Tuesday 22 February 2022

Apa Itu Solat Sunat Mutlak?

SUMBER: ISLAM ITU INDAH

Kita biasa mendengar beberapa jenis solat sunat seperti solat tahajud, solat rawatib (sebelum dan selepas solat), solat hajat, solat tarawih, solat witir dan sebagainya, namun pernahkah kita mendengar solat sunat mutlak?

Sebenarnya solat sunat mutlak bukanlah solat itu sendiri namun merupakan satu kategori daripada solat sunat. Solat sunat terbahagi kepada dua iaitu solat sunat mutlak dan muqayad.

Solat sunat mutlak (umum) adalah semua solat sunat yang dilakukan tanpa terikat waktu, sebab tertentu atau jumlah rakaat. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa (melainkan waktu yang diharamkan untuk solat), di mana jua tanpa batasan jumlah rakaat.

Contohnya solat sunat taubat, solat sunat istikharah, solat sunat hajat dan sebagainya.

Solat sunat muqayyad (spesifik atau terikat) pula adalah solat sunat yang dilakukan pada batas waktu tertentu atau pada kedaan tertentu. Contohnya solat sunat tahiyatul masjid, solat sunat rawatib dan solat sunat gerhana.

Namun Syaikh Muhammad bin Ibrahim at-Tuwaijiri dalam Kitab Mukhtasar al-Fiqh al-Islami membahagikan solat sunat kepada 10 jenis seperti:

1. Solat yang disyariatkan berjemaah seperti solat Tarawih, Istisqa’, solat gerhana dan Solat Hari Raya.

2. Solat yang tidak disyariatkan berjemaah seperti solat Istikharah.

3. Solat yang mengiringi solat-solat fardu seperti sunat-sunat Rawatib.

4. Solat yang tidak mengiringi solat fardu seperti solat Dhuha.

5. Solat yang ditentukan waktunya seperti solat sunat Tahjjud.

6. Solat yang tidak ditentukan waktunya seperti solat sunat Mutlak.

7. Solat yang dikaitkan dengan sebab seperti Tahiyyatul Masjid dan rua rakaat setelah wuduk.

8. Solat yang tidak dikaitkan dengan sebab seperti solat sunat Mutlak.

9. Solat muakkad seperti solat Hari Raya, Istisqa’, Gerhana dan Witir.

10. Solat yang bukan muakkad seperti solat sebelum Maghrib dan sejenisnya.

Apa pun pembahagian yang ada bagi solat sunat, perkara yang lebih penting adalah menyedari bahawa anjuran untuk melakukan solat sunat tambahan ini berfungsi sebagai pelengkap kepada amalan fardu serta cara untuk membersihkan diri daripada dosa dan kesalahan.

Ma’dan bin Abi Tholhah bercerita bahawa beliau pernah bertemu Tsauban, bekas budak Rasulullah SAW lalu beliau berkata kepadanya;

“Beritahulah padaku suatu amalan yang kerananya Allah memasukkanku ke dalam syurga?”

Soalan ini ditanya sebanyak tiga kali lalu Tsauban memberitahu bahawa Rasullah SAW berpesan,

“Hendaklah engkau memperbanyakkan sujud (perbanyak solat) kepada Allah. Kerana tidaklah engkau memperbanyakkan sujud kerana Allah melainkan Allah akan meninggalkan darjatmu dan menghapuskan dosamu.”

Sumber:
Konsultasisyariah.com
Hafizfirdaus.com via tzkrh.com 

Copy and paste: 22/2/2022 > 20 Rejab 1443H: 1.53 pm

No comments: