Bersambung dari:
PENGALAMAN PEMBEDAHAN PINTASAN JANTUNG - BAHAGIAN 3
23 APRIL 2019
Setelah diberitahu oleh jururawat bertugas petang itu bahawa saya akan dibedah pagi esok, malam ini saya dikehendaki membuat beberapa persiapan untuk pembedahan esok (24 April 2019). Antaranya ialah saya dikehendaki mencukur semua bulu-bulu di badan dan di kaki (dibantu oleh pembantu Hospital) kemudian saya dikehendaki mandi malam itu menggunakan sabun Antiseptik.
Pada malam ini juga saya telah ditemui oleh Pakar Bius IJN (Seorang Doktor wanita keturunan Sikh) dan beliau menerangkan kepada saya segala prosedur pembedahan yang akan berlansung pagi esok.
Malam ini juga saya dikehendaki tidor secukupnya dan saya juga telah diberikan oleh jururawat bertugas malam pil ubat tidor untuk mengelakkan saya tidak dapat tidor dan berfikir bermacam-macam perkara.
Alhamdullillah malam itu saya dapat tidor dengan lena namun sebelum itu saya telah sempat bersalaman dengan isteri tersayang yang menemani saya malam itu dan memohon ampun maaf serta saya juga telah memaafkan dan mengampunkan segala kesalahan atau dosanya pada saya.... macam drama Melayulah sikit malam tu.... hehe
Oh ya!! Selepas saya menjalani ujian Angiogram tempohari dan disahkan akan menjalani pembedahan CABG, sebelum pembedahan Pintasan Jantung dilaksanakan, pihak IJN ada memberi senarai barang-barang yang diperlukan sebelum pembedahan iaitu :
1. Kusyen kecil atau bantal kecil 4 segi - untuk digunakan oleh pesakit selepas pembedahan. Pesakit yang baru lepas CABG tidak dibenarkan tidor mengiring, selama beberapa bulan pesakit kena tidur terlentang untuk menjaga bahagian jahitan di dada yang masih lagi baru dan memerlukan beberapa bulan untuk tidor terlentang. Bantal itu kena yang jenis berat sikit sebab pesakit diperlukan tidor dengan memeluk bantal tersebut. Bagi saya keadaan ini memang tak berapa selesa kerana saya dah biasa tidor mengiring, bila tidor terlentang ini susah sikit nak lelap mata...tapi Alhamdulillah semua itu saya terpaksa hadapi dengan sabar.
Pastikan bantal senantiasa dibawa dan ditekapkan diatas dada kemasa kita pergi selepas keluar dari hospital..kerana tempoh untuk pemulihan tulang sepenuhnya mengambil masa 2 bulan. Itulah pentingnya penjagaan rapi.
2. Sarung Kaki khas (panjang) yang boleh didapati di Farmasi. Sarung kaki ini diperlukan untuk mengelakkan jangkita kuman pada bekas jahitan di kaki.
3. Baju yang berbutang dibahagian hadapan (t-shirt tidak dibenarkan) dan kain batik, kerana selepas pembedahan bahagian dada kita akan dipasang alat (yang saya tak ingat) untuk jururawat yang berada di Kaunter mengesan degupan jantung kita (kalau saya silap tolong betulkan). Jadi bila nak ke tandas kena cabut alat itu dan bila kembali ke katil Jururawat akan memasang kembali alat itu...sebab itu baju berbutang diperlukan untuk memudahkan pemasangan alat tersebut... senang cerita baju kemeja yang berlengan pendek...
4. 3 helai tuala , 1 utk mengelap badan, 1 lagi utk mengelap kesan jahitan di bahagian dada dan 1 helai lagi utk mengelap kesan jahitan di bahagian kaki. Tujuan nya utk mengelakkan jangkitan kuman dibawa ke jahitan yang lain. 3 helai tuala itu perlu diganti setiap kali mandi. Dan ini perlukan kita lakukan beberapa bulan lagi selepas keluar dari Hospital terutama bila kesan jahitan (didada dan kaki) itu masih baru.
24 APRIL 2019: CABG - CORONARY ARTERY BYPASS SURGERY
Pada pagi 24 April 2019 saya sudah bangun seawal 5.15 pagi untuk mandi menggunakan sabun antiseptik. Selepas solat Subuh, saya didatangi oleh jururawat dengan membawa pakaian untuk dipakai semasa pembedahan. Dengan dibantu oleh isteri saya memakai pakaian tersebut kemudian dikehendaki berbaring di atas katil khas yang telah dibawa masuk oleh petugas IJN.
Dengan katil itu saya terus dibawa ke bilik pembedahan... hati saya ketika itu hanya Tuhan sahaja yang tahu....mata saya asyik memadang ke arah isteri saya dengan wajah sayu...syukur Alhamdullillah saya lihat wajah isteri saya tenang sahaja..... saya juga telah diberi ubat penenang.....
Setiba di bilik pembedahan telah menunggu Doktor Pakar Bius yang menemui saya semalam di wad... beliau menerangkan prosedur sambil menenangkan saya ... saya pun tidak sedar masa bila beliau memasukkan ubat bius ke dalam badan saya.... Apa yang saya tahu selepas itu saya lansung tidak sedar dah.........
APA ITU CABG?
CABG (Coronary Artery Bypass Surgery) atau Pembedahan Pintasan Jantung adalah satu kaedah yang melibatkan pembedahan untuk memintas arteri yang tersumbat.
Dalam pembedahan ini, urat darah (vena) akan diambil daripada salah satu bahagian tubuh yang selalunya di kaki dan digunakan untuk memintas arteri yang sempit atau tersumbat pada permukaan jantung. Urat darah yang diambil itu akan dipotong kepada beberapa ukuran dan pangkal daripada urat darah tersebut akan disambung kepada arteri utama jantung (aorta) yang paling hampir dengan jantung. Hujung urat darah berkenaan akan dijahit atas arteri koronari melepasi arteri yang sempit.
Pembedahan CABG selalunya mengambil masa di antara 3 hingga 6 jam, bergantung kepada apa yang perlu dilakukan. Di waktu ini, keluarga anda boleh berehat di bilik menunggu di ruang luar dewan bedah. Jika berada di luar IJN juga lebih baik dan kembali semula sehingga selepas masa yang dianggarkan.
Saya memang tidak sedar lansung sepanjang pembedahan dilakukan keatas saya. Apa yang saya ingat saya sedar jam 5.30 pagi esoknya, ketika itu saya lihat beberapa jururawat sedang yang sibuk memasang beberapa peralatan di tubuh saya yang saya pun tidak tahu apa dia.
Ketika sedar tiub penafasan masih lagi belum dicabut...jadi saya tidak boleh bercakap.... terpaksa guna isyarat tangan apabila meminta sesuatu kepada jururawat. Apabila tiub penafasan ditanggalkan , baru saya boleh bercakap.
Saya telah ditahan di Bilik ICU sebelum dipindah ke HDU (High Dependency Unit). Ketika di HDU, keluarga tidak boleh menemani pesakit kerana pesakit akan dipantau 100% kerana keadaan mereka yang belum Stabil.
Semasa di ICU dan HDU ini kita akan dipantau sepenuhnya oleh jururawat yang bertugas, kita hanya boleh turun dari katil untuk buat latihan fisioterapi, selain dari itu tak dibenarkan.... nak buang air kecil atau air besar... pun atas katil guna pampers.....masa inilah hari-hari berdoa agar segera dipindahkan ke wad biasa.... namun syukur Alhamdulillah jururawat-jururawat di ICU dan HDU memang cukup terlatih dan profesional... mereka tabah dan sabar dalam menjaga pesakit di ICU dan HDU ini... Saya salute mereka.....
Semasa di wad ICU dan HDU juga saya didatangi oleh petugas Fisioterapi untuk membawa saya membuat latihan berjalan menggunakan peralatan fisioterapi... untuk berjalan selepas pembedahan tentu agak melemahkan dengan keadaan dada dan kaki kita yang masih lagi ada kesan jahitan yang masih baru..tentu menyukarkan... namun latihan fisioterapi diperlukan untuk menguatkan kembali fizikal kita... terima kasih kepada jururawat dan para petugas fisioterapi di wad ICU dan HDU yang tidak pernah jemu jemu melayan kami para pesakit yang baru menjalani pembedahan jantung..... jasa anda akan saya kenang sepanjang hayat saya....dan semoga Allah memberkati tugas murni yang anda sekelian jalankan...
Sebelum menjalani pembedahan dahulu, saya ada di beri alat penanda aras sedutan pernafasan yang perlu kita gunakan setelah pembedahan nanti. Pesakit digalakkan untuk menyedut alat yang disediakan dan ditahap mana pernafasan mereka itu kalau boleh setiap jam. Tujuannya untuk mengembangkan paru2 dan penting juga untuk jantung mereka. Alat ini sampai sekarang masih saya simpang di rumah.
Anak dan isteri saya datang melawat ketika masih lagi di wad HDU...
Saya berada di bilik HDU selama 4 hari sehinggalah hari Jumaat 29 Mac 2019 baru saya dipindahkan ke wad biasa. Saya berasa lega apabila dipindahkan ke wad biasa kerana di wad biasa isteri saya boleh menemani saya sepanjang berada di wad.
Beginilah keadaan saya selesai pembedahan, dengan badan penuh dengan wayar..... sebab itu kita perlu sediakan baju yang berbutang sebelum pembedahan lagi....
Bilik B415 bilik wad biasa selepas dipindahkan dari HDU ward.
Yang menyeronokkan di Wad biasa saya dapat katil paling hujung berhampiran tingkap.... jadi taklah rasa bosan sangat kerana dapat melihat pemandangan diluar Hospital (IJN).
Sepanjang berada di wad biasa... kesihatan saya sentiasa dipantau oleh jururawat bertugas seperti tekanan darah, denyutan jantung, nadi dan sebagainya.
Di waktu pagi pula saya perlu hadir di Pusat Fisioterapi untuk menjalani beberapa proses pemulihan untuk menguatkan jantung dengan dibantu oleh Ahli Fisioterapi IJN yang cukup terlatih....
Disini kita perlu menjalani sesi terapi seperti berjalan kaki beberapa pusingan, mengayuh basikal dsb. Ketika kali pertama selepas pembedahan kita akan berjalan keliling wad ICU dengan bantuan alat yang disediakan, kerana keadaan kaki yang masih lemah selepas dijahit.... ada juga rasa sakit sikit maklumkan jahitan itu masih baru, namun lama kelamaan sakit itu akan hilang.. terima kasih pada petugas Fisioterapi yang sentiasa membantu kita ....
Bagi seorang pesakit, lawatan atau ziarah adalah yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh pesakit.... kerana ianya dapat menghiburkan dan melupakan sedikit sebanyak kesakitan yang dialami....
Ketika di wad biasa, saya juga dikunjungi oleh ahli keluarga, sanak saudara, sahabat dan paling menggembirakan rakan-rakan sebilik semasa Haji 2017 turut menziarah saya..... tak terucap kata-kata ribuan terima kasih kepada semua yang telah meluangkan masa menziarahi saya sepanjang saya di wad IJN.
Dato Hj Roslan dan Isteri Datin Hjh Normadiah dan Hj Mohammad (Che Mad), rakan sebilik saya ketika musim Haji 2017.
Tuan Haji Jamal dan Isteri Hjh Azlina , rakan sebilik saya dan isteri ketika musim Haji 2017
Tuan Haji Rosli dan isteri Hjh Hasnah, rakan sebilik saya dan isteri ketika musim Haji 2017 turut menziarahi.
Kenangan bersama pesakit dan keluarga pengiring ketika di wad
FOTO KEHIDUPAN SEHARIAN DI WAD
Aktiviti biasa sebelum tidor... perkena kopi panas cecah biskut atau roti bersama isteri tersayang.... kenangan yang paling manis bagi ku..... disini kemesraan suami isteri dapat dirasakan...
sebelum melelapkan mata... buka FB, Whatsapp dan lain lain
isteri yang menemani ku di wad....tidor di atas kerusi malas...
Pemandangan luar tingkap tepi katil ku kadangkala membuatkan aku rasa tenang dan damai....
Setelah keadaan kesihatan ku agak stabil, maka aku dibenarkan keluar dari wad dan pulang ke rumah pada 3 April 2019.
Sementara menunggu waktu dibenarkan keluar, sempat juga aku dan isteri turun ke lobby bawah kerana aku dah lama sangat tak dapat menikmati makanan di luar sambil menikmati suasa luar sejak dari 18 Mac lagi aku terperok je dalam wad......
Selepas menikmati hidangan di Lobby IJN, aku terserempak dengan rakan sekolah Menengah ku .. Sdr Husin Pilus dan datang untuk mengambil ubat di IJN.... lama juga kami dah tak bertemu.....
Sebelum pulang, saya kena kauseling mengenai pemakanan oleh pakar pemakanan IJN dan juga kaunseling mengenai fisioterapi dan latihan pemulihan selepas keluar wad.
Ini yang paling penting bagi kita kerana selepas keluar dari Hospital, kita akan kena jaga kesihatan diri kita sendiri. Jadi ambil perhatian sepenuhnya segala apa yang dinyatakan oleh pakar Pemakanan dan Pakar Kaunseling tentang prosedur selepas keluar dari Wad, langkah-langkah yang perlu diambil apabila ada apa-apa kesan sampingan selepas pulang ke rumah, makanan yang perlu dijaga dan perlu dielakkan sepanjang tempoh pemulihan di rumah, tidak boleh memandu selama beberapa bulan dan mengangkat barang-barang berat dan banyak lagi... masa kaunseling itu minta isteri atau teman pengiring kita mencatat butir-butir penting supaya kita tidak lupa apabila berada di rumah nanti.... dan yang penting hadir pada setiap temujanji dan sesi Terapi yang ditetapkan... jangan tidak hadir...
Setelah mengambil ubat di Kaunter Perubatan, barulah saya dilepaskan untuk pulang ke rumah... Kakak dan anak saudara saya yang datang mengambil saya dan isteri di IJN.
Memang bila baru keluar dari Wad ubatnya banyak sekali terpaksa kita makan. Tapi jangan risau, setelah beberapa lama selepas pembedahan, ubat ini akan berkurangan sedikit demi sedikit mengikut tahap kesihatan kita setiap kali bertemu doktor di saat Temujanji selepas keluar wad.
Sehingga kini (2021), saya hanya tinggal 3 jenis ubat sahaja yang perlu saya makan mungkin sepanjang hayat saya....
10 - 12 APRIL 2019 - MASUK WAD KEMBALI
Pada 10 April 2019, saya ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan kerana luka berdarah di kaki kanan saya.
Namun pihak HAT TM merujuk saya kembali ke Institut Jantung Negara dan saya dihantar dengan Ambulan ke IJN.
Di IJN saya dimasukan sementara ke bilik Kecemasan sebelum dimasukkan ke wad biasa tingkat 2.
Isteri yang sentiasa menemani ku.... terima kasih isteri ku
Saya discharge dari IJN pada petang 12 April 2019.
Setelah keluar dari Wad IJN, saya masih ada beberapa sessi Fisioterapi yang perlu saya hadir iaitu sebanyak 8 Sessi....
Sessi Fisioterapi terakhir saya ialah pada 4 July 2019 dimana pada hari tersebut saya dikurniakan sijil tamat latihan Fisioterapi IJN.... satu kenangan manis sepanjang latihan fisioterapi.....
Menerima sijil Tamat Latihan Fisioterapi pada 4 July 2019....
Demikian secebis kenangan sepanjang saya menjalani rawatan penyakit jantung di Institut Jantung Negara, KL.... saya kongsikan pengalaman ini untuk mereka-mereka yang mungkin bakal menjalani pembedahan CABG seperti yang saya lalui.... nasihat saya jangan risau, tenangkan hati, In sya Allah semuanya akan berjalan dengan lancar.... memang mula-mula saya bila doktor beritahu kena buat pembedahan CABG, saya agak gementar sikit masa tu, maklumkan sehingga umur saya 58 tahun saya tak pernah lalui satu pembedahan pun selama itu... ini adalah pembedahan pertama dalam hidup saya, memang agak takut, namun doktor dan jururawat di IJN akan sentiasa ada untuk memberi semangat dan sedikit demi sedikit perasaan takut itu hilang... malah pada malam sebelum pembedahan, pakar bius akan datang menziarahi kita di wad untuk menerangkan prosedur pembedahan dan memberi kata semangat kepada kita...
Saya tidak akan pernah melupakan jasa-jasa setaf IJN termasuk para Doktor, jururawat, Pakar Jurupulih anggota, setaf tadbir...
Kepada jururawat-jururawat yang menjaga saya sepanjang saya di wad IJN, saya sangat terharu kerana layanan baik anda semua tanpa mengira bangsa dan agama.... sabar melayan kerenah pesakit ... adakala kami agak sensitif sikit ...namun sikap profesional para jururawat dan doktor di IJN amat terbaik....
Syabas IJN..... kenangan bersama anda bukanlah kenangan pahit sebaliknya kenangan manis belaka..... selepas ini saya pasti rindu akan IJN....
Hj Zulheimy Bin Maamor
Lembah Keramat, KL
25 April 2019 : 10.30 pm