ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 22 October 2019

‘Malaysia’ Sebelum Kewujudan Negara Malaysia –Siri 2–





Oleh : Ibnu Rusydi
1. Buku tulisan Rupert Emerson yang bertajuk ‘Malaysia : Direct and Indirect Rule’ terbitan tahun 1937 sebelum ini telah tersebar luas dan disalah anggap sebagai buku pertama yang menggunakan tajuk nama ‘Malaysia’.
2. Tetapi melalui semakan lanjut yang telah dibuat sendiri, penulis dapat menjumpai 26 buah buku-buku lain yang telah diterbitkan sebelum penghujung era 1950-an dan turut mempunyai nama ‘Malaysia’ pada tajuknya. Malahan kebanyakan buku-buku ini diterbitkan lebih awal sebelum pengeluaran buku tulisan Rupert Emerson pada tahun 1937.
3. Buku-buku tersebut tidak termasuk pamplet-pamplet (senipis 3 mukasurat hinggalah setebal 16 mukasurat) yang dikeluarkan oleh badan-badan Missionary antarabangsa dan turut meletakkan nama ‘Malaysia’ pada mukasurat hadapan pamplet berkenaan.
4. Ianya juga tidak termasuk buku-buku lama yang ada menggunakan tajuk nama ‘Malesia’ dan ‘Malaysian’. Jika digabungkan kesemuanya, maka bilangan buku yang mempunyai tajuk nama Malaysia sebelum penghujung era 1950-an adalah lebih banyak.
5. Bahkan terdapat juga buku yang turut mencatatkan nama ‘Malaysia’ dalam kandungan penulisannya biarpun tidak terpapar pada tajuknya. Sebagai contoh, buku ‘Letters of Gilbert Little Stark’ terbitan Riverside Press pada tahun 1908 yang mengandungi ‘Chapter V : Canton, Java and Malaysia’.
6. Buku-buku ini kebanyakannya menggunakan nama ‘Malaysia’ sebagai rujukan kepada kepulauan Melayu secara keseluruhan dan tidak terhad semata-mata kepada sempadan moden negara Malaysia seperti yang wujud pada hari ini.
7. Perkara ini adalah selari dengan penggunaan istilah ‘Malaisie’ yang digunakan oleh James Dumont D’Urville serta peta yang mencatatkan nama ‘Malaysia’ oleh Thomas G. Bradford dan Alexander Keith Johnston.
8. Sebuah buku yang diterbitkan 2 tahun selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan 4 tahun sebelum Malaysia ditubuhkan bertajuk ‘Someday Malaysia’ pada tahun 1959 oleh Eduardo L. Martelino dari Filipina ada menampilkan ‘Some Thoughts from Contemporary Malaysian Thinkers’ dari Indonesia, Thailand, Filipina dan tulisan Tunku Abdul Rahman bagi mewakili Tanah Melayu.
9. Ini kerana buku tersebut pada awal penulisannya telah memetik impian Manuel L. Quezon yang menyatakan Asia Tenggara didiami oleh ‘Malayan race’ dan Burma, Thailand, Annam, Malaya, Indonesia dan Filipina merupakan ‘Commonwealth of Malaysia’.
10. Jika dirujuk kepada Ooi Kee Beng (2006) dalam bukunya ‘The Reluctant Politician : Tun Dr. Ismail and His Time’ menjelaskan “Malaysia belongs to a category that provides us with place names like ‘Devonshire’, ‘Yorkshire’ and ‘Rhodesia’, and would mean ‘Malay administrative region”.
Baca juga :
2. 'Malaysia' Sebelum Kewujudan Negara Malaysia -Siri 3-


Copy and paste: 22 Oktober 2019: 6.13 pm

No comments:

Post a Comment