ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 9 January 2024

Hukum Makanan Yang Disangka Halal Dan Syak Pada Halalnya

Oleh: Prof. Dato Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Bin Zainul Abidin
Jabatan Mufti Negeri Perlis : 4 Januari 2021

1. Perbuatan menipu dalam perniagaan adalah haram tanpa syak. Jika menipu barang yang buruk dengan gambaran yang baik adalah haram dan Nabi s.a.w tidak mengaku pengikut baginda, apatahlagi menipu bahan yang haram dengan gambaran ia bahan yang halal. Pasti dosanya lebih besar.
 
2. Mana-mana pihak yang bersekongkol dengan penipuan daging yang haram ini, maka dia terlibat dalam dosa tersebut. Lebih ramai yang tertipu, lebih besar dosa yang ditanggung.
 
3. Pihak yang ditipu, sehingga menyangka bahan yang haram itu halal, tidak menanggung apa-apa dosa dan kesalahan di sisi agama. Hal ini seperti yang dinyatakan oleh ALLAH dalam al-Quran:
وَلَيۡسَ عَلَيۡكُمۡ جُنَاحٌ فِيمَآ أَخۡطَأۡتُم بِهِۦ وَلَٰكِن مَّا تَعَمَّدَتۡ قُلُوبُكُمۡۚ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورا رَّحِيمًا
 
(maksudnya) “Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh jantung hati kamu. Dan (ingatlah) Allah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”
 
Nabi s.a.w dalam hadis :
إِنَّ اللَّهَ قَدْ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
 
“Sesungguhnya Allah memaafkan umatku atas kesilapan, lupa dan apa yang dipaksakan ke atasnya” (Riwayat Ibn Majah, Ibn Hibban dll. Ia disahihkan oleh al-Albani dan lain-lain).
 
Dalam al-Quran, ALLAH mengajar akan kita berdoa kepadaNYA supaya tidak diamabil tindakan ke atas apa yang kita lupa atau silap. Firman Allah :
 
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَاۤ إِن نَّسِینَاۤ أَوۡ أَخۡطَأۡنَاۚ
(maksudnya) "Wahai Tuhan kami! Jangan ENGKAU mengambil tindakan ke atas kami jika kami lupa ataupun kami tersilap"[Surah Al-Baqarah 286]
 
Daging Dari Orang Muslim
 
4. Berhubung dengan daging yang dihidangkan atau diberikan oleh seorang muslim tetapi diragui statusnya, hal ini telah dijelaskan dalam hadis sahih, di mana Nabi s.a.w telah ditanya tentang hal ini:
قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ هَا هُنَا أَقْوَامًا حَدِيثٌ عَهْدُهُمْ بِشِرْكٍ يَأْتُونَا بِلُحْمَانٍ لَا نَدْرِي يَذْكُرُونَ اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا أَمْ لَا - أَفَنَأْكُلُ مِنْهَا؟- قَالَ اذْكُرُوا أَنْتُمْ اسْمَ اللَّهِ وَكُلُوا
 
Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya di sini (Madinah) terdapat kaum-kaum yang baru sahaja (meninggalkan) kesyirikan (baru menganut Islam) yang membawa kepada kami daging yang kami tidak tahu mereka menyebut nama Allah atau tidak ke atasnya (semasa sembelihan). Apakah boleh kami memakannya? Sabda Nabi s.a.w.: “Kamu sebutlah nama Allah dan makanlah” (Riwayat al-Bukhari, al-Nasai, Abu Daud dan lain-lain)
 
Ertinya, Nabi s.a.w mengizinkan daging itu dimakan dan disunatkan kita membaca bismillah semasa makan. Kata al-Syeikh ‘Abd al-Muhsin al-‘Abbad dalam Syarh Kitab al-Sunnah min Sunan Abi Daud: “Hadis ini menunjukkan bahawa tidak wajib bertanya atau seseorang tidak perlu bertanya apakah disebut nama ALLAH atau tidak? Jika dibuka pintu ini, maka akan ditanya pula: “Apakah penyembelih itu memenuhi syarat atau tidak? Apakah dia menggunakan alat sembelihan yang sah atau tidak? Maka akan muncul soalan-soalan yang tidak perlu sedangkan asalnya ia selamat (iaitu daging dari orang muslim). Maka tidak perlu untuk memayah-mayahkan dan bertanya soalan-soalan yang tiada keperluan. Justeru itu Nabi s.a.w menjawab dengan jawapan yang jelas dalam hal ini, iaitu mereka boleh makan dan membaca bismillah semasa makan”.
 
5. Maka, berdasarkan hadis di atas, seseorang muslim tidak berdosa apabila dia memakan sembelihan yang pada zahirnya halal, sekalipun dia tidak pasti atau syak status halalnya yang sebenar. Ini seperti kita memakan hidangan daging yang dihidangkan atau dijual oleh seorang muslim sekalipun kita tidak tahu secara pasti atau syak status sebenar daging yang dihidangkan. Memadai keislaman pihak yang memberikan daging itu untuk kita menganggapnya halal. Ertinya, jika zahir dia seorang muslim, dan daging tersebut dari haiwan yang halal dimakan, maka memadai dan tidak dituntut oleh kita bertanya dengan lebih detil, melainkan terdapat bukti yang nyata dan yakin bahawa daging tersebut tidak halal.
 
Makan Di Kedai atau Rumah Muslim
 
6. Atas alasan ini, kita boleh makan di kedai atau rumah orang muslim sekalipun tiada logo halal rasmi dari mana-mana pihak. Ini seperti kebanyakan kedai makan muslim terutama di kampong atau di luar negara atau hidangan di rumah seseorang muslim sekalipun tiada logo halal rasmi. Jika dia menipu, dosa ditanggung oleh pihak yang menipu. Melainkan, kita yakin benar makanan tersebut adalah haram atas bukti yang kita ada, maka ketika itu haram kita makan.
 
Logo Halal
 
7. Berasaskan hadis tadi juga, maka makanan yang diberikan jaminan halal oleh mana-mana pihak yang dipercayai, khususnya badan-badan umat Islam di mana sahaja -tidak disyaratkan JAKIM- maka hukumnya halal atas kaedah umum tadi. Logo-logo halal yang dikendalikan oleh umat Islam di mana sahaja mereka berada, sah untuk kita pegang sebagai tanda halal.
 
Fatwa Ulama Tentang Sembelihan Yahudi dan Kristian
 
8. Untuk maklumat kita, ramai ulama komtemporari yang berfatwa bahawa daging-daging yang datang dari negara yang majoriti penganutnya beragama Kristian atau Yahudi, boleh dimakan melainkan kita jika daging tersebut daripada haiwan yang haram seperti khinzir. Ini atas dalil Surah al-Maidah ayat 5 yang membenarkan sembelihan Ahlul Kitab. Ahlul Kitab dalam takrifan mereka luas merangkumi semua Yahudi dan Kristian pada zaman bila pun dan di mana pun. Antara tokoh fekah tersohor yang berfatwa dengan perkara ini ialah al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram (m.s 72. Kaherah: Maktab Wahbah), al-Syeikh Mustafa al-Zarqa dalam Fatawa al-Zarqa (m.s 214. Damsyik: Dar al-Qalam). Kedua tokoh ini dan beberapa yang lain dengan lebih luas dengan berfatwa selagi mana sembelihan tersebut dianggap halal di sisi penganut Yahudi atau Kristian maka mereka memfatwakan ia adalah halal.
 
9. Tokoh fekah terbilang zaman ini al-Syeikh Dr Muhammad Fathi al-Duraini pula menyebut Lajnah Fatwa al-Azhar berfatwa atas pendapat majoriti ulama (jumhur) bahawa daging-daging yang diimport daripada negara Ahlul Kitab (Kristian dan Yahudi) halal dimakan dengan syarat kita TIDAK tahu ia disembelih atas nama selain ALLAH, kita TIDAK tahu ia disembelih cara sembelihan yang salah menurut syariat Islam dan kita TIDAK tahu ia daging binatang yang diharamkan. Al-Duraini menyokong fatwa ini dengan syarat-syarat tadi. (lihat: al-Duraini, Buhuth Maqaranah fi al-Fiqh al-Islami wa Usulihi, 2/341. Beirut: Muassasah al-Risalah). Ertinya, fatwa ini mensyaratkan kita tidak mempunyai maklumat bahawa haiwan import dari negara Yahudi dan Kristian tersebut disembelih dengan cara yang salah di sisi syariat Islam seperti dipukul, dicekik dan seumpamanya, atau untuk berhala atau binatang yang haram dimakan. Jika kita tahu hal itu, maka haram dimakan.
 
10. Al-Syeikh ‘Atiyah Saqar r.h, mantan Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar menyebut pandangan yang sama: “Daging-daging yang disimpan dan diimport jika kita ketahui daripada maklumat yang dipercayai bahawa ia disembelih dengan bukan cara islamik, maka tidak harus dimakan sama sekali. Adapun jika kita ketahui ia disembelih dengan cara islamik, maka harus memakannya tanpa sebarang masalah. Jika kita tidak tahu cara ia disembelih tapi terdapat tanda-tanda yang menyokong ia disembelih secara islamik maka harus memakannya. Antara tanda-tanda tersebut; ditulis atasnya ‘disembelih dengan cara islamik’, atau daging-daging itu diimport dari negara-negara yang beragama Yahudi atau Kristian. Ini berdasarkan nas yang menghalalkan sembelihan mereka dalam firman ALLAH: (maksudnya) “Dan makanan mereka yang diberikan kitab halal bagi kamu dan makanan kamu halal bagi mereka” (Surah al-Maidah ayat 5). (rujukan: ‘Atiyah Saqar, Mausu’ah Ahsan al-Kalam fi al-Fatwa wa al-Ahkam, 306/6. Kaherah: Maktabah Wahbah).
 
Produk Sendiri
 
11. Jalan yang terbaik untuk kita Umat Islam ialah menghasilkan makanan kita sendiri dari ternakan hingga proses sembelihan. Ia menghilangkan syak. Dengan hal itu, banyak persoalan dapat diatasi. Samada di sudut ekonomi ataupun proses penyembelihan.
 
12. Adapun daging atau makan yang dibawa kepada kita, jika datang dari individu atau masyarakat Islam seperti komuniti muslim India, atau negara-negara Umat Islam maka kita anggap ia sebagai halal. Majoriti ulama di zaman ini pula berfatwa daging import daripada negara yang berpegang dengan ajaran Yahudi dan Kristian boleh dimakan melainkan jika terdapat bukti ia daging yang binatang haram atau cara sembelihannya menyanggahi cara islamik seperti mati dicekik atau dipukul atau lemas atau dihempap atau disembelih untuk berhala.
 
Pilihan Terbaik
13. Apapun, jika daging atau makanan itu mempunyai logo halal, atau daripada masyarakat muslim yang kita percaya pasti itu adalah pilihan yang terbaik selagi kita mampu membuat pilihan. Jika tidak, fatwa ulama luas dalam hal ini. Dalam negara kita, kita mungkin masih mampu membuat pilihan, maka pilihlah yang terbaik. Itulah yang lebih afdal. Ini tidaklah bermaksud kita mengharamkan apa yang difatwakan halal oleh para ulama.
 
Copy and paste:
9/1/2024 : 28 Jamadilakhir 1445H: 9.18 pm

No comments:

Post a Comment