ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 24 January 2021

Bagaimana Pandemik Mengajar Kita Menghidupkan Sunnah Nabi Muhammad

Oleh : Jijo Hakim

Banyak pengajaran boleh diambil daripada COVID-19 yang melanda dunia, termasuk negara ini, sekali gus ujian buat manusia secara umum tanpa mengira bangsa dan agama, sempadan negara serta usia. Malah, negara maju terlebih dahulu diserang hingga mencatatkan banyak kes dan kematian.

Secanggih mana pun teknologi peperangan dan pertahanan, ia tetap tidak mampu menahan serangan COVID-19. Malah hingga setakat ini, tiada ubat merawatnya, sebaliknya usaha terbaik ialah pencegahan.

Ia bertepatan dengan kaedah pencegahan yang diajar Rasulullah SAW, iaitu menjaga adab kebersihan dan pergaulan.

COVID-19 menyedarkan kita pentingnya menjaga kebersihan baik bersendirian mahupun bersama orang lain. Ia juga mengajar dan mengingatkan kita terhadap adab Islam seperti adab bersin.

Abu Hurairah meriwayatkan apabila Nabi SAW bersin, Baginda menutup wajah dengan tangan atau kainnya sambil merendahkan suaranya.” (HR Ahmad dan Tirmidzi)

Hadis ini menunjukkan Baginda mengajar supaya menutup muka dengan tangan atau kain ketika bersin. Hari ini, kita perlu mengamalkan pemakaian pelitup muka dan amalan kesihatan baik.

Nabi SAW juga mengajar kita supaya mengucapkan hamdallah selesai bersin kerana ia turut mengeluarkan kuman dan virus. Baginda juga menunjukkan adab mengelak daripada mengeras atau meninggi suara ketika bersin yang membuatkan seseorang itu dihormati.

Realitinya, ia asas dalam kehidupan harian, meskipun ramai mengabaikan. Oleh itu, kita diajarkan adab batuk dengan menutup mulut dan hidung menggunakan tisu apabila batuk dan bersin serta membuang tisu yang digunakan ke dalam tong sampah bertutup.

Kaedah pencegahan lain adalah dengan tidak bersalam dengan tangan atau bersentuhan. Sebenarnya isu larangan bersalaman atau musafahah sudah diajar Rasulullah SAW sendiri.

Rasulullah SAW tidak bersalam dengan orang berpenyakit kusta apabila perwakilan Bani Thaqif berjumpa Baginda dengan antara mereka ada terkena penyakit itu. Baginda hanya menerima janji setia tanpa musafahah seperti biasa.

Imam al-Qurtubi ketika menerangkan peristiwa ini menyatakan Baginda tidak bersalaman kerana dikhuatiri ia akan menyakiti Baginda dan sahabat RA. Islam sebenarnya sudah mengajar umatnya larangan bersalam dan bersentuhan ketika pandemik.

Seruan dan kempen duduk di rumah menjadi ungkapan popular sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Imam Nawawi menyebutkan masalah kuarantin dan hukum seseorang bercampur dengan orang dijangkiti ketika menghadapi penyakit kusta.

Beliau turut menyebutkan pandangan al-Qadi Iyad mengenai larangan seseorang pergi ke masjid ketika menghidapi penyakit itu.

Usamah Ibnu Zaid RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Apabila kamu mendengar berlakunya wabak taun di suatu negeri, maka janganlah kamu memasukinya. Dan apabila berlaku dalam negeri kamu berada di dalamnya, maka jangan kamu keluar. (HR Bukhari dan Muslim)

Islam ialah agama praktikal dan tidak mendidik umatnya hanya menyerah urusan pada Allah SWT tanpa berusaha.

Ujian seperti ini akan mematangkan lagi masyarakat, baik orang awam, saintis mahupun ulama. Ulama dan saintis masing-masing mencari sejarah, hukum serta penyelesaian mengatasi masalah ini. Contohnya, pengurusan jenazah dijangkiti COVID-19, pandangan ulama dan saintis digabungkan yang memudahkan semua pihak untuk menguruskan berdasarkan kaedah fiqh realiti dan ulul amri.

Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan garis panduan adab dan pencegahan berkaitan penjagaan diri, kebersihan dan pergaulan demi maslahat awam dan maqasid syariah.

Adab memainkan peranan penting dalam menjaga kebersihan dan mengelakkan berlaku penyakit berjangkit. Islam agama sempurna mengajar kita amalan kesihatan baik. Itulah indahnya hidup bersyariat.

Jika dilihat daripada situasi ini, kita dapati ujian menimpa umat membuatkan masyarakat berusaha memperbaiki keadaan dihadapi. Banyak ibrah COVID-19 ini mengajar kita mengenali adab amalan harian yang kita tinggalkan.

Kemuliaan adab dan akhlak ialah matlamat utama seperti sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” (HR Bukhari)

Kita boleh akur arahan dan etika adab jika kita dalam kesukaran serta perintah undang-undang. Akhlak dan adab sudah pun terbina sejak sekian lama dalam kehidupan manusia sama ada Islam atau bukan Islam.

Cuma kita ada kala terlupa mengenai adab hingga COVID-19 mengajar kita.

Copy and paste: 24/1/2021 @ 11 Jamadilakhir 1442H: 11.14 am

No comments:

Post a Comment