Thursday 1 December 2022

EDGAR CAYCE - LELAKI BERKUASA PSIKIK

Sumber: Mastika - 26/9/2022
Posted by Rozza Zainal > FB PERISTIWA N' SEJARAH



PADA 18 Mac 1877, lahir seorang bayi lelaki kepada pasangan petani di pinggir bandar Hopkinsville, Kentucky, Amerika Syarikat. Bayi itu diberi nama Edgar Cayce.
Pada zaman kanak-kanak, Edgar sangat suka membaca, tidak seperti rakan-rakan sebayanya yang lebih gemar bermain. Ketika bersekolah, Edgar menunjukkan kelebihan luar biasa yang membingungkan guru-gurunya apabila dia dikatakan mampu menyerap segala ilmu yang diajar dalam kelas dengan ‘tidur’ di atas buku-buku sekolahnya.
Selepas tamat zaman persekolahan, Edgar menjadi seorang jurugambar. Ketika berusia 21 tahun, dia mendapat penyakit yang jarang dihidapi sehingga dia tidak mampu bercakap. Kerana kecacatannya itu, Edgar ditinggalkan tunangnya.
Edgar mengubati penyakitnya itu sendiri menggunakan kaedah hipnosis. Setelah beberapa tahun, penyakitnya itu sembuh. Edgar kembali menjadi manusia normal dan mampu berkata-kata semula.
Doktor yang merawatnya turut bingung bagaimana dia mampu menyembuhkan penyakitnya sendiri. Ketika itulah seluruh penduduk Hopkinsville mula memperkatakan tentang kelebihan Edgar.
Jadi Tumpuan
Kehebatan kuasa psikik Edgar mula jadi perhatian. Ramai penduduk datang menemuinya meminta ramalan seperti ramalan pasaran perniagaan, pencarian harta karun dan macam-macam lagi.
Namun begitu, Edgar tidak melayani permintaan tersebut yang bersifat mengambil kesempatan atas kebolehannya. Dia hanya membantu masyarakat di sekelilingnya dengan merawat mereka yang ‘sakit’. Kebanyakan pesakitnya adalah mereka yang terkena sihir atau gangguan makhluk halus.
Semakin lama, nama Edgar Cayce kian dikenali. Semakin ramai yang mendapatkan khidmat rawatan ‘kuasa psikik’ yang dimilikinya. Edgar mula terkenal di Amerika Syarikat sebagai seorang perawat yang mengamalkan kaedah perubatan hipnosis.
Menulis Buku & Ramalan Masa Depan
Selepas dikenali dengan rawatan hipnosis, Edgar mengorak langkah dengan mengkaji perkara-perkara mistikal. Pada tahun 1923, Edgar bertemu dengan Arthur Lemmers.
Arthur amat berminat terhadap ilmu metafizik dan menggunakan kelebihan Edgar untuk mengkaji pola pemikiran manusia dan alam melalui persoalan-persoalan metafizik yang tidak terungkai.
Edgar setuju untuk bereksperimen bersama Arthur dan kemudian menghasilkan pelbagai buku dan tulisan mengenai kehidupan sepanjang hayatnya. Kebanyakan buku-buku karangan Edgar meliputi aspek kehidupan karma, perubatan dan rawatan penyakit yang turut mempengaruhi aspek kepercayaan agama.
Selain mempunyai kuasa psikik dan mengkaji pola pemikiran manusia, buku-buku tulisan Edgar Cayce turut meramal kejadian-kejadian masa depan. Antara ramalannya turut merangkumi aspek ekonomi ialah kemelesetan ekonomi melampau (The Great Depression) Amerika Syarikat.
Edgar meramalkan pasaran saham akan jatuh merudum pada tahun 1929. Edgar mencoret catatan dalam jurnal hidupnya bahawa seorang doktor muda akan ‘mencari dirinya’ semasa memiliki banyak wang.
Edgar juga menyarankan pembaca jurnalnya untuk berhati-hati dan bijaksana dalam ‘merawat’ kekayaan terutama dalam menghadapi kekuatan negatif yang akan datang kemudian pada tahun 1929.
Pada bulan Oktober tahun 1929, pasaran saham di Wall Street jatuh merudum. Amerika syarikat dilanda krisis ekonomi yang teruk ketika itu.
Antara ramalan dan kajian-kajian Edgar terhadap dunia, ramalannya yang berkaitan Atlantis, kesan El-Nino dan La-Nina merupakan yang paling mendapat tumpuan masyarakat dunia.
Pada Mei 1926, Edgar Cayce telah meramalkan hubungan antara perubahan suhu dalam arus laut dalam dan perubahan cuaca. Ramalan-ramalannya ini memberikan pandangan yang menakutkan tentang bencana alam dunia pada abad ke-21.
Antara ramalan Edgar adalah bergesernya plat-plat tektonik dalam teras dan mantel bumi. Pergeseran itu akan terjadi pada awal abad 21, yang mengakibatkan perubahan drastik dan mengundang tornado, angin ribut, letusan gunung berapi, gelombang pasang dan gempa bumi. Gunung berapi yang sebahagian dianggap telah mati, akan meletus tanpa disangka
Akibatnya, sebahagian besar bahagian barat Amerika Syarikat akan bergetar. Bencana akan meluas ke seluruh Amerika, Carolina, Georgia, dan Alabama Barat akan tenggelam.
Menurut ramalan Edgar juga, daratan Atlantis akan muncul kembali setelah dataran ini tenggelam di Teluk Mexico dan Laut Tengah. Dia mendakwa bahawa benua Atlantis yang hilang adalah suatu peradaban manusia yang lebih unggul teknologinya daripada teknologi manusia zaman sekarang, tetapi peradaban ini dihancurkan oleh bencana buatan manusia dan bencana alam kira-kira antara 12, 000 dan 17, 000 tahun yang lalu.
Atas ramalan-ramalannya itu juga, Edgar Cayce yang terkenal pada kurun ke-19 ini turut digelar sebagai ‘Nabi Yang Tidur’. Sepanjang hayatnya, dia telah menghabiskan tidak kurang 14 ribu buah bahan bacaan yang merangkumi lebih 10 ribu topik yang berbeza-beza dari topik kesihatan sehinggalah kepada topik peradaban kuno dan bencana alam.
Walaupun telah meninggal dunia pada 3 Januari 1945 ketika berusia 67 tahun, lelaki ini masih menjadi subjek terhadap beratus-ratus kaedah saintifik dan menjadi pencetus kepada pemikiran dari sudut saintifik di serata dunia.
**Untuk orang Islam, tidak salah untuk mengkaji berkaitan alam ghaib dalam bidang metafizik. Al-Kindi antara ilmuwan Islam terkenal yang membahaskan perihal metafizik.
Namun, berkaitan apa yang akan terjadi di masa hadapan tetap merupakan hal ghaib yang tidak diketahui sesiapa melainkan Allah SWT.
Firman Allah : Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”. (al-A’raf : 188)
Sumber artikel : UtusanTV
Copy and paste:
1 Disember 2022 > 6 Jamadilawal 1444H: 3.20 pm

No comments: