ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 14 January 2024

PERANG “GANYANG MALAYSIA” PLAMAN MAPU, SARAWAK, 27 APRIL 1965

SUMBER: BORNEO ORACLE


- Pertempuran Epik Yang Tidak Didendangkan Kepada Dunia
JIKA ada individu di kalangan rakyat Malaysia yang berani mendabik dada bahawasanya konfrantasi Indonesia-Malaysia hanya satu perang mulut sahaja tanpa pertumpahan darah adalah antara mereka yang paling dangkal sejarah. Ditambahlagi, ada juga segelintir rakyat Malaysia yang gah berselindung di sebalik nama-nama besar NGO yang cuba memperkotak-katikkan jasa Veteran Perang Komanwel juga antara mereka yang paling jelek kerana tidak tahu menghargai pengorbanan yang telah dilakukan oleh mereka demi keberadaan sebuah negara yang baru dibentuk iaitu Malaysia, 54 tahun dahulu.
Ya, mungkin kita sekarang hidup senang dengan mampu bermain “tembak-tembak” dengan applikasi telefon mudahalih sahaja tetapi ketahuilah di awal berdirinya satu negara bergelar Malaysia sekarang kita jangan pernah lupa bahawa nun jauh di perbatasan Malaysia/Indonesia khususnya di Sarawak mahupun Sabah, rentetan perang-perang sebenar banyak berlaku namun tidak begitu didendangkan buat pengetahuan dunia.
Mengimbau sejarah rentetan perang-perang “Ganyang Malaysia” yang berlangsung dari tahun 1964-1966, terselit satu sejarah perang yang amat luar biasa iaitu lokasinya adalah di Plaman Mapu iaitu satu perkampungan kecil yang terletak kira-kira 1800 meter antara perbatasan Sarawak, Malaysia dengan Kalimantan. Pertempuran di Plaman Mapu ini menyaksikan tentera Negara Komanwel iaitu unit tentera British yang dikenali sebagai “6 Platoon, B Company, 2nd Battalion The Parachute Regiment”. Satu unit platun seramai 36 orang melawan satu unit kompeni tentera elit komando Indonesia KOPASSUS yang mana jumlah keanggotaannya 400 orang, begitulah epiknya satu pertempuran yang pernah berlaku pada tanggal 27 April 1965.
Kesemuanya bermula menjelang cuti Krismas dan tahun baru iaitu 31 Disember 1964, apabila satu unit platun tentera British yang menerima panggilan tugas untuk dihantar ke Malaysia bagi menyertai Operasi Claret yang merupakan satu operasi ketenteraan Malaysia dan Negara-negara Komanwel. Diceritakan keanggotaan Unit Platun 6 ini adalah daripada tentera-tentera British yang masih muda belia belaka. Bagi memastikan mereka faham akan segala selok belok hutan di Borneo, unit platun ini telah dihantar untuk menjalani latihan intensif selama enam minggu di Kota Tinggi Jungle Warfare School, Kota Tinggi, Johor. Pada awal Mac 1965 baharulah unit platun ini dipindahkan ke wilayah Sarawak iaitu dengan bertemankan beberapa orang Sarawak Border Scouts untuk menjaga perbatasan Sarawak/Indonesia pada waktu itu.
Dek kerana keadaan mukabumi Plaman Mapu yang berbukit bukau maka mereka telah membina “base camp” di satu kawasan lembah bukit. Seperti kebiasaan untuk sebarang operasi ketenteraan di Borneo, sentiasa ada kerjasama antara tentera dengan masyarakat tempatan. Dikatakan melalui beberapa orang Sarawak Border Scouts yang juga pakar penjejak di hutan serta mampu berkomunikasi dengan baik mengikut dialek masyarkat tempatan, maka satu mesyuarat telah berjaya diadakan diantara tuai-tuai rumah di sekitar Plaman Mapu dengan mereka. Dari sinilah informasi mengenai aktiviti-aktiviti tentera Indonesia yang sudah bergerak di luar sempadan boleh diketahui dengan mudah.
Menjelang beberapa hari sebelum pertempuran berlangsung adalah difahamkan bahawa cuaca tidak begitu baik. Di dalam kebasahan serta kesejukan, unit platun 6 tetap setia dengan tugasan mereka membuat rondaan di sekitar perbatasan dan adakalanya memaksa mereka turut melangkaui sempadan sehingga ke wilayah Kalimantan bagi memastikan tiada pencerobohan dilakukan. Namun begitu walau begitu ketat rondaan mereka, sempadan Sarawak tetap mampu diceroboh oleh tentera Indonesia lebih-lebih lagi di waktu malam.
Akibat daripada hujan lebat dan suasana malam yang gelap, unit sentri Platun 6 tidak menyedari bahawa mereka sentiasa diperhatikan dari jauh oleh KOPASSUS. Segala aktiviti dan rutin malah juga kekuatan mereka telah diamati dengan sebaik mungkin oleh KOPASSUS sehingga memungkin mereka telah mengatur satu strategi serangan yang teratur untuk memerangi unit Platun 6 yang berkubu di Plaman Mapu.
Tanggal 27 April 1965 iaitu kira-kira jam 4.00 pagi walau di dalam suasana masih gelap dan hujan, seorang tentera yang bertugas di kawalan sentri iaitu Prebet George Avere berdasarkan nalurinya serta kepekaan telinganya telah berjaya mengamati bunyi derap kaki musuh yang sedang mengatur kedudukan formasi serangan betul-betul di kawasan “base camp” mereka. Kerana tidak mahu mengambil risiko, beliau telah memaklumkan hal tersebut dengan membuat komunikasi radio terus kepada Ketua Komandernya namun akibat daripada bunyi bising hujan dan sebagainya hubungan itu tidak diendahkan.
Hendak dijadikan cerita, kira-kira jam 5.05 pagi iaitu pada masa itu Prebet Avere baru sahaja menyerahkan tugasan sentri kepada anggota seterusnya iaitu Prebet John Kelly dikala itulah tanpa mampu dicongak oleh mereka serangan bermula dengan peluru bertali arus berserta mortar daripada sekeliling perimeter base camp mereka. Dikala itu kesemua unit platun seramai 36 orang yang mana tidak bertugas masih lagi nyenyak tidur dibuai kesejukan malam telah bangun dan mengapai apa sahaja senjata yang mereka ada.
Di dalam serangan hendap ini ada yang hanya berseluar pendek tanpa pakaian dan sebagainya merangkak dan berlari di dalam gelap mencari perlindungan dan cuba berbalas tembakan. Di dalam suasana dihujani peluru dan mortar musuh inilah seorang anggota tentera iaitu Prebet Harry Smith telah terkena tembakan musuh di kepala dan mati serta merta. Manakala Prebet Kelly bersama-sama Prebet Avere yang menjadi sentri berkubu di kawasan mereka telah diserang langsung dengan senjata RPG 7. Disinilah Prebet Kelly dikatakan mengalami kecederaan parah manakala Prebet Avere turut menerima nasib yang sama. Biar cedera mereka masih lagi berpegang pada senjata yang ada, berbalas tembakan sementara menunggu rakan-rakan yang lain bersedia di kawasan masing-masing.
CSM William yang merupakan ketua unit platun pula bergerak merangkak-rangkak sehingga sampai ke khemah operasi. Taklimat singkat dari Kapten Fleming tentang kedudukan mereka telah memungkinkan beliau mengambil tindakan nekad untuk cuba mengatur strategi. Bersama-sama dengan empat anggota platunnya, mereka merangkak dengan penuh senyap menghampiri perimeter tentera indonesia yang berselindung di sebalik atas bukit.
Lima orang melawan 30 ke 40 orang tentera Indonesia itulah yang terjadi dengan bersandarkan kepada sub mesingan yang ada, mereka menembak musuh dari jarak dekat. Manakala unit platun yang lain juga diatur menjadi grup-grup kecil antara lima ke enam orang cuba merapati himpunan tentera Indonesia yang sudahpun mengelilingi perimeter kawasan “base camp” pada ketika itu. Taktik ini biar strategi menempah maut tetapi itulah sahaja yang mampu digunakan kerana mereka sebenarnya diserang hendap dengan musuh mengelilingi mereka di semua arah. Strategi ini berjaya mengusir pihak musuh untuk berundur sehingga jauh ke dalam hutan yang berdekatan.
Keadaan kembali reda buat seketika tetapi unit platun 6 tidak leka kerana mereka tahu sebarang kemungkinan untuk tentera Indonesia kembali menyerang itu tetap ada. Dan sememangnya telahan itu benar kerana kali ini tentera Indonesia kembali dengan serangan yang lebih berat menggunakan segala senjata berat mereka. Namun pada ketika ini juga anggota platun 6 sudahpun bersedia di kubu-kubu yang mereka bina berserta dengan senjata berat mereka. Tiada belas kasihan, tembakan peluru dari mesingan serta mortar, GMPG dan sebagainya digunakan sebaik mungkin sehingga memaksa tentera Indonesia berundur jauh ke dalam hutan semula.
Bukan itu sahaja, CSM William sudahpun menyediakan separuh daripada anggotanya yang tidak cedera mengejar tentera Indonesia dan menembak mereka yang cuba melepaskan diri. Taktik ini berjaya mengekang kemaraan tentera Indonesia sehingga mereka kembali semula ke wilayah mereka iaitu kem mereka di sebelah sempadan Indonesia.
Di dalam serangan ini menyaksikan 13 orang anggota platun 6 yang cedera parah manakala dua orang lagi iaitu Lans Koperal Ian McKellar dan Prebet Harry Smith terkorban. Kedua-dua jenazah tentera Komanwel ini diterbangkan ke Singapura dan disemadikan di Kranji Cemetery, Singapura beberapa hari kemudian. Malah CSM William turut tercedera terkena tembakan di bahagian mata sehingga beliau menerima kecacatan kekal hanya mampu melihat dengan menggunakan satu mata sahaja sepanjang hayatnya.
Bila keadaan sudah reda dan hari sudah siang, barulah kesemua unit platun 6 yang tidak cedera melakukan pemeriksaan di sekeliling kawasan “base camp” mereka. Ketika rondaan itulah mereka menjumpai mayat-mayat tentera Indonesia yang mati bergelimpangan di seluruh kawasan mereka akibat daripada serangan mortar dan RPG dari pihak mereka. Difahamkan waima unit platun 6 hanya 36 orang sahaja namun mereka berjaya membunuh hampir 150 orang tentera Indonesia manakala yang lain berjaya meloloskan diri.
Begitulah cerita satu pertempuran penuh epik yang sebenarnya jika difikirkan mana mungkin jumlah yang kecil iaitu satu unit platun mampu bertahan dari satu serangan hendap satu unit kompeni. Bukan unit kompeni yang biasa-biasa sebaliknya anggota komando yang dilatih khusus. Namun semangat serta rasa tanggungjawab mereka bagi memastikan Negara Malaysia tidak sewenang-wenangnya dibolosi maka mereka tentangi juga sehingga ke titisan yang terakhir.
Inilah antara jasa-jasa Veteran Perang Komanwel yang mewarnai dunia pembentukan sebuah negara baru bergelar Malaysia, 54 tahun dahulu. Saban tahun untuk mantan veteran perang dari Unit Platun 6 akan kembali ke Sarawak khususnya di Plaman Mapu serta bersua dengan masyarakat setempat membuat kerja-kerja sosial mereka disamping mengenang peristiwa pertempuran Plaman Mapu pada tanggal 27 April 1965 suatu waktu dahulu.
Jasa mereka sememangnya tidak mampu kita balas dengan wang ringgit sekalipun. Mereka bukan rakyat Malaysia dan bumi Malaysia cukup asing bagi mereka namun mereka setia disamping kita semua kerana ingin melihat Persekutuan Malaysia yang dibentuk oleh empat entiti iaitu Malaya, Singapura (keluar 1965), Sarawak dan North Borneo (Sabah) kekal merdeka dan bebas selamanya dari cengkaman anasir luar waima Indonesia, jiran tetangga kita sekalipun.
Pada mana-mana individu rakyat Malaysia yang mengatakan pertumpahan darah itu tidak ada sewaktu pembentukan Persekutuan Malaysia dan juga yang mempersoalkan mengapa dan kenapa Veteran Perang Komanwel itu diberikan pelbagai anugerah di Malaysia serta mengatakan mereka suku sakat penjajah, hadam dan telan cerita perang ini. Fahami dan resapi segala sejarah sebenar perang “Ganyang Malaysia” kerana perang ini berlaku sewaktu MALAYSIA sudah ditubuhkan iaitu selepas 16 September 1963. BUKAN SENANG MEMBINA SEBUAH NEGARA!!!
Lest We Forget!
-HB-


Rujukan:
1. The True Facts Of The Battle For Plaman Mapu, Borneo, 27 April 1965 And The Men Who Fought For It
2. The Forgotten Jungle Heroes Of Borneo
3. The Battle For Plaman Mapu. A Battalion Against A Company
4. Jamy Creates Plaque To Mark 50th Anniversary Of The Battle For Plaman Mapu, Sarawak

Copy and paste:
14 Januari 2024 > 2 Rejab 1445H: 12.50 pm

No comments:

Post a Comment