Saturday 5 January 2019

GUNUNG LEDANG ( Mount Ophir ) The Untold Stories


Dalam Kamus Dewan, Ledang ialah bahasa Jawa yang sudah tiada di pakai lagi dan bererti menunjuk-nunjukan diri. Seorang manusia yang suka memperlihatkan egonya itu dikatakan orang, suka ‘’meledang-ledangkan diri”. Gunung yang membangun tinggi daripada gunung-gunung lain di kelilingnya dikatakan ‘’Gunung Ledang” . Adalah besar kemungkinan bahawa pencipta nama ini adalah Majapahit yang telah berkuasa di negeri ini, sebelum kebangkitan Kerajaan Melaka . Atas alasan ini dapatlah diperkatakan bahawa maksud nama Gunung Ledang ini ialah Gunung Yang Tinggi.
Dari Sejarah Melayu kita dapat tahu bahawa Melaka telah mulai mempunyai hubungan dengan negeri China sejak zaman Sultan Muzafar Syah 1409. Hubungan ini menjadi semakin bertambah erat setelah Sultan Mansur Syah berkahwin dengan Puteri Hang Li Po. Dari sumber China, kita tahu bahawa di antara abad Masihi 1405 hingga 1433, Admiral Cheng Ho,atas arahan rajanya telah membuat sebanyak tujuh kali lawatan peninjauan ke laut-laut selatan China sampai ke Pulau Sri Lanka.
Setiap kali pelayaran itu dilakukan beliau telah singgah ke Melaka dan pernah melawat lombong-lombong emas di Gunung Ledang. beliau telah mengambil contoh-contoh emasnya untuk pengetahuan rajanya dan contoh-contoh emas Gunung Ledang tiu sehingga sampai sekarang ada tersimpan dalam Muzium Kebangsaan Negara ( Taiwan ) dan nama Gunung Ledang yang di laporkan oleh Admiral Cheng Ho Kepada rajanya itu ialah Gunung Kim Sua maksudnya Gunung Emas atau Gunung Keemasan.
Di Negeri-negeri Barat Gunung Ledang dikenali sebagai Mount Ophir. Nama ini berasal daripada bahasa Yahudi Tua atau Bahasa Hebrew. Mula terkenalnya nama ini apabila seorang ahli pelajaran Bangsa Greek bernama Josephus yang hidup dari abad Masihi Ke 33 hingga Ke 100,telah mengarang sebuah buku sejarah yang diberi nama ‘’Barang-barang Purba Bangsa Hebrew di Jerussalem’’ dan menyebut nama Mount Ophir buat pertama kalinya dalam bukunya.
Yang sebenarnya nama Ophir ini telah tersebut lebih dahulu dalam sejarah. Mula-mula sekali ia telah diperkenalkan dalam Kitab Suci Zabur yang diturunkan kepada Nabi Allah Daud a.s. Tersebut dalam kitab ini bahawa logam emas banyak terdapat di suatu tempat bernama Mount Ophir.
Josephus menyatakan bahawa setelah Hiram,Raja Negeri Tyre menyediakan orang-orangnya daripada bangsa Finik ( Phonesians ) dan setelah Nabi Allah Sulaiman a.s,merestui pelayaranya, maka bertolaklah mereka dalam dua buah kapal dari pengkalannya di Laut Merah menuju selatan hendak mencari tempat yang dikatakan dahulunya disebut Mount Ophir dan yang kemudianya dikenali sebagai “Aurea Chersonesus” di tangan bangsa Hindu.
Nabi Allah Sulaiman as hidup antara 992-952 sebelum Masihi-menurut Tafsir Al Azim di mukasurat 983, Oleh Abdullah Yusof Ali, Lahore India - 1937. Besar kemungkinan bahawa sebuah pelabuhan tua di Laut Merah di Isreal sekarang ini (1983 ) Ada kemungkinan mempunyai sejarah yang berkaitan dengan cerita kapal-kapal Raja King Hiram yang pernah mengambil emas di Ophir. pelabuhan tua itu di kenali sebagai Ophira.
King Hiram ( Huram ) Raja Negeri Tyre sekarang Lubnan,telah hidup dalam abad 969-935 Sebelum Masihi. Terdapat berita mengemparkan kuburnya di Bandar Tyre telah dirompak oleh tentera Isreal dan banyak barang-barang bernilai sejarah dalam kubur tersebut telah dicuri dan di bawa lari ke Negerinya. Rompakan ini telah dilakukan pada 25.04.1978 melalui laporan Akhbar New Straits Times yang di keluarkan pada 28.04.1978. .
Sebenarnya keterangan Josephus yang sedikit itu telah menimbulkan reaksi yg amat hebat di kalangan seluruh bangsa-bangsa barat. al Maklum ler Emas merupakan logam yang amat berharga. Mereka ingin tahu di mana letaknya tempat bernama Ophir atau Aurea Chersonesus itu. Usaha secara bersunguh-sungguh hanya di jalankan selepas bangsa Portugis menjadi kuasa besar dalam dunia pada abad Masihi Ke 15.
Portugis telah mengaturkan langkah2 untuk kajian di Afrika,Negeri-negeri Iraq ,Arab,India,Sri Lanka,Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu, Indo-Cina,Filipina dan Jepun. dari kajian2 yang telah dilakukan, mereka mengambil kesimpulan bahawa yang dikatakan Mount Ophir atau Aurea Chersonesus ialah Sebuah Gunung di Negeri Melaka dalam Semenanjung Tanah Melayu.
Di keliling kemuncak Gunung ledang itu terdapat tujuh buah kemuncak rendah tiap-tiap satunya mempunyai lagendanya sendiri yang aneh. Paling aneh ialah Lagenda Gunung Gemih 1447 kaki. Menurut cerita orang tua-tua nama Gemih itu berpunca dari kepercayaan bahawa dalam gunung tersebut ada sebuah gua emas yang dikawal rapi oleh penunggunya seekor lembu emas.Lembu ini akan mengamuk dan membinasakan mana-mana lombong yang tidak mengikut adat yang diperadatkan turun-temurun ketika dibuka. Menurut kepercayaan tersebut setiap lombong yang hendak dibuka di sekitar gunung tersebut hendaklah lebih dahulu disemah dengan penyembelihan seekor lembu.
Tanda-tanda menunjukan bahawa Gemih ini merupakan pusat perusahaan emas yang tertua sekali sejarahnya di Gunung Ledang ini. Dalam peta Portugis lama nama Gemih ini ditulis sebagai “Gummay”. Menurut Keterangan Colonel Gerini 1904. Gemih masih merupakan pusat perlombongan orang Melayu yang penting di bahagian ini sehingga abad ke 18.
Menjelang tahun 1833 pusat Gemih mempunyai 16 buah lombong tetapi kebanyakannya telah dibinasakan oleh perompak .Demikian Newbold mencatatkan. Akhbar Singapore Free Prees ( 27/1/1840 ) ada menyebut bahawa Gemih jauh merosot keadaannya disebabkan oleh langgaran perompak dan sekarang hanya mempunyai 60 orang sahaja penduduknya.
Pada tahun 1901 ,berlaku satu banjir besar yang memusnahkan Lombong Mc Lister di Lembah Gemih ini , seluruh masyarakat setempat menyalahkan tuan punya ladang tersebut, Mc Lister,kerana tidak sedia menerima nasihat agar beliau mengadakan upacara menyemah lombong tersebut ketika membukanya tempohari, demikian menurut suatu punca yang boleh dipercayai. Keterangan Awang Bin Hussin, S.M.J. bekas Pemungut Hasil Tanaman dan Galian Kerajaan Johor bagi Daerah Muar sebelum perang .Beliau ialah sahabat karib Mc Lister .
* Penulis dan pengkaji adalah bekas ketua Renjer Gunung Ledang Resort, ( DJayor Kru )
Copy and paste: FB Sejarah Muar
5.1.2019: 1.12 pm

No comments: