ZULHEIMY MAAMOR

Saturday, 13 January 2024

Jika Tidak Melawan Portugis, Kita Akan Jadi Negara Manuelas

OLEH : SRIKANDI

Ketika Hernan Cortés mengepung Tenochtitlan (ibukota Aztek) selama 75 hari, conquistador telah dibantu oleh orang-orang Tlaxcalan, salah satu pribumi Amerika Tengah seramai kira-kira 150,000 orang. Pasukan Sepanyol sendiri hanyalah berjumlah 900 orang.
Ini mirip dengan kisah kejatuhan Kota Melaka. Dalam catatan Alfonso de Albuquerque (The Commentaries of the Great Afonso de Albuquerque) mencatatkan dalam satu pertempuran (melawan pasukan Sultan Ahmad), terdapat 600 orang Jawa dan 300 orang Pegu manakala askar Portugis hanyalah berjumlah 400 orang!
Jadi, dalam sejarah kejatuhan Kota Melaka, selain pengkhianatan, perlu dicatat bahawa kekuatan tentera Portugis dari segi jumlah adalah setara dengan tentera Melaka. Jika nak mengharapkan istinggar yang masih berteknologi kancing sumbu sahaja tetapi dengan jumlah askar dari Eropah yang sedikit, Portugis mudah diundurkan kerana Kota Melaka juga memiliki meriam.
British juga menggunakan taktik yang sama. Selain askar-askar yang direkrut dari benua India, British juga menggunakan khidmat 'friendly Malays'.
'Friendly Malays' ini yang dikerah dalam Perang Perak dan Perang Saudara Pahang serta pertempuran-pertempuran lain.
Berbalik kepada Kota Melaka, Portugis sebenarnya ada cita-cita untuk meluaskan empayarnya di sini. Ini dikesan apabila ekspedisi tentera Portugis sejauh Naning. Namun penentangan orang Melayu di sekitar Kota Melaka secara gerila serta serangan dari Kerajaan Johor serta kuasa-kuasa sekitar Alam Melayu yang lain telah menghauskan kekuatan Portugis untuk meluaskan penjajahannya. Portugis terpaksa berkubu sahaja di dalam A Famosa.
Perjuangan nenek moyang dalam mempertahankan tanahair ini begitu dasyat sekali. Jika mereka gagal dalam mempertahankan tanahair, maka bukan sahaja Kota Melaka, malah seluruh semenanjung mungkin akan menjadi 'Negara Manuelas' bersempena nama raja mereka, Manuel I.
Boleh saing-saing dengan negara Filipina. Dua-dua bekas jajahan conquistador dari Iberia. Maka nama-nama tempat di tanahair kita ini cenderung dinamakan seperti Salagora, Peraca, Qalantano, Estado de Nove atau Queda.
Orang Melayu beragama Nasrani dengan gereja-gereja tercantik di seluruh Asia Tenggara. Takde Masjid Negara tapi Gereja Negara bersenibina ala-ala Santiago de Compostela. Kita pula berbudaya ala-ala Mexico atau Argentina. Perempuan pakai 'gaun' dan lelaki pakai pakaian serupa macam kat telenovela. Kuih-kuih tradisional lebih berasaskan kek seperti bahulu dan tart macam Pastel de nata.
Masakan ayam peri peri macam kat Nando's. Takdenye ayam masak merah, nasi lemak bagai.
Tetapi semua itu tidak berlaku. Orang Melayu di sini tidak menjadi seperti di Amerika Latin atau di Filipina. Orang Melayu masih berbudaya Melayu dan beragama Islam. Selepas diasak dengan pelbagai penjajahan, pengkhianatan dan kekejaman... orang Melayu tetap orang Melayu dengan identiti dan jatidiri yang sama. Jiwa kelangsungan (survival) Melayu itu sangat lasak. Berpantang maut sebelum ajal. Sherard Osborn (1861) kata, orang Melayu adalah bangsa yang tidak mudah tunduk kepada kezaliman atau penindasan.
Maka selamatlah kita dengan izin Tuhan dari menjadi Manuelas, berkat perjuangan nenek moyang mempertahankan apa yang ada.
~Srikandi
stronger than history
Copy and paste:
13 Januari 2024 > 1 Rejab 1445H: 11.36 am
ll reac

No comments:

Post a Comment