Oleh: Fhadrul Irwan > The Ancient Malay Society
Cakap pasal hari Wesak hari ini.
Mari kita menjengah kepada satu inskripsi; prasasti; batu bersurat berbahasa Melayu kuno, iaitu inskripsi Kedukan Bukit, bertarikh tahun 682 Masihi (lebih kurang 40 tahun selepas Rasulullah s.a.w. wafat) yang ditemukan di Palembang. Jika menelusuri beberapa inskripsi berbahasa Melayu kuno, orang Melayu, sebelum memeluk agama Islam, menggunakan sistem kalendar bulan pakşa, iaitu Śuklapakşa (bulan terang penuh), barangkali termasuk juga Krśnapakśa (bulan malap gelap). Bagi kalendar tahun, tahun Śaka (bermula tahun 78 Masihi) digunapakai. Maka dalam konteks inskripsi Kedukan Bukit, inskripsi tersebut bertarikhkan 682 Masihi (78 [tahun bermulanya Śaka] + 602 [tahun inskripsi Kedukan Bukit dipahat]).
Inskripsi ini membicarakan persiapan ekspedisi ketenteraan dari suatu tempat bernama Mināńa menuju ke tempat bernama Mukha --p-. Salah sebuah peristiwa yang terpahat pada inskripsi ini adalah penguasa Śrīvijaya, Dapuņta Hyań (barangkali Dapuņta Hyań Śrī Jayanasa dalam inskripsi Talang Tuo bertarikhkan 686 Masihi) melakukan "mańalap siddhayātra" di suatu tempat yang tidak dinamakan pada hari kesebelas (ekādaśī) śuklapakşa bulan Waiśākha.
Istilah Melayu "wesak" berevolusi daripada istilah Melayu kuno, "waiśākha". Istilah Melayu kuno itu pula diambil daripada istilah kalendar India, iaitu "Vaiśākha".
Menurut Boechari, sejarawan dan ahli arkeologi dari Indonesia, aktiviti penguasa tersebut diinterpretasikan sebagai menuju ke vihāra (Melayu sebut "biara) Buddha untuk menyambut hari Wesak, dan mendoakan kejayaan bagi ekspedisi ketenteraannya. Hal ini dapat ditelusuri oleh kerana Śrīvijaya menganut ajaran Buddhisme, beraliran Mahāyana, kemudiannya Tantrik Buddhisme.
Walau bagaimanapun, hari Wesak yang difahami sekarang disambut pada bulan penuh, iaitu hari kelima belas atau "pūrņimā" dalam bahasa Sanskritnya, pada bulan Vaiśākha. Menarik untuk dikatakan di sini bahawa istilah "pūrņimā" menjadi bahasa Melayu, purnama. Berbanding pada zaman inskripsi itu dipahat, dilakukan pada 4 hari sebelumnya pada bulan yang sama. Walau bagaimanapun, perkara ini tidak menjadi masalah kerana penyusunan hari Wesak yang menetap pada hari kelimabelas masih baru tidak sampai seabad yang lepas.
Jika benar sepertimana pendapat Boechari, kita menyaksikan sambutan hari wesak oleh orang Melayu Śrīvijaya pada abad ke-7 Masihi, 1400 tahun yang lepas.
Untuk perbahasan diri ini mengenai inskripsi Kedukan Bukit, boleh klik pautan di bawah:
Boechari (2018) "New Investigation on the Kedukan Bukit Inscription." In Boechari, Melacak Sejarah Kuno Indonesia Lewat Prasasti: Tracing Ancient Indonesian History through Inscriptions. (385-399) Jakarta: Kepustakaan Populer Gramedia.
Copy and paste:
28.11.2024: 11.46 p.m
No comments:
Post a Comment