ZULHEIMY MAAMOR

Monday, 29 April 2019

Rahsia Ketamadunan Tanahair

Cuba perhatikan baik-baik. Apabila diketahui kita ada:
1) Kapak genggam berusia 1.83 juta tahun (Bukit Bunuh, Lenggong, Perak). Kapak genggam paling tua di dunia.
2) Perahu Pontian berusia antara abad ke-3 hingga ke-5 Masehi (Pahang). Perahu purba tertua yang pernah ditemui di Asia Tenggara setakat ini.
3) Lima buah kapal purba di Tapak Arkeologi Sungai Batu (masih belum diekskavasi) yang dianggarkan memiliki usia yang sama seperti Tamadun Sungai Batu (terkini 582 SM). Jika dinaikkan, akan menjadi kapal purba tertua di dunia, mengatasi penemuan sebuah kapal purba Yunani yang berusia 400 SM pada tahun 2018.
4) Tamadun Sungai Batu yang berusia 582 SM. Tamadun tertua di Asia Tenggara setakat ini
5) Kedah Tua sebagai salah satu ibukota empayar Srivijaya. Ini jelas terbukti tercatat dalam Prasasti Kepingan Leiden Besar (kurun ke-11 Masihi).
Maka, apakah maksud semua ini?
Rahsia ketamadunan.
Rahsia ketamadunan yang luarbiasa, yang selama ini kita tak tahu pun dan kita tidak akan jumpa dalam karangan-karangan pegawai penjajah. Sebab itu orang yang menjadi saka penjajah akan meracau-racau berkata seperti: "Akulah sisi gelap sejarah" atau "Sejarah itu adalah kebenaran yang pahit".
Ini salah sama sekali. Sejarah itu ada manis pahitnya, ada hitam putihnya. Dari hitam putih sejarah itu kita mengambil semangat dari kegemilangannya dan iktibar dari kejatuhan dan kepedihannya. Hitam putih sejarah itu sepatutnya mendidik kita menjadi kuat.
Bukannya menjadi bangsat.
Perhatikan, dari 5 maklumat di atas sahaja sudah cukup untuk menggambarkan Tanah Melayu pada masa dahulu bagaimana. Siapa yang kata nenek moyang kita dahulu duduk atas pokok? Siapa yang berbohong kita dahulu tiada tamadun?
Di mana orang Maya sekarang? Di mana orang Aztek sekarang? Mereka dahulu ada tamadun hebat, mereka bina piramid-piramid besar yang mana bila conquistador melihatnya, penjajah itu mengaku tiada satu bangunan sepertinya di Sepanyol dan seluruh Eropah.
Penjajahan. Penjajahan menghalalkan penjarahan. Penjarahan, sama ada menjarah harta benda atau maruah atau intelektual satu bangsa.
Jadi para penjajahlah yang kemudiannya mengajarkan anak jajahannya bahawa, pandanglah sisi gelap sejarah dan sejarah itu adalah kebenaran yang pahit, dengan tujuan melemahkan estim diri bangsa yang dijajahnya.
Saka penjajah akan mengulang-ngulang 'kata-kata azimat' ini. Diulang-ulang sehingga ke hari ini. Dengan cara ini, para penjajah berjaya mencetak klonnya walau jasad mereka sudah lama reput dan roh mereka sudah lama bergentayangan di alam barzakh.
~Srikandi
Die Another History

Copy and paste: FB Sungai Bau - Tamadun Melayu 788SM
29/4/2019 : 1.22 pm

No comments:

Post a Comment