Friday, 29 May 2015

TUNTUT ILMU WALAU KE CHINA

Oleh Dr Yamin Cheng

[Rencana ini pernah disiar di akhbar Berita Harian 9 Mac 2015]

NABI Muhammad (SAW) dikatakan ada bersabda, ‘Tuntutlah ilmu walau ke China.’ Walaupun ada setengah pihak meragui kesahihan hadis ini namun kata-katanya telah menjadi popular dalam masyarakat Islam hatta Imam Ghazali menyebutnya di dalam kitab besarnya Ihya Ulum al-Din. Ini sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa negara Tiongkok ini mempunyai sesuatu yang menyumbang kepada tamadun dunia. Tetapi apakah ia?

Tentunya bukan ilmu guna-guna untuk memikat ah moi cina, atau resepi hainan chicken rice dan wantan mee, atau bisnes kopitiam dan restoran cina muslim.
Seandainya sabda Nabi yang berbunyi ‘Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan nilai-nilai murni peribadi diri’ boleh dijadikan petunjuk, menuntut ilmu di China adalah untuk mencari nilai-nilai murni kemanusiaan di sana.
Tamadun China dibina atas falsafah hidup yang bernama ajaran Ru atau lebih dikenali sebagai Konfusianisme. Sejak beratus tahun, sebuah tunjukajar ringkas Konfusianisme yang bernama Ta Hsueh atau Menjadi Manusia Agung menjadi asas falsafah hidup masyarakat Cina. Tunjukajar ini berbunyi, ‘Menjadi manusia agung berpaksi kepada tiga. Pertama, meluhurkan nilai-nilai murni yang termaktub dalam lubuk sanubari. Kedua, memupuk persaudaraan sesama insan sehingga terjalin satu jiwa satu hati. Ketiga, mengasuh perilaku hingga mencapai keperibadian yang bermutu tinggi.’ 
Meng Zi atau Mencius seorang sarjana Konfusianisme yang hidup pada kurun ke 4 Sebelum Masehi menyebut bahawa lubuk sanubari kita yakni xin terdiri dari empat nilai murni iaitu keinsanan, rasa kasih sayang dan keprihatinan atau ren, tahu meletak sesuatu perkara atau tindak-tanduk sesuai pada tempatnya atau yi, berperilaku mengikut ketertiban dan ketatasusilaan atau li, dan melihat segala sesuatu dengan pandangan yang saksama atau zhi.
Wang Yang Ming, seorang lagi sarjana Konfusianisme kurun ke 16 berkata:-
‘Seorang manusia agung ialah orang yang tahu apa itu kesatuan di antara makhluk sejagat. Apabila dia melihat seorang budak hampir terjatuh ke dalam perigi dia dapat rasa detik cemas budak tersebut. Ini menunjukkan yang dia mempunyai ren atau pati keinsanan yang menyatukan hati, jiwa dan rasa bersama dengan budak berkenaan.
Apabila dia melihat burung-burung dan binatang lain berbunyi dalam ketakutan dan kebimbangan serta menangis dalam keluhan, hatinya berasa perit dan sakit serta prihatin dan simpati kepada mereka. Ini menunjukkan bahawa manusia dan haiwan membentuk satu kesatuan hati, jiwa dan perasaan.
Apabila dia melihat pokok-pokok ditebang tanpa apa-apa tujuan, dia faham rasa pokok itu dan ini menjadikan dirinya serta tumbuh-tumbuhan menjalin satu kesatuan keprihatinan.
Apabila dia melihat batu-batuan dipecah-pecahkan dan diperlakukan tanpa rasa hormat dia dapat rasa kehinaan yang dialami batu-batuan berkenaan.
Kesatuan jiwa, hati dan sanubari di antara segala yang ada di alam semesta adalah anugerah Tian iaitu penganugerah dari langit tinggi.’
Sebagai manusia, kita berbeza dalam banyak perkara dan keadaan. Ada tinggi dan ada yang rendah, ada dahulu dan ada yang kemudian, ada kurang dan ada yang lebih dan sebagainya di antara kita. Persamaan, dari segi ini, bukan bermakna kita adalah serata dalam apa jua. Sebaliknya, ia bermakna kita harus bersama-sama membawa perbezaan kita ke suatu titik muafakat untuk menjalin kesatuan jiwa, hati dan diri melalui nilai-nilai murni yang ada dalam lubuk sanubari. Dan sebagaimana kata-kata sebuah falsafah Ubuntu dari Afrika yang berbunyi ‘I am who I am because of who we all are’ yang bermaksud ‘Saya adalah saya disebabkan kita semua,’ ini menunjukkan untuk membentuk acuan diri, kita perlu kepada sesama kita untuk menjayakan erti kita sebagai manusia. Mungkin juga ini merupakan makna tersirat tentang menuntut ilmu walau ke China di mana pandangan wujud Islam dan Cina boleh menyumbang kepada tamadun dunia melalui muhibah hidup sesama manusia yang berteraskan keprihatinan terhadap keinsanan, meluhurkan nilai-nilai murni dari lubuk sanubari terhadap peribadi serta membawa rasa belas ihsan, simpati dan tolak ansur kepada perbezaan sesama kita.

PICTURE: CHINESE HUI MUSLIM KIDS FROM GANSU
Sumber: Facebook (MACMA Selangor)

No comments: