Saturday 9 January 2021

SEJARAH PERLIS DAN PEDAGANG EROPAH

Sumber: FB Historism - History & Tourism

Tahukah anda Perlis juga menjadi destinasi pilihan pedagang eropah dulu kala untuk berdagang? Perlis terletak di kawasan paling utara semenanjung tanah air dan berkeluasan 810 km persegi. Perlis pada asalnya adalah sebuah daerah dibawah jajahan negeri Kedah. Namun pada 20 Mei 1843 Syed Hussain Jamalullail telah dilantik menjadi Raja Perlis pertama oleh Siam. Semenjak itu Perlis telah menjadi sebuah negeri baru yang berdaulat.
Nama Perlis terdapat didalam beberapa catatan pelayar barat. Antaranya ialah Ferano Mendes Pinto, Diogo de Medoca Furtado, Augustine De Beaulieu dan Sherard Osborn. Namun sebelum nama rasmi Perlis digunakan, orang asing mengeja mengikut kesesuaian sebutan seperti Perleys, Purleys, Parles, Purlis, Parlis, Polit atau Palit. Kedatangan pelayar asing membuktikan bahawa Perlis juga pernah terlibat didalam perdagangan suatu masa dahulu.
Terdapat juga beberapa tempat di Perlis yang menjadi kawasan pentadbiran kesultanan Kedah. Antara yang terawal ialah Kota Siputeh yang dikenali pada zaman Sultan Mahmud (1280-1321). Kota ini terletak di daerah Kubang Pasu dan jaraknya dengan Perlis hanyalah dalam 3 batu sahaja. Selain itu ialah Kota Sena yang kini dipanggil Kangar pernah menjadi kawasan pentadbiran negeri Kedah. Kota ini diasaskan pada 24 Februari 1655 oleh sultan Muhyiddin Mansor Shah. Bandar Kangar kini telah berusia 365 tahun dan menjadi ibu negeri Perlis selepas berpisah dengan Kedah. Selepas Sultan Dhiauddin Mukarram Shah menaiki tahta, baginda mengubah pentadbiran ke Kota Indera Kayangan. Lokasinya yang strategik, dikelilingi bukit batu kapur dan kawasan sungai menjadikan ia kawasan yang selamat untuk diduduki. Kini kawasan tersebut telah dijadikan Muzium Kota Kayang tidak jauh dari Jeti Kuala Perlis. Sesiapa yang ingin ke Langkawi bolehlah singgah dahulu di muzium ini.
Berbalik kepada catatan asing, pada tahun 1539, Ferano Mendez Pinto telah singgah ke Perlis. Pembantunya Maurice Collis telah mencatatkan seperti berikut;
“We sailed two day and half with favorable wind by means we got to the river of Parles in the Kingdom of Queda… being departed from the river of Parles on a Saturday about sunset….”
“anchored at the mouth of the Perleys River near Alor Setar to trade 1539”
Berdasarkan catatan Pinto, kita boleh mengetahui bahawa terdapat Sungai Perlis yang dimiliki Kedah dan menjadi laluan pedagang asing. Selain itu Sungai Perlis boleh dilalui sehingga Alor Setar.
Pada 18 Ogos 1606, Kedah telah menjalinkan hubungan perdagangan dengan pihak Belanda. Gabungan dua buah kerajaan ini telah membawa kepada serangan keatas Melaka pada 19 Disember 1606. Melaka pada waktu itu diketuai Gabenor Dom Andre Furtado bersekutu bersama pihak Jepun mempertahankan Melaka dari jalan darat. Pihak Belanda pula diketuai Pietier Vander Dussen menyerang Melaka dari laut. Serangan Kedah-Belanda telah melumpuhkan ekonomi Melaka serta merta.
Pada tahun 1611, pihak Portugis diketuai Diogo de Medoca telah membuat serangan balas dengan menyerang pelabuhan Kota Kuala Kedah dan juga Kuala Perlis. Dua lokasi ini diserang bertujuan melumpuhkan ekonomi perdagangan. Didalam penulisan R.Bonney, serangan tersebut bukanlah kerana balas dendam sahaja tetapi diatas permintaan pihak Siam.
Selain itu, Kuala Perlis juga disebut didalam penulisan Thomas Bowrey pada tahun 1670. Beliau mewakili syarikat French East India Company sedang mencari pembekal lada hitam dan dan timah di Pulau Lada dan Perlis.
“Send 5 or 6 more (men) to goe to Pullo Lada or Purles,which are place are belonging to this King (Of Kedah) where Tin and pepper may be bough at cheaper rates then here.”
“Pullo Lada” adalah Pulau Lada, nama asal bagi Pulau Langkawi. Pada waktu ini, Pulau Langkawi amat terkenal dengan pembekalan lada hitam diantara tahun 1669 sehingga 1679 bagi para pedagang eropah. Selain itu faktor kedudukan Pulau Langkawi yang berdekatan dengan Kuala Perlis telah membuatkan kawasan tersebut turut menjadi tempat persinggahan pedagang.
Nama Perlis juga turut tercatat didalam rekod Syarikat Hindi timur Inggeris, Edward Monckton telah menulis surat kepada sultan Kedah mengenai urusan senjata api. Beliau juga turut melaporkan terdapat lebih kurang 300 senjata api berada di pesisir pantai Perlis dalam keadaan berlumpur.
Catatan pelayar terutama dari eropah telah membuktikan bahawa Perlis sebenarnya mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri sama ada didalam Kedah mahupun selepas menjadi negeri baru. Kawasan yang pernah menjadi tempat pentadbiran kerajaan Kedah juga kini berusia lebih ratusan tahun. Antaranya Kangar yang berusia 365 tahun, Kuala Perlis pula berusia lebih 400 tahun, dan sudah tentu Sungai Perlis yang menjadi nadi ekonomi turut berusia lebih 400 tahun. Ketika Perlis sibuk didalam perdagangan, Amerika baru sahaja lahir dudunia ini.
Rujukan
1. Catatan Pelayar Barat dan Karangan Cendiakawan Melayu
2. Kota Siputeh Lindungan Bulan
3. at Tarikh Salasilah Negeri Kedah
4. Perlis Dalam Teks-teks Melayu: Suatu Penelitian Awal
5. Perlis Indera Kayangan

Copy and paste: 9/2/2021 : 25 Jamadilawal 1442H: 9.44 am

1 comment: