ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 28 November 2024

KEKELIRUAN LOKASI MASJID AGUNG MELAKA DI GERBANG PORTA DE SANTIAGO DAN GEREJA ST. PAUL DI BUKIT MELAKA

Oleh: Fhadrul Irwan > The Ancient Malay Society

Tular dengan sensasinya di media sosial kebelakangan ini berkaitan Kota A Famosa dibina di atas bekas tapak Masjid Agung Melaka. Walaupun kenyataan tersebut, secara sepintas lalu, adalah benar, sekiranya memahami bahawa Kota A Famosa sebagai satu kubu besar yang menutupi sejumlah tanah yang menduduki penempatan, gereja, kuarters, kubu utama, dan elemen-elemen lain. (Walaupun nama sebenarnya dikenali Fortaleza de Malacca) Namun, hal ini perlulah diperincikan lebih dalam lagi oleh kerana kini tular bahawa gerbang Kota A Famosa, yang berdiri utuh sehingga sekarang, adalah lokasi bekas tapak masjid agung yang pernah melaungkan azan sewaktu kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dahulu. Tambahan pula, ada yang mendakwa bahawa Gereja St. Paul di Bukit Melaka adalah bekas tapak masjid agung ini. Atas kekeliruan ini, diri ini berusaha untuk nyatakan hal-hal di atas bagi mengelakkan kekeliruan orang awam, sehinggakan terdapat gema-gema mengatakan gerbang itu harus dirobohkan yang bagi diri ini adalah suatu tindakan yang kurang cermat.
Sebelum membawa kepada perbahasan utama, seeloknya perlu dijelaskan di sini, secara umum, berkaitan dengan mauduk perbahasan kita.
Nama "A Famosa" bukanlah merujuk kepada keseluruhan kota, tetapi merujuk kepada sebuah menara kubu yang tertinggi (daripada empat menara), yang digelarkan dengan nama yang sama. Menara ini menjadi mercu tanda bagi kubu ini dan dinisbahkan dengan nama mercu tanda ini kepada kubu Portugis. Namun demikian, menara ini musnah selepas Belanda menduduki tempat ini pada tahun 1641. Kubu ini dikenali dengan nama "Fortaleza de Malaca" (Rujuk gambar), walaupun terdapat nama-nama lain dalam rekod Portugis. Diri ini akan gunakan nama "Kota A Famosa" dan "Fortaleza de Malaca" merujuk kepada keseluruhan kota yang ditutupi dengan dinding batu ala Eropah (rujuk gambar pelan di bawah)
Berikutan tularnya isu seperti dimaklumkan di atas, ramai yang keliru dan menyangkakan bahawa gerbang Portugis yang utuh berdiri kini adalah bekas tapak masjid, malah sebahagiannya mengatakan bahawa Gereja St. Paul dibina dari bekas tapak masjid. Hal ini memberikan kekeliruan kepada masyarakat awam, sehingga terdapat perasaan marah dari para warganet dengan mengusulkan gerbang tersebut layak dirobohkan.
Persoalan timbul, apakah benar dakwaan sedemikian?
Kepilan di bawah merupakan sumber rekod Portugis yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris berjudul Historia Do Descobrimento E Conquista Da India Pelos Portuguese, dikarangkan oleh sejarawan Portugis Fernão Lopes de Castanheda pada abad ke-16, menerangkan secara jelas lokasi masjid dan istana Sultan Melaka. Memetik petikan pada artikel tersebut menyatakan bahawa Masjid Agung Melaka terletak di bahagian selatan bandar Melaka berhampiran sebuah jambatan sungai begitu penting bagi pelabuhan Melaka semenjak zaman kesultanan lagi. Dinyatakan oleh penulis ini bahawa kubu utama (baca: Fortress) bagi Fortaleza de Malaca dibina di atas bekas masjid agung oleh Alfonso de Albuquerque. Jika dilihat pada peta lukisan Fortaleza de Malaca, kubu utama (fortress) jelas digambarkan oleh kerana di sini adalah ibu pejabat dan pentadbiran gabernor Portugis dan pegawainya, termasuklah gudang persenjataan dan "chapel" untuk tujuan keagamaan. Kedudukannya turut hampir, menurut peta, dengan jambatan, sepertimana dimaklumkan Castanheda. Jambatan tersebut adalah jambatan yang merentasi Sungai Melaka.
Di sini kekeliruan tiba, yang difahami segelintir masyarakat awam adalah bekas masjid didirikan pada salah sebuah gerbang Kota A Famosa; Fortaleza de Malaca yang berdiri sehingga kini. Gerbang tersebut bernama Porta de Santiago, atau Pintu Santiago, yang terletak jauh dari kubu utama (fortress). Hal ini dapat diperhatikan pada bulatan dalam peta di bawah. Menarik dikatakan di sini adalah berhampiran Porta de Santiago adalah laut, yang mana kini sudah ditambak. Hal ini bercanggah sepertimana dikatakan dalam rekod Castanheda yang mengatakan kubu utama (fortress) di atas bekas masjid, bukannya gerbang. Porta de Santiago itu hanya sekadar gerbang sahaja untuk menghubungkan kawasan luar dan Fortaleza de Malaca dan paling hampir dengan Bukit Melaka. Maka dakwaan mengatakan gerbang itu adalah tapak masjid adalah tidak benar.
Isu kedua pula adalah dakwaan mengatakan Gereja St. Paul dibina di atas bekas masjid. Dalam rujukan sumber yang sama, Castanheda mengatakan, dengan jelas, bahawa Gereja St. Paul, atau Nossa Senhora da Annunciada (Our Lady of the Annunciation) (Terdapat perbahasan mengenai nama ini dengan lokasi sebenarnya, sama ada gereja di atas bukit atau chapel di dalam kubu utama; fortress) dibina di atas runtuhan istana sultan Melaka dan rumah para pembesar. Bukit Melaka itu adalah residensi golongan atasan dan diraja, bukanlah masjid, seperti dakwaan segelintir. Hal ini dapat diperhatikan pada petikan di bawah.
Jadi, dimanakah kedudukan masjid yang sebenarnya?
Sepertimana dikatakan di atas, masjid terletak di mana kubu utama (fortress) terbina. Menurut petikan di bawah, ia terletak berhampiran dengan jambatan Sungai Melaka. Kenyataan ini, walaupun tidak menyeluruh, memberikan suatu indikasi lokasi, walaupun masih berperingkat hipotesis, yang terbuka untuk disangkal atau dihujahkan. Perkara ini perlu mencari di manakah "fortress" tersebut terletak, dalam konteks geografi kini.
Pada tahun 2006, penemuan arkeologi berbentuk binaan kubu Belanda bernama Middelburg Bastion (rujuk gambar dibawah), ditemukan secara tidak sengaja ketika melakukan pembinaan Menara Taming Sari, memberi suatu indikasi penting dalam menentukan lokasi kubu utama (fortress). Lokasi Middelburg Bastion ini dapat diperhatikan pada peta yang lain (rujuk dibawah) di mana lokasinya berhampiran dengan kubu utama (Fortress) yang dibina oleh Albuquerque. Jika Middelburg Bastion ditemui berhampiran Menara Taming Sari kini, maka kubu utama (fortress) tersebut diandaikan terletak di antara Menara Taming Sari, dan Bangunan Stadthuys, jika tidak keterlaluan. Apabila disebutkan "antara", bererti ia memerlukan suatu usaha yang lebih terperinci dan memerlukan tambahan rujukan untuk mendapatkan lokasi yang lebih tepat. Kubu utama (fortress) tersebut barangkalinya terletak di sekitar ini yang secara tidak langsungnya adalah lokasi Masjid Agung Melaka. Bukan di atas Bukit Melaka, mahupun Porta de Santiago yang jauh dari ruang kebarangkalian lokasi masjid ini.
Walaupun kenyataan di atas runtuhan masjid agung terbinanya Kota A Famosa; Fortaleza de Malaca itu benar, secara umumnya. Namun, ia boleh mengakibatkan kekeliruan pada masyarakat awam. Bukan masjid, tetapi residensi golongan atas dan diraja turut terlibat, bahkan barangkalinya kawasan penempatan dan seksyen lainnya.
Pada hemat diri ini yang lemah, cukuplah British meroboh Fortaleza de Malaca yang diketuai oleh William Farquhar. Kesan runtuhan itu telah meninggalkan beberapa persoalan sejarah Melaka yang tidak selesai, yang sehingga sekarang lihat kesannya betapa kita keliru di mana lokasi-lokasi yang tepat, yang sepatutnya berkemampuan menjadi alat bantu dalam pengkajian sejarah Melaka.
Wallahu'alam.

Copy and paste:
28/11/2024: 11.49 p.m


No comments:

Post a Comment