Sunday, 2 August 2026

Manipulasi Strategik Orientalis Terhadap Tarikh 1136 Bermulanya Islam Di Kedah



Oleh Prof. Solehah Yaacob
Naratif rasmi yang mendakwa gelar 'Kedah Darul Aman' hanya wujud selepas pengislaman Maharaja Derbar Raja pada tahun 1136 Masihi adalah ralat sejarah yang terbongkar melalui bukti numismatik. Penemuan mata wang Kedah bertarikh 118 Hijrah (736 M) yang sudah mengukir gelar 'Dar al-Aman' membuktikan bahawa identiti dan kedaulatan Islamik Kedah telah sedia bertapak seawal zaman Kekhalifahan Umayyah. Kedatangan Sheikh Abdullah Al-Qumairi pada tahun 1136 M bukannya membawa pengenalan baharu, melainkan satu proses tajdid (pemurnian) ke atas institusi kesultanan yang telah mempunyai akar Islamik beberapa abad lebih awal. Penemuan Batu Ibnu Sardan 213 H ini—apabila digabungkan dengan dirham Kedah 118 H—secara mutlak mematahkan andaian kolonial bahawa masyarakat Kedah Tua berada dalam keadaan "kegelapan" sebelum abad ke-12 M. Ia mengesahkan bahawa Kedah Tua telah pun menjadi pangkalan rangkaian global intelektual-maritim Islam pada era kemuncak Khilafah Abbasiyah.
Siapakah Ibnu Sardan? 
Ibnu Sardan merujuk kepada tokoh/keluarga daripada klan pedagang maritim dan ulama yang berpusat di Basra, Siraf, dan Oman (pelabuhan utama Khilafah Abbasiyah di Teluk Parsi) (Sulaiman al-Tajir & Abu Zayd al-Sirafi, 916 M). Pada abad ke-8 hingga ke-9 Masihi (era pemerintahan Khalifah Harun al-Rashid dan al-Ma'mun), kelompok ini menguasai laluan perdagangan laut jarak jauh (long-distance maritime trade route) yang dikenali sebagai Route to China / Silk Road of the Sea (Ibn Khordadbeh, 870 M). 
Dalam catatan teks pelayaran Arab purba (seperti karya Ibn Khordadbeh, 870 M dan Sulaiman al-Tajir, 916 M), pedagang-pedagang Arab-Parsi pada zaman tersebut bukan sekadar menjalankan aktiviti perniagaan komoditi seperti kayu gaharu, rempah, dan logam besi tetapi juga bertindak sebagai intelektual, ahli navigasi (nakhoda), dan da'i . Keluarga Ibnu Sardan mendirikan stesen persinggahan, zon perdagangan, dan pusat dakwah di Lembah Bujang, Kedah—sebuah pelabuhan entrepôt antarabangsa yang sangat strategik untuk mengisi bekalan air tawar, menunggu pertukaran angin monsun, serta berdagang komoditi besi dan emas Penemuan bukti material seperti Batu Ibnu Sardan bertarikh 213 H (828/829 M) mengesahkan peranan aktif kelompok ini di Lembah Bujang. Batu tersebut merupakan sebuah blok batu granit tempatan berukuran sekitar 19 cm x 37 cm yang dipahat dengan ukiran tulisan Arab/Jawi Kuno bergaya Kufi purba: "ابن سر دان ۲۱۳" (Ibnu Sardan 213). Penarikhan (213 H / 828–829 Masihi): Angka 213 Hijrah bertepatan dengan tahun 828–829 Masihi (semasa pemerintahan Khalifah Abbasiyah, Al-Ma'mun bin Harun Al-Rashid). Ini menjadikannya antara bukti tulisan Arab/Jawi dan penarikhan Islamiah bertulis paling tua yang pernah ditemui di Asia Tenggara. Kebiasaannya, tafsiran fungsi batu bersurat/batu nisan/penanda maqam ditafsirkan sebagai batu nisan bagi menandakan tempat semayam/kematian tokoh penting daripada keluarga Ibnu Sardan yang meninggal dunia semasa berada di Kedah Tua atau sebagai batu asas stesen dagang/wakaf: dijadikan batu penanda tapak (foundation stone) bagi menandakan zon atau bangunan pertapak dagang/madrasah yang diasaskan oleh dinasti Ibnu Sardan di Lembah Bujang.
Tindakan orientalis seperti Stamford Raffles dan R.O. Winstedt yang melabelkan Hikayat Merong Mahawangsa sebagai karya mitos mencerminkan manifestasi intervensi dan campur tangan kolonial secara nyata ke atas teks berkenaan:
Meskipun tarikh 1136 Masihi (531 Hijrah) diiktiraf sebagai tarikh pengislaman rasmi institusi beraja Kedah dalam Hikayat Merong Mahawangsa (Mahayudin Haji Yahaya, 2001), sarjana kolonial British seperti Sir Thomas Stamford Raffles, R.J. Wilkinson, dan R.O. Winstedt menggunakan strategi historiografi yang selektif untuk mengurangkan nilai sejarah peribumi (Coedès, 1968; Winstedt, 1935). Antaranya: 
1)Mengecilkan Kebolehpercayaan Hikayat Merong Mahawangsa (HMM): Stamford Raffles yang mengumpul manuskrip HMM, bersama R.O. Winstedt, secara konsisten melabelkan HMM sebagai "karya rekaan dan dongeng" yang tidak boleh dipercayai secara akademik (Winstedt, 1935). Mesej tersirat orientalis ini adalah untuk menegaskan bahawa sejarah yang ditulis oleh peribumi Melayu tidak berasaskan kaedah empirikal dan penuh dengan mitos (Coedès, 1968; Winstedt, 1935). 
2)Mematikan Kronologi Islam Lebih Awal: Dengan mempropagandakan bahawa Islam hanya bermula di Kedah pada tahun 1136 Masihi, orientalis secara sengaja mengkategorikan penemuan material abad ke-8 dan ke-9 Masihi—seperti Dirham Kedah 118 H (736 M) dan Batu Ibnu Sardan 213 H (828 M)—sebagai sekadar "artifak pelawat atau pedagang asing yang terpencil" (isolated foreign artifacts). 3)Mengekalkan Mitos Indianization: Tujuan utama melambat-lambatkan garisan masa pengislaman Kedah adalah untuk mengukuhkan Teori Greater India (Coedès, 1968). Dengan menafikan kedaulatan Islamik Kedah pada abad ke-8 dan ke-9 Masihi, mereka dapat terus mempromosikan naratif bahawa seluruh Semenanjung Tanah Melayu berada di bawah pengaruh kebudayaan Hindu-Buddha dari India sehingga abad yang lewat (Coedès, 1968; Winstedt, 1935).

Intervensi Historiografi dan Dekonstruksi Teks:
Dalam disiplin dekolonisasi sejarah, tindakan Raffles dan pentadbir kolonial disifatkan sebagai intervensi historiografi (historiographical intervention). Semasa penyalinan dan penyuntingan manuskrip Melayu, sarjana British kerap memasukkan nota kaki (footnote bias) atau memilih variasi teks tertentu untuk memisahkan kronologi Islam 1136 Masihi daripada penemuan arkeologi fizikal—seperti industri peleburan besi Sungai Batu (788 SM) dan sistem navigasi Lembah Bujang. Penetapan tahun 1136 Masihi (531 H) sebagai titik mula Islam di Kedah oleh siri teks kolonial merupakan satu bentuk reduksionisme historiografi (Mahayudin Haji Yahaya, 2001; Winstedt, 1935). Tindakan orientalis seperti Stamford Raffles dan R.O. Winstedt melabelkan Hikayat Merong Mahawangsa sebagai karya mitos membuktikan wujudnya intervensi serta campur tangan kolonial secara sengaja ke atas historiografi HMM, di samping mengabaikan bukti numismatik Dirham Kedah 118 H (736 M) serta Batu Ibnu Sardan 213 H (828 M), adalah percubaan nyata untuk melambatkan kronologi Islamisasi. Hakikatnya, tahun 1136 Masihi hanyalah fasa tajdid dan pengisytiharan rasmi institusi kesultanan, manakala hakikat kedaulatan Islamik Kedah telah sedia bertapak beberapa abad lebih awal.

C&P
2 Ogos 2026: 9.26 mlm