ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 24 January 2021

MUKMIN KETIKA HADAPI MUSIBAH

 SUMBER DARI FACEBOOK

□ MUSIBAH adalah perkara tidak boleh diduga oleh manusia. Orang Mukmin itu apabila ditimpa musibah dalam kehidupannya, maka dia mengucapkan :
“Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
□ Amalan ini selaras dengan maksud firman Allah SWT di dalam al-Quran:
“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, ‘Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun.’ Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” ▪︎(Surah al-Baqarah ayat 155 -157).
□ Musibah adalah perkara yang tidak dapat diduga oleh manusia. Bagaimanapun, musibah juga adalah ujian dan lumrah dalam kehidupan.
□ Ia boleh datang pada bila-bila masa. Oleh itu, kita perlu sentiasa mempersiapkan diri untuk sebarang kemungkinan sekiranya didatangi musibah.
□ Musibah mungkin hadir dalam pelbagai bentuk seperti kehilangan, kematian, kecelakaan, kemalangan, kemusnahan, kesakitan, kesengsaraan, bencana alam atau wabak penyakit.
□ Sewaktu ditimpa musibah, beberapa perkara boleh dilakukan antaranya ialah dengan bersabar dan berdoa agar segala urusan dipermudahkan.
□ Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya hal itu sangat berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk, (iaitu) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Rabb mereka dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.” ▪︎ (al-Baqarah: 45-46).
□ Sebagai Mukmin, kita dituntut memperbanyakkan doa agar diberikan kekuatan menghadapi sebarang jenis musibah dan ujian serta berdoa agar musibah yang datang boleh kita hadapi.
□ Beberapa doa yang diajar Rasulullah SAW agar dijauhkan daripada perkara memudaratkan sebagaimana diriwayatkan sebahagian sahabat Nabi SAW.
□ Antaranya: Daripada Uthman bin Affan berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca: Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga Subuh. Dan barang siapa yang membacanya ketika Subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).” ▪︎Riwayat Abu Daud (No. 5088).
□ Di samping berdoa memohon pertolongan daripada Allah SWT, kita juga dituntut agar bermuhasabah punca sesuatu musibah itu melanda.
□ Justeru kita disarankan agar memperbanyakkan istighfar dan merenungi dosa-dosa yang pernah kita lakukan.
□ Musibah juga mungkin berlaku disebabkan perbuatan dan kealpaan manusia sendiri. Oleh itu, kita hendaklah berusaha menjauhkan diri dari melakukan sebarang tindakan yang mengundang kerosakan dan kebinasaan.
□ Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di daratan dan di lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” ▪︎Surah Ar-Rum (ayat 41).
□ Rujukan :
■ Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

Copy and paste:
24 Januari 2021 @ 11 Jamadilakhir 1442H: 10.50 am

No comments:

Post a Comment