ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 28 April 2019

TRAGEDI HITAM ASKAR MELAYU DI AIR HITAM



Pada 16 September 1941. Satu kompeni Askar Melayu daripada Kompeni “A” Batalion Pertama dari Pusat Latihan Perang di Tanjung Sura, Dungun diarah membuat latihan perang bertempat di Dungun, Terengganu untuk memantau dan mempertahankan Dungun dari kemaraan tentera Jepun sekiranya meletus Perang Dunia Kedua.

Keesokannya mereka diwajibkan membuat latihan di Air Hitam, Paka, Dungun. Kompeni ini diketuai oleh Major England berbangsa British. Mereka yang beruniform lengkap perang kemudiannya berjalan kaki melalui pantai dari Tanjung Sura menuju ke arah Kuala Paka. Bila sampai waktu latihan dimulakan, dari Tanjung Sura, Dungun satu Kompeni Askar Melayu itulengkap berpakaian perang berjalan kaki melalui pantai menuju kea rah Kuala Paka.
Apabila sampai di Paka, berhampiran Pengkalan Feri Paka (sekarang di kepala jambatan Paka di sebelah utara), kompeni itu mendapat arahan pula supaya membuat pengkalan di hutan di atas bukit di Air Hitam yang sekarang ini dijadikan loji penapis air. Turut sama dalam latihan ketika itu Allahyarham Leftenan Raja Lope Nor Rashid (Rekrut No. 25 – Anak Melayu pertama memegang pangkat Brigedier Jeneral sehingga 19 November 1959), Jeneral (B) Tan Sri Hamid Bidin (ketika itu berpangkat sarjan) dan Lans Koperal Hamzah.
Pada malam 17 September 1941 kira-kira jam 11 malam, mereka diberitahu ada seekor harimau ditemui sedang merayau-rayau di kawasan berhampiran tetapi Lans Koperal Hamzah mengarahkan supaya jangan mengusir harimau itu dibimbangi akan berlaku perkara yang tidak dingini.
Keesokannya 18 September 1941, semua anggota Askar Melayu yang mengambil bahagian di dalam latihan itu bersiap sedia di tepi sungai Paka di Air Hitam iaitu betentangan dengan tangki loji air tersebut. Kemudian arahan diberi oleh Pegawai Pegawai Rentah Latihan untuk menyeberangi sungai itu. Pada mulanya Pegawai Rentah pasukan itu, Major England dihantar ke seberang sana oleh anggota Askar Melayu dengan menaiki sebuah perahu jalur. Setelah Major England berada di seberang sana, sepatutnya Lans Koperal Hamzah pula yang menyeberang tetapi ketua seksyen iaitu Sarjan Nordin meminta izin daripada Lans Koperal Hamzah untuk menyeberangi terlebih dahulu.
Setelah diberi kebenaran oleh Lans Koperal Hamzah, enam Askar Melayu diketuai Sarjan Nordin turun ke tebing sungai setinggi kira-kira 18 kaki bersama-sama enam buah rakit yang diperbuat dari ‘ground sheet’ yang diisi di dalamnya daun-daun lalang kering. Rakit-rakit itu diikat dan dicantumkan menjadi satu. Seterusnya keenam-enam orang Askar Melayu bergantung sambil kaki dan sebelah tangan lagi berdayung untuk menuju ke seberang sana. Sebaik sahaja sampai di tengah sungai, tiba-tiba salah satu dari enam rakit tersebut bocor lalu terus tenggelam di dalam sungai itu menyebabkan keenam-enam askar turut tenggelam sama. Ketika itu mereka turut membawa topi besi, peluru senapang, senapang (Raifil No.1 MK.3), Granite 36, berkasut Ankle dan lain-lain. Oleh kerana beratnya peralatan perang yang berada di badan mereka, keenam-enam pejuang negara terus tenggelam di dalam sungai.
Jadual latihan itu kemudiannya bertukar menjadi usaha mencari dan menyelamat keenam-enam mangsa terbabit. Kejadian malang itu terus dilaporkan Ibu Pejabat Markas Latihan Perang Dunia Kedua di Tanjung Sura, Dungun. Kesemua Askar Melayu yang terlibat dalam latihan itu turut sama mencari mangsa di samping turut dibantu oleh penduduk Paka dan anggota polis Dungun. Mereka menggunakan rawai (besi penyangkut) yang ditarik dengan sampan di dalam Sungai Air Hitam di merata sudut. Setelah 24 jam akhirnya ke semua mangsa berjaya ditarik keluar di tempat berlainan dari sungai tersebut.
Mereka dikenalpasti sebagai Sarjan Nordin Haji Noh, Perajurit Alaudin Muhamed, Perajurit Darus Ngah, Perajurit Ngah Ahmad Alang Mat Hassan, Perajurit Sahat Mubin dan Perajurit Muhamed Sharif Daud.
Kesemua jenazah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya di Dungun. Sebuah batu peringatan setinggi dua meter dibina oleh pasukan “A Kompeni” yang bertulis “Inilah Makam Enam Orang Askar Melayu Kita Telah kemalangan Pada Waktu Menjalankan Pekerjaan di Sungai Paka pada 18 September 1941 bersaman 26 Syaaban 1360.

Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan insan-insan yang soleh. Al-Fatihah.
Rujukan : Yusuf Abu Bakar, Enam Askar Melayu Terkorban Di Sungai Hitam, Dungun – Dalam Kenangan, Berita Darul Iman keluaran November/Disember 1991.
Copy and paste: FB Malaya Historical Group
28.4.2019 : 9.50 am

No comments:

Post a Comment