ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 14 January 2024

LONG JAWE, BELAGA BERDARAH! 28 September 1963


SUMBER: BORNEO ORACLE

NEGARA Malaysia ini ditubuhkan TANPA PERTUMPAHAN DARAH! Begitulah yang sering kita dengar tatkala si dangkal yang tidak merujuk sejarah sebenar mendabik dada. Namun hakikatnya cerita-cerita perang itu ada nun tersembunyi di sebalik hutan-hutan tebal di pedalaman Sarawak yang menyaksikan rakyatnya menjadi saksi bisu akan hal yang sebenarnya berlaku. Usia Malaysia pada masa itu baharu sahaja berusia 12 hari tetapi tetap harus berdepan dengan onar yang dibawa oleh negara jiran yang tidak berpuashati kewujudannya.
Menguak pintu sejarah nun di kawasan Belaga pada tanggal 28 September 1963 iaitu kira-kira jam 5.30 pagi, sekumpulan masyarakat tempatan yang mendiami Long Jawe di Belaga melihat kelibat hampir 100 orang lelaki yang lengkap bersenjata menyusup masuk di kawasan mereka secara senyap. Di dalam kesamaran penglihatan kerana masih lagi awal pagi difahamkan segerombolan lelaki ini adalah militia dari Republik Indonesia. Mengetahui bahawa itu merupakan satu ancaman maka berita tersebut disampaikan kepada ketua rumah panjang mereka. Tanpa berlengah atas dasar tanggungjawab dan demi keselamatan anak-anak buahnya, hal ini langsung diperdengarkan kepada Komander “Garrison” di Long Jawe iaitu Korporal Tasbahadur Gurung dari 1/2 Batalion Gurkha.
Bertindak daripada laporan itu juga, Korporal Tasbahadur langsung mengarahkan anak-anak buahnya untuk segera membuat tinjauan namun sayangnya apabila sampai ke lokasi yang disebutkan, kumpulan militia itu sudah tiada lagi. Jadi askar gurkha peninjau bersama-sama border scouts segera pulang ke stesen mereka untuk menanti perintah seterusnya.
Namun ketika baharu sahaja sampai di stesen dan bersedia untuk menghirup kopi sarapan pagi yang disediakan oleh tukang masak “garrison” iaitu sekitar 6.30 pagi tanpa mereka sedari, pihak musuh yang sudahpun menyusun kumpulannya betul-betul tidak jauh dari kem lantas memuntahkan peluru machine gun ke arah mereka. Kelam kabut dengan serang hendap yang tidak diduga itulah kesemua askar gurkha dan Sarawak border scouts berlari ke kubu-kubu pertahanan mereka dan mula berbalas tembakan.
Di pihak musuh pula tidak cukup dengan muntahan peluru machine gun yang bertali arus, mereka turut menggunakan 60mm mortar. Ternyata tembakan mortar yang pertama sudah mengena tepat pada salah satu kubu pertahanan di Long Jawe dan gugurlah seorang rifleman Gurkha dan seorang anggota SarawakBorder Scouts serta mencederakan tiga yang lain.
Serangan kedua mortar pula mengena lagi pada kubu pertahanan yang lain. Kali ini berjaya membunuh dua “wireless operators” iaitu seorang border scouts anak tempatan dan seorang askar gurkha dari 1/2 Batalion Gurkhas. Sekaligus anggota keselamatan di Long Jawe turut terputus hubungan kerana yang bertanggungjawab untuk memohon bantuan malah peralatan wireless turut dimusnahkan. Mereka sekarang terkapai-kapai sendirian menghadapi musuh yang semakin menggila.
Oleh kerana merasakan pihak anggota keselamatan Malaysia sudah terumbang ambing, keyakinan kumpulan militia semakin memuncak lantas tanpa rasa ragu-ragu menghampiri kawasan pertahanan anggota keselamatan pada masa itu. Tidak perlu lagi berperang secara berjarak jauh lantas mereka menyerbu dan menjadikan sebuah rumah panjang di Long Jawe sebagai perisai untuk pergerakan mereka.
Dalam pada itu bercerita mengenai penduduk rumah panjang yang mana tempat kediaman mereka dijadikan perisai pihak musuh telah awal-awal lagi meninggalkan rumah panjang mereka iaitu ketika berlangsungnya muntahan peluru yang pertama. Mereka melarikan diri ke kawasan hutan yang berhampiran. Apalah daya mereka untuk membantu pasukan keselamatan pada masa itu kerana mereka hanya orang awam yang tidak mempunyai senjata. Hanya mampu menangis dan mendengar bunyi bising peluru dimuntahkan sahaja dari kejauhan. Pada masa yang sama meratapi mungkin ada kaum keluarga yang tidak sempat melarikan diri dan terperangkap di dalam serangan tersebut.
Di pihak anggota keselamatan yang bertahan di stesen Long Jawi pula terus bertahan sehingga ke sebelah tengaharinya. Dalam pada itu mereka menyaksikan dua lagi anggota mereka tercedera teruk terkena tembakan iaitu seorang daripada Sarawak Police Field Force dan seorang dari askar gurkha pada masa itu. Namun apakan daya oleh kerana bekalan peluru sudah hampir kehabisan akhirnya Koperal Tasbahadur dengan berat hati mengarahkan kesemua mereka untuk berundur diri. Bukan menyerah kalah sebaliknya berundur untuk mengatur serangan yang lebih jitu. Musuh pula semakin mendekati mereka lantas pergerakan segera meninggalkan stesen itu perlu.
Ketika proses mengundurkan diri inilah empat askar gurkha, dua anggota SPFF dan seorang Border Scouts serta dua askar yang tercedera berjaya meloloskan diri daripada kepungan pihak musuh. Manakala sembilan lagi anggota Border Scouts dan dua orang awam (guru besar di sekolah rendah Long Jawe dan seorang penolong perubatan kerajaan) berjaya ditangkap oleh pihak militia Indonesia. Hampir sembilan jam pertempuran tersebut yang mana berakhir sekitar jam 3 petang menyaksikan enam orang perajurit gugur terkorban mempertahankan negara Malaysia.
Dikatakan setelah berjaya di dalam serangan di Long Jawe itu, pihak militia Indonesia telah membawa kesemua yang ditangkap dan dipindahkan dengan menggunakan lima buah bot berkuasa tinggi. Melalui pemerhatian dari penduduk tempatan Long Jawe menyatakan bahawa kesemua mereka dipindahkan ke hulu Batang Balui.
Berbalik kepada anggota Pasukan Keselamatan yang berjaya meloloskan diri pula diceritakan perjalanan mereka berjaya sehingga ke Long Linau iaitu pada tanggal 30 September 1963. Dengan bantuan daripada penduduk tempatan di Long Linau, anggota keselamatan berjaya menyampaikan berita jatuhnya “garrison” di Long Jawe kepada tentera British dan anggota keselamatan Komanwel pada masa itu.
Tercabar dengan tindakan anggota militia Indonesia ini, pihak tentera British dan Komanwel telah menggerakkan satu platun lagi ke Long Jawe. Kali ini dengan menggunakan pesawat heli jenis Wessex dari British Navy, mereka bergadang nyawa ke sana. Bukan itu sahaja segala kekuatan tentera daripada unit tempur lain turut menghala ke Long Jawe. Sumber turut mengatakan bahawa satu kumpulan pasukan khas (special force) yang terdiri daripada Rejimen 22 Special Air Service (SAS) dan pasukan Rejimen ke-40 Komando Marin Diraja British (40th Royal Marine Commandos) turut dikerahkan ke Long Jawe.
Pemburuan ke atas militia Indonesia yang membuat onar terus dijalankan besar-besaran selepas itu. Satu demi satu kem pangkalan tentera mereka yang dibina di Long Jawe diserbu. Pada ketika itulah juga mereka mendapati bahawa militia ini mempunyai kelengkapan yang cukup untuk berperang. Pelbagai jenis senjata ditemui seperti 60mm Mortar, GPMG, senapang tempur, sub-machine guns dan bom tangan. Mungkin kerana terkejut dengan serbuan akhirnya mereka hanya sempat melarikan diri apa adanya dengan meninggalkan senjata yang lain.
Hendak dijadikan cerita kumpulan yang dipindahkan oleh militia ke hulu Batang Balui pula ada yang sempat meloloskan diri iaitu dua orang awam yakni Lanchang a/k Dato (Guru besar sekolah Long Jawe berbangsa Iban berasal dari Saratok) dan Laeng Lirong (Penolong perubatan kerajaan berbangsa Kayan) serta Usat Anyi, seorang Sarawak Border Scouts dari Kaum Kenyah. Kesemua mereka berjaya melarikan diri sehingga ke Long Leguai dan ditemui oleh penduduk kampung di dalam keadaan lemah dan kelaparan.
Namun nasib lapan lagi anggota Sarawak Border Scouts amat berbeza dengan cerita Lanchang, Laeng mahupun Usat. Kesemua mereka sengaja ditembak di kaki oleh militia Indonesia awal-awal lagi agar mereka tidak mampu untuk melarikan diri. Kemudian diikat dengan tali dan harus berlutut yang mana akhirnya ditembak satu persatu oleh militia ini tanpa ada rasa peri kemanusiaan sekalipun. Mayat-mayat mereka ditinggalkan di Long Jelangai dan sengaja dibiarkan sebegitu sahaja. Ketika ditemui oleh anggota keselamatan di dalam keadaan yang mengaibkan serta busuk.
Tragedi pembunuhan berdarah keatas lapan orang Sarawak Border Scouts menjadikan ia dikenali sebagai pembunuhan paling berdarah di dalam siri rentetan perang Konfrantasi Indonesia Malaysia.
Pembunuhan kejam lapan border scouts ini menjadi pembakar semangat ke atas anggota keselamatan yang lain untuk membalas segala kekejaman yang dilakukan ke atas saudara seperjuangan mereka. Biar putih tulang jangan putih mata. Setitik darah yang gugur di kalangan anggota keselamatan harus dibayar dengan nyawa militia Indonesia pada masa itu. Usaha menjejaki mereka terus dilakukan tanpa henti dan tidak mengenal penat lelah sekalipun.
Akhirnya pada tanggal 1 Oktober 1963, hutang darah berjaya dibayar nyawa jua tatkala askar gurkha telah terserempak dengan 26 orang militia Indonesia yang sedang di dalam perjalanan dengan menggunakan dua buah perahu panjang di Batang Baloi. Tanpa berlengah biar diatas air, tentera Gurkha terus menyerang mereka bertubi-tubi dengan jarak dekat. Serangan ini berjaya menghumbankan mereka di dalam arus Batang Balui yang deras. Walau sudah di dalam air dan hampir kelemasan, kesemua mereka tetap ditembak sehingga mati.
Tidak terhenti disitu, pada tanggal 3 Oktober 1963 pula menyaksikan pihak keselamatan telah bertempur dengan 16 orang lagi anggota militia di dalam hutan di Long Jawe. Pertempuran yang hanya beberapa minit itu telah berjaya membunuh kesemua mereka. Kemudian keesokannya iaitu 4 Oktober 1963, 10 lagi anggota militia Indonesia berjaya dibunuh di hutan yang sama.
Menurut rekod di dalam siri-siri pertempuran di Long Jawi ini menyaksikan 52 nyawa militia Indonesia berjaya dibunuh manakala ramai lagi yang cedera parah. Dikhabarkan mereka mencuba sebaik mungkin untuk melarikan diri ke sempadan Kalimantan/Sarawak namun dipercayai tiada antara mereka yang bertanggungjawab ke atas serangan di Long Jawe mampu kembali ke tanahair mereka kerana mungkin mati akibat kelaparan, kehausan dan dimakan binatang buas di hutan sempadan yang tebal.
Inilah cerita satu perang yang paling berdarah di dalam rentetan cerita perang “Ganyang Malaysia” yang berlangsung dari tahun 1963-1966. Ramai anggota keselamatan kita gugur sebagai bunga bangsa malah lebih memilukan pembunuhan kejam lapan orang anak Sarawak menjadi bukti betapa kejamnya tentera Indonesia. Dan cerita perang nun di pedalaman Sarawak ini hanya diwar-warkan kepada dunia pada tanggal 4 Oktober 1963 atas sebab-sebab keselamatan Negara.
Cerita perang di Long Jawe ketika di awal penubuhan Malaysia terus terbenam di dalam dasar empangan Bakun tatkala ianya “ditenggelamkan” beberapa tahun yang lepas dan penduduk Long Jawe dipindahkan ke kawasan penempatan yang baharu di Belaga. Generasi anak Sarawak jangan sesekali melupakan sejarah ini kerana yang menerima impak daripada kegilaan seorang pemimpin Indonesia dengan protes penubuhan Malaysia adalah tanah kita di Borneo iaitu Sarawak dan Sabah.
Lest We Forget!
-HB-
Rujukan:
1.E-Book Indonesia-Malaysia Confrontation - Battles of Sungei Koemba, Brunei Revold, Battle of Kindau, Battle of Long Jawai
2.The Battle of Long Jawei
3.Attack on Long Jawai
4.The Gurkhas In Borneo
5.Battle of Long Jawai

Copy and paste:
14 Januari 2024 > 2 Rejab 1445H: 4.54 pm




No comments:

Post a Comment