ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 28 November 2024

KEDUKAN BUKIT: MENINJAU PRAŚASTI ŚRĪVIJAYA

Oleh: Fhadrul Irwan > The Ancient Malay Society

Disebabkan diri ini amat serabut dengan interpretasi para sarjana terhadap praśasti; inskripsi; batu bersurat yang membuka ruang perdebatan ilmiah. Diri ini mengambil keputusan dengan membaca transkrip praśasti besertakan terjemahan sahaja tanpa ada apa-apa interpretasi sarjana. Kiranya melihat praśasti ini menurut acuan kefahaman diri ini. Kemudiannya daripada itu, barulah kita meneliti satu demi satu istilah, konsep, peristiwa, dan konteks melalui interpretasi sarjana yang terawal hinggalah terkemudian.
Maka diri ini cuba meninjau kepada praśasti Śrīvijaya iaitu Praśasti Kedukan Bukit.
1.0 DESKRIPSI LUARAN PRASASTI KEDUKAN BUKIT
Diri ini cuba meneliti salah sebuah praśasti Śrīvijaya iaitu praśasti Kedukan Bukit yang ditemukan pada milik seorang keluarga di kampung berhampiran Sungai Tatang di Palembang, Sumatera, pada 29 November 1920 oleh Batenburg, seorang pegawai Belanda berkedudukan di bawah pembantu residen. Praśasti ini berbentuk bulat tidak beraturan berukuran panjang 42 cm (Coedès mengukurnya 45 cm mengikut titik terpanjang) dan lebar 32 cm, dan lilitannya dianggarkan 80 cm diukirkan pada batu jenis andesit.
Konten isi praśasti ini, sepertimana dilihat pada gambar di bawah, dipahat dalam bahasa Melayu; Mālayu kuno, yang mempunyai pengaruh Sanskrit, dan berskrip Pallava. Terdapat 10 baris perkataan yang diukirkan di dalam praśasti ini, walaupun terdapat beberapa perkataan tidak dapat diketahui oleh kerana sebahagian praśasti ini pecah.
2.0 MENINJAU RINGKAS KONTEN PRAŚASTI KEDUKAN BUKIT
Melihat kepada kandungan praśasti Kedukan Bukit (rujuk gambar dibawah) berdasarkan pengamatan lemah diri ini, terdapat 3 peristiwa yang dapat dikesan yang berlaku pada 3 waktu yang berlainan.
1) Dapunta Hyang menaiki perahu untuk melakukan "siddhayātra".
2) Dapunta Hyang bertolak dari lokasi bernama "Mināńa", bersama 20 ribu tentera besertakan perbekalan 200 peti menaiki perahu dan 1312 orang tentera yang berjalan kaki menuju ke suatu tempat yang bernama (menurut bacaan praśasti) "mata yap" dengan sukacita.
3) Dengan kegembiraan, membuat vanua; wanua (terdapat perkataan yang hilang), Śrīvijaya menang dan "siddhayātra" (terdapat perkataan yang hilang; menjadikan pelbagai konteks makna timbul).
3.0 PENGAMATAN PERIBADI PADA PRAŚASTI KEDUKAN BUKIT
Beberapa perkara yang terpancar dalam fikiran diri ini ketika membaca kandungan praśasti ini dan membuatkan diri ini tertanya-tanya dalam beberapa perkara.
Apabila diri ini membacakan kandungan praśasti ini, diri ini menyedari akan nahu (grammar) Melayu Kuno yang begitu berbeza dan sukar difahami berbanding nahu Melayu Klasik dan Moden. Diri ini terfikir bahawa apakah sarjana linguistik kita di Malaysia atau Indonesia menyusun semula nahu Melayu Kuno sepertimana bahasa Jawa kuno? Kita menemui imbuhan seperti "ña" (kini "nya"), "ma" (kini "me" atau "mem"), "mań" (kini "meng"), "mar" (kini "ber"), "ń" atau "m" (kini "ng"), su (kini kita lihat pada "susastera"), dan mī (kini barangkali menjadi "ke" tetapi dirapatkan). Bahkan juga ditemukan kata hubung seperti "dańan" (dengan) dan "yam" (kini "yang") dan kata penunjuk arah iaitu "di" (dalam konteks kuno seolah mempunyai dua maksud moden "di" dan "ke"), dan "dari". Bagaimana susunan subjek dan predikatnya? Apakah ayat pasif dan aktifnya? Perkara itu bermain dalam fikiran diri ini.
Orang Melayu pada zaman tersebut memulakan bicaranya dengan istilah "swasti" berertikan "aman; sejahtera; selamat". Perkara ini juga dapat disaksikan pada beberapa praśasti lain seperti praśasti Talang Tuo, Mañjuśrīgrha, Dang Puhāwan Glis, Laguna, Hujung Langit, Gunung Tua, Sorik Marapi D. 84, dan Dharmmāśraya. Pembuka kata "swasti" ini seolah tampak dalam konteks sekarang adalah "Assalamu'alaikum" atau "Salam Sejahtera". Cumanya "swasti" ini oleh orang Melayu ketika itu oleh kerana kebudayaan India berbanding orang sekarang adalah beragama Islam. Jadinya berlaku pertukaran cara sapaan dan pembuka kata setelah Islam mula tiba. Namun apakah pembuka kata "swasti" dalam praśasti ini bersifat "pembuka kata rasmi" atau ia turut juga dipakai oleh orang awam juga?
Sistem kalendar yang digunapakai oleh orang Melayu ketika itu juga amatlah berbeza berbanding zaman seselepasnya yang menggunakan sistem Hijri dan Masihi. Tahun yang digunakan berlandaskan tahun Śaka diambil daripada kebudayaan India bermula pada tahun 78 Masihi. Berdasarkan tahun yang diberikan pada praśasti ini adalah 604 Śaka, ditambahkan dengan 78 menjadikannya tahun 682 Masihi, lebih kurang 50 tahun selepas Rasulullah s.a.w. wafat.
Jika tahunnya digunakan sistem Śaka, nama bulannya dikepilkan pada kandungan asli praśasti ini mempunyai dua nama bulan, vaiśākha dan jyesțha, dipinjamkan daripada kebudayaan India. Menarik di sini adalah istilah digunakan bagi bulan adalah "wulan", suatu istilah Melayu kuno yang masih digunapakai sehingga kini bagi bulan sebagai istilah kalendar. Ketika diri ini tingkatan 6, mengambil subjek Bahasa Melayu, secara asas hukum nahunya, istilah Melayu kuno yang dahulunya dimulakan dengan huruf "w" mengalami perubahan kepada huruf "b". Seperti contoh adalah "wulan" = "bulan", "wuah" = "buah", "wañak" = "banyak", "wuat" = "buat". Kembali kepada istilah "wulan"; bulan sebagai istila kalendar sehingga dikekalkan dan bersifat neutral sehingga sistem Hijri dan sistem Masihi boleh dikepilkan padanya. Contohnya, bulan Ramadan, atau bulan Mac.
Istilah angka dikenalpasti dalam praśasti mempunyai istilah angka yang dipinjamkan dari bahasa Sanskrit seperti ekā (satu), pañca (lima), dan sapta (tujuh). Namun demikian, terdapat juga istilah angka Melayu yang dikenalpasti seperti dua, dan sapulu (sepuluh). Namun menarik di sini adalah angka "tlu" yang dipakai bagi menandakan nombor "tiga". Istilah "tlu" merupakan istilah alternatif bagi "tiga" yang digunakan majoriti warga Malayonesia. Untuk melihat subetnik Melayu yang menggunakan istilah ini boleh rujuk pada pautan berikut.
Sistem angka juga turut dipaparkan seperti "pulu", "ratus", "riwu" (ribu), dan "laksa". Kesemuanya sistem angka masih digunapakai sehinggakini dan merupakan suatu sistem angka yang kuno. Walau bagaimanapun, ramai akan tertanya erti "laksa" ini kerana jarang didengari tetapi masih lagi dipakai. Kita lebih menggunakan "puluh ribu" berbanding "laksa" dalam matematik atau bual bicara. Kelihatannya orang Melayu sudah mampu mengira unit sehingga puluh ribu? Barangkalinya tidak. Sistem angka orang Melayu, khususnya Melayu- Cam, sudah mempunyai sistem angka sehingga "quintillion" (lagi tinggi dari 100 trillion). Untuk melihat sistem angka ini boleh merujuk pada pautan di bawah ini.
Apakah perkara yang dihitungkan sehingga terbit istilah sistem angka disebutkan di atas? Apakah ia juga digunakan dalam perdagangan?
Praśasti ini juga menunjukkan kaedah pengangkutan digunapakai oleh orang Melayu ketika itu, iaitu "jālan" (berjalan kaki) dan "samwau" (perahu). Berkenaan dengan "samwau", van Ronkel memberikan persoalan terhadap istilah tersebut sebagai nama khusus berbentuk geografik iaitu "Samboja(ya?), selain Śrīvijaya atau "Sambo", sepertimana dinyatakan dalam Sulalatus Salatin. Coedès, dengan merujuk Poerbatjaraka, bahawa istilah "samwau" ini merujuk kepada istilah Jawa kuno iaitu "sambo" berertikan "perahu". Menarik juga diperhatikan, bahawa istilah "sambau" ini digunapakai oleh orang Khmer di Kemboja, "sambau" (baca "sampou"), dan orang Siam di Thailand, "sāmbhau" (baca "samphao") bagi merujuk kepada kapal laut. Kembali kepada praśasti di atas, adakah wujud istilah lain bagi "samwau"? Adakah perahu, sampan, kapal, kolek?
Kandungan utama praśasti ini bertemakan kepada ekspedisi ketenteraan. Jumlah bilangan tentera digunakan begitu ramai jika benar didakwakan berdasarkan praśasti ini. Dua laksa (dua puluh ribu) yang menaiki perahu dan 1312 orang yang berjalan kaki (adakah "infantry"?) menunjukkan jumlah populasi Śrīvijaya adalah begitu ramai jika mengikut dakwaan jumlah tenteranya sahaja sudah berlaksa. Jika benar dakwaan ini, apakah Śrīvijaya adalah politi yang berkembang pesat dan merupakan kerajaan yang sebenarnya sudah tua ketika praśasti ini diukir? Bahkan Yijing, pendeta China bersinggah ke Śrīvijaya, melaporkan politi ini mempunyai lebih 1,000 pendeta menuntut di sana.
Istilah berbentuk upacara diukirkan dalam praśasti ini iaitu "siddhayātra". Apa yang dimaksudkan bagi istilah ini? Mengapa Dapunta Hyang melakukan upacara sebelum dan selepas ekspedisi ketenteraannya? Jika diperhatikan pada bahasa stilahnya adalah istilah Sanskrit, diandaikan ia adalah upacara daripada kebudayaan India. Apakah ia suatu upacara keagamaan? Jika keagamaan, adakah ia dari Hindu atau Buddha? Persoalan demi persoalan timbul dalam fikiran apabila istilah ini timbul yang memerlukan penelitian lebih mendalam.
Melihat pula nama rajanya, Dapunta Hyang, di dalam praśasti ini. Istilah "Dapunta Hyang" ini juga turut ditemukan pada praśasti Talang Tuo, nama dikepilkan sekali dengan nama, Śrī Jayanāśa. Begitu juga pada praśasti Sojomerto mengandungi istilah "Dapûnta Selendra" tanpa meletakkan istilah "Hyang" di antaranya.
Istilah "Hyang" merupakan istilah kuno yang berkonsep. Jika meninjau kepada istilah "hyang", ia dinisbahkan kepada entiti spiritual, sama ada ketuhanan ataupun nenek moyang, yang tidak terlihat yang mengandungi adikuasa dalam fikiran orang Nusantara kuno. Istilah ini digunakan dan dikaitkan dengan dewa ataupun tuhan. Kita boleh temukan istilah "hyang" dalam istilah "kayangan" (ka"hyang"an), atau sembahyang (sembah"hyang") yang digunapakai kini. Maka dengan ini, jika benar, istilah "hyang" yang dikepilkan pada "dapunta" merupakan istilah peninggi martabat kedudukan yang barangkali dikaitkan dengan entiti spiritual beradikuasa.
Bagaimana pula dengan "dapunta"? Mengambil hujah Van Ronkel yang cuba meleraikan istilahnya, beliau mengatakan kata "pu" (mpu?) berertikan ketua; pemimpin sepertimana dijumpai pada beberapa dialek bahasa (namun tidak dinyatakan bahasa apa.). Kata "nta" merupakan imbuhan akhir (suffix), menurut van Ronkel, "of the 1st person plural preceded by the relative element". Kata "da" merupakan imbuhan awal (prefix) untuk penghormatan (pluralis honorificus) sepertimana istilah Melayu, "anakda", "baginda", "nenda", "ayahanda". Oleh demikian, berdasarkan hujah van Ronkel, istilah "dapunta" adalah gelaran bagi pemimpin atau ketua yang digunakan oleh Śrīvijaya. Namun perkara ini membuatkan diri ini berasa perlu dipantau semula dengan lebih mendalam terutamanya melihat perbandingan melalui dialek bahasa-bahasa di Sumatera, untuk dikenalpasti sekiranya masih wujud.
Berkenaan lokasi yang dibicarakan dalam praśasti ini kelihatannya begitu sukar untuk dipecahkan, seperti "mināña" dan "mata yap". Contoh kesukaran adalah dalam terjemahan Boechari kepada "mata yap", beliau meletakkan nama "mukha --p-" yang sukar untuk dipecahkan. Lokalisasi nama-nama ini memerlukan peninjauan pandangan sarjana secara intensif melalui karya-karya mereka untuk dijengah nama ini.
RUJUKAN:
Bambang, B. U., Nik Hassan Shuhaimi, N. A. R., (2009) Inskripsi Berbahasa Mālayu Kuno di Asia Tenggara. Bangi: Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Coedés, G. (1992) "The Kingdom of Sriwijaya". in History, Religion, & Language of an Early Malay Polity. Eds. Pierre-Yves Manguin and Tan Sri Dato' Mubin Sheppard. Kuala Lumpur: Malaysian Branch of Royal Asiatic Society.
van Ronkel, Ph. S. (1924) "A Preliminary Notice Concerning Two Old Malay Inscriptions in Palembang (Sumatra)." Acta Orientalia 2, 12-21.
GAMBAR:
1) Bambang, B. U., Nik Hassan Shuhaimi, N. A. R., (2009) Inskripsi Berbahasa Mālayu Kuno di Asia Tenggara. Bangi: Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, 15.
2) Gambar praśasti Kedukan Bukit hasil lawatan diri ini ke Muzium Balaputradewa di Palembang.

Copy and paste:
28.11.2024: 11.44 p.m



No comments:

Post a Comment