Showing posts with label JEJAK RASUL. Show all posts
Showing posts with label JEJAK RASUL. Show all posts

Monday, 18 December 2023

JEJAK RASUL: MASJID JAMI TOKYO BUKTI HUBUNGAN KUKUH JEPUN - TURKI

Oleh: Jami'ah Shukri
28 Oktober 2005 > DOMPAS.BLOGSPOT

Oleh Jami’ah Shukri


MASJID Jami di Jepun adalah manifestasi tauhid yang dikembangkan masyarakat Turki ketika Russia menguasai Turki pada 1917.

Empat huruf wau di Masjid Jami ini membuktikan akidah tauhid di bawah lembayung empayar Uthmaniyyah berkembang kukuh di Tokyo.

Huruf wau itu mewakili wahyu Ilahi yang bermaksud: "Pada hal kekuatan itu hanya bagi Allah, bagi rasulnya dan bagi orang mukmin, tetapi orang munafik itu tiada mengetahuinya.” (Surah al-Munafiqun, ayat 8)

Sebahagian masyarakatnya melarikan diri ke beberapa negara termasuk Jepun untuk menyelamatkan diri daripada kuasa itu.

Kazan Turk, Qurban Ali dan Abdul Rashid Ibrahim adalah antara tokoh Islam Turki yang berhijrah ke Jepun.

Mereka mengambil keputusan untuk membina sekolah dan masjid kerana masyarakat Turki di Jepun semakin bertambah. Usaha mereka menjadi kenyataan dengan terbinanya masjid yang menjadi syiar Islam terkemuka di Tokyo pada 1938.

Hari ini, masjid asal sudah tiada lagi, ia musnah akibat faktor masa pada 1986 dan diganti dengan masjid baru yang dibina pada 1986 di tapak yang sama. Huruf wau yang menjadi simbol kekuatan empayar Islam Uthmaniyyah turut dikekalkan pada setiap masjid yang dibina oleh kerajaan Turki hingga ke hari ini.

Empat huruf wau itu membuktikan bahawa kekuatan dan kemuliaan hanya milik Allah, rasul-Nya dan orang beriman. Tazkirah berkobar mengimbas kembali kegemilangan empayar Uthmaniyyah yang mewarisi perjuangan Rasulullah bagi memastikan akidah tauhid terus berkembang ke pelusuk dunia.

Masjid Jami Tokyo yang mampu menampung seramai 600 jemaah ini membuktikan keutuhan perhubungan Jepun dan Turki sejak kurun ke-20. Walaupun hubungan itu baru, ia memberi makna yang mendalam kepada masyarakat Turki yang berada di bawah pemerintahan empayar Turki Uthmaniyyah.

Menurut seorang penulis Mesir, Abdul Rashid Ibrahim dari Persatuan Pemuda Islam di Kaherah, sekitar kurun ke-19 Maharaja Meiji telah mengutus sepucuk warkah kepada Sultan Abdul Hamid.

“Bahawa kamu dan saya berada di bawah tekanan kuasa besar, oleh itu ada baiknya rakyat kita saling mengenali. Kami meminta kamu menghantar bijak pandai yang mampu memperkenalkan negara kamu kepada rakyat kami.

Surat ini menggambarkan Jepun dan orang Islam bersedia untuk mewujudkan persefahaman antara satu sama lain dalam politik, ekonomi mahupun kebudayaan atau cara hidup.

“Orang Jepun terlalu memusatkan pemikiran mereka terhadap kebendaan. Mereka juga sering mempersoalkan asal usul agama.

“Persoalan kenapa khinzir tidak boleh dimakan. mereka terlalu mempersoalkan kebendaan.

“Misalnya, mereka tidak boleh menerima secara logik bahawa Allah menegah kita memakan khinzir. Pada pandangan saya, mereka melihat negara Islam dan bertanya realiti sebenar masyarakat Islam.

“Sekiranya Islam itu berkembang baik, mengapa umat Islam jadi begitu. Memang mereka sering berfikiran demikian.

“Oleh itu masyarakat Jepun melihat umat Islam harus mempunyai kedudukan yang tinggi.”

Copy and paste: 18 Disember 2023 > 5 Jamadilakhir 1445H: 1.39 pm



JEJAK RASUL: ISTANBUL ABADIKAN BANYAK PENINGGALAN TAMADUN DUNIA

Oleh: Hasliza Hassan
16 Oktober 2005 > BERITA HARIAN

Kehebatan Istanbul sebagai salah sebuah bandar raya dunia bermula 200 tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW lagi.

Istanbul, kotanya berdiri di dua benua antara Asia dan Eropah kini menjadi kota metropolis kebanggaan Turki kerana sejarahnya yang lahir daripada tamadun bangsa silih berganti.

Kesan peninggalan tamadun seawal alaf ketiga Sebelum Masihi dari bangsa Assyrian hingga ke zaman Byzantine boleh ditemui di laluan sutera Anatolia, penyambung Barat dan Iimur dunia.

Pada muara Selat Dardanelles pernah muncul kota Troy yang terkenal dengan peristiwa kuda trojan 3,600 tahun Sebelum Masihi.

Selat yang sentiasa sibuk dengan kapal perang yang sebahagiannya terkubur di dasar Dardanelles pernah diseberangi orang Parsi, bala tentera pimpinan Alexander the Great, orang Rom, Byzantine dan Arab.

Kejayaan pasukan Gazi Sulaiman Pasa menyeberangi Selat Dardanelles pada 1354 dari Asia dan menawan kota Byzantine di Callipolis dicatatkan sejarah sebagai kejayaan pertama Uthmaniyah di Eropah.

Malah laut dan pantai di selat itu menjadi saksi pertempuran yang berlarutan selama sembilan bulan dari April 1915 hingga awal 1916 antara tentera bersekutu yang dipimpin Sir Winston Churchill dengan kerajaan Uthmaniyah.

Perang Cannakale di Semenanjung Gallipoli itu menyaksikan kegagalan kuasa Barat mencapai objektif mereka, kononnya mahu mengekang ancaman terhadap negara sekutu di Balkan.

Ternyata persenjataan lengkap, teknik dan taktik perang semata-mata tidak memadai untuk pihak bersekutu mara dan mencapai objektif mereka, sebaliknya menyaksikan setengah juta nyawa tentera bersekutu menjadi taruhan di Gallipoli.

Pasukan bersekutu yang dianggotai Australia, Britain, Perancis, India dan New Zealand yang mendarat di pantai barat semenanjung ini tidak menjangka mereka akan berkubur di wilayah asing itu.

Tentera Turki sememangnya telah bersedia menggadaikan darah dan nyawa apabila tentera bersekutu British dan Perancis mula mendarat di hujung Semenanjung Gallipoli, sementara Australia dan New Zealand mendarat di Anzac Cove.

Pendaratan kedua pasukan bersekutu hampir empat bulan kemudiannya pada 7 Ogos 1915 di Teluk Suvla juga tidak membawa mereka untuk mara lebih jauh, tetapi melihat penambahan jumlah korban di kedua-dua belah pihak.

Dalam serangan awal tentera bersekutu di Anzac Cove, 10,000 anggota Turki cedera manakala dianggarkan 3,000 yang lain terkorban.

Berkat keberanian dan semangat juang anak Turki mempertahankan Semenanjung Gallipoli, menjelang 1916 atau selepas sembilan bulan bertempur, pasukan bersekutu akhirnya berundur dari wilayah Turki.

Selain kisah Perang Dunia Pertamanya, cerita perang zaman purba yang berlaku 3,600 tahun Sebelum Masihi turut menarik pelancong untuk melihat kuda kayu di Truva atau Troia, taman sejarah negara.

Mengikut sejarah kuda trojan, kuda kayu yang ditinggalkan tentera Sparta diheret masuk ke dalam kota untuk dipersembahkan kepada Dewi Athena, sekalipun sudah diberi amaran ia mungkin suatu tipu muslihat orang Greek.

Menjelang dinihari, perajurit Sparta yang bersembunyi di dalam kuda kayu keluar menyerang penghuni kota yang nyenyak tidur, serta membakar rumah dalam kota Troia.

Perang Trojan meletus apabila Paris, putera Raja Troia melarikan permaisuri Raja Spartan, Helen.

Selama 10 tahun Raja Spartan mencuba merampas kembali permaisurinya tetapi gagal hinggalah muslihat kuda trojan digunakan.

Kisah kuda trojan dan perang Cannakale hanya pengajaran bahawa musuh sentiasa mencari helah mengabui mata kasar yang lalai dan bersedia memecah masuk ke kubu yang lemah.

Copy and paste: 
18 Disember 2023 > 5 Jamadilakhir 1445H: 1.24 pm

JEJAK RASUL: UTHMANIYAH TERUS KEKALKAN MONUMEN ISLAM

Oleh : Hasliza Hassn > DOMPAS BLOGSPOT
23 Oktober 2005

Hingga ke hari ini semuanya hampir dalam keadaan asal, seperti sebelum kehadiran tentera Uthmaniyah

NICOSIA dipanggil juga dengan Lefkosa, nama yang dikenali sejak penghujung kurun ke-12, apabila Cyprus menjadi milik Knights Templar yang membeli pulau itu daripada Richard the Lion Heart.

Pengaruh Byzantine di Cyprus berakhir pada 1191, apabila raja England, Richard, merampas pulau itu dalam perjalanannya ke Jerusalem dalam misi Perang Salib ketiga disebabkan layanan buruk penguasa Byzantine ketika armadanya singgah di sana.

Sebelum kehadiran orang Turki Uthmmaniyah pada 1570, sejarah Cyprus sudah bermula ribuan tahun lebih awal dari zaman Hittites, Assyrian hingga ke zaman Venetian.

Catatan sejarah menyatakan Lefkosa suatu masa dulu dibina begitu indah sekali dengan istana dan taman-taman oleh raja dan Ratu Lusignan.

Apabila Venetian mengambil alih pulau ini dari Ratu Cornaro sejak 1489, kebimbangan terhadap ancaman kerajaan Uthmaniyah semakin dirasai di sini.

Gereja dan istana indah yang dibina ketika era Lusignan diruntuhkan, batunya dijadikan bahan binaan kota pertahanan Venetian.

Namun ketika kota dibina dan diperkukuhkan bagi melindungi istana raja, rakyat jelata terus ditindas dan diperhambakan.

Khabar mengenai Sultan Sulaiman Al-Qanuni yang sedang sibuk meluaskan empayarnya sejak tahun 1520 hingga 1566 di wilayah Eropah cukup menggerunkan Raja Venetian di Cyprus.

Kebimbangan Raja Venetian menjadi kenyataan ketika Sultan Selim II bertakhta, menggantikan Sultan Sulaiman Al-Qanuni.

Tahun 1570 menyaksikan 80 ribu tentera Selim II mendarat di pantai Cyprus bagaimanapun penguasaan Uthmaniyah tidak memaksa penduduk asalnya menukar kepercayaan mereka, sebaliknya mereka bebas meneruskan tradisi yang diwarisi.

Pemerintah Uthmaniyah juga tidak memusnahkan monumen tinggalan silam seperti yang dilakukan Raja Venetian sebelumnya.

Hingga ke hari ini semuanya hampir dalam keadaan asal, seperti sebelum kehadiran pasukan tentera Uthmaniyah.

Diriwayatkan juga ketika zaman Khalifah Uthman Affan, armada tentera Islam bergerak dari Mesir dan Syria menuju Cyprus pada tahun 28 hijrah.

Armada Mesir dipimpin Abdullah bin Quais al-Jazim memasuki daerah selatan dari Larnaka manakala armada Syria diketuai Abdullah bin Sad menyerang kawasan utara dan timur pulau Cyprus.

Bersama kumpulan itu ialah Ummu Haram binti Milhan yang dipercayai bersama pasukan dari Mesir yang tiba bersama rombongan sahabat dan tabiin untuk menyebarkan Islam di pulau Cyprus ketika itu dikuasai Byzantine.

Walaupun beliau seorang wanita, Ummu Haram berhasrat untuk turut berjihad dan mati syahid. Nabi Muhammad pernah mendoakannya agar impiannya itu menjadi kenyataan.

Ketika ekspedisi jihad di Larnaka berlangsung, Ummu Haram jatuh dari kudanya dan menemui ajal, lalu dimakamkan di itu dan sebuah masjid dibangunkan bagi mengingati semangat perjuangan seorang wanita yang diberkati dengan doa seorang nabi.

Cyprus turut dijajah British dan sepanjang 1950-an, wujud gerakan kemerdekaan yang diperjuang etnik Greek bermatlamatkan penyatuan dengan Greece tetapi ditentang etnik Turki.

Pada 16 Ogos 1960, republik Cyprus yang merdeka diisytiharkan melihatkan seorang Archbishop Greek dilantik sebagai presidennya manakala naib presiden seorang berketurunan Turki.

Seperti retak menanti belah, selepas tiga tahun yang aman objektif asas kemerdekaan Cyprus yang diperjuangkan etnik Greek untuk penyatuan dengan Greece kedengaran semula.

Sejak 1963, masyarakat Turki Cyprus menyaksikan tahun-tahun penuh pergolakan akibat tindakan radikal orang Greek dalam usaha menyingkirkan etnik Turki dari pulau itu.

Pada 20 Julai 1974, pertumpahan darah di pulau rebutan ini dihentikan selepas sedekad berleluasa dan tentera kerajaan Turki memasuki bandar-bandar utamanya di utara menyebabkan pulau itu terbelah dua berdasarkan etnik.

Hubungan rapat antara Cyprus utara dengan Turki berterusan apabila mereka berjaya membentuk negara kedua di pulau itu, kerajaan baru yang merdeka tanggal 15 November 1983 dengan nama Turkish Republic of Northern Cyprus.

Selepas 22 tahun merdeka, Cyprus utara masih berjuang untuk pengiktirafan antarabangsa, namun di kalangan dunia Islam mereka sentiasa diiktiraf saudara seagama.[BH]

Copy and Paste:
18 Disember 2023 > 5 Jamadilakhir 1445H: 1.17 pm

JEJAK RASUL : BEIJING SIMPAN KHAZANAH ISLAM TERULUNG

SUMBER: DOMPAS.BLOGSPOT

BEIJING yang turut dikenali sebagai Kota Larangan menerima kedatangan Islam sejak 1,000 tahun lalu dan kini dianggarkan bilangan umat Islam di bandar itu mencecah 250,000 orang daripada lebih 11 juta penduduknya.

Niu Jie pula bukan saja pusat perdagangan, malah turut popular di kalangan umat Islam tempatan untuk mendapatkan sumber makanan halal. Lebih penting, ia pusat perkembangan agama Islam.

Masjid Niu Jie yang dibina pada 996 ketika era pemerintahan Dinasti Song, tidak pernah susut daripada kunjungan jemaah yang terkenal berpegang teguh pada akidah Islam. Lebih 20,000 jemaah membanjiri masjid itu untuk mendirikan solat Jumaat.


Tulisan ayat suci al-Quran bertatahkan warna merah, emas dan beberapa warna lain memenuhi segenap ruang masjid tertua di Niu Jie dengan motif yang sama juga boleh dilihat pada lebih 35,000 masjid seluruh China.

Masjid Niu Jie yang digelar Li Bai Si, bermaksud gedung solat dibina di atas tapak seluas 6,000 meter persegi turut menempatkan kemudahan kelas agama, pejabat pentadbiran dan bilik wuduk.

Di situ juga ada dua makam lama dipercayai berusia lebih 700 tahun dipercayai tempat persemadian dua tokoh pendakwah, satu daripadanya milik Syeikh Ahmad al-Bartani yang banyak menyumbang kepada perkembangan Islam di Beijing.

Masjid Xia Taoyuan, satu di antara enam masjid utama di Selatan Shanghai menjadi nadi perkembangan Islam. Ia dipercayai mula berkembang apabila Shanghai membuka pintu perdagangan kepada dunia luar.

Krew Jejak Rasul ke Kashi atau Kashgar di Xinjiang, wilayah autonomi masyarakat Islam Uygur.

Kashgar dihuni lebih 200,000 penduduk daripada 30 suku kaum. Menjadi dasar Kerajaan China mengamalkan kebebasan kepada semua suku kaum untuk mengamalkan agama, budaya dan bahasa mereka.

Kampung Upoor dalam wilayah Shi Fu, 50 kilometer dari Kashgar menempatkan makam tokoh terkenal Uygur, Mehmud Kashgarli yang dilahirkan di Kashgar pada 1008.

Sebaik tamat persekolahan, beliau mengembara hampir ke seluruh rantau Asia tengah untuk mengkaji bahasa, budaya dan sejarah pelbagai suku kaum. Beliau kemudian berhijrah ke Baghdad bagi mendalami ilmu bahasa.

Ketika itulah beliau mengarang karya masyhur iaitu kamus bahasa Turki ditulis dalam bahasa Arab.

Selain kamus, Kashgarli menghasilkan manuskrip dalam bidang sastera, budaya, astronomi, geografi dan biologi yang turut menjadi rujukan utama ahli akademik.

Kashgarli kembali ke pangkuan masyarakat pada 1080 selepas 23 tahun berkelana mencari ilmu di kota Bahgdad, Iraq.

Di tanah kelahirannya, Kashgarli menabur jasa selama 25 tahun sehingga meninggal dunia pada 1105, ketika berusia 97 tahun.

Copy and paste:
18 Disember 2023 > 5 Jamadilakhir 1445H: 1.06 pm