Wednesday, 24 January 2018

Beza antara Jahil Basit (jahil biasa) dan Jahil Murakkab (jahil berganda-ganda)

Ilmu lawannya ialah jahil.
Ilmu bermaksud mengetahui tentang sesuatu. Manakala Jahil bermaksud tidak mengetahui tentang sesuatu dan pada masa yang sama orang itu berkeupayaan untuk mengetahui melalui belajar atau mencari ilmu.
Jahil adalah sifat khas untuk manusia. Dengan itu, kita tidak sandarkan Jahil kepada binatang, pokok, dinding dan sebagainya. Semua benda ini memang sepatutnya tidak mengetahui dan tiada keupayaan untuk belajar.
Jahil terbahagi kepada dua jenis iaitu Jahil Basit (jahil biasa) dan Jahil Murakkab (jahil berganda-ganda).
Jahil Basit juga boleh difahami sebagai jahil selapis sahaja manakala Jahil Murakkab ialah jahil berlapis-lapis/berganda ganda.
Jahil Basit ialah orang itu jahil tentang sesuatu dan sedar dia adalah jahil. Dengan sebab itu, orang yang Jahil Basit akan pergi mencari ilmu dan belajar untuk menambah pengetahuan agar tidak menjadi jahil.
Manakala Jahil Murakkab ialah orang itu jahil tentang sesuatu dan tidak sedar dia adalah jahil.
Orang Jahil Murakkab ini terus berada dalam dunia kegelapan dan dia tidak sedar bahawa dia berada dalam kegelapan. 
Malahan dia senantiasa berasa dirinya alim (mengetahui) daripada orang lain.

Dengan itu, jika kita berasa kurang ilmu atau jahil. Maka ia adalah nikmat Allah taala dan kita akan berusaha menampung kekurangan ini. Malahan apabila kita belajar maka setiap kali itu akan kita sedar bahawa banyak lagi ilmu yang kita kurang dan perlu ditambah.
Jahil Murakkab adalah suatu musibah dan bencana yang kita perlu hindari. Mendekatkan diri dengan ulama, menghadiri majlis ilmu, membaca buku pengetahuan dan berbincang tentang ilmu boleh menghindarkan diri daripada sifat jahil yang berlapis-lapis ini.
عقيدة الناجين - ٤٥
wallahualam.

Copy and paste: Facebook

No comments: