Oleh: takusahrisau
Dalam kehidupan peribadi baginda Rasulullah saw, baginda merupakan seorang penyayang dan pemaaf. Menurut riwayat daripada isteri baginda, Siti Aisyah ra, baginda tidak pernah membalas dendam bagi pihak dirinya terhadap sesuatu yang pernah dilakukan terhadap baginda.(rujuk riwayat al-Bukhari dan Muslim dalam kitab al-Fitan).
Baginda sentiasa memaafkan mereka kerana bertindak melampau dan berlaku kejam miskipun baginda berkuasa untuk menuntut balas. Jika diikutkan penduduk Mekah telah menganiayai dan melakukan perbuatan kejam yang tidak terkata banyaknya terhadap baginda dan para sahabat. Akan tetapi, setelah mereka dikalah dan ditundukkan, mereka datang untuk memohon keampunan daripada baginda. Baginda memaafkan mereka semua dengan bersabda yang bermaksud,
Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau dipersalahkan
Terdapat beberapa peristiwa yang menunjukkan Rasulullah saw adalah seorang yang sangat penyantun dan suka memaafkan sesiapa sahaja termasuk musuh-musuh ketat baginda sendiri. Moga-moga kisah ini mampu memberi ikhtibar kepada kita. Kepada umat Islam, Rasulullah saw adalah idola paling utama, dengan itu, mantapkan diri dengan mempelajari kisah-kisah agung baginda dan seterusnya mengikuti seberapa banyak sunnah baginda. InsyaAllah.
Peristiwa 1
Sufwan bin Umaiyah adalah salah seorang pembesar Musyrikin Mekah. Beliau telah berjanji untuk memberi upah berupa hadiah kepada Umair bin Wahab jika dapat membunuh jasad mulia Rasulullah saw. Apabila berlakunya peristiwa Futuh Mekah atau pembukaan kota Mekah, Umair bin Wahab bergegas melarikan diri kerana bimbang dibunuh oleh tentera Muslimin yang berjumlah 10,000 orang. Ramai di antara mereka berdiri di atas Jabal Qubais untuk menyaksikan ribuan sahabat termasuk baginda memasuki kota Mekah tanpa perlu menumpahkan walau setitik darah. Walaubagaimanapun, Umair ternyata tidak mampu untuk menahan rasa takutnya dan terus menyembunyikan diri. Lama kelamaan, Umair merasakan lebih baik beliau meminta ampun daripada Rasulullah saw kerana beliau seringkali mendengar baginda adalah seorang yang mudah memberikan maaf. Tanpa disangka-sangka, Umair memperoleh keampunan Rasulullah saw dengan serban baginda sebagai tanda perlindungan.(Riwayat Ibnu Hisyam)
Peristiwa 2
Abu Sufyan adalah tokoh korporat Musyrikin Mekah. Beliau sebelum memeluk Islam adalah musuh paling ketat kepada umat Islam dan beliau sendiri amat membenci Rasulullah saw. Namun, apabila Mekah ditawan oleh baginda dan para sahabat pada 10 Ramadan 630 masihi, Abu Sufyan bertukar menjadi seorang yang sangat pengecut. Beliau teringat tentang dosa-dosa beliau terhadap Rasulullah saw dan para sahabat sehingga pernah diriwayatkan mengupah seseorang untuk membunuh baginda di Madinah. Umar yang terkenal dengan bengisnya telah cuba untuk memenggal leher Abu Sufyan di kediamannya namun segera dihentikan oleh baginda. Baginda memaafkan Abu Sufyan sehingga pernah bersabda dalam hadisnya yang terkenal,
“Sesiapa yang memasuki rumah Abu Sufyan, maka mereka dimaafkan.”(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Peristiwa 3
Ikrimah adalah anak Abu Jahal. Sepertimana bapanya, Ikrimah amat memusuhi baginda. Setiap perang membabitkan kaum Musyrikin dan kaum Muslimin pasti akan muncul kelibat Ikrimah ini. Semasa peristiwa Mekah ditawan, Ikrimah yang ketakutan melarikan diri ke Yaman. Namun, Isterinya yang telah memeluk Islam pergi ke Yaman untuk membawa pulang suaminya ke Mekah. Apabila Rasulullah saw melihat Ikrimah, baginda terus berdiri dan menemuinya dengan penuh rasa kasih sayang sehingga tidak sedar pakaian telah jatuh dari bahunya. Baginda melafazkan daripada bibir baginda yang mulia yang bermaksud,
“Wahai penunggang kuda yang berhijrah, kepulangmu amat dialu-alukan.”(Imam Malik dalam kitab Muwatta)
Berkat keampunan Rasulullah saw, Ikrimah bin Abu Jahal gugur syahid pada 636 masihi di medan Perang Yarmouk yang menyaksikan Islam berjaya menumbangkan empayar Byzantine.
Peristiwa 4
Rasulullah saw dan para sahabat pernah melalui pemulauan yang dilakukan oleh kaum Quraisy Mekah selama tiga tahun. Rasulullah saw dan para sahabat tidak dibenarkan berdagang sehingga ramai sahabat kebuluran. Diriwayatkan, anak-anak kecil menangis selama berjam-jam tanpa henti kerana kebuluran. Para sahabat terpaksa memakan daun-daun dan kayu untuk mengalas perut yang kelaparan.
Namun, tiada seorang daripada kaum Quraisy yang sedia menolong baginda dan para sahabat. Bahkan, cacian dan makian yang diterima oleh baginda. Namun, setelah Islam mula bertapak kukuh di Madinah, kota Mekah pula dilanda zaman kemarau. Mekah mengalami kekurangan makanan dan rakyatnya kebuluran.
Sekutu Rasulullah saw yang setia, Thamamah bin Uthal, ketua kaum Yamamah telah menghenti bekalan gandum kepada penduduk Mekah. Thamamah memberitahu penduduk Mekah bahawa tiada sebutir gandum akan dihantar kepada penduduk Mekah tanpa mendapat kebenaran daripada Rasulullah saw. Mendengar penderitaan dashyat penduduk Mekah, baginda mengirim surat kepada Thamamah supaya menarik balik pengharaman tersebut.(Riwayat al-Bukhari dalam bab mengenai Perutusan Bani Hanifah)
Peristiwa 5
Rasulullah saw pernah mengalami detik mencemaskan bersama-sama Abu Bakar as-Siddiq di bumi Taif sebelum Islam bertapak kukuh di Madinah.Penduduk Taif melayan baginda dengan teruk. Mereka mengupah kanak-kanak untuk melontar batu dan mengejek baginda saw. Diriwayatkan, Jibril as datang kepada Rasulullah saw untuk menghumban bukit kepada penduduk Taif. Namun, Rasulullah saw segera menolaknya.
Baginda berharap pada satu hari nanti mereka akan beriman kepada Allah swt. Dalam satu peristiwa lain, satu utusan telah dikirimkan daripada Taif kepada Rasulullah saw di Madinah. Baginda menerima utusan tersebut dengan tangan terbuka melayan mereka dengan penuh kasih sayang.(Riwayat Ibnu Said, Perang Taif)
Peristiwa 6
Semasa Rasulullah saw dan Abu Bakar as-Siddiq melakukan hijrah ke Madinah, kaum Musyrikin segera menawarkan 100 ekor unta kepada sesiapa yang dapat membunuh Rasulullah saw. Suraqah bin Malik bin Jus’ham menerima tawaran tersebut. Suraqah mengejar Rasulullah saw daripada belakang akan tetapi kuda beliau tersungkur dua kali dan beliau tercampak ke tanah.
Namun, untuk kali ketiga beliau tersungkur, kudanya terjerumus ke dalam pasir. Beliau tercampak. Semasa ingin mengeluarkan kudanya daripada pasir, keluarnya asap berkepul-kepul bagaikan ribut pasir. Beliau meminta tolong kepada Rasulullah saw dan baginda memberikan satu dokumen yang tertulis di atas seketul tulang(sesetengah mengatakan di atas sehelai kertas atau serpihan terbikar).
Ia adalah sebagai tanda antara dirinya dan Rasulullah saw. Apabila berlaku peristiwa pembukaan kota Mekah, Suraqah segera menemui baginda di sebuah tempat di antara Mekah dan Taif. Sahabat baginda segera menolaknya namun baginda membenarkan Suraqah mendekati baginda.(Riwayat al-Bukhari)
Peristiwa 7
Furat bin Haiyan telah diupah oleh Abu Sufyan(ketika itu belum Islam) untuk mengintip para muslimim. Beliau juga menulis syair yang memburuk-buruk baginda. Pada satu hari, beliau telah ditangkap dan kemudiannya memeluk Islam. Dengan hati yang gembira, Rasulullah menghadiahkan kepada beliau sebidang tanah di Yamamah(Asabah).
Peristiwa 8
Washyi bin Harb adalah bekas hamba kepada bangsawan Quraisy, Hindun bin Utbah. Hindun memberi tawaran kemerdekaan kepada Washyi sekiranya dapat membunuh salah seorang daripada tiga orang di medan Uhud iaitu Rasulullah saw, Ali bin Abi Talib ra atau Hamzah bin Abdul Mutallib ra. Di medan Uhud, Washyi dengan ketepatan lontaran lembingnya telah mampu membunuh Saidina Hamzah sehingga menembusi pinggangnya. Hamzah syahid di medan Uhud. Rasulullah saw begitu dukacita dengan pemergiaan bapa saudara kesayangannya.
Saat berlalu. Mekah telah ditawan semasa peristiwa Futuh Mekah. Washyi bin Harb kemudian melarikan diri ke Taif kerana takut dibunuh tentera muslimin. Walaubagaimanapun, penduduk Taif kemudian menyerah kepada Rasulullah saw dan beramai-ramai memeluk Islam. Washyi sekarang tidak mempunyai tempat untuk berlindung. Beliau ada mendengar bahawa Rasulullah saw adalah seorang yang pengampun dan tidak pernah berlaku kasar kepada sesiapa. Akhirnya, beliau mengambil keputusan untuk meminta perlindungan daripada baginda. Datanglah beliau menghadap baginda dan memeluk Islam.
Miskipun perbuatan beliau yang kejam terhadap bapa saudara baginda, baginda tetap memaafkannya. Namun baginda bersabda,
“Janganlah kamu berjumpa aku lagi, kerana melihat engkau aku teringat akan bapa saudaraku.”(Riwayat Bukhari, pembunuhan Saidina Hamzah)
Washyi kemudian menebus dosanya dengan membunuh seorang yang mendakwa beliau seorang nabi Musailamah al-Kazzab di Perang Yamamah. Washyi berkata,
“Aku telah membunuh sebaik-baik orang dengan lembingku ketika aku menentang Islam. Kini, dengan lembing yang sama, aku telah membunuh sejahat-jahat orang yang menentang Islam”
Peristiwa 9
Pembunuhan Saidina Hamzah bin Abdul Mutallib ra menyaksikan satu peristiwa kejam di mana Hindun bin Utbah iaitu majikan Washyi telah merodok tubuh Hamzah dan memakan hati serta jantungnya. Kejadian ini amat menyakitkan Rasulullah saw.
Setelah penaklukan kota Mekah, Hindun telah datang kepada Rasulullah saw dalam keadaan bertudung. Ia membuatkan Rasulullah saw tidak mengenalinya. Di hadapan Rasulullah saw, Hindun bin Utbah memeluk Islam dan mengaku melakukan perkara biadap terhadap bapa saudara Rasulullah saw.
Sepertimana Washyi, Hindun binti Utbah disenaraikan sebagai individu yang akan dipancung kerana kekejaman yang dilakunya terhadap para sahabat dan Rasulullah saw. Namun, Rasulullah saw mengampunkannya serta memaafkan segala kesalahannya selama ini. Hukuman pancung yang sepatutnya dijatuhkan kepadanya dibatalkan serta-merta.
Hindun bin Utbah setelah memeluk Islam pernah berkata,
“Wahai Rasulullah, dahulu tiada perkhemahan yang tiada aku benci selain daripada perkhemahan kamu, tetapi pada hari ini tiada perkhemahan yang paling aku cintai daripada perkhemahan kamu”(Riwayat Bukhari, Hindun)
Peristiwa 10
Habbar bin Aswad telah menyebabkan puteri Rasulullah saw, Zainab cedera parah semasa dalam perjalanan berhijrah ke Madinah. Musyrikin Mekah telah menyekat rombongan Zainab dan Habbar sengaja menarik Zainab yang berada di atas unta sehingga menyebabkan Zainab jatuh tersungkur ke tanah. Lebih menyedihkan, Zainab yang ketika itu sarat mengandung telah mengalami keguguran.
Habbar bin Aswad turut melakukan pelbagai kesalahan lain terhadap para sahabat baginda. Semasa peristiwa Futuh Mekah, Habbar bin Aswad di antara senarai individu yang akan dihukum pancung. Mendengar berita tersebut, Habbar terus bergegas untuk melarikan diri ke Parsi. Entah bagaimana, Habbar telah datang kepada Rasulullah saw dan memeluk Islam. Beliau berkata,
“Wahai Rasulullah, aku hendak lari ke Parsi tetapi aku teringat akan kebaikan dan sifat pemaafmu. Apa yang kau dengar mengenai diriku semuanya benar. Aku mengakui kejahilan dan kejahatan yang telah aku lakukan. Sekarang aku datang untuk memeluk Islam.”
Respon baginda terhadap beliau sangat tidak disangka-sangka. Rasulullah saw ternyata gembira dengan keislaman Habbar bin Aswad sehingga Rasulullah saw membatalkan segala hukuman terhadap Habbar.(Ibnu Ishak dan Asabah, Habbar)
Disalin dari :
http://takusahrisau.wordpress.com
18.1.2013
No comments:
Post a Comment