ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 24 January 2021

BAGAIMANA KUANTAN MENDAPAT NAMA DAN SIAPAKAH YANG MEMBUKA DAERAH KUANTAN...?!

SUMBER: FB MALAYSIA KU DULU - DULU

Daerah Kuantan terletak di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Di bahagian timurnya adalah Laut China Selatan dengan kawasan pesisiran pantai sepanjang 56 kilometer (35 batu). Di sebelah barat adalah daerah Maran dan Jerantut, di utara adalah negeri Terengganu dan di selatan adalah daerah Pekan. Daerah Kuantan terdiri daripada 6 mukim iaitu BESERAH, KUALA KUANTAN, PENOR, SUNGAI KARANG, ULU KUANTAN DAN ULU LEPAR.
Melalui catatan sejarah, Kuantan telah wujud semenjak awal tahun 1850an lagi. Kewujudan Kuantan pada kurun ke-19 adalah bermula sebagai sebuah penempatan. Pada peringkat awal Kuantan lebih dikenali sebagai Kampung Teruntum. Penempatannya adalah di sekitar muara Sungai Kuantan iaitu berhadapan dengan bangunan Hospital Tengku Ampuan Afzan sekarang.
Ia telah dibuka oleh Haji Senik (seorang tokoh ulama yang berasal dari Patani di Selatan Thailand) serta para pengikutnya iaitu individu yang sama yang membuka perkampungan BESERAH. Nama 'TERUNTUM' ini dikatakan berasal dari pokok teruntum yang banyak terdapat di pinggir Sungai Kuantan pada ketika itu. Semasa tinggal di sini mereka mengusahakan kawasan berpaya yang terletak di tapak hospital sekarang di samping menangkap ikan dan berniaga secara kecil²an. Bukti bahawa kawasan tersebut pernah dijadikan penempatan adalah perkuburan Cik Timah berhampiran Taman Esplanade (Benteng) sekarang.
Selain sejarah Kampung Teruntum, diriwayatkan juga bahawa terdapat sebuah perkampungan di hulu Kampung Teruntum yang dibuka pada tahun 1854 oleh orang² Melayu dari daerah Sumatera yang diketuai oleh Encik Besar. Tempat ini kemudiannya dikenali dengan nama 'Kampung orang Kuantan' dan lama-kelamaan panggilan ini dipendekkan menjadi ‘Kuantan’ dan terus kekal sehingga ke hari ini.
Sebagai ibu negeri Pahang Darul Makmur, Kuantan telah dibangunkan dengan pelbagai kelengkapan dan infrastruktur yang moden. Namun, masih ada lagi bangunan lama yang dikekalkan dan terpelihara seperti deretan beberapa bangunan era kolonial di Jalan Masjid Negeri berdekatan dengan bandar Kuantan. Kedudukan negeri Pahang yang menghadap Laut China Selatan telah membantu pembentukan pantai² yang indah seperti Pantai Beserah, Pantai Teluk Chempedak, Pantai Sepat, Pantai Balok serta Cherating.
Pantai Teluk Chempedak yang bersebehan dengan Pantai Beserah adalah satu tarikan yang sangat signifikan dengan negeri Pahang kerana kemeriahan serta kemodenan infrastruktur yang dibina di sana, dilengkapi dengan aneka restoran dan kemudahan aktiviti² yang sesuai untuk seisi keluarga.
Pantai Balok serta Pantai Cherating pula seringkali menjadi tuan rumah kepada beberapa pertandingan sukan air seperti ‘parasailing‘ dan papan luncur peringkat antarabangsa.
Selain kawasan pantai²nya, Kuantan juga terkenal dengan sungai. Sungai Pahang yang luas membolehkan aktiviti menaiki bot mengelilingi Sungai Kuantan diadakan. Aktiviti ini dilakukan di Sungai Kuantan yang berhadapan dengan Hospital Tengku Ampuan Afzan dan berada di bawah kelolaan Majlis Perbandaran Kuantan. Pengunjung berpeluang untuk melawat hutan paya dan kilang pembuatan keropok lekor.
Sungai Lembing juga merupakan satu lagi produk pelancongan bertaraf antarabangsa dan wajib dikunjungi apabila berada di Kuantan. Sungai Lembing merupakan bekas tapak perlombongan bijih timah terbesar di Semenanjung Malaysia dan Muzium Sungai Lembing yang bertemakan sejarah perlombongan telah dibina. Mengikut sejarah, bangunan muzium ini merupakan kediaman kepada pengurus² besar syarikat lombong bijih timah di Sungai Lembing pada satu ketika dahulu dan bangunan ini bercirikan pembinaan vertikular-kolonial.
Sekitar bandar lama Sungai Lembing juga boleh dilihat masih ada bangunan-bangunan lama bercirikan neo-kolonial. Tentu sahaja mereka yang cinta akan sejarah dan lseni bina akan terpukau dengan keunikan bandar ini. Antara tempat menarik lain di daerah Kuantan termasuklah BESERAH, TANJUNG API & TANGJUNG LUMPUR. Ketiga-tiga tempat ini terkenal sebagai perkampungan nelayan serta kedai² makan makanan laut yang segar dan enak. Malah, di Tanjung Api juga terdapat ‘Kuantan Riverfront’ yang sering menjadi tempat menyaksikan matahari terbenam.
#ADMINMKDD @ MALAYSIA KU DULU DULU...
Kredit: Perbadanan Muzium Negeri Pahang

Copy and paste:
24/1/2021 @ 11 Jamadilakhir 1442H: 11,51 an

No comments:

Post a Comment