ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 17 May 2019

STOP!!!! KAITKAN MELAYU DENGAN BANI TAMIM

Jaber Soh
Bani Tamim berasal dari keturunan Tamim bin Murr bin Ad bin Tabikhah bin Ilyas bin Madhar bin Nazar bin Mu'id bin Adnan.
Adnan adalah keturunan Nabi Ismail, yang dilahirkan oleh isteri kedua Nabi Ibrahim, Hajar.
Nasab Rasulullah S.A.W pun sampai kepada Adnan.
Jadi dakwaan bahawa Bani Tamim berasal dari isteri ketiga Nabi Ibrahim Keturah itu dakwaan yang tidak ilmiah dan tidak berlandaskan fakta sejarah.
Tidak dinafikan ada fadhl (kelebihan) kepada Ahl Bayt, namun tidak perlu kita menisbahkan diri atau bangsa kita kepada sekian-sekian tokoh atau Nabi secara batil
Bahkan Rasulullah S.A.W melarang keras perbuatan sedemikian:
عَنْ سَعْدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ ادَّعَى إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ غَيْرُ أَبِيهِ فَالْجَنَّةُ عَلَيْهِ حَرَامٌ
“Barang siapa menisbahkan dirinya kepada selain ayah kandungnya, padahal dia tahu bahwa itu bukanlah ayah kandungnya, maka diharamkan baginya syurga
[Sahih Bukhari, Kitab Faraid, jilid 4 hal 15, Hadith no. 6766]
Kemuliaan kita bergantung kepada pegangan kita terhadap Islam, seperti mana kata-kata Umar Al-Khattab:
"Kami adalah kaum yang telah dimuliakan Allah dengan Islam. Maka bila kami mencari kemuliaan dengan cara-cara selain Islam, tentulah Allah akan menghinakan kami"
[Al-Mustadrak ala Sahihayn, Kitab Al-Iman]
Dalam sejarah Islam, betapa banyak sarjana Islam yang keturunan hamba, kulit gelap, Ajam (Non-Arab).
Di sini ada satu kisah menarik yang diriwayatkan dari Ulama Tabi'in, Ibn Shihab Az-Zuhri, tentang pengalaman beliau bertemu dengan Khalifah Bani Umayyah yang ke-5, Abdul Malik ibn Marwan:
"Aku memperkenalkan diriku kepada Abdul Malik (ibn Marwan)."
Abdul Malik ibn Marwan berkata:
"Wahai Az-Zuhri, dari manakah kamu datang?"
Aku menjawab:
"Dari Makkah."
Abdul Malik ibn Marwan bertanya:
"Siapakah yang kamu tinggalkan untuk menggantikan kamu untuk memimpin (sebagai Imam dan Guru Agama) penduduk di sana?"
Aku menjawab:
"Ata' bin Abi Rabah."
Abdul Malik ibn Marwan bertanya:
"Adakah dia seorang Arab atau Mawla (Hamba yang dimerdekakan)?
Aku menjawab:
"Dia seorang Mawla."
(Nota: Ata' ibn Abi Rabah adalah seorang hamba kulit hitam, beliau buta sebelah mata, kakinya tempang, dan sebelah tangannya terpotong ketika Al-Hajjaj ibn Yusuf Ath-Thaqifi memerangi Abdullah ibn Az-Zubair di Makkah.
Beliau belajar dengan Sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W seperti Abdullah ibn Abbas, Abdullah ibn Umar.
Keilmuan Ata' diiktiraf oleh Ibn Umar, dan Abu Hanifah, di mana Abu Hanifah pernah berkata:
"Aku tidak pernah melihat orang yang lebih hebat darinya."
Setiap kali musim Haji, Kerajaan Bani Umayyah akan membuat pengumuman bahawa semua orang dilarang untuk memberi fatwa kecuali Ata ibn Abi Rabah.)
Abdul Malik ibn Marwan bertanya:
"Bagaimanakah dia memimpin penduduk Makkah?"
Aku menjawab:
"Dengan Din (Agama Islam) dan Sunnah."
Abdul Malik ibn Marwan berkata:
"Sememangnya adalah sesuai untuk mereka yang memilik Ad-Din dan Sunnah memimpin mereka. Tapi siapa pula yang memimpin Orang-orang Yaman?"
Aku menjawab:
"Tawus bin Kaysan"
Abdul Malik ibn Marwan bertanya:
"Adakah dia seorang Arab atau Mawla (hamba yang dimerdekakan)?"
Aku menjawab:
"Dia seorang Mawla."
Abdul Malik ibn Marwan bertanya:
"Bagaimanakah dia memimpin mereka?"
Aku menjawab:
"Dengan cara yang sama seperti Ata'."
Abdul Malik ibn Marwan berkata:
"Sememangnya sesuai untuk Orang-orang begini memimpin orang ramai, tetapi siapa pula yang akan memimpin Orang-orang Mesir?"
Aku menjawab:
"Yazid ibn Abi Habib."
Abdul Malik ibn Marwan bertanya:
"Adakah dia seorang Arab atau Mawla?"
Aku menjawab:
"Dia seorang Mawla."
Abdul Malik ibn Marwan bertanya:
"Dan siapa yang akan memimpin Orang-orang Syam?"
Aku menjawab:
"Makhut Ad-Dimasyqi."
Abdul Malik ibn Marwan bertanya:
"Adakah dia seorang Arab atau Mawla?"
Aku menjawab:
"Dia seorang hamba kulit hitam dari Nubia dan seorang hamba yang dimerdekakan oleh Haduyl."
Abdul Malik ibn Marwan bertanya:
"Siapa yang akan memimpin Orang-orang Iraq?"
Aku menjawab:
"Maimun ibn Mahram."
Abdul Malik ibn Marwan bertanya:
"Adakah dia seorang Arab atau Mawla?"
Aku menjawab:
"Dia seorang Mawla."
Abdul Malik ibn Marwan bertanya:
"Dan siapakah yang akan memimpin Orang-orang Khurasan?"
Aku menjawab:
"Ad-Dakhah ibn Muzahin."
Abdul Malik ibn Marwan bertanya:
"Adakah dia seorang Arab atau Mawla?"
Aku menjawab:
"Dia seorang Mawla."
Abdul Malik ibn Marwan bertanya:
"Dan siapakah yang akan memimpin Orang-orang Basrah?"
Aku menjawab:
"Al-Hassan ibn Abi Al-Hassan."
Abdul Malik ibn Marwan bertanya:
"Adakah dia seorang Arab atau Mawla?"
Aku menjawab:
"Dia seorang Mawla."
Abdul Malik ibn Marwan bertanya:
"Dan siapakah yang akan memimpin Orang-orang Kufah?"
Aku menjawab:
"Ibrahim An-Nakhaei."
Abdul Malik ibn Marwan bertanya:
"Adakah dia seorang Arab atau Mawla?"
Aku menjawab:
"Dia seorang Arab."
Abdul Malik ibn Marwan berkata:
"Wahai Az-Zuhri, kamu telah melegakan aku. Demi Allah, para mawla (hamba yang dimerdekakan) memimpin Orang-orang Arab sehingga tahap mereka berada di atas mimbar dan Orang-orang Arab berada di bawah mereka."
Aku menjawab:
"Wahai Amirul Mukminin, begitulah ketetapan Allah dan begitulah Ad-Din. Sesiapa yang mengamalkannya adalah pemimpin dan sesiapa yang mengabaikannya akan tersungkur."
[Dipetik dari Rihlah Ibn Solah, dicatit dalam Hayat Al-Hayawan, jilid 2, Hal 1, m/s 224-225]
Oleh itu, tidak perlu kita sibuk mendakwa kita merupakan keturunan sekian-sekian tokoh atau Nabi jika tiada bukti yang sahih.
Cukuplah kita menaikkan darjat diri sendiri dengan menuntut ilmu dan mengamalkannya.
Ilmu yang diamalkan oleh seseorang itu mengangkat darjatnya, sekalipun dia adalah bekas hamba kulit hitam.
Oleh dengan sebab itu, Khalifah Sulaiman ibn Abdul Malik, yang terpaksa tunggu gilirannya bersama-sama dengan orang-orang ramai untuk bertanya soalan kepada Ata' ibn Abi Rabah, berkata kepada kedua-dua puteranya:
"Wahai anakku, pelajarilah ilmu. Dengan ilmu, orang hina menjadi mulia, orang bodoh menjadi bijak, dan hamba menjadi lebih tinggi darjatnya Para Raja."
Wallahualam.
Copy and paste: FB Lembaran Sejarah
17/5/2019 : 2.52 am