ ‌مُنَافِقًا ‌خَالِصًا، وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ، حَتَّى يَدَعَهَا: إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ، وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ.
“Empat perkara; apabila ada pada seseorang itu maka dia ialah seorang munafiq; dan sesiapa yang ada pada dirinya salah satu daripadanya, maka ada sifat munafiq pada dirinya sehingga dia meninggalkannya. (Empat sifat itu) apabila diberikan amanah, dia khianat; apabila bercakap, dia bohong; apabila berjanji, tidak ditunaikan; dan apabila berbahas, dia keras dengan kejahatannya (bukan mencari kebenaran).”
[Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, No. 34 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, No. 58, daripada ‘Abdullah bin ‘Amru. Lafaz bagi al-Bukhari]
Allah SWT tetap memberi peluang taubat kepada mereka yang munafiq, lalu mereka tidak diambil tindakan oleh Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:
﴿إِنَّ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ فِي ٱلدَّرۡكِ ٱلۡأَسۡفَلِ مِنَ ٱلنَّارِ وَلَن تَجِدَ لَهُمۡ نَصِيرًا ١٤٥ إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُواْ وَأَصۡلَحُواْ وَٱعۡتَصَمُواْ بِٱللَّهِ وَأَخۡلَصُواْ دِينَهُمۡ لِلَّهِ فَأُوْلَـٰٓئِكَ مَعَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۖ وَسَوۡفَ يُؤۡتِ ٱللَّهُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَجۡرًا عَظِيمٗا ١٤٦ مَّا يَفۡعَلُ ٱللَّهُ بِعَذَابِكُمۡ إِن شَكَرۡتُمۡ وَءَامَنتُمۡۚ وَكَانَ ٱللَّهُ شَاكِرًا عَلِيمٗا ١٤٧﴾
“Sesungguhnya, orang-orang munafiq itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolong pun bagi mereka. (145) Kecuali orang-orang yang bertaubat dan mengadakan perbaikan; dan mereka pula berpegang teguh pada (agama) Allah dan tulus ikhlas (mengerjakan) agama mereka kerana Allah. Maka, mereka itu adalah bersama-sama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan kepada orang-orang yang beriman pahala yang besar. (146) Mengapa Allah akan menyeksamu, jika kamu bersyukur dan beriman? Dan Allah adalah Maha Mensyukuri, lagi Maha Mengetahui. (147)”
[Surah al-Nisa’: 145-147]
Sepatutnya setiap orang melakukan muhasabah ke atas dirinya, bimbang jika ada pada dirinya sifat-sifat munafiq yang merosakkan iman dan amalannya. Janganlah jadi seperti orang yang menyembunyikan penyakit kurap dan gatal dalam bajunya, apabila disebutkan perkataan gatal lalu mereka menggaru.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 29 Jumada al-Ula 1445 / 13 Disember 2023
[Bil: 105 / 2023]

Copy and paste:
6 Januari 2024 > 24 Jamadilakhir 1445H: 7.12 pm


Wednesday, 20 December 2023

ISLAM MENENTANG SEKULARISME

OLEH : TG HJ ABDUL HADI AWANG

Sekularisme ialah satu teori ciptaan manusia yang muncul di Eropah bagi memisahkan urusan duniawi daripada agama.
Sekularisme lahir dalam kalangan masyarakat Kristian yang dibawa ke Eropah sebagai suatu teori yang terpisah daripada kesempurnaan agama Allah, sebagaimana ajaran yang telah dibawa oleh Nabi ‘Isa AS yang diutuskan kepada Bani Isra’il supaya beramal dengan kitab Injil bersama ajaran Taurat dan kebijaksanaannya. Firman Allah SWT:
﴿وَيُعَلِّمُهُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَٱلتَّوۡرَىٰةَ وَٱلۡإِنجِيلَ ٤٨ وَرَسُولًا إِلَىٰ بَنِيٓ إِسۡرَآءِيلَ أَنِّي قَدۡ جِئۡتُكُم بِـَٔايَةٍۢ مِّن رَّبِّكُمۡ أَنِّيٓ أَخۡلُقُ لَكُم مِّنَ ٱلطِّينِ كَهَيْـَٔةِ ٱلطَّيۡرِ فَأَنفُخُ فِيهِ فَيَكُونُ طَيۡرَۢا بِإِذۡنِ ٱللَّهِۖ وَأُبۡرِئُ ٱلۡأَكۡمَهَ وَٱلۡأَبۡرَصَ وَأُحۡيِ ٱلۡمَوۡتَىٰ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۖ وَأُنَبِّئُكُم بِمَا تَأۡكُلُونَ وَمَا تَدَّخِرُونَ فِي بُيُوتِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَةٗ لَّكُمۡ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ ٤٩ وَمُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيَّ مِنَ ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَلِأُحِلَّ لَكُم بَعۡضَ ٱلَّذِي حُرِّمَ عَلَيۡكُمۡۚ وَجِئۡتُكُم بِـَٔايَةٍۢ مِّن رَّبِّكُمۡ فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُونِ ٥٠ إِنَّ ٱللَّهَ رَبِّي وَرَبُّكُمۡ فَٱعۡبُدُوهُۚ هَٰذَا صِرَٰطٞ مُّسۡتَقِيمٞ ٥١﴾
“Dan Allah akan mengajarkan kepadanya (‘Isa AS) al-Kitab, Hikmah, Taurat dan Injil. (48) Dan (melantiknya sebagai) seorang Rasul kepada Bani Isra’il (dengan menegaskan kepada mereka), ‘Sesungguhnya, aku telah datang kepada kamu dengan membawa sesuatu tanda (mukjizat) daripada Tuhan kamu, iaitu aku membuat untuk kamu daripada tanah dengan bentuk burung; kemudian aku meniup padanya, maka ia menjadi seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan aku juga boleh menyembuhkan orang yang buta sejak dari lahir dan orang yang berpenyakit sopak; dan aku juga menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan aku juga boleh mengkhabarkan kepada kamu apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya, pada yang demikian itu adalah suatu tanda (kebenaran yang membuktikan kerasulanku) bagi kamu, jika kamu orang-orang yang sungguh-sungguh beriman. (49) Dan (aku datang kepada kamu) membenarkan Taurat yang datang sebelumku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian yang telah diharamkan untuk kamu; dan aku datang kepada kamu dengan membawa suatu tanda (mukjizat) daripada Tuhan kamu. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah dan taatilah kepadaku. (50) Sesungguhnya, Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu. Oleh itu, sembahlah Dia. Inilah jalan yang lurus.’ (51)” [Surah Ali ‘Imran: 48-51]
Agama Kristian yang dianut oleh Raja Rom telah mengalami perubahan yang parah mengikut sejarahnya, apabila ajarannya disesuaikan dengan agama keberhalaannya yang telah diamalkan sebelum menganut Kristian. Lalu diharamkan Kitab Injil yang asal, di samping kitab Injil menjadi banyak jumlahnya kerana diselewengkan.
Sehinggakan, bertindak memisahkan kuasa raja daripada agama, maka berlaku pemisahan kuasa pemerintah daripada agama. Termaktub dalam kitab Injil yang telah diubah:
“Render unto Caesar the things which are Caesar's, and unto God the things that are God's.”
Serahkan urusan kerajaan kepada raja (manusia), dan serahkan urusan Tuhan kepada Tuhan.” (Matthew: 21)
Setelah zaman kegelapan ilmu, berlaku revolusi ilmu duniawi hasil pengaruh Tamadun Islam. Revolusi yang tidak mempunyai prinsip dan konsepnya yang teguh dalam Injil, lalu dipisahkan pula urusan duniawi daripada agama, khususnya daripada perkara akhirat, atau rohani, atau akhlak. Kehidupan manusia di alam dunia dianggap tidak perlu dicampuradukkan dengan agama sama sekali. Demikianlah suatu fahaman yang menentang ajaran Islam yang dianut oleh para rasul. Firman Allah SWT:
﴿أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ ٨٣ قُلۡ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ عَلَيۡنَا وَمَآ أُنزِلَ عَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِيمَ وَإِسۡمَٰعِيلَ وَإِسۡحَٰقَ وَيَعۡقُوبَ وَٱلۡأَسۡبَاطِ وَمَآ أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَٱلنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمۡ لَا نُفَرِّقُ بَيۡنَ أَحَدٖ مِّنۡهُمۡ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ ٨٤ وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٨٥﴾
“Maka, apakah mereka mencari agama yang lain daripada agama Allah, padahal kepada-Nya sahajalah menyerahkan diri (menganut Islam) segala apa yang ada di langit dan di bumi, baik secara sukarela mahupun terpaksa; dan hanya kepada Allah mereka akan dikembalikan. (83) Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya‘qub, dan anak-anaknya, dan apa yang diberikan kepada Musa, ‘Isa dan sekalian para nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka dan hanya kepada-Nya sahajalah kami menyerahkan diri (menganut Islam).’ (84) Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat kelak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. (85)” [Surah Ali ‘Imran: 83-85]
Al-Quran ialah mukjizat ilmu agama dan dunia, kitab sempurna yang terakhir diwahyukan kepada rasul akhir zaman, bagi mengesahkan perkara prinsip yang sama sebagaimana dalam kitab suci para rasul terdahulu dan juga bagi menangani kehidupan manusia yang berbeza-beza apabila mengalami perubahan yang menjadi sifat alam semesta. Maka, dinasakhkan (dibatalkan) beberapa hukum yang terdahulu dan ditetapkan hukum dalam perkara prinsip dan fitrah yang tidak berubah dan tidak berbeza. Firman Allah SWT:
﴿...ٱلۡيَوۡمَ يَئِسَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن دِينِكُمۡ فَلَا تَخۡشَوۡهُمۡ وَٱخۡشَوۡنِۚ ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ فَمَنِ ٱضۡطُرَّ فِي مَخۡمَصَةٍ غَيۡرَ مُتَجَانِفٖ لِّإِثۡمٖ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٣﴾
“... Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agama kamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini, telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu ni‘mat-Ku, dan telah Aku redai Islam itu jadi agama bagi kamu.” [Surah al-Ma’idah: 3]
Nyata sekali kegagalan dan kelemahan ideologi serta agama selain daripada Islam disebabkannya tidak sempurna dalam menetapkan aspek prinsip dan konsep peranan manusia mengikut fitrah serta tujuan mereka diciptakan. Fitrahnya berjasad, bernyawa, berakal, kedirian dan kemasyarakatan.
Adapun tujuan penciptaannya pula adalah untuk beribadat kepada Allah Pencipta alam, melaksanakan khilafah (mentadbir urusan dunia) dan menunaikan amanah (khususnya berlaku adil kepada semua) yang tidak berpisah antara satu sama lain.
Perkara ini sekali gus menjadikan Islam itu tidak memisah-misahkan urusan dunia dengan urusan agama atau berwawasan dunia sehingga akhirat. Termasuk urusan politik, ekonomi, sains dan teknologi dan lain-lain.
Selain itu, menghubungkan manusia dengan Allah, Tuhan yang Maha Esa. Termasuklah hubungan dengan sesama manusia dalam sebuah keluarga, masyarakat dalam satu negara dan peringkat antarabangsa serta hubungan manusia dengan alam sekelilingnya yang nyata mahupun alam yang ghaib. Firman Allah SWT:
﴿الٓمٓ ١ ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ ٢ ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغَيۡبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ ٣ وَٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ وَبِٱلۡأٓخِرَةِ هُمۡ يُوقِنُونَ ٤ أُوْلَـٰٓئِكَ عَلَىٰ هُدٗى مِّن رَّبِّهِمۡۖ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ٥﴾
“Alif lam mim. (1) Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. (2) (Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka. (3) Dan mereka yang beriman kepada Kitab (al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat. (4) Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya. (5)” [Surah al-Baqarah: 1-5]
Seluruh ajaran Islam berjaya dilaksanakan pada zaman keemasan Tamadun Islam selama beberapa abad lamanya. Manusia diislamkan bersama seluruh cara hidupnya yang telah mencipta Hadarah Islamiah (Tamadun Islam) yang berprinsipkan aqidah, syariat dan akhlak dalam kehidupan manusia yang berilmu dan bermasyarakat madani yang beragama, tidak berpisah dalam segala aspeknya.
Pada masa yang sama, tetap teguh atas prinsip aqidah dan konsep kehidupan manusia yang betul. Bahkan, berpegang kepada agama para rasul (Islam), mengekalkan perkara yang positif daripada tamadun ciptaan manusia dan menolak segala yang negatif (jahiliah) dalam segala aspeknya, berkonsepkan adil kepada seluruh manusia.
Maka, Islam diterima menjadi penyelamat apabila datang kepada semua bangsa dan wilayah yang dikuasainya (bekas jajahan takluk Parsi, Rom dan wilayah-wilayah yang lain). Hal ini berbeza dengan kedatangan penjajah Barat selepas kejatuhan Islam, apabila ajarannya dicuaikan oleh para penganutnya.
Ramai yang datang menganut Islam tanpa paksaan atau reda berada di bawah Kerajaan Islam yang adil dengan terus menganut agama kepercayaannya. Malah, masih ada penganut berbagai-bagai agama dan rumah-rumah ibadat mereka yang kekal sehingga kini dalam wilayah Islam dahulu.
Berbeza dengan penjajah yang membawa teori sekularisme daripada asalnya. Apabila urusan duniawi terpisah daripada agama, maka lahirlah daripadanya teori liberalisme dan kehidupan bermasyarakat. Dalam aspek politik pula, mencipta demokrasi kuasa rakyat yang ditipu, apabila politiknya tidak beragama, atau bersifat diktator secara individu atau berkumpulan. Dalam aspek ekonomi pula, dicipta fahaman liberal kapitalisme atau sosialisme dan komunisme yang berkonsepkan kebendaan semata-mata.
Kini, kita menyaksikan liberalisme dalam masyarakat Barat berprinsipkan kebebasan yang melanggar fitrah manusia, sehinggakan manusia bebas seperti binatang dan bersikap melampau lebih daripada binatang kerana menyalahgunakan akal mereka. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:
﴿وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَـٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ ١٧٩﴾
“Dan sesungguhnya, Kami jadikan untuk (isi neraka Jahanam) kebanyakan daripada kalangan jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak mahu dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah); dan mereka mempunyai mata, (tetapi) tidak mahu dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah); dan mereka juga mempunyai telinga, (tetapi) tidak mahu dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Surah al-A‘raf: 179]
Lahirnya pelbagai kumpulan seperti LGBT, LGBTQ dan sebagainya, sehingga mempertahankan hak asasi binatang itu lebih utama daripada hak asasi manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:
﴿۞وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا ٧٠﴾
“Dan sesungguhnya, Kami telah memuliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda yang baik-baik, dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” [Surah al-Isra’: 70]
Dalam aspek politik yang menjadi amanah terpenting telah dikhianati, apabila ia terpisah daripada agama sehingga telah melahirkan pemimpin yang berkuasa dengan menipu, rasuah, menyalahgunakan kuasa dan tidak bermoral. Lantas, kuasa dijadikan peluang kehidupan yang selesa bagi diri atau kumpulannya, manakala pemimpin itu ditaati kerana sifat zalimnya bukan dihormati kerana sifat adilnya.
Allah SWT menyebutkan dalam al-Quran contoh Firaun yang berkuasa memerintah negara, firman-Nya:
﴿وَنَادَىٰ فِرۡعَوۡنُ فِي قَوۡمِهِۦ قَالَ يَٰقَوۡمِ أَلَيۡسَ لِي مُلۡكُ مِصۡرَ وَهَٰذِهِ ٱلۡأَنۡهَٰرُ تَجۡرِي مِن تَحۡتِيٓۚ أَفَلَا تُبۡصِرُونَ ٥١ أَمۡ أَنَا۠ خَيۡرٞ مِّنۡ هَٰذَا ٱلَّذِي هُوَ مَهِينٞ وَلَا يَكَادُ يُبِينُ ٥٢ فَلَوۡلَآ أُلۡقِيَ عَلَيۡهِ أَسۡوِرَةٞ مِّن ذَهَبٍ أَوۡ جَآءَ مَعَهُ ٱلۡمَلَـٰٓئِكَةُ مُقۡتَرِنِينَ ٥٣ فَٱسۡتَخَفَّ قَوۡمَهُۥ فَأَطَاعُوهُۚ إِنَّهُمۡ كَانُواْ قَوۡمٗا فَٰسِقِينَ ٥٤﴾
“Dan Firaun menyeru kepada kaumnya (seraya) berkata, ‘Wahai kaumku! Bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku; maka apakah kamu tidak melihatnya? (51) Bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina ini dan yang hampir tidak dapat menjelaskan (perkataannya)? (52) Mengapa tidak dipakaikan kepadanya gelang daripada emas atau malaikat datang bersama-samanya untuk mengiringinya?’ (53) Maka, Firaun mempengaruhi kaumnya (dengan perkataan itu) lalu mereka patuh kepadanya. Kerana sesungguhnya mereka itu ialah kaum yang fasiq. (54)” [Surah al-Zukhruf: 51-54]
Demikianlah kerajaan yang berlagak Maha Berkuasa untuk bertindak dan berlagak memberikan rezeki kepada rakyat dan lain-lain.
Sekularisme membawa konsep ekonomi yang bertuhankan kebendaan menjadi pemujaan. Bukannya ekonomi itu menjadi alat kehidupan, sebaliknya matlamat kehidupan, sama ada kapitalis yang ekstrem atau sosialis yang ekstrem berprinsipkan kehidupan untuk makan, bukan makan untuk hidup memperhambakan diri kepada Allah bagi memakmurkan dunia. Fahaman sedemikian menjadikan manusia berpolitik dan sedia berperang kerana faktor ekonomi.
Sekularisme dalam pendidikan dan media gagal mengisi akal dan roh bagi memenuhi ciri-ciri manusia diciptakan. Sekalipun perut dan nafsu jasadnya diisi dengan segala kepuasannya, sehingga menjadikan manusia itu sanggup membunuh diri sendiri apabila gagal dalam menghadapi cabaran hidupnya.
Keadaan ini membawa kegagalan dalam mengurus alam dunia sekali gus menyebabkan kerosakan hidup dan alam sekitar yang berpunca daripada kesalahan manusia sendiri. Firman Allah SWT:
﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١﴾
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan-tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]
Para pejuang kemerdekaan telah berjaya meletakkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain diberikan hak kebebasan untuk menganutnya.
Apa yang penting adalah mempertahankan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dengan takrif mengikut ajarannya yang sebenar, bukan mengikut teori sekularisme. Sepatutnya parti-parti yang berada di dalam Parlimen ketika awal kemerdekaan mempertahankan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan mengikut maknanya yang sebenar.
Pakatan Harapan (PH) yang dipengaruhi oleh sekularisme yang dibawa oleh penjajah hendaklah ditolak, sama ada parti yang nyata dalam undang-undang tubuhnya menegakkan prinsip sekularisme atau parti yang bersikap pragmatik laksana lalang yang ditiup angin.
Adapun bagi penganut Islam, sekularisme ialah musuh Islam dan semua para anbiya’ yang menganut Islam. Firman Allah SWT:
﴿وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٨٥ كَيۡفَ يَهۡدِي ٱللَّهُ قَوۡمٗا كَفَرُواْ بَعۡدَ إِيمَٰنِهِمۡ وَشَهِدُوٓاْ أَنَّ ٱلرَّسُولَ حَقّٞ وَجَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٨٦ أُوْلَـٰٓئِكَ جَزَآؤُهُمۡ أَنَّ عَلَيۡهِمۡ لَعۡنَةَ ٱللَّهِ وَٱلۡمَلَـٰٓئِكَةِ وَٱلنَّاسِ أَجۡمَعِينَ ٨٧﴾
“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat kelak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. (85) Bagaimana Allah akan menunjuki suatu kaum yang kafir sesudah mereka beriman, serta mereka telah mengakui bahawa rasul itu (Muhammad) benar-benar rasul, dan keterangan-keterangan pun telah datang kepada mereka? Allah tidak menunjuki orang-orang yang zalim. (86) Mereka itu, balasannya ialah bahawa laknat Allah ditimpakan ke atas mereka, (demikian pula) laknat para malaikat dan manusia seluruhnya. (87)” [Surah Ali ‘Imran: 85-87]
Apa yang dinyatakan dalam ayat di atas ditujukan kepada para penganut agama Samawi dan sepertinya dalam kalangan penganut Islam yang mengetahui kesempurnaan Islam yang dianut oleh para anbiya’.
Apabila Kamal Ataturk membawa sekularisme yang ditegakkan terhadap negara Turkiye, diikuti oleh penjajah Barat melaksanakannya dalam negara jajahan takluknya, bangkit tokoh-tokoh besar daripada kalangan para ulama’ Islam pada masa itu memberi amaran yang keras kepada penganut Islam di seluruh dunia supaya berwaspada dan umat Islam wajib menolak sekularisme.
Lihatlah fatwa Syeikh Mustafa Sabri, iaitu Syeikh al-Islam Turkiye yang terakhir, Syeikh Muhamad al-Khader Husain iaitu Syeikh Jami‘ al-Azhar dan Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Pengerusi Rabitah al-‘Alam al-Islami dan Majlis Fatwa Arab Saudi, Buya Hamka iaitu Ketua Majlis Ulama’ Indonesia dalam Tafsir al-Azhar dan lain-lain.
Fahaman yang sesat ini dijadikan senjata serangan pemikiran oleh penjajah bagi merosakkan umat Islam, supaya meninggalkan ajaran Islam sedikit demi sedikit, walaupun tidak keluar daripada agama secara rasmi.
Allah SWT memberikan peringatan melalui firman-Nya:
﴿وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَمُهَيۡمِنًا عَلَيۡهِۖ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ لِكُلّٖ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةٗ وَمِنۡهَاجٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمۡ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ وَلَٰكِن لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِي مَآ ءَاتَىٰكُمۡۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِيهِ تَخۡتَلِفُونَ ٤٨﴾
“Dan Kami telah turunkan kepadamu al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat antara kamu, Kami berikan aturan syariat dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (sahaja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah dalam berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah jua kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu.” [Surah al-Ma’idah: 48]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 28 Jumada al-Ula 1445 / 12 Disember 2023
[Bil: 104 / 2023]

Copy and paste:
20 Disember 2023 > 7 Jamadilakhir 1445H: 12.43 am