Tuesday 14 May 2019

PROTO MELAYU: MOYANG ORANG MELAYU

Salam Ramadhan buat para pembaca. Hari ini penulis ingin mengupas secara umum berkenaan Proto Melayu. Seperti yang pernah diketengahkan oleh penukis sebelum ini, Proto Melayu adalah salah satu dari pecahan Orang Asli di Semenanjung Malaysia.
Baiklah, di sini penulis ingin menyentuh sedikit mengenai penulisan penulis sebelum ini. Peratusan orang asli bagi Melayu Proto adalah kedua tertinggi selepas Senoi (Austroasiatik) iaitu sebanyak 42%. Terdapat 6 suku Orang Asli yang dikelaskan sebagai Melayu Proto dan 5 daripadanya bertutur dalam rumpun bahasa Austronesia, manakala hanya satu suku sahaja iaitu suku Semelai yang bertutur dalam rumpun bahasa Austroasia. Hal ini menimbulkan sedikit perdebatan dalam kalangan pengkaji etnografi dan linguistik kerana sepatutnya suku Semelai tidak digolongkan dalam keluarga Proto Melayu berdasarkan kajian bahasa.
Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Rohani dan Hasnoor iaitu dua orang pengkaji linguistik yang mengkhususkan kajian dalam bidang bahasa dan dialek Orang Asli di Semenanjung Malaysia, mereka mendapati persamaan kognat Bahasa Melayu dengan 5 suku Bahasa Melayu Proto iaitu kadar persamaan di antara 80.9 hingga 92.4 peratus.
Dapatan ini telah dicatatkan di dalam kajian mereka yang diterbitkan oleh Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Kadar kekognatan Bahasa Melayu dan Jakun adalah sebanyak 92.4%, Temuan sebanyak 89.5%, orang Kanaq sebanyak 90.2%, orang Seletar sebanyak 87.1% dan orang Kuala sebanyak 80.9%.
Dapatan ini diperolehi melalui kajian menggunakan kaedah leksikostatistik. Mereka akhirnya menyimpulkan bahawa bahasa suku Orang Asli Proto Melayu yang memiliki lebih 80% persamaan dengan Bahasa Melayu standard merupakan bahasa yang sama tetapi memiliki dialek yang berbeza.
Leksikostatistik bermaksud pengkajian secara statistik tentang kosa kata sesuatu bahasa, dengan pengkajian tentang hubungan sejarahnya dengan bahasa-bahasa lain(Kamus Dewan Edisi Ke Empat). Bahasa Proto Melayu juga berkaitan rapat dengan suku Urak Lawoi di Selatan Thailand (Rohani & Hasnoor).
Dalam aspek kepercayaan pula, menurut Asmah H. O., 2008, Orang Asli percaya bahawa petanda baik atau tidak baik boleh diamati dan diperolehi daripada haiwan atau apa saja di sekeliling mereka. Untuk kawasan tempat tinggal, konsep kediaman Orang Asli Proto Melayu hampir menyamai orang Melayu dan fakta ini telah dicatatkan di dalam makalah bertajuk Kenali Orang Asli, Adat dan Istiadat terbitan Jabatan Kemajuan Orang Asli(JAKOA).
Menurut Rohani & Hasnoor, rupa fizikal Orang Asli Proto Melayu tidak jauh berbeza dengan orang Melayu yang memiliki kulit tidak terlalu gelap/sawo matang dan berketinggian sederhana.
Dari aspek genetik pula, Orang Asli Melayu Proto dari suku Temuan didapati mempunyai genetik yang sangat rapat dengan orang Melayu Kedah dan Kelantan (Hatin et. al., 2014).
Dari sini maka muncul teori yang berpendapat Orang Asli Proto Melayu adalah nenek moyang kepada Melayu Deutero di Semenanjung Tanah Melayu selepas berlakunya perkahwinan campur antara mereka dengan imigran Jawa, Siam, Orang Sumatera, India, Thai, Arab dan Cina (Masron et.al). Teori ini di sokong oleh Anderback K., 2002, yang menyatakan Melayu Proto dan Melayu Deutero adalah datang dari keturunan yang sama.
Kesimpulannya, pada pandangan penulis amalan dan perilaku yang menyamakan sesuatu suku atau kaum dengan perkataan yang berkonotasi negatif daan buruk perli dihentikan kerana ia hannya akan mengeruhkan hubungan antara kaum di samping menjadi salah satu bentuk pembulian verbal.
Antara penyebab utama penulis menulis berkenaan Orang Asli adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat agar menghentikan tabiat "racist slur" ini. Tambahan pula orang Melayu Semenanjung (Melayu Deutro) dan Orang Asli Proto Melayu adalah dari "stock" yang sama, keturunan yang sama.
Selepas ini Insyallah jika berkelapangan penulis akan menulis sambungan artikel yang menyentuh bab pecahan Orang Asli Proto Melayu seperti suku Temuan, Jakun dan lain-lain bagi siri artikel Ethnologi ini jika penulis berjaya mendapatkan sumber dan fakta autentik yang lebih banyak.
Rujukan:
Anderback K.(2002). Suku Batin, A Proto Malay People? Evidence from Historical Linguistic. The Sixth International Symposium on Malay/Indonesian Linguistik. Pulau Bintan, diambil dari Bahasa Orang Asli Melayu Proto, Bahasa atau Dialek Melayu? oleh Rohani & Hasnoor,
Rohani, M. Y. & Hasnoor, N. Bahasa Orang Asli Melayu Proto, Bahasa atau Dialek Melayu?. Akadami Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Hatin, et. al.(2014), A Genome Wide Pattern of Population Structure and Admixture in Peninsular Malaysia Malay. The HUGO Journal 2014 8.5
Masron. T., Masami. F., & Hasimah N. (2010), Orang Asli in Peninsula Malaysia: Population, Spatial Distribution and Socio-economic Condition(p. 79-85), Universiti Sains Malaysia
Jabatan Kemajuan Orang Asli. Kenali Orang Asli, Adat dan Istiadat. JAKOA.
Kamus Dewan Edisi Keempat.
Gambar Orang Asli suku Jakun
-AHMAD SYAZWAN AB RAHMAN
Sarjana Muda Biologi Pemuliharaan UMS

Copy and paste: FB Lembaran Sejarah
14.5.2019: 8.10 pm

No comments: