Wednesday, 7 November 2012

Tuhan Yang Satu Muhammad Fitri temui dalam Islam

Tuhan Yang Satu Muhammad Fitri temui dalam Islam
Oleh: ZUARIDA MOHYIN
PENGARAH Unit Dakwah di Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia, Muhammad Fitri Abdullah, 42, sejak tiga tahun lalu mempunyai ceritanya yang tersendiri tentang kisah pengislaman beliau.
Berkongsi pengalaman silam beliau kira-kira 15 tahun lalu, kata anak kelahiran Banting, Selangor ini, dia tidak pernah menyangka pencariannya berhubung konsep keesaan Tuhan atau Tuhan Yang Satu yang ditemui dalam kitab-kitab lama agama Hindu, hanya terjawab dalam agama Islam.
Itupun selepas hampir lapan tahun mencarinya dalam agama anutannya sendiri dan agama Kristian. Akui Pengerusi Perkim Cawangan Serendah ini lagi, pencarian agak panjang ini berpunca daripada sikap egonya yang enggan menerima kenyataan bahawa Islam mampu menjawab segala kemusykilan yang memberati diri.
“Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang berpegang kuat kepada agama Hindu. Hakikatnya, agama tersebut bukan sekadar ikutan kerana di samping disediakan guru oleh ibu bapa, saya sendiri belajar mendalami lagu-lagu dan muzik keagamaan Hindu.
“Keseriusan ini sekali gus melayakkan saya menjadi pengajar serta penceramah seawal usia 19 tahun. Pembelajaran secara mendalam selok-belok agama ini secara tidak langsung memberi peluang kepada saya mengkaji kitab Veda.
“Dari situlah saya temui konsep Keesaan Tuhan yang turut disebutkan di dalam kitab-kitab lain berbahasa Tamil. Pada masa itulah timbul persoalan dalaman dan kehendak membuak-buak untuk mencari Tuhan Yang Satu. Apatah lagi, perbuatan yang dilakukan selama ini bertentangan dengan konsep tersebut,” terang Muhammad Fitri yang juga merupakan Pendakwah sepenuh masa dengan Perkim sewaktu ditemui di ibu pejabat Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Meneruskan ceritanya, Muhammad Fitri yang juga merupakan Perunding Latihan sebuah syarikat kewangan Islam swasta di ibu kota berkata, pada usia 27 tahun semasa bekerja di sebuah bank di Petaling Jaya, Selangor, beliau pernah terdengar ceramah agama dalam rancangan Forum Perdana Ehwal pada Khamis malam Jumaat di Saluran 1, Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Sayangnya, ceramah yang disampaikan oleh salah seorang panel itu iaitu Datuk Dr. Harun Din bukannya mengundang minatnya kepada Islam malah menimbulkan perasaan marah yang tidak terhingga.
Ungkapan berbunyi: “Kalau niat baik, amalan baik, sentiasa bersedekah tetapi selagi dia tidak beriman, itu semua bukan dikira ibadah dan Allah tidak menerima amalannya.”
“Telinga saya berdesing mendengar kata-kata itu. Ia satu kenyataan yang begitu provokasi. Perasaan marah, geram, kecewa silih berganti. Ungkapan itu berlegar-legar dalam fikiran saya.
“Sebulan kemudian, saya terlihat kemalangan di mana mangsa menemui ajal. Pada saat itu, secara spontan ungkapan di atas muncul dalam kotak fikiran saya. Hakikatnya, semakin saya cuba melupakannya, semakin kerap ia hadir dalam fikiran.
“Semenjak insiden itu, saya hilang konsentrasi kerana sering memikirkan hal tersebut. Saya cuba mencari alternatif iaitu dengan pergi ke gereja. Harapan saya mencari jawapan kepada Tuhan Yang Satu,” akui Muhammad Fitri.
Tambah anak kelima daripada enam adik-beradik ini, dalam keadaan diri penuh persoalan yang belum terjawab, beliau pernah ditanya oleh pelanggannya, Haji Manab akan agama kepercayaannya. Secara berseloroh, balas Muhammad Fitri, “Saya belum Islam tetapi sedang mencari Tuhan dan belum berjumpa lagi.”
“Saya langsung tidak terasa terkilan dengan pertanyaan itu kerana ucapan seperti alhamdulillah, bismillah, alhamdulillah dan insya-Allah sentiasa meniti di bibir saya.
“Malah apabila dia mendengar jawapan saya, Haji Manab mengesyorkan agar saya pergi ke beberapa institusi agama seperti Islamic Outreach ABIM, Perkim dan Pusat Islam. Walau bagaimanapun, dia mempelawa saya bertema seorang tokoh agama yang baru pulang dari Mekah.
“Lantaran itu, pada malam Jumaat, saya mengikutnya ke satu usrah yang diadakan di Seksyen 14, Petaling Jaya. Saya bersetuju bukan kerana untuk mencari jawapan yang selama ini membayangi fikiran tetapi sekadar menjaga hati pelanggan, tidak lebih daripada itu.
“Semangat jemaah yang hadir sewaktu melaksanakan solat Maghrib bagai ada kuasa yang menarik untuk saya ikut serta solat berjemaah biarpun mengikutinya di saf paling belakang. Perbuatan mereka itu menunjukkan satu cara yang paling berdisiplin malah sepanjang majlis itu, amalan berzikir, bacaan Yasin begitu menarik hati saya. Selain, layanan tuan rumah, Haji Zain dan Hajah Seha membuatkan saya tidak rasa tersisih,” kata Muhammad Fitri mengakui usrah itu bukanlah yang terakhir dihadirinya tetapi menjadikannya salah seorang jemaah setia.
Kupasan penceramah malam itu menerusi kitab, Dosa-dosa Besar yang dibeli di Mekah terutamanya menyentuh soal mensyirikkan Allah, seolah-olah ia ditujukan tepat kepadanya.
Dua jam terasa begitu cepat berlalu malah beliau tidak pernah mendengar penerangan yang begitu teliti sekali gus menyedarkannya bahawa apa yang dipercayai selama ini terbukti salah.
“Selesai beberapa siri usrah, saya berkeyakinan dengan agama yang baru dikenali ini. Lantas saya luahkan keinginan untuk memeluk agama Islam. Manab membawa saya berjumpa dengan penceramah itu di Universiti Kebangsaan Malaysia, tempat beliau mengajar.
“Beliau menasihatkan saya agar pengislaman dilakukan pada malam usrah. Maka pada tarikh 8 Ogos 1991 sahlah saya bergelar Muslim. Kebetulan detik bersejarah itu adalah hari kelahiran saya yang ke-28.
“Sehingga pada detik itu iaitu semasa berbuka puasa apabila saya berbuka bersama insan istimewa yang mengislamkan saya barulah saya teringat kembali orang yang membuat ungkapan provokasi satu masa dahulu, itu sebenarnya adalah Harun Din yang berada di depan mata saya,” terangnya bersyukur kerana berjaya mengharungi pelbagai cabaran bila sahaja bergelar mualaf.
Muhammad Fitri yang mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan keluarga angkat, Nazreen Kamal Basha, 30, kini diceriakan dengan kehadiran empat cahaya mata; Najwa, 9, Muhammad Abdurahman, 8, Abdurrahim, 5 dan Sumayyah, setahun.
Ditanya bagaimana beliau berhadapan dengan reaksi keluarga selepas pengislaman, katanya, seminggu sebelum memeluk Islam beliau pernah berbohong kepada ibu memberitahu dirinya sudah Islam.
“Pada masa itu, saya hanya hendak menguji sejauh mana penerimaan mereka. Reaksi awal ibu ialah dia kecewa tetapi tidak marah dengan pilihan yang diambil. Pada masa itu juga terbongkar satu kisah yang ibu simpan sejak mendiang ayah masih hidup iaitu semasa saya berusia enam bulan, ayah pernah mengeluarkan kata-kata yang saya suatu hari nanti akan menukar namanya kepada Abdullah. Padahal ayah meninggal semasa saya berusia enam tahun.
“Apabila melihat sikap keterbukaan ibu, timbul keberanian untuk meneruskan keputusan memeluk Islam. Pun begitu, saya memahami kekecewaan mereka kerana saya dikira orang harapan dalam keluarga.
“Saya cuba buktikan kepada mereka, yang saya bukannya menyembah Tuhan yang baru tetapi Tuhan Yang diesakan sebagaimana disebut dalam kitab lama masyarakat Hindu.
“Pada peringkat awal, adik-beradik juga kecewa dengan keputusan saya. Mereka terasa seolah-olah saya hendak bertukar identiti, khuatir saya akan berkahwin dengan gadis Melayu dan takut hubungan kekeluargaan terbatas kerana perbezaan agama,” katanya bersyukur apa yang dibimbangi tidak berlaku malah hubungan mereka anak-beranak semakin hari bertambah akrab.
Saranan Muhammad Fitri kepada mana-mana individu yang berhasrat memeluk Islam agar membuat perancangan terlebih dahulu terutamanya persiapan dari segi mental dan ekonomi.
“Saya beruntung kerana banyak pihak yang menyokong dan mendokong sepanjang perjalanan pengislaman saya hingga ke hari ini. Keluarga angkat yang telah menyediakan seorang guru, Zainuddin Sitek untuk mengajar selok-belok Islam dan membaca al-Quran. Alhamdulillah dalam masa setahun saya telah lancar membaca al-Quran.
“Jasa mereka ini hanya Allah s.w.t. dapat membalasnya. Pun begitu saya terharu dengan pemahaman keluarga kerana tidak mengambil sikap terlalu emosional apabila berhadapan isu pengislaman saya. Ia amat besar maknanya buat saya,” kata Muhammad Fitri yang mula serius dalam kegiatan dakwah sejak 1999. Ini semua bertitik-tolak daripada saranan Rasulullah s.a.w.: Sampaikanlah oleh kamu walau sepotong ayat.
Selain menjadi Ahli Jawatankuasa Perkim Selangor, Muhammad Fitri turut menjadi Panel Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), panel kaunselor di Mufti Kerajaan Negeri Sembilan. Selain itu, sering menjadi penceramah jemputan terutamanya tentang tajuk perbandingan agama.
Kejayaan program-program ini juga adalah hasil sokongan dan kerjasama institusi agama dan pertubuhan bukan kerajaan lain. Perkim lebih berperanan sebagai orang tengah atau jambatan untuk merapatkan jurang perbezaan.


Akui anak bongsu daripada empat adik-beradik ini lagi, di samping suka melibatkan diri dengan pelbagai program kemasyarakatan, beliau turut aktif dalam dunia penulisan bahan ilmiah. Beberapa buku terlaris beliau ialah Rahsia Bisnes Orang Cina, Rahsia Bisnes Orang Jepun, Rahsia Bisnes Orang Korea, Rahsia Black Metal dan Rahsia Arqam.
Menjawab kepuasan yang diperoleh dalam semua kerja-kerja yang dilakukan, Ann yang sedang melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Pusat Pengajian Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata, ia dirasai apabila dapat memberi sumbangan kepada anggota masyarakat.
Ini kerana setiap manusia tidak dapat lari daripada kehidupan bermasyarakat. Sekurang-kurangnya, apa yang dilakukan secara ikhlas ini menjadi aset akhirat sewaktu bertemu Ilahi kelak.
Berkongsi kisah pengislaman, kata Ann, sebab utama mengkaji tentang Islam ialah apabila tidak mendapat jawapan atau penjelasan tepat tentang sesuatu kemusykilan berkaitan Islam apabila diutarakan kepada teman-teman.
Beliau mula tertarik kepada Islam sewaktu di zaman persekolahan dan semasa menuntut di universiti di mana beliau mula bergaul dengan orang Islam.
“Saya terpikat dengan Islam ini terutamanya penekanannya kepada konsep persaudaraan Islam dan institusi zakat. Ini kerana bidang sosiologi yang saya pelajari tidak ada tolok bandingannya dengan Islam.
“Jadi apabila saya tidak dapat penjelasan sebagaimana yang diharapkan, saya mula mencari menerusi bahan bacaan, perbincangan dengan ulama dan menerusi kajian, Gerakan Islam di Malaysia di peringkat sarjana. Saya juga pernah melalui pengalaman kerohanian dan saya pernah berniat sekiranya saya menjumpai duit saya yang hilang, saya akan membeli sebuah al-Quran.
“Entah macam mana, duit tersebut ditemui jadi sebagai memenuhi hasrat itu, saya pun membeli senaskhah terjemahan al-Quran dan menerusinya saya mendalami Islam dan akhirnya membawa kepada agama Allah,” akui Ann.
Harapan bekas tenaga pengajar di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya ini, agar tidak berlaku pengasingan atau penyisihan kepada golongan saudara baru terutamanya di kalangan umat Islam itu sendiri.
Sebaik-baiknya, umat Islam dapat menjadikan saudara baru sebahagian daripada mereka dan lebih digalakkan jika golongan ini diberikan sokongan dari segi fizikal dan bukan fizikal.
Bagi mereka yang ingin menyalurkan bantuan kepada kanak-kanak di asrama Baitul Ummah bolehlah menghubungi talian 03-4024 3304.
29.10.2012

No comments: