Saturday 6 October 2018

2018 - BANDAR BARU NILAI, NS

Pada 5 Oktober 2018, selepas solat subuh, saya bersama 2 anak lelaki saya Muhammad Redzwan dan Muhammad Zulfadzly telah bertolak ke Bandar Baru Nilai untuk upacara Konvokesyen anak saya Muhammad Redzwan bin Zulheimy yang telah berjaya dalam Sijil Animasi 2D dari Kolej Komuniti Kuala Langat. 
Isteri saya Hjh Norziah binti Ahmad tidak dapat hadir ke Majlis Konvokesyen anak saya kerana beliau ketika ini berada di New Zealand. 

Bandar Baru Nilai merupakan sebuah perbandaran baru di Nilai, Negeri Sembilan. Ianya terletak didalam daerah Seremban dan dibawah pentadbiran Majlis Perbandaran Nilai (MPN). 


Perjalanan dari rumah saya di Lembah Keramat, Kuala Lumpur ke Bandar Baru Nilai mengambil masa hanya 51 minit dengan perjalanan sejauh 55 km sahaja. 
Kami terus ke Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai untuk acara Rehearsal anak saya yang bermula jam 8 pagi. 



Sebelum ke USIM saya bersarapan pagi dulu dengan anak-anak saya di sebuah Restoran yang terletak di seberang USIM. 





Universiti Sains Islam Malaysia atau ringkasnya USIM dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM). Kampus di Nilai adalah Kampus utama manakala kampus di Pandan Indah Kuala Lumpur dikhaskan untuk pelajar Fakulti Perubatan dan Kesihatan dan Fakulti Pergigian. 
Penubuhan Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) diwartakan pada 13 Mac 1998 dan dinaikkan ke taraf Universiti Penuh berkuatkuasa 1 Februari 2007 dengan nama baru Universiti Sains Islam Malaysia. 
USIM telah dirasmikan pada 25 November 2008 oleh Perdana Menteri Malaysia ke 5, YAB Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun). 



Anak bongsu saya ikut serta meraikan kejayaan abangnya. 





Selesai acara Rehearsal Konvokesyen lebih kurang jam 1 tengahari, saya bersama 2 anak saya terus ke Hotel Penginapan kami iaitu Nilai Hotel yang terletak lebih kurang 3 km dari USIM. 
Saya mengambil keputusan untuk menginap di Hotel di Nilai kerana anak saya kena hadir ke USIM esoknya seawal jam 6.45 pagi, jadi kami tidak perlu tergesa-gesa untuk keluar sebelum subuh jika bertolak dari Kuala Lumpur. 








NILAI HOTEL 
PT 9999, Jalan BBN 1/3D, 
Putra Point Bandar Baru Nilai, Putra Point, 
71800 Nilai, 
Negeri Sembilan
Tel: 06-799 8388

MAJLIS KONVOKESYEN KOLEJ KOMUNITI NEGERI SELANGOR 2018



Kolej Komuniti adalah salah satu sistem Pendidikan Tinggi di Malaysia terletak di bawah pengurusan Jabatan Pengajian Kolej Komuniti (JPKK) Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. 
Kolej Komuniti bermula dengan 10 buah kolej Komuniti Rintis yang mula beroperasi pada Jun 2001. 
Sehingga kini terdapat 102 Kolej Komuniti di Seluruh Malaysia dengan 10,432 Graduan. 
Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Selangor 2018 yang berlansung pada 6 Oktober 2018 dihadiri oleh seramai 1609 graduan dari 11 buah Kolej Komuniti yang terdapat di Negeri Selangor. 
Upacara Penyampaian Sijil Graduan disampaikan olehYBhg Datuk Borhan bin Dolah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia. 









  

Selesai Majlis Konvokesyen kami meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. 
Syabas dan Tahiah buat anakanda Muhammad Redzwan bin Zulheimy

No comments: