ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 14 January 2024

AKU DAN KENANGAN : 1984 - KANOWIT SUATU KETIKA DAHULU

Posted by:
Hj Zulheimy Maamor
14 January 2024

TRAGEDI PENDAM BUNGKANG
Hari ini aku terbaca satu artikel dari Sarawak mengenai "Tragedi Pendam Bungkang" pada tahun 1970.
Serta merta saya teringat kembali kenangan sewaktu bertugas di Sibu Sarawak tahun 1983-84. Nama Pendam Bungkang kembali dalam ingatan, kerana nama itu pernah disebut oleh seorang warga Kanowit ketika bot Lancang saya berhenti rehat di Pekan Kanowit setelah berhari-hari menjalankan rondaan sungai di Sepanjang Sungai Rejang di Sibu, Sarawak. Ketika itu saya bertugas di Bot Lancang di KD Sri Rejang, Sibu, Sarawak.




Ketika menjalankan tugas rondaan Sungai, adakala kami akan berhenti rehat di beberapa buah pekan di sepanjang Sungai Rejang seperti pekan Song, Kanowit, Sarikei, Binatang (sekarang Bintangor), Belaga, Durin, Kapit dan banyak lagi yang ada yang saya dah lupa nama pekan itu.
Sewaktu berhenti rehat di Pekan Kanowit, kebetulan ada ruang kosong di jeti, kami pun menambatkan bot kami di tepi jeti. Ketika itu Skipper Bot (Ketua Bot) memberi kebenaran Krew Bot untuk keluar bersantai di pekan Kanowit namun mesti ada seorang tinggal untuk menjaga bot, nanti bila anggota yang berkelepasan balik, mereka pula akan menunggu bot. Jadi saya pun menawarkan diri untuk menunggu bot. Sebab dah banyak kali dah kami bertambat di Kanowit ini, jadi tak adalah kisah sangat.
Sambil menunggu bot, waktu dah agak petang, saya pun ambil kesempatan masak air nak buat kopi panas sambil cecah biskut Kompo (biskut kering) yang di goreng semula supaya jadi lebih sedap.


Sambil menikmati kopi panas dan biskut, seorang lelaki berbangsa Iban datang ke Bot saya sambil mengucapkan selamat Petang. Memandangkan keramahan dan senyumannya saya pun ajak dia naik ke bot sambil menikmati kopi yang memang sengaja saya buat lebih untuk anggota lain balik nanti. Dia pun naik ke bot dan kami berbuat-bual sambil menikmati juadah yang tak seberapa.
Ketika itu saya dapat tahu dia adalah bekas anggota Sarawak Border Scout. Dia pun tanya samada saya pernah dengar tak nama pasukan ini.... saya berterus terang padanya yang sebelum saya datang ke Sarawak memang saya tak pernah dengan nama unit ini. Tapi setelah beberapa kali melakukan operasi Sungai, saya pernah bertemu dengan anggota Border Scout ini, mula-mula ingatkan Pasukan Polis Hutan.
Pada masa itulah dia ada menyebut kisah Pendam Bungkang...iaitu nama sebuah tempat di Kanowit. Kisahnya pada 27 Ogos 1970, 12 orang anggota Border Scout telah terkorban di Pendam Bungkang akibat diserang oleh pengganas komunis ketika mereka sedang menaiki bot panjang melakukan tugas rondaan. Daripada 16 orang anggota BS, 12 terkorban dalam pertempuran itu, 4 terselamat.....
Turut terkorban ialah 5 anggota Rejimen Renjer dan Seorang anggota Polis Cawangan Khas berbangsa Cina.

12 anggota Sarawak Border Scouts yang gugur itu adalah:
1. Koperal Numbu Anak Kelen
2. Koperal Lat Anak Gangga
3. BS Pantau Anak Baro
4. BS Kanchin Anak Ligan
5. BS Gelau Anak Sumor
6. BS Emba Anak Garing
7. BS Senang Anak Bajai
8. BS Skudan Anak Dampa
9. BS Jantom Anak Jalong
10. BS Jantom Anak Narok
11. BS Brain Anak Balit
12. BS Luyoh Anak Jauh



Bagi mengenang jasa dan pengorbanan 12 Anggota Border Scout, 5 anggota Renjer dan 1 anggota Polis Cawangan Khas, sebuah tugu peringatan dikenali sebagai Tugu Pahlawan Kanowit didirikan di Dataran Kubu Emma pada tahun 2016.

Saya mendengar dengan penuh minat suatu kisah yang tidak pernah didendangkan kepada masyarakat umum tentang kisah pahlawan pahlawan kita ini..... sayang masa tu tak ada handphone, kalau tak tentu saya boleh merakamkan pertemuan itu dengan beliau.... Sampai sekarang saya terkilan kerana terlupa nak tanya nama dia dan apakah kemungkinan dia adalah salah seorang dari 4 orang yang terselamat itu.... namun akhirnya ianya tinggal kenangan yang berlalu begitu sahaja....
Setelah 40 tahun berlalu, nama itu kembali semula dalam hidup ini.... nama yang telah saya lupakan sekian lama... Pendam Bungkang..... nak tahu kisah penuh...boleh google di internet....




Posted on Blog :
14 January 2024 > 3 Rejab 1445H: 8.34 pm

No comments:

Post a Comment