Antara amalan Nabi SAW apabila mendekati 10 malam terakhir Ramadan
adalah:
1. Melakukan qiamullail;
2. Menggerakkan keluarga untuk solat malam pada malam itu;
3. Tidak mendatangi isteri (daripada melakukan jimak);
4. Mandi antara Maghrib dan Isyak;
5. Iktikaf dalam masjid.
Aisyah meriwayatkan bahawa Nabi SAW tidak sentiasa melakukan ibadat pada
10 yang terakhir Ramadan dengan cara yang tidak pernah dilakukan pada waktu
selainnya. (Riwayat Muslim)
Dalam hadis ini nabi memberikan penumpuan khusus kepada malam terakhir
Ramadan untuk merebut peluang mendapat lailatul qadar yang disifatkan Allah
dalam ayat ke-3 surah al-Qadar sebagai: “Lailatulqadar lebih baik daripada
1,000 bulan.”
Demikian pula dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim,
maksudnya: “Sesiapa mengerjakan ibadah pada lailatulqadar kerana imannya kepada
Allah dan mengharapkan keredaan-Nya, diampunkan dosanya yang lalu”.
Diriwayatkan al-Tabarani daripada Ali bahawa Nabi SAW mengejutkan
keluarganya pada 10 hari terakhir di kalangan yang kecil dan besar dan yang
dewasa yang mampu melakukan solat.
Dalam sesetengah riwayat apa yang sangat dituntut ke atas Muslim ialah
menggerakkan keluarga pada malam ganjil seperti 21, 23, 25, 27 dan 29 kerana
mengharapkan lailatulqadar. Pada malam pilihan seperti ini, Nabi SAW menurut
riwayat Anas dan Aisyah, menjauhi hubungan suami isteri untuk berada di masjid
bertujuan melakukan iktikaf sama ada mendirikan solat sunat, beristighfar dan
sebagainya.
Persiapan Nabi SAW untuk menghadapi iktikaf juga harus kita contohi. Ibn
Abi Ashim meriwayatkan daripada Abu Huzaifah Nabi SAW pernah mandi sebelum
beriktikaf dengan dilindungi Abu Huzaifah. Kemudian Abu Huzaifah mandi dan
Baginda menjadi dindingnya. Inilah sebabnya sahabat gemar mandi setiap malam
antara Maghrib dan Isyak sebelum ke masjid untuk iktikaf.
Ulama Islam berbeza pandangan mengenai pelaksanaan qiamullail antara
menghidupkan keseluruhan malam ataupun sebahagiannya saja. Abu Jakfar Muhammad
Ali mengatakan Rasulullah menghidupkan sebahagian daripada malam, bukan
sepanjang malam. Demikian juga Imam al-Syafi’iy dan amal ahli Madinah menyokong
pendapat itu.
Ini berpandukan hadis riwayat Aisyah Nabi tidak pernah solat malam
hingga ke Subuh tanpa berehat. Sesetengah ulama meringankan persoalan qiam
sehingga mengatakan seseorang dianggap melakukan qiamullail disebabkan
kesungguhannya bersolat jemaah Isyak dan Subuh. Ini berdasarkan riwayat dalam
al-Muwatthak daripada Ibn Musayyib yang berkata, maksudnya: “Sesiapa yang
menghadiri solat Isyak dengan berjemaah, sesungguhnya dia memperoleh
bahagiannya daripada malam itu.”
Dalam riwayat daripada Imam al-Syafi’iy menyatakan: “Sesiapa yang solat
Isyak dan Subuh berjemaah, dia mengambil bahagiannya daripada bulan itu.” Ibn
Abi Dunya daripada Abu Jakfar Muhammad Ali meriwayatkan Nabi SAW bersabda:
“Sesiapa yang datang kepadanya Ramadan, lalu dia berpuasa siangnya, solat Tarawih
pada malamnya, menahan matanya daripada melihat perkara haram, menjaga
kemaluannya, lidah dan tangannya dan sentiasa berusaha untuk solat berjemaah
dan Jumaat, maka dia sudah memperoleh lailatulqadar dan pahala Allah SWT yang
tidak ternilai harganya.”
Ringkasnya sekurang-kurang usaha membangunkan malam ataupun qiamullail
untuk mendapat kelebihan lailatulqadar ialah melakukan solat Isyak dan subuh
berjemaah bagi lelaki.
Bagi wanita khasnya yang uzur kerana haid dan nifas, masih mampu
memperoleh lailatulqadar dengan melakukan ketaatan seperti beristighfar,
berzikir, berselawat, mempertingkatkan sedekah dan mengamalkan doa yang
dianjurkan Nabi kepada Aisyah iaitu: “Ya Allah sesungguhnya Engkau adalah Tuhan
yang maha pengampun, Engkau gemar memberikan keampunan, maka ampunkan aku.”
Dalam tafsir Hasyiah al-Sawiy ‘alal Jalalain, al-Sawi berkata, doa
paling penting yang dituntut ke atas kita mengamalkannya adalah memohon
keampunan dan keafiatan seperti disarankan Nabi SAW.
Dalam zikir, kita mengucapkan: “Tiada Tuhan melainkan Allah yang sangat
besar kemurahan-Nya, lagi sangat pemurah. Maha suci Allah SWT, yang memiliki
tujuh petala langit dan Tuhan yang memiliki Arasy yang maha agung (tiga kali),
maka sesungguhnya dia sudah mendapatkan lailatul qadar.”
Selain itu, sebagai tambahan bagi lelaki dan perempuan yang inginkan
lailatulqadar terdapat amaran tegas daripada Nabi SAW seperti riwayat Ibn Abbas
bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan memerhatikan orang beriman daripada
kalangan umat Nabi Muhammad, lalu dimaafkan bagi mereka dan dirahmati melainkan
empat golongan iaitu peminum arak, penderhaka ibu bapa, orang selalu bertengkar
dan orang memutuskan silaturahim.”
Dicatat oleh AL FAKIR Muhammad Fazilul
Helmi Raidzan di 12:07 AM
Label: BULAN RAMADAN
No comments:
Post a Comment